editormaxinfo@gmail.com
Foto Ravin Awesome Pictures
PETALING JAYA – Industri perfileman tempatan bakal diserikan dengan kemunculan sebuah naskhah romantik komedi terbaharu berjudul Kata Hati, yang mengangkat kisah cinta luar biasa antara seorang pelakon wanita popular dan pemandu e-hailing dalam latar kehidupan moden yang penuh warna.
Filem terbitan Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn Bhd. ini bukan sahaja menjanjikan hiburan santai, malah menyelitkan elemen realiti kehidupan di sebalik dunia glamor selebriti.
Penerbitnya, Muhammad Bahir berkata, idea menghasilkan filem itu tercetus hasil pengalaman beliau sepanjang berkecimpung dalam industri hiburan tempatan, yang memberi peluang untuk melihat sendiri perbezaan antara persona selebriti di hadapan kamera dan kehidupan sebenar mereka di belakang tabir.
Menurut beliau, Kata Hati bukan sekadar kisah percintaan, sebaliknya sebuah penceritaan yang lebih mendalam mengenai kehidupan, emosi dan pilihan hati.

Filem arahan Nadiah Hamzah itu menggabungkan elemen percintaan, humor dan drama dalam satu penceritaan yang segar dan dekat dengan penonton.
Ia menampilkan gandingan pelakon muda yang sedang meningkat naik iaitu Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris sebagai teraju utama, disokong oleh barisan pelakon popular seperti Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman.
Lebih menarik, Kata Hati turut diserikan dengan kemunculan khas beberapa nama besar industri hiburan tanah air termasuk Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon yang pasti menambah daya tarikan kepada naskhah ini.
Penerbit eksekutif, Juliana Foo berkata, filem ini hadir tepat pada masanya, ketika penonton tempatan kini banyak disajikan dengan karya bercorak aksi dan seram.
Katanya, genre romantik komedi seperti ini sudah lama tidak diketengahkan secara meluas, sedangkan masih ramai penonton yang merindui kisah cinta ringan yang menghiburkan.

“Kata Hati boleh dianggap sebagai sebuah “modern fairy tale” yang mengangkat elemen “high-stakes romance”, sekali gus menawarkan pengalaman sinematik yang menyentuh emosi dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton,” katanya.
Dalam pada itu, Nadiah Hamzah menyifatkan filem ini sebagai sebuah karya yang sarat dengan pelbagai emosi, daripada gelak tawa hingga ke tangisan, yang disatukan dalam jalan cerita unik.
Selepas mengarahkan filem berunsur lebih berat sebelum ini, beliau menyatakan hasrat untuk menghasilkan sebuah naskhah cinta ringan yang mampu menghiburkan penonton secara menyeluruh.
Beliau turut berkongsi pemilihan pelakon utama dibuat menerusi sesi uji bakat dan meskipun mereka terdiri daripada pendatang baharu di layar perak, komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan amat membanggakan.
Nadiah berharap penonton dapat merasai kejujuran dan keindahan kisah cinta yang dipaparkan serta hadir ke pawagam untuk menyaksikan pengalaman emosi yang lengkap.

Penggambaran Kata Hati telah dijalankan sekitar Ogos 2025 di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan.
Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026.
Dari segi penceritaan, Kata Hati mengisahkan Ayra Natasha lakonan Nia Atasha, seorang pelakon wanita yang sedang meningkat naik dan menjadi perhatian ramai, terutama selepas kemunculan sulungnya dalam sebuah filem aksi berskala besar bersama teman lelakinya yang juga pelakon terkenal, Zayn Mikhail lakonan Fazziq Muqris.
Namun, kehidupannya mula berubah apabila satu insiden memalukan menjadi tular dan mencetuskan krisis dalam hidupnya.
Dalam kekalutan itu, Ayra bertemu dengan Imran Firdaus lakonan Yusof Hashim, seorang pemandu e-hailing yang tidak terpengaruh dengan dunia glamor selebriti.
Pertemuan itu membuka lembaran baharu apabila Imran kemudiannya dipelawa menjadi pemandu peribadi Ayra oleh kakaknya, Maya lakonan Scha Alyahya, sekali gus mencetuskan hubungan yang tidak dijangka antara dua dunia yang berbeza.
Dengan gabungan jalan cerita yang menyentuh hati, elemen humor dan lakonan segar, Kata Hati dijangka menjadi antara filem romantik komedi tempatan yang dinanti-nantikan tahun ini, sekali gus mengubat kerinduan penonton terhadap kisah cinta yang ringan tetapi bermakna.

