27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 18, 2026

Mr. Helmet dilancar di Malaysia: Mesin sanitasi helmet bunuh 99 peratus kuman

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG – Satu inovasi baharu dalam penjagaan kebersihan penunggang motosikal diperkenalkan menerusi pelancaran mesin automatik “Mr. Helmet” yang berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 500 motosikal.

Mesin berteknologi terkini yang dibangunkan oleh CleanXpert Sdn Bhd itu direka khas untuk menyah bau, menghapuskan kuman serta bakteria, selain mengembalikan kesegaran kepada helmet pengguna motosikal yang digunakan setiap hari.

Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam meningkatkan tahap kebersihan dan kesihatan dalam kalangan penunggang, khususnya di negara beriklim panas dan lembap seperti Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif CleanXpert Sdn Bhd, Razalee Yahya berkata, pengenalan Mr. Helmet bukan sekadar inovasi teknologi, malah sebahagian daripada usaha penjenamaan bersama rakan strategik industri termasuk Petronas Lubricant Marketing.

Menurut beliau, teknologi ini mampu membunuh sehingga 99 peratus kuman pada helmet, berbanding kaedah cucian biasa yang tidak menjamin tahap sanitasi optimum.

“Penggunaan helmet yang kerap tanpa pembersihan menyeluruh boleh memberi kesan kepada kesihatan, termasuk masalah kulit kepala.

“Mesin ini dilihat sebagai penyelesaian praktikal kepada masalah yang sering dipandang ringan oleh pengguna motosikal,” katanya pada majlis pelancaran mesin berkenaan.

Razalee berkata, Malaysia antara negara terawal di rantau ini yang memperkenalkan teknologi berkenaan, walaupun trend penggunaan mesin sanitasi helmet ini mula berkembang di China.

Pihaknya kini giat meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kebersihan helmet dalam kehidupan harian.

Dalam perancangan pengembangan, CleanXpert Sdn Bhd menyasarkan pemasangan kira-kira 1,000 unit mesin Mr. Helmet di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, syarikat turut merancang untuk memperluaskan operasi ke pasaran Indonesia dan Vietnam, yang dikenal pasti sebagai antara negara dengan jumlah pengguna motosikal tertinggi di Asia.

Buat masa ini, mesin terbabit telah ditempatkan di beberapa lokasi strategik seperti stesen minyak, bengkel motosikal dan kedai dobi, dengan sasaran seterusnya merangkumi masjid serta kawasan awam bagi memudahkan akses kepada orang ramai.

Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet); Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Ts. Hasrolnizam Shaari; serta Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairul Anuar Khalid.

Dalam majlis yang sama, satu Memorandum Persefahaman turut dimeterai antara CleanXpert Sdn Bhd dengan Petronas Lubricant Marketing serta rakan strategik dari Indonesia dan Vietnam sebagai langkah memperkukuh kerjasama dan memperluas pasaran teknologi tersebut ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Altimet dalam ucapannya menyifatkan inovasi Mr. Helmet sebagai satu inisiatif yang amat relevan, khususnya bagi masyarakat di Lembah Klang yang bergantung kepada motosikal sebagai kenderaan harian dan sumber pendapatan seperti penghantar makanan.

Beliau berkata, helmet antara peralatan paling penting bagi penunggang, namun sering diabaikan aspek kebersihannya.

“Faktor cuaca panas dan lembap di Malaysia menyebabkan pengguna motosikal mudah berpeluh, sekali gus meningkatkan keperluan kepada solusi sanitasi seperti yang ditawarkan oleh mesin ini.

“Saya melihat potensi besar inovasi ini sebagai peluang keusahawanan melalui model perniagaan mesin layan diri, khususnya di lokasi tumpuan seperti tempat makan dan rumah ibadat,” katanya.

Pelancaran Mr. Helmet bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi tempatan, malah membuka ruang kepada peningkatan kesedaran awam terhadap kepentingan kebersihan peralatan harian, di samping merancakkan ekosistem keusahawanan berasaskan inovasi di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular