editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dalam usaha mentransformasi landskap hartanah kediaman di Sarawak, EXAL Malaysia secara rasmi mengumumkan pelantikan Knight Frank Property Management sebagai pengurus hartanah rasmi bagi projek perumahan unggul mereka, SÓL Estate.
Pelantikan ini menandakan satu pencapaian penting dalam misi EXAL untuk memperkukuh kepercayaan, ketelusan dan kualiti hidup dalam komuniti berpagar dan berpengawal.
Majlis menandatangani perjanjian kerjasama yang berlangsung di Galeri SÓL Estate itu disaksikan oleh wakil utama EXAL Malaysia, Knight Frank serta pemegang taruh industri.
Menerusi kerjasama strategik ini, EXAL memperkukuh komitmennya dalam membentuk komuniti perumahan berteraskan nilai dan hubungan kemanusiaan, bukan sekadar membina kediaman.
Pengarah Urusan EXAL Malaysia, Albert Ko, menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu janji terbuka kepada pembeli mereka satu jaminan bahawa SÓL Estate dibina atas prinsip kepercayaan, ketelusan dan gaya hidup yang berwawasan.
“Visi kami sentiasa berteraskan ‘cara hidup yang lebih baik, melangkaui bangunan semata-mata’.
“Kerjasama dengan Knight Frank bukan hanya soal pengurusan infrastruktur, tetapi tentang mencipta komuniti,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman global selama lebih 125 tahun yang dimiliki Knight Frank di lebih 50 negara menjadi pemangkin utama pemilihan mereka sebagai rakan strategik, disokong pula oleh kepakaran tempatan yang mesra rakyat.

Pelantikan ini hadir pada waktu yang kritikal bagi sektor hartanah di Malaysia, tatkala data menunjukkan 82 peratus rakyat Malaysia menganggap pemilikan rumah sebagai sesuatu yang penting, namun kepercayaan terhadap industri masih rapuh susulan isu kelewatan penyerahan rumah, masalah kualiti pembinaan dan kurangnya sokongan selepas jualan.
Dalam konteks perumahan berstrata, 66 peratus pemilik meluahkan kebimbangan terhadap kemerosotan penyelenggaraan komuniti berpagar yang sepatutnya eksklusif dan terjaga.
Berkongsi pandangan dalam majlis itu, Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata peranan pengurus hartanah pada hari ini telah berubah ia bukan lagi tugas teknikal semata-mata, sebaliknya membabitkan tanggungjawab membina komuniti yang selamat, menyokong dan berdaya huni.
“Pemilikan rumah bukan lagi hanya tentang empat dinding. Ia tentang kepercayaan, hubungan dan rasa kekitaan.
“Knight Frank dan EXAL berkongsi nilai yang sama dalam meletakkan manusia di tengah-tengah perancangan,” kata Keith.
SÓL Estate turut diperkenalkan sebagai sebuah komuniti yang ditawarkan dengan perkhidmatan istimewa termasuk perkhidmatan Concierge bagi urusan harian seperti cucian, pembersihan, penyelenggaraan landskap dan perkhidmatan pengiring kediaman satu pengalaman seumpama “butler” yang biasanya hanya terdapat di hotel mewah.
Tambahan pula, dengan kerjasama Valiant Clinic, penduduk akan menikmati akses kepada perkhidmatan perubatan 24 jam secara bayar mengikut penggunaan, terus dari kediaman mereka.
Bagi pengurusan Knight Frank, pelantikan ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan mereka, malah peluang untuk membina komuniti mampan yang mengekalkan nilai jangka panjang.
Pengarah Urusan Knight Frank Property Management, Kuruvilla Abraham berkata, pihaknya bukan sekadar mengurus hartanah, tetapi turut memberi penekanan kepada pembentukan komuniti yang sejahtera.

“Kami berbangga diberi kepercayaan untuk menerajui pengurusan SÓL Estate.
“Fokus kami adalah untuk mencipta sebuah komuniti yang hidup, selamat dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Jane Liaw, Pengarah Knight Frank yang akan mengetuai operasi pengurusan di Sarawak.
Sebagai anak jati negeri itu, beliau menekankan keutamaan dalam menyesuaikan amalan terbaik bertaraf antarabangsa dengan konteks setempat, bagi memastikan setiap aspek pengurusan memenuhi jangkaan dan keperluan masyarakat tempatan.
Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah program orientasi pra-penyerahan rumah yang pertama seumpamanya dalam industri tempatan.
Program ini dianjurkan bersama Knight Frank dan syarikat pakar pemantauan pembinaan, Canaan Building Inspection. Melalui program ini, pemilik fasa pertama SÓL Estate diberi pendedahan teknikal, peraturan komuniti serta peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar jaminan kualiti sebelum menerima kunci kediaman mereka.

Joshua Kang, Pengarah Projek dan Pengasas Canaan Building Inspection, menyifatkan pendekatan ini sebagai langkah proaktif yang menjamin ketelusan dan keyakinan pembeli.
“Jaminan kualiti ialah asas kepada pembangunan hartanah yang berjaya. Dengan kerjasama erat antara kami, EXAL dan Knight Frank, pembeli kini memiliki kepastian terhadap tahap kualiti yang mereka terima,” katanya.
SÓL Estate adalah projek utama EXAL di Sarawak sebuah komuniti berpagar dan berpengawal yang direka secara lestari, menampilkan kediaman tersuai dengan ciri pintar dan moden.
Dengan pelantikan Knight Frank dan Canaan Building Inspection sebagai rakan strategik, EXAL bukan sahaja menetapkan piawaian baharu dalam pembangunan kediaman, malah membawa harapan baharu kepada pemilik rumah yang mengutamakan ketelusan, keselamatan dan kualiti hidup sebenar.

