editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Seramai 27 usahawan wanita diraikan dalam Majlis Pelancaran dan Penyampaian Anugerah Inovasi Pencapaian Usahawan Wanita YOMO yang berlangsung meriah, baru-baru ini.
Majlis berprestij anjuran Advanced Aesthetic Asia Academy ini menghimpunkan individu yang telah menunjukkan kepimpinan unggul, inovasi berterusan dan kejayaan luar biasa dalam industri kecantikan dan anti-penuaan, khususnya dalam bidang teknologi estetik tanpa jarum.
Anugerah sulung ini turut mengiktiraf bukan sahaja usahawan berpengalaman, tetapi juga bakat baharu serta mereka yang berjaya melakukan peralihan kerjaya ke dalam industri yang semakin berkembang pesat ini.
Majlis perasmian dan penyampaian anugerah disempurnakan oleh Datin Christina Toh Lai Fong, Ahli Lembaga Pengarah Tourism Malaysia, yang mewakili Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datin Yuzaira.

Dalam ucapannya, Christina menzahirkan rasa bangga terhadap ketabahan dan kecekalan wanita dalam mendepani cabaran, menyifatkan tema majlis, “Bayang-bayang yang Mekar”, sebagai simbol kejayaan yang lahir daripada inovasi dan transformasi berterusan.
Berkongsi data daripada Banci Ekonomi 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, beliau berkata, sehingga tahun 2022, sebanyak 219,015 perniagaan milik wanita beroperasi di Malaysia, mewakili 20.1 peratus daripada keseluruhan perusahaan negara.
Lebih 90 peratus daripadanya terbabit dalam sektor perkhidmatan, sementara selebihnya dalam bidang pembuatan dan pembinaan.
Perniagaan ini menjana nilai tambah sebanyak RM136.9 bilion, dengan sektor perkhidmatan sahaja menyumbang RM83 bilion.
“Angka-angka ini membuktikan bukan sahaja keberkesanan dasar kerajaan, tetapi juga dedikasi dan semangat inovatif wanita Malaysia, termasuk usahawan YOMO yang terus menjadi tonggak penting kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut menyeru usahawan wanita untuk memanfaatkan rangkaian dan pengaruh mereka dalam mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan memperkenalkan kekayaan budaya, destinasi pelancongan dan produk tempatan kepada pasaran global.
Katanya, kejayaan mereka bukan satu kebetulan ia lahir daripada kebijaksanaan, keberanian dan semangat inovasi.
“Teruskan menyahut cabaran, cipta peluang dan jadilah inspirasi bukan sahaja kepada industri, malah kepada generasi wanita masa hadapan,” katanya lagi.
Sementara itu, pengasas bersama Advanced Aesthetic Asia Academy, Dr. Chin Kim Yoon berkata, sejak penubuhan akademi pada 2018, mereka telah memberi fokus kepada pembangunan teknologi anti-penuaan tanpa jarum.
Bersama Dr. Angela Chung Hoong Lai, mereka telah melatih lebih 2,000 pelajar antarabangsa dan membantu 800 usahawan wanita tempatan membina kerjaya, termasuk ibu tunggal.
“Kami bukan sahaja menyediakan pendidikan, tetapi membina komuniti yang memacu inovasi dan perubahan dalam industri estetik.
“Inilah kuasa lembut wanita YOMO yang menyumbang secara signifikan kepada kemajuan bidang ini,” katanya.

Majlis yang dihadiri lebih 250 tetamu termasuk Presiden Persatuan Artis Cina Malaysia, Freddie Wong, turut menyaksikan beberapa penerima anugerah berkongsi kisah inspirasi mereka.
Bagi Chok Shuk Lea, penyertaannya dalam dunia estetik bermula daripada keinginan untuk mencari peluang pendapatan yang lebih baik.

Beliau menemukan minat dalam bidang rawatan wajah tanpa jarum selepas menemui produk yang diperkenalkan melalui media sosial.
“Saya mula tertarik kerana teknologi ini lebih selamat dan tidak menyakitkan. Saya berharap satu hari nanti YOMO dapat membuka cawangan di Sabah, supaya lebih ramai wanita di negeri saya mendapat peluang seperti ini,” katanya penuh harapan.

Kam Seok Yan pula menyifatkan anugerah ini sebagai titik penting dalam hidupnya.
Beliau memulakan perniagaan dari rumah dan kini mempunyai visi untuk memperluaskan perniagaannya.
“Saya sangat mencintai industri ini kerana ia memberi saya ruang untuk membantu orang lain dan membina sesuatu yang saya banggakan,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya sokongan komuniti dalam mengatasi cabaran awal sebagai usahawan baharu.
Sementara itu, Tan Men Nee berkongsi sentimen yang sama, menggambarkan perjalanannya sebagai penuh cabaran namun memberi kepuasan tersendiri.

“Saya rasa dihargai kerana usaha saya diiktiraf. Ini mendorong saya untuk terus belajar dan berkembang,” katanya.
Beliau berkata, harapannya semoga terus dapat menyumbang kepada komuniti melalui perkhidmatan berkualiti dan selamat.
Dalam pada itu, Lee Sek Fong menekankan kepentingan tanggungjawab dan etika dalam perniagaan.

“Kejayaan dalam bidang ini tidak hanya bergantung kepada keuntungan, tetapi juga komitmen terhadap keselamatan pelanggan.
“Saya sering menjelaskan kepada pelanggan tentang kandungan dan kesan produk, kerana tanggungjawab terhadap kesejahteraan mereka adalah keutamaan,” katanya.

Yap Yuen Yuen yang memulakan perniagaan dari kedai perubatan tradisional Cina kini berbangga dengan pencapaian yang dicapai melalui pendidikan dan kesedaran terhadap rawatan estetik moden.
Antara penerima lain ialah Chan Mei Har, Gan Pay Jia, Chen Harn Lung, Kok Ya Jing, Lim Ai Peng, Lim Lay Chian, Wong Soon Chin, Chiew Lune Lee, Chong Ze Kee, Choong Sook Wei, Khoo Sit Ming dan Choong Sook Wei.
Turut menerima anugerah berkenaan ialah Chiew Lune Lee, Leyu Siah Ying, Chin Hsiieh Fang, Neoh Tze Cheen, Khor Cui Syan, Ling Siaw Yen, Khoo Sit Ming, Wong Ting Mong, Yap Looi Khim, Wong Yi Huan, Loo Yuen Ching, Ong Bee Kih dan Lim Sher Ling.
Anugerah Inovasi Pencapaian Usahawan Wanita YOMO bukan sekadar platform pengiktirafan, tetapi juga titik tolak kepada kebangkitan lebih ramai wanita untuk menyumbang secara aktif dalam dunia keusahawanan berteraskan teknologi dan estetika masa depan.


