editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sebuah malam yang dijangka mengukir kenangan abadi bakal menemui pencinta seni suara apabila penyanyi terkenal Atilia Haron buat pertama kalinya akan bergandingan di pentas utama bersama ibunya, lagenda seni suara tanah air, Salamiah Hassan, menerusi persembahan eksklusif bertajuk Konsert Gelombang Bahagiaku.
Persembahan istimewa ini dianjurkan oleh Mujik Wand Production dan dijadual berlangsung pada 16 Ogos 2025, jam 8.30 malam di Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Tidak hanya sekadar sebuah konsert, Gelombang Bahagiaku adalah simbol ikatan kasih dan jiwa antara seorang anak dan ibu yang disatukan oleh darah, diperkukuh oleh cinta, dan dilestarikan melalui muzik.
Konsert ini bukan sahaja menjanjikan keindahan vokal, tetapi juga mengetengahkan hubungan emosi mendalam yang jarang dipersembahkan secara langsung kepada khalayak.
Bagi Atilia, peluang untuk berkongsi pentas bersama ibunya adalah satu impian yang menjadi kenyataan.
Beliau menyifatkan pengalaman ini sebagai satu penghormatan yang amat besar terhadap insan yang paling dihargainya dalam hidup.

“This is a dream come true for me. Sejak kecil saya mengidolakan ibu saya, dan kini diberi peluang untuk menyanyi bersamanya di pentas besar adalah sesuatu yang tidak ternilai,” katanya.
Konsert Gelombang Bahagiaku turut menandakan momen istimewa buat Salamiah Hassan yang tahun ini menyambut ulang tahun ke-55 dalam dunia seni.
Dalam nada teruja, beliau menyifatkan kerjasama ini sebagai detik bermakna bukan sahaja dalam kerjayanya, malah dalam kehidupan peribadi sebagai seorang ibu.
“Ini adalah kali pertama saya dan Atilia berkongsi pentas berskala besar.
“Walaupun latar muzik kami berbeza, saya percaya ia akan menghasilkan sesuatu yang cukup istimewa buat penonton,” katanya.
Antara detik yang paling dinantikan pada malam konsert adalah persembahan duet pertama ibu dan anak ini menerusi lagu baharu berjudul Age Is Just A Number.
Lagu ini mengangkat mesej positif tentang kematangan, keberanian dan penerimaan diri tanpa mengira usia satu refleksi kehidupan dua wanita berdikari yang terus menyalakan semangat mereka dalam dunia seni.
Dalam persiapan menjelang malam yang bersejarah itu, Atilia menyatakan keterujaannya menantikan saat di mana dia dan ibunya akan menyanyi sambil berpandangan di atas pentas, satu momen yang diyakini bakal menyentuh jiwa penonton.
“Saya sangat menantikan detik itu. Saya percaya keajaiban akan berlaku malam itu, bukan sahaja untuk kami, tetapi untuk semua yang hadir,” katanya penuh semangat.
Salamiah pula menzahirkan rasa syukur kerana dapat berkongsi minat dan cinta terhadap muzik dengan anak kandungnya sendiri.
Walaupun berbeza dari segi gaya dan generasi, beliau percaya cinta mereka terhadap seni adalah nadi utama yang menyatukan mereka.

Dalam menghasilkan konsert ini, pasangan ibu dan anak ini tidak terlepas daripada pelbagai cabaran, namun mereka tetap teguh melangkah demi merealisasikan impian bersama.
Dengan semangat, usaha gigih serta bantuan sahabat-sahabat yang percaya pada misi mereka, Konsert Gelombang Bahagiaku akhirnya berjaya direalisasikan.
“Walau bermula secara kecil-kecilan, kami percaya projek ini perlu dilaksanakan. Alhamdulillah, ada yang percaya dan sudi membantu. Kami buat apa yang termampu,” kata Atilia.
Konsert ini dijangka menyentuh hati penonton dengan persembahan yang sarat emosi dan penghayatan, menjadikannya satu malam yang sukar dilupakan.
Ia adalah dedikasi istimewa buat sesiapa yang menghargai nilai kekeluargaan, kasih sayang sejati dan seni muzik yang merentas generasi.
Tiket untuk Konsert Gelombang Bahagiaku telah mula dijual bermula 13 Mei 2025, dengan harga RM350 untuk kategori Platinum, RM250 (Gold), dan RM150 (Silver).
Pembelian boleh dibuat menerusi laman sesawang ticket2u.com.my.

