28 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 90

“Konsert Gelombang Bahagiaku” satukan dua jiwa muzik, Atilia Haron & Salamiah Hassan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebuah malam yang dijangka mengukir kenangan abadi bakal menemui pencinta seni suara apabila penyanyi terkenal Atilia Haron buat pertama kalinya akan bergandingan di pentas utama bersama ibunya, lagenda seni suara tanah air, Salamiah Hassan, menerusi persembahan eksklusif bertajuk Konsert Gelombang Bahagiaku.

Persembahan istimewa ini dianjurkan oleh Mujik Wand Production dan dijadual berlangsung pada 16 Ogos 2025, jam 8.30 malam di Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Tidak hanya sekadar sebuah konsert, Gelombang Bahagiaku adalah simbol ikatan kasih dan jiwa antara seorang anak dan ibu yang disatukan oleh darah, diperkukuh oleh cinta, dan dilestarikan melalui muzik.

Konsert ini bukan sahaja menjanjikan keindahan vokal, tetapi juga mengetengahkan hubungan emosi mendalam yang jarang dipersembahkan secara langsung kepada khalayak.

Bagi Atilia, peluang untuk berkongsi pentas bersama ibunya adalah satu impian yang menjadi kenyataan.

Beliau menyifatkan pengalaman ini sebagai satu penghormatan yang amat besar terhadap insan yang paling dihargainya dalam hidup.

“This is a dream come true for me. Sejak kecil saya mengidolakan ibu saya, dan kini diberi peluang untuk menyanyi bersamanya di pentas besar adalah sesuatu yang tidak ternilai,” katanya.

Konsert Gelombang Bahagiaku turut menandakan momen istimewa buat Salamiah Hassan yang tahun ini menyambut ulang tahun ke-55 dalam dunia seni.

Dalam nada teruja, beliau menyifatkan kerjasama ini sebagai detik bermakna bukan sahaja dalam kerjayanya, malah dalam kehidupan peribadi sebagai seorang ibu.

“Ini adalah kali pertama saya dan Atilia berkongsi pentas berskala besar.

“Walaupun latar muzik kami berbeza, saya percaya ia akan menghasilkan sesuatu yang cukup istimewa buat penonton,” katanya.

Antara detik yang paling dinantikan pada malam konsert adalah persembahan duet pertama ibu dan anak ini menerusi lagu baharu berjudul Age Is Just A Number.

Lagu ini mengangkat mesej positif tentang kematangan, keberanian dan penerimaan diri tanpa mengira usia satu refleksi kehidupan dua wanita berdikari yang terus menyalakan semangat mereka dalam dunia seni.

Dalam persiapan menjelang malam yang bersejarah itu, Atilia menyatakan keterujaannya menantikan saat di mana dia dan ibunya akan menyanyi sambil berpandangan di atas pentas, satu momen yang diyakini bakal menyentuh jiwa penonton.

“Saya sangat menantikan detik itu. Saya percaya keajaiban akan berlaku malam itu, bukan sahaja untuk kami, tetapi untuk semua yang hadir,” katanya penuh semangat.

Salamiah pula menzahirkan rasa syukur kerana dapat berkongsi minat dan cinta terhadap muzik dengan anak kandungnya sendiri.

Walaupun berbeza dari segi gaya dan generasi, beliau percaya cinta mereka terhadap seni adalah nadi utama yang menyatukan mereka.

Dalam menghasilkan konsert ini, pasangan ibu dan anak ini tidak terlepas daripada pelbagai cabaran, namun mereka tetap teguh melangkah demi merealisasikan impian bersama.

Dengan semangat, usaha gigih serta bantuan sahabat-sahabat yang percaya pada misi mereka, Konsert Gelombang Bahagiaku akhirnya berjaya direalisasikan.

“Walau bermula secara kecil-kecilan, kami percaya projek ini perlu dilaksanakan. Alhamdulillah, ada yang percaya dan sudi membantu. Kami buat apa yang termampu,” kata Atilia.

Konsert ini dijangka menyentuh hati penonton dengan persembahan yang sarat emosi dan penghayatan, menjadikannya satu malam yang sukar dilupakan.

Ia adalah dedikasi istimewa buat sesiapa yang menghargai nilai kekeluargaan, kasih sayang sejati dan seni muzik yang merentas generasi.

Tiket untuk Konsert Gelombang Bahagiaku telah mula dijual bermula 13 Mei 2025, dengan harga RM350 untuk kategori Platinum, RM250 (Gold), dan RM150 (Silver).

Pembelian boleh dibuat menerusi laman sesawang ticket2u.com.my.

Salam Baitullah 2025 angkat kandungan Islamik ke era digital dengan teknologi hologram dan AI

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Program keagamaan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Salam Baitullah, kembali untuk musim ke-17 dengan wajah baharu yang lebih segar, inovatif dan menepati citarasa penonton era digital.

Buat julung kalinya, rancangan ini memperkenalkan penggunaan teknologi hologram dan kecerdasan buatan (AI) sebagai elemen utama dalam penyampaian kandungannya.

Pendekatan kreatif ini bukan sahaja memperkayakan naratif visual, malah menambah dimensi interaktif dalam segmen-segmen utama seperti Rehlah Haramain dan Muslim World.

Penggunaan teknologi terkini ini membolehkan penonton mengalami penceritaan yang lebih mendalam, seolah-olah berada bersama di Tanah Suci, sambil merasai kehangatan spiritual yang ingin disampaikan.

Dengan penerapan teknologi AI dan holografik, Salam Baitullah 2025 mencatat satu lagi pencapaian baharu apabila menjadi program keagamaan pertama di RTM yang menggabungkan kecanggihan digital dalam penyampaian mesej rohani.

Rancangan ini akan disiarkan secara langsung dari Masjid Putra, Putrajaya dan dijangka menarik lebih dua juta penonton setiap malam menerusi pelbagai saluran RTM.

Membawa tema “Seruan Illahi, Cahaya Nurani”, program ini menampilkan tujuh segmen utama yang disusun secara komprehensif, merangkumi Al-Bayan, Rehlah Haramain, Muslim World, Khabar Tanah Suci, Duyufurrahman, Hikmah Al-Hajj dan Selingan Rohani.

Setiap segmen dirangka untuk memenuhi kehendak pelbagai lapisan penonton, sama ada yang mencari ilmu, inspirasi mahupun ketenangan jiwa.

Menambah daya tarikan, RTM turut memperkenalkan Podcast Salam Baitullah 2025, satu inisiatif baharu yang akan bersiaran setiap hari dari jam 7.45 hingga 8.30 malam di media sosial RTM.

Menampilkan gaya penyampaian yang lebih santai dan kontemporari, podcast ini diterajui oleh selebriti dan pendakwah popular, Zizi Kirana, yang membawa perspektif rohani dengan pendekatan yang dekat dengan generasi muda.

Barisan pengacara utama turut mengukuhkan kekuatan program ini. Ustaz Fakhrul Radhi dan Ustaz Jalal Zaiki mengetuai pengisian utama dengan persembahan ilmiah dan rohani yang padat, sementara Zizi Kirana melengkapkan naratif dengan gaya pengacaraan yang segar dalam versi podcast.

Salam Baitullah 2025 akan mula bersiaran pada 24 Mei hingga 7 Jun 2025, dengan 16 episod berturut-turut setiap hari dari jam 9 hingga 10.30 malam di TV1 serta semua platform digital RTM.

Program ini dijangka terus menjadi antara rancangan paling dinantikan sepanjang musim haji, dengan pendekatan baharu yang menggabungkan teknologi, spiritualiti dan nilai kontemporari.

Melalui inisiatif ini, RTM membuktikan komitmennya dalam memartabatkan kandungan Islamik di era digital, tanpa mengorbankan keaslian mesej rohani yang disampaikan.

Salam Baitullah 2025 bukan sekadar tontonan, tetapi satu pengembaraan rohani nasional yang menghubungkan jiwa rakyat Malaysia dengan seruan suci Baitullah dalam cara yang paling moden dan menyentuh hati.

Pelan Rasionalisasi kukuhkan KPF, prestasi kewangan semakin meningkat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara institusi koperasi yang paling berdaya tahan di negara ini apabila mencatat prestasi kewangan yang semakin memberangsangkan hasil pelaksanaan pelan rasionalisasi berfokus serta tadbir urus yang mantap.

Pengerusi KPF, Dato’ Mohd Banuri Aris berkata, usaha pembaharuan dan penstrukