26.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 89

TM raikan kejayaan pasukan Sepak Takraw Kebangsaan di Piala Asia ASTAF 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM), selaku Rakan Rasmi Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan, menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad negara atas pencapaian membanggakan mereka dalam Kejohanan Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025 yang berlangsung di Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Pasukan kebangsaan mencipta kejayaan gemilang apabila berjaya menjuarai dua daripada empat acara yang dipertandingkan, iaitu dalam kategori Regu dan Kuadran.

Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan keunggulan sukan sepak takraw tanah air, tetapi turut mengangkat semangat kesukanan dan ketahanan mental atlet Malaysia di pentas antarabangsa.

TM menyifatkan kejohanan ini sebagai platform penting untuk mengetengahkan bakat-bakat tempatan dalam sukan tradisional yang menjadi kebanggaan negara.

Sokongan padu yang diberikan oleh TM kepada pasukan kebangsaan membuktikan komitmen berterusannya dalam memperkasakan pembangunan sukan sebagai sebahagian daripada peranannya sebagai pembina negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris, menzahirkan rasa bangga terhadap persembahan luar biasa yang dipamerkan oleh skuad kebangsaan sepanjang kejohanan.

“Kami amat berbangga dengan pasukan sepak takraw kebangsaan atas aksi mantap sepanjang kejohanan ini.

“Ia bukan sahaja daripada segi bakat, tetapi juga ketabahan dan semangat berpasukan yang ditonjolkan antara nilai-nilai yang amat kami hargai di TM.

“Pencapaian mereka dalam kejohanan Piala Asia ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk terus menyokong pembangunan sukan Malaysia sebagai sebahagian penting perjalanan kami dalam pembinaan negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dato’ Mohd Sumali Reduan, turut menyampaikan penghargaan atas dedikasi pasukan dan peranan penting yang dimainkan oleh TM sebagai penyokong utama.

“Kejohanan ini menjadi langkah bermakna dalam memartabatkan sukan sepak takraw negara. Kejayaan merangkul dua kejuaraan di tanah air adalah bukti jelas kepada usaha gigih, disiplin dan semangat juang para atlet kebangsaan kita.

“Bagi pihak pasukan kebangsaan dan seluruh komuniti sepak takraw, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TM atas sokongan yang diberi serta keyakinan bersama dalam misi kami untuk membangunkan bakat tempatan dan mengangkat sukan tradisional ini ke persada antarabangsa,” katanya.

TM turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan atlet tanah air melalui sokongan moral dan sorakan yang tidak pernah putus.

Sambutan yang hangat daripada peminat memberi inspirasi besar kepada pasukan dalam mengejar kejayaan di peringkat tertinggi.

Sebagai sebuah entiti yang percaya kepada kuasa penyatuan melalui sukan, TM terus komited dalam memainkan peranan aktif menyokong pembangunan sukan tanah air.

Melangkaui peranannya dalam dunia teknologi, TM berpegang teguh pada nilai perpaduan, ketangkasan, dan kecemerlangan nilai-nilai yang turut terpantul dalam sukan sepak takraw.

Melalui kerjasama strategik seperti ini, TM bukan sahaja memperkukuh imejnya sebagai pembina negara, malah terus memperkasa komuniti melalui inisiatif yang memberi impak positif kepada kehidupan rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat.

Malaysia lancar Infrastruktur AI strategik pertama: Menuju masa depan digital yang berdaulat dan dipercayai

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Malaysia melakar sejarah baharu dalam landskap teknologi apabila secara rasmi melancarkan Infrastruktur Kecerdasan Buatan (AI) Strategik pertama negara, satu inisiatif berskala nasional yang menandakan komitmen jangka panjang terhadap kedaulatan digital, keselamatan data dan kemajuan teknologi.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dengan kerjasama Skyvast, Leadyo, dan Huawei sebagai rakan teknologi utama.

Infrastruktur ini kini telah beroperasi secara langsung untuk pengguna perintis daripada agensi kerajaan, sektor industri dan institusi akademik.

Sebagai platform AI end-to-end pertama yang dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat tempatan, infrastruktur ini membabitkan keseluruhan rantaian nilai teknologi daripada pelayan AI, sambungan rangkaian, tenaga, pusat data, integrasi sistem, hingga kepada perkhidmatan akhir pengguna.

Ia dirancang sebagai tulang belakang AI negara yang dipercayai dan boleh diskalakan, sekali gus menyokong keselamatan maklumat negara dan memacu transformasi digital tempatan.

Dalam ucapannya, Teo berkata, pelancaran ini adalah langkah berani Malaysia ke arah menjadi negara berdaulat secara digital dan berdaya saing dalam era AI.

“Dengan melabur dalam infrastruktur AI berprestasi tinggi yang dibina oleh syarikat Malaysia sendiri, kita bukan sahaja melindungi data negara, tetapi juga memperkasa masa depan kita.

“Malaysia kini bersedia untuk menerajui dengan keterbukaan, tanggungjawab dan kerjasama serantau,” katanya.

Teo berkata, pelancaran ini bukan sekadar platform, tetapi satu deklarasi nasional.

“Malaysia kini bersedia untuk memimpin dengan kekuatan, visi dan kesatuan,” katanya.

Infrastruktur ini membolehkan Malaysia membangunkan dan menggunakan model AI generatif dan Large Language Models (LLMs) dalam persekitaran yang mematuhi peraturan tempatan, sekaligus memastikan data sensitif kekal terlindung.

Skyvast yang mengetuai seni bina dan penyelarasan keseluruhan infrastruktur AI strategik ini, manakala Huawei menyumbangkan teknologi teras AI, termasuk sistem berprestasi tinggi dan platform cloud.

Leadyo pula bertanggungjawab dalam penyebaran dan pengesahan perkakasan AI di peringkat nasional.

Ketua Pegawai Eksekutif Skyvast, Lim Chee Siong berkata, projek ini bukan sekadar infrastruktur teknologi.

“Apa yang kami bina ialah sebuah ekosistem berteraskan kepercayaan, kedaulatan dan daya tahan nasional jangka panjang.

“Ini membuktikan bahawa Malaysia mampu memimpin dalam bidang AI dengan pendekatan mampan dan berdikari,” katanya.

Kemuncak pelancaran ini ialah pengoperasian sistem AI generatif berdaulat pertama Malaysia, yang dikuasakan oleh pelayan AI Altermatic DT250.

Ia merangkumi model bahasa terbuka DeepSeek yang kini dihoskan sepenuhnya dalam infrastruktur tempatan.

Dilengkapi dengan lapan unit GPU berprestasi tinggi, sistem ini menawarkan prestasi sehingga 20 peratus lebih baik berbanding pesaing industri, serta penjimatan tenaga sebanyak 30 peratus, menjadikannya sesuai untuk penggunaan atas premis, awan dan hibrid.

Pengarah Urusan Leadyo, Huang Jiang berkata, mereka berbangga menyokong inisiatif bersejarah ini melalui penghantaran pelayan AI, validasi sistem dan pengembangan kebangsaan.

“Ia selaras dengan aspirasi global untuk infrastruktur AI yang terbuka dan mampan,” katanya.

Platform ini kini sedang digunakan oleh lima pengguna awal iaitu Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Cyberview Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pelaksanaan awal ini menandakan permulaan transformasi digital berteraskan AI yang berdaulat di seluruh sektor strategik negara.

Untuk memenuhi permintaan pengkomputeran yang semakin meningkat, Skyvast dan Leadyo merancang untuk menyebarkan sebanyak 3,000 unit GPU menjelang akhir 2026.

Pelan ini dijangka memperkukuh lagi kebolehskalaan infrastruktur AI Malaysia dan menyokong aspirasi jangka panjang negara dalam bidang teknologi.

Sebagai bukti sokongan pasaran yang kukuh, sembilan syarikat teknologi tempatan dan antarabangsa turut diumumkan sebagai rakan strategik Skyvast dalam pembangunan aplikasi AI, termasuklah VSTECS, China Telecom, PiDC, iFIBER, ACEiT, Virtual Network Solutions, Work@Cloud, Sero AI dan Gentech AI.

Satu lagi pencapaian penting ialah pelancaran Zon Data Dipercayai Malaysia–China, hasil kerjasama antara Skyvast, Cyberview dan Shanghai Lin-gang Special Area.

Zon ini menghubungkan Cyberjaya dan Shanghai, mewujudkan laluan AI dua hala pertama seumpamanya.

Melalui kerjasama ini, Malaysia membina rangka kerja inovasi AI rentas sempadan yang selamat, meletakkan negara sebagai hab neutral untuk pembangunan AI serantau.

Pengerusi Kumpulan Skyvast, Shawn Tan berkata, ketika dunia semakin tertutup, Malaysia kekal komited terhadap keterbukaan dan kerjasama digital yang adil.

“Ini ialah model baharu pembangunan AI yang berteraskan kepercayaan dan keterangkuman,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan, Perlis Advanced Tech Park akan menjadi lokasi taman data AI off-grid terbesar di rantau ini, dijangka siap menjelang 2028.

Fasiliti ini bakal dikuasakan oleh tenaga bersih dan menyokong keupayaan pengkomputeran berskala tinggi secara lestari, menjadikan Malaysia peneraju infrastruktur AI hijau di ASEAN.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang menyaksikan pelancaran projek ini pada 2024, menyifatkan pembangunan ini sebagai “pengubah permainan” dalam strategi data negara.

Pelancaran Infrastruktur AI Strategik ini bukan sekadar pencapaian teknologi, tetapi asas kepada pelbagai dasar negara, termasuk Rangka Kerja AI Nasional, pelaksanaan pelan MyDIGITAL, dan pengukuhan ekosistem bakat serta permulaan teknologi (startup) tempatan.

Malaysia juga kini berperanan penting dalam membentuk model tadbir urus AI global, hasil kerjasama strategik dengan China dan sokongan daripada komuniti industri dan akademik.

Glenn Fredly kembali ‘Hidup’ di pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi persembahan hologram istimewa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suara merdu Glenn Fredly yang pernah membuai jiwa jutaan pendengar akan kembali bergema bukan sekadar dalam ingatan, tetapi secara visual di pentas menerusi teknologi hologram yang mengagumkan.

Konsert “Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia”, yang dijadual berlangsung pada 18 Julai ini di Zepp Kuala Lumpur, menjanjikan pengalaman luar biasa dalam meraikan cinta, warisan seni dan semangat yang tidak pernah padam.

Selepas kejayaan luar biasa konsert sama yang berlangsung di Beach City International Stadium, Jakarta dua tahun lalu, sambutan hangat terhadap persembahan holografik Glenn Fredly membuktikan bahawa kehilangan fizikal tidak mampu memadamkan cinta dan penghargaan yang mendalam terhadap legasi muzik beliau.

Kini, rakyat Malaysia pula berpeluang mengubati rindu dalam sebuah perayaan seni yang mengangkat kenangan dan jiwa mendiang.

Konsert ini dibawakan oleh Premier Live Productions dengan kerjasama Matahati Sdn Bhd, menampilkan bukan sahaja teknologi canggih yang menghidupkan semula figura Glenn Fredly di atas pentas, tetapi juga barisan artis yang pernah berkongsi cinta dan karya bersamanya.

Isteri mendiang, Mutia Ayu, bersama Ryan D’Masiv, Noh Salleh dan Nadira Adnan akan menyertai kumpulan pengiring asal Glenn, The Bakuucakar, dalam menjayakan persembahan penuh makna ini.

Menurut penganjur, Ibram Putra, konsert ini bukan sekadar sebuah pertunjukan hiburan, tetapi satu ruang suci untuk mengenang dan merenung nilai-nilai yang dibawa oleh Glenn semasa hayatnya.

“Bait lirik yang puitis dan melodi penuh nuansa telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup banyak orang.

“Warisannya bukan sahaja hidup dalam lagu-lagu, tetapi juga dalam nilai yang diperjuangkannya keberagaman, perdamaian, dan kemanusiaan,” katanya.

Antara lagu-lagu yang bakal mengisi malam penuh emosi ini termasuk karya ikonik seperti “Kasih Putih”, “Januari”, “Akhir Cerita Cinta”, “Sedih Tak Berujung” dan “Terserah”.

Setiap lagu dipilih untuk menyampaikan kisah cinta, kehilangan dan harapan dengan kejujuran yang meresap ke dalam jiwa pendengar.

Bagi Anuar Osman daripada Matahati Sdn Bhd selaku rakan promotor konsert ini, peluang membawa persembahan seistimewa ini ke Malaysia adalah satu penghormatan besar.

“Kami yakin bahawa peminat Glenn Fredly di Malaysia telah lama menantikan detik ini.

“Ia bukan hanya peluang untuk menikmati muzik beliau secara langsung, tetapi juga untuk merasai semula kehadirannya melalui teknologi yang menghubungkan kenangan,” katanya.

Tidak sekadar hiburan, konsert ini menjadi penanda sejarah dalam dunia muzik Asia Tenggara, membuktikan bahawa teknologi mampu menjadi jambatan antara masa lalu dan masa kini, antara kehilangan dan penghormatan.

Tiket bagi “Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia” bermula dari harga RM188 dan boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.com.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti saluran media sosial rasmi penganjur di @premierlivepro, @bumientertainment, @musikbagusrecords dan @glennfredlymusik.

Anugerah Inovasi YOMO 2025 rai kejayaan usahawan wanita dalam industri estetik tanpa jarum

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Seramai 27 usahawan wanita diraikan dalam Majlis Pelancaran dan Penyampaian Anugerah Inovasi Pencapaian Usahawan Wanita YOMO yang berlangsung meriah, baru-baru ini.

Majlis berprestij anjuran Advanced Aesthetic Asia Academy ini menghimpunkan individu yang telah menunjukkan kepimpinan unggul, inovasi berterusan dan kejayaan luar biasa dalam industri kecantikan dan anti-penuaan, khususnya dalam bidang teknologi estetik tanpa jarum.

Anugerah sulung ini turut mengiktiraf bukan sahaja usahawan berpengalaman, tetapi juga bakat baharu serta mereka yang berjaya melakukan peralihan kerjaya ke dalam industri yang semakin berkembang pesat ini.

Majlis perasmian dan penyampaian anugerah disempurnakan oleh Datin Christina Toh Lai Fong, Ahli Lembaga Pengarah Tourism Malaysia, yang mewakili Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datin Yuzaira.

Dalam ucapannya, Christina menzahirkan rasa bangga terhadap ketabahan dan kecekalan wanita dalam mendepani cabaran, menyifatkan tema majlis, “Bayang-bayang yang Mekar”, sebagai simbol kejayaan yang lahir daripada inovasi dan transformasi berterusan.

Berkongsi data daripada Banci Ekonomi 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, beliau berkata, sehingga tahun 2022, sebanyak 219,015 perniagaan milik wanita beroperasi di Malaysia, mewakili 20.1 peratus daripada keseluruhan perusahaan negara.

Lebih 90 peratus daripadanya terbabit dalam sektor perkhidmatan, sementara selebihnya dalam bidang pembuatan dan pembinaan.

Perniagaan ini menjana nilai tambah sebanyak RM136.9 bilion, dengan sektor perkhidmatan sahaja menyumbang RM83 bilion.

“Angka-angka ini membuktikan bukan sahaja keberkesanan dasar kerajaan, tetapi juga dedikasi dan semangat inovatif wanita Malaysia, termasuk usahawan YOMO yang terus menjadi tonggak penting kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut menyeru usahawan wanita untuk memanfaatkan rangkaian dan pengaruh mereka dalam mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan memperkenalkan kekayaan budaya, destinasi pelancongan dan produk tempatan kepada pasaran global.

Katanya, kejayaan mereka bukan satu kebetulan ia lahir daripada kebijaksanaan, keberanian dan semangat inovasi.

“Teruskan menyahut cabaran, cipta peluang dan jadilah inspirasi bukan sahaja kepada industri, malah kepada generasi wanita masa hadapan,” katanya lagi.

Sementara itu, pengasas bersama Advanced Aesthetic Asia Academy, Dr. Chin Kim Yoon berkata, sejak penubuhan akademi pada 2018, mereka telah memberi fokus kepada pembangunan teknologi anti-penuaan tanpa jarum.

Bersama Dr. Angela Chung Hoong Lai, mereka telah melatih lebih 2,000 pelajar antarabangsa dan membantu 800 usahawan wanita tempatan membina kerjaya, termasuk ibu tunggal.

“Kami bukan sahaja menyediakan pendidikan, tetapi membina komuniti yang memacu inovasi dan perubahan dalam industri estetik.

“Inilah kuasa lembut wanita YOMO yang menyumbang secara signifikan kepada kemajuan bidang ini,” katanya.

Majlis yang dihadiri lebih 250 tetamu termasuk Presiden Persatuan Artis Cina Malaysia, Freddie Wong, turut menyaksikan beberapa penerima anugerah berkongsi kisah inspirasi mereka.

Bagi Chok Shuk Lea, penyertaannya dalam dunia estetik bermula daripada keinginan untuk mencari peluang pendapatan yang lebih baik.

Beliau menemukan minat dalam bidang rawatan wajah tanpa jarum selepas menemui produk yang diperkenalkan melalui media sosial.

“Saya mula tertarik kerana teknologi ini lebih selamat dan tidak menyakitkan. Saya berharap satu hari nanti YOMO dapat membuka cawangan di Sabah, supaya lebih ramai wanita di negeri saya mendapat peluang seperti ini,” katanya penuh harapan.

Kam Seok Yan pula menyifatkan anugerah ini sebagai titik penting dalam hidupnya.

Beliau memulakan perniagaan dari rumah dan kini mempunyai visi untuk memperluaskan perniagaannya.

“Saya sangat mencintai industri ini kerana ia memberi saya ruang untuk membantu orang lain dan membina sesuatu yang saya banggakan,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya sokongan komuniti dalam mengatasi cabaran awal sebagai usahawan baharu.

Sementara itu, Tan Men Nee berkongsi sentimen yang sama, menggambarkan perjalanannya sebagai penuh cabaran namun memberi kepuasan tersendiri.

“Saya rasa dihargai kerana usaha saya diiktiraf. Ini mendorong saya untuk terus belajar dan berkembang,” katanya.

Beliau berkata, harapannya semoga terus dapat menyumbang kepada komuniti melalui perkhidmatan berkualiti dan selamat.

Dalam pada itu, Lee Sek Fong menekankan kepentingan tanggungjawab dan etika dalam perniagaan.

“Kejayaan dalam bidang ini tidak hanya bergantung kepada keuntungan, tetapi juga komitmen terhadap keselamatan pelanggan.

“Saya sering menjelaskan kepada pelanggan tentang kandungan dan kesan produk, kerana tanggungjawab terhadap kesejahteraan mereka adalah keutamaan,” katanya.

Yap Yuen Yuen yang memulakan perniagaan dari kedai perubatan tradisional Cina kini berbangga dengan pencapaian yang dicapai melalui pendidikan dan kesedaran terhadap rawatan estetik moden.

Antara penerima lain ialah Chan Mei Har, Gan Pay Jia, Chen Harn Lung, Kok Ya Jing, Lim Ai Peng, Lim Lay Chian, Wong Soon Chin, Chiew Lune Lee, Chong Ze Kee, Choong Sook Wei, Khoo Sit Ming dan Choong Sook Wei.

Turut menerima anugerah berkenaan ialah Chiew Lune Lee, Leyu Siah Ying, Chin Hsiieh Fang, Neoh Tze Cheen, Khor Cui Syan, Ling Siaw Yen, Khoo Sit Ming, Wong Ting Mong, Yap Looi Khim, Wong Yi Huan, Loo Yuen Ching, Ong Bee Kih dan Lim Sher Ling.

Anugerah Inovasi Pencapaian Usahawan Wanita YOMO bukan sekadar platform pengiktirafan, tetapi juga titik tolak kepada kebangkitan lebih ramai wanita untuk menyumbang secara aktif dalam dunia keusahawanan berteraskan teknologi dan estetika masa depan.

Konsert MeleTOP TVS gegar Miri, raikan kejayaan seni dan budaya Borneo

editormaxinfo@gmail.com

MIRI – Bandaraya Miri menjadi saksi kepada malam yang penuh gemilang dan bertenaga apabila Konsert MeleTOP TVS berjaya menarik ribuan peminat muzik dari seluruh Borneo, termasuk Brunei dan Kalimantan, ke Stadium Tertutup Miri.

Bertemakan “Nang Champiyen, Nang Legend”, konsert ini mencatat sejarah sebagai penganjuran pertama acara berskala mega MeleTOP di luar Lembah Klang dengan Miri sebagai lokasi pilihan sulung.

Hasil kerjasama strategik antara dua entiti penyiaran utama negara, Astro dan TVS, konsert berdurasi dua jam itu disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform termasuk TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV dan Unifi TV), Astro Ria, Astro GO dan Sooka.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.

Konsert dibuka dengan gabungan elemen budaya dan muzik kontemporari oleh Sada Borneo dan Dion Das, sebelum pentas dihangatkan dengan persembahan bertenaga daripada Mimifly dan Stacy yang membawakan lagu-lagu hit seperti “Abracadabra”, “Menyala” dan “Angkat”.

Bintang muda kelahiran Sabah, Wani Kayrie, tampil menggegar pentas bersama rapper Noki menerusi lagu “Original Sabahan” dan “Not Like Us”, menyemarakkan semangat Borneo dengan identiti muzik yang unik dan membanggakan.

Kemuncak acara menyaksikan penyanyi tersohor tanah air dan kebanggaan Sarawak, Dayang Nurfaizah, menerima Anugerah Khas Borneo MeleTOP.

Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi TVS, Dato’ Norhyati Ismail, dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal, sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan Dayang dalam mengangkat nama Sarawak dan Borneo ke peringkat nasional.

Malam istimewa itu diserikan lagi dengan persembahan solo Dayang yang penuh emosi menerusi lagu “Seandainya Masih Ada Cinta”, serta duet memukau bersama Hael Husaini menerusi lagu popular “Haram”, yang nyata meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Konsert turut dimeriahkan dengan kemunculan istimewa beberapa nama besar lain seperti Hairee Francis, Marsha Milan dan Nadeera yang kini mencuri perhatian ramai setelah kejayaannya di pentas AJL39.

Dolla menutup pentas dengan penuh gaya dan bertenaga, menjemput penonton berdiri menari dalam persembahan glam yang mengakhiri malam dengan sorakan gemuruh.

Aksi pengacara turut mencuri tumpuan, apabila hos-hos popular MeleTOP seperti Nabil Ahmad, Hawa Rizwana dan Sherry Alhadad digandingkan dengan personaliti TVS termasuk Cheryl Toh, Fattah Bolh dan Ghaz Zawawi, memastikan suasana kekal meriah dari awal hingga akhir.

Tidak berhenti di situ, TVS turut mengumumkan penganjuran satu lagi konsert mega bersempena sambutan Gawai dan Kaamatan yang bakal berlangsung pada 21 Mei 2025 di lokasi yang sama.

Konsert ini bakal menampilkan ratu rock negara, Ella, sebagai artis utama, bersama barisan penyanyi popular seperti Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX, dan Marina Jara dari Kalimantan.

Tiket percuma untuk konsert ini telah habis ditempah dalam masa yang singkat, menunjukkan sambutan hangat daripada peminat.

Namun, TVS masih membuka peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan tiket di laman web rasmi (tvsarawak.my) atau di pintu masuk pada malam konsert, selagi stok masih ada.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal, penganjuran konsert di Miri amat signifikan memandangkan kedudukannya yang strategik sebagai pintu masuk ke utara Sarawak serta berdekatan dengan Brunei, Sabah dan Kalimantan.

“Ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandaraya merupakan masa terbaik untuk meraikan rakyat dan budaya kita dalam skala besar,” katanya.

Konsert seperti ini bukan sahaja mengangkat industri hiburan tempatan, malah menjadi platform penting dalam membina jambatan budaya antara negeri, wilayah dan negara.

Dengan menampilkan gabungan artis tersohor dan bakat tempatan dari Sabah dan Sarawak, serta akses percuma kepada umum, acara seperti ini turut membantu memperkukuh pelancongan serantau dan membuka peluang keemasan untuk artis tempatan menyerlah di pentas yang lebih luas.

DOLLA gegarkan industri muzik dengan “MWA!” – era baharu penuh tenaga dan gaya

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan pop sensasi tanah air, DOLLA, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharu mereka berjudul MWA!, sebuah karya penuh bertenaga yang menandakan permulaan fasa baharu dalam perjalanan seni mereka.

Dengan gabungan kreativiti segar, produksi mantap dan penampilan visual yang berani, lagu ini disifatkan sebagai antara rilisan paling menyerlah mereka setakat ini.

Dilancarkan bersama video muzik yang dinamik, MWA! turut menerima suntikan eksklusif menerusi kerjasama strategik bersama jenama kenderaan OMODA JAECOO yang tampil sebagai penaja rasmi.

Kolaborasi ini bukan sahaja menyemarakkan nilai estetika video muzik tersebut, malah mengangkat pelancaran ini ke tahap yang lebih tinggi dalam aspek visual dan promosi.

Lagu MWA! dihasilkan oleh barisan tenaga kreatif yang terdiri daripada Chelsea Warner, GASTON, Roland Lim Shi Jie, serta tiga ahli DOLLA sendiri iaitu Tabby, Sabronzo dan Angel.

Proses penerbitan dan susunan muzik pula dikendalikan oleh GASTON dan Roland Lim.

Menurut Angel, pengalaman bekerjasama semula bersama pasukan ini merupakan sesuatu yang cukup mengujakan.

“Sesi studio bersama Gaston berjalan lancar, kami banyak bereksperimen dengan pelbagai struktur dan bunyi proses kreatif kali ini sangat menyeronokkan.

“Tambahan pula, Chelsea Warner menyumbang idea-idea melodi yang begitu segar,” kata Angel yang turut mengakui kesemua ahli DOLLA terbabit secara menyeluruh dalam pembentukan lagu ini, menjadikannya lebih bermakna buat mereka.

Video muzik MWA! diarahkan oleh pengarah tempatan terkenal, Jasmine Wong, yang berjaya menghidupkan naratif aksi berkonsep ilusi dan heist, dengan setiap ahli DOLLA memainkan peranan tersendiri dalam plot dramatik berkenaan.

Angel tampil sebagai pejuang, Sabronzo sebagai pemain kad, manakala Tabby membawa watak dalang utama.

“Konsep kali ini lebih liar dan ‘unhinged’. Ia sangat berbeza dengan karya-karya kami sebelum ini,” kata Angel lagi.

Keunikan MWA! turut terserlah melalui kehadiran kereta OMODA JAECOO yang memainkan peranan penting dalam keseluruhan video muzik berkenaan.

“Dari babak pertama hingga akhir, OMODA JAECOO sentiasa menjadi sebahagian daripada momen kami,” kata Tabby, yang turut melahirkan penghargaan kepada jenama itu atas sokongan padu mereka.

Berkongsi tentang proses penciptaan lagu, Sabronzo berkata, MWA! bermula hanya dengan sebuah idea asas.

Dari situ, ia dibina secara berperingkat sehingga menjadi lagu penuh yang kini dipersembahkan kepada peminat.

“Hasil akhirnya benar-benar menggambarkan visi kami,” katanya.

Tabby pula berkata, MWA! hanyalah permulaan kepada lebih banyak karya yang akan dilancarkan tahun ini.

“Kami anggap 2025 sebagai ‘tahun lagu DOLLA’. Banyak lagi lagu baharu bakal menyusul dan kami sangat teruja untuk membawakannya ke pentas serta berkongsi dengan lebih ramai pendengar,” katanya dengan penuh semangat.

Single MWA! kini boleh didapati di semua platform penstriman digital bermula 5 Mei 2025, manakala video muzik rasmi telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi DOLLA.

Kemuncak kepada pelancaran ini ialah penganjuran acara khas The MWA! Heist yang mengambil alih kawasan Bukit Bintang pada 10 Mei lalu.

Aktivasi kreatif itu berlangsung di Bukit Yayasan Selangor dengan pelbagai aktiviti imersif yang menghidupkan elemen-elemen utama dari video muzik berkenaan.

Antara sorotan acara termasuk persembahan tarian rawak, pameran visual, serta persembahan sulung lagu MWA! secara langsung oleh DOLLA menjadikan ia satu pengalaman unik yang membawa muzik dan pergerakan terus ke jalanan.

Dengan semangat baharu, produksi bermutu tinggi dan gaya persembahan yang semakin matang, DOLLA dilihat bersedia mengukir fasa baharu yang lebih menyerlah dalam dunia muzik tempatan dan serantau.

Skype ditamatkan selepas 22 tahun, tamatnya era komunikasi ikonik

editormaxinfo@gmail.com

LUXEMBOURG CITY – Selepas hampir dua dekad menjadi pelopor dalam dunia komunikasi digital, aplikasi Skype secara rasmi ditamatkan operasinya baru-baru ini, sekali gus menandakan berakhirnya satu era penting dalam sejarah teknologi komunikasi moden.

Perkembangan ini dilaporkan oleh portal berita antarabangsa Al-Jazeera.

Skype, yang dilancarkan pada tahun 2003, pernah menjadi platform utama untuk panggilan suara dan video secara percuma menerusi internet.

Pada era kegemilangannya sekitar pertengahan tahun 2010, Skype mencatat lebih 300 juta pengguna aktif setiap bulan dan berjaya merubah cara manusia berhubung merentasi sempadan global, sebelum kemunculan pesaing seperti Zoom, FaceTime dan WhatsApp.

Pembaharuan dalam teknologi dan perubahan corak penggunaan menjadikan populariti Skype semakin merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Walaupun dibeli oleh gergasi teknologi Microsoft pada tahun 2011 dengan nilai AS$8.5 bilion (anggaran RM36 bilion pada masa itu), Skype gagal mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam arena komunikasi maya.

Microsoft pada asalnya berhasrat menjadikan Skype sebagai tunjang strategi komunikasinya, namun strategi itu berubah apabila tumpuan beralih kepada platform lain yang lebih dinamik dan bersepadu.

Pada 28 Februari lalu, Microsoft mengumumkan bahawa perkhidmatan Skype akan ditamatkan secara rasmi pada 5 Mei 2025 sebagai langkah untuk menyelaraskan perkhidmatan digital syarikat itu dan memberi keutamaan kepada platform baharu, Microsoft Teams.

Dalam kenyataan syarikat itu, Microsoft berkata, Teams kini menjadi pilihan utama untuk komunikasi dan kerjasama profesional, menggantikan peranan Skype dalam ekosistem digital mereka.

Penamatan Skype ini memberi kesan kepada kedua-dua pengguna percuma dan berbayar.

Walau bagaimanapun, versi korporat, Skype for Business, akan terus ditawarkan buat sementara waktu sebelum ia turut dimansuhkan sepenuhnya pada masa akan datang.

Microsoft turut memberi jaminan bahawa semua mesej dan senarai kenalan sedia ada akan kekal boleh diakses melalui Teams menggunakan akaun log masuk Skype yang sama.

Pengguna dinasihatkan untuk mengunjungi laman rasmi skype.com dan menggunakan ciri “Start Using Teams” bagi beralih ke platform baharu.

Tambahan pula, pengguna diberikan tempoh sehingga Januari 2026 untuk memuat turun atau memindahkan data penting mereka sebelum pemadaman kekal dilaksanakan.

Penutupan Skype secara rasmi bukan sahaja menutup satu lembaran penting dalam sejarah teknologi komunikasi, malah menjadi simbol peralihan zaman ke arah platform yang lebih moden, bersepadu dan responsif terhadap keperluan masa kini. -Agensi

71 sekolah laksana PdPR sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan kebenaran kepada 71 sekolah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama tiga hari, bermula 26 hingga 28 Mei ini.

Langkah ini diambil sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh KPM, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira penutupan jalan dan kawalan keselamatan yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh persidangan, yang dijangka memberi kesan kepada kelancaran operasi harian sekolah-sekolah terbabit.

“Ia bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid tidak terjejas sepanjang tempoh penganjuran sidang kemuncak ini.

“KPM yakin bahawa pengalaman luas dalam melaksanakan PdPR semasa pandemik dan dalam situasi bencana sebelum ini akan dapat membantu memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan dengan lancar,” kata kenyataan itu.

Kementerian turut menekankan keutamaan tetap diberikan kepada aspek kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga sekolah dalam pelaksanaan PdPR ini.

Justeru, ibu bapa, penjaga, murid serta warga pendidik dinasihatkan untuk merujuk kepada saluran komunikasi rasmi sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat terperinci berkenaan pelaksanaan PdPR sepanjang tempoh berkenaan.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini dijangka menghimpunkan kesemua pemimpin negara anggota ASEAN.

Persidangan ini bertujuan membincangkan pelbagai isu serantau, memperkukuh kerjasama ekonomi, serta memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan dalam pembangunan negara-negara rantau ini.

Antara sekolah yang terbabit dalam pelaksanaan PdPR ini termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas, SMK Puteri Titiwangsa, Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Tembak 1 dan 2, SK Jalan Gurney 1 dan 2, serta institusi pendidikan lain di kawasan Kuala Lumpur.

Di Selangor pula, antara sekolah yang terbabit ialah SMK Assunta, SMK La Salle Petaling Jaya, SMK Sultan Abdul Samad, SK Cyberjaya, dan SK Bukit Jelutong.

KPM berharap agar pelaksanaan PdPR ini dapat berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak, selaras dengan matlamat memastikan pendidikan anak-anak terus diteruskan dalam apa jua keadaan.

EXAL Malaysia lantik Knight Frank, pacu standard baharu kehidupan komuniti di SÓL Estate

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha mentransformasi landskap hartanah kediaman di Sarawak, EXAL Malaysia secara rasmi mengumumkan pelantikan Knight Frank Property Management sebagai pengurus hartanah rasmi bagi projek perumahan unggul mereka, SÓL Estate.

Pelantikan ini menandakan satu pencapaian penting dalam misi EXAL untuk memperkukuh kepercayaan, ketelusan dan kualiti hidup dalam komuniti berpagar dan berpengawal.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama yang berlangsung di Galeri SÓL Estate itu disaksikan oleh wakil utama EXAL Malaysia, Knight Frank serta pemegang taruh industri.

Menerusi kerjasama strategik ini, EXAL memperkukuh komitmennya dalam membentuk komuniti perumahan berteraskan nilai dan hubungan kemanusiaan, bukan sekadar membina kediaman.

Pengarah Urusan EXAL Malaysia, Albert Ko, menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu janji terbuka kepada pembeli mereka satu jaminan bahawa SÓL Estate dibina atas prinsip kepercayaan, ketelusan dan gaya hidup yang berwawasan.

“Visi kami sentiasa berteraskan ‘cara hidup yang lebih baik, melangkaui bangunan semata-mata’.

“Kerjasama dengan Knight Frank bukan hanya soal pengurusan infrastruktur, tetapi tentang mencipta komuniti,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman global selama lebih 125 tahun yang dimiliki Knight Frank di lebih 50 negara menjadi pemangkin utama pemilihan mereka sebagai rakan strategik, disokong pula oleh kepakaran tempatan yang mesra rakyat.

Pelantikan ini hadir pada waktu yang kritikal bagi sektor hartanah di Malaysia, tatkala data menunjukkan 82 peratus rakyat Malaysia menganggap pemilikan rumah sebagai sesuatu yang penting, namun kepercayaan terhadap industri masih rapuh susulan isu kelewatan penyerahan rumah, masalah kualiti pembinaan dan kurangnya sokongan selepas jualan.

Dalam konteks perumahan berstrata, 66 peratus pemilik meluahkan kebimbangan terhadap kemerosotan penyelenggaraan komuniti berpagar yang sepatutnya eksklusif dan terjaga.

Berkongsi pandangan dalam majlis itu, Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata peranan pengurus hartanah pada hari ini telah berubah ia bukan lagi tugas teknikal semata-mata, sebaliknya membabitkan tanggungjawab membina komuniti yang selamat, menyokong dan berdaya huni.

“Pemilikan rumah bukan lagi hanya tentang empat dinding. Ia tentang kepercayaan, hubungan dan rasa kekitaan.

“Knight Frank dan EXAL berkongsi nilai yang sama dalam meletakkan manusia di tengah-tengah perancangan,” kata Keith.

SÓL Estate turut diperkenalkan sebagai sebuah komuniti yang ditawarkan dengan perkhidmatan istimewa termasuk perkhidmatan Concierge bagi urusan harian seperti cucian, pembersihan, penyelenggaraan landskap dan perkhidmatan pengiring kediaman satu pengalaman seumpama “butler” yang biasanya hanya terdapat di hotel mewah.

Tambahan pula, dengan kerjasama Valiant Clinic, penduduk akan menikmati akses kepada perkhidmatan perubatan 24 jam secara bayar mengikut penggunaan, terus dari kediaman mereka.

Bagi pengurusan Knight Frank, pelantikan ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan mereka, malah peluang untuk membina komuniti mampan yang mengekalkan nilai jangka panjang.

Pengarah Urusan Knight Frank Property Management, Kuruvilla Abraham berkata, pihaknya bukan sekadar mengurus hartanah, tetapi turut memberi penekanan kepada pembentukan komuniti yang sejahtera.

“Kami berbangga diberi kepercayaan untuk menerajui pengurusan SÓL Estate.

“Fokus kami adalah untuk mencipta sebuah komuniti yang hidup, selamat dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Jane Liaw, Pengarah Knight Frank yang akan mengetuai operasi pengurusan di Sarawak.

Sebagai anak jati negeri itu, beliau menekankan keutamaan dalam menyesuaikan amalan terbaik bertaraf antarabangsa dengan konteks setempat, bagi memastikan setiap aspek pengurusan memenuhi jangkaan dan keperluan masyarakat tempatan.

Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah program orientasi pra-penyerahan rumah yang pertama seumpamanya dalam industri tempatan.

Program ini dianjurkan bersama Knight Frank dan syarikat pakar pemantauan pembinaan, Canaan Building Inspection. Melalui program ini, pemilik fasa pertama SÓL Estate diberi pendedahan teknikal, peraturan komuniti serta peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar jaminan kualiti sebelum menerima kunci kediaman mereka.

Joshua Kang, Pengarah Projek dan Pengasas Canaan Building Inspection, menyifatkan pendekatan ini sebagai langkah proaktif yang menjamin ketelusan dan keyakinan pembeli.

“Jaminan kualiti ialah asas kepada pembangunan hartanah yang berjaya. Dengan kerjasama erat antara kami, EXAL dan Knight Frank, pembeli kini memiliki kepastian terhadap tahap kualiti yang mereka terima,” katanya.

SÓL Estate adalah projek utama EXAL di Sarawak sebuah komuniti berpagar dan berpengawal yang direka secara lestari, menampilkan kediaman tersuai dengan ciri pintar dan moden.

Dengan pelantikan Knight Frank dan Canaan Building Inspection sebagai rakan strategik, EXAL bukan sahaja menetapkan piawaian baharu dalam pembangunan kediaman, malah membawa harapan baharu kepada pemilik rumah yang mengutamakan ketelusan, keselamatan dan kualiti hidup sebenar.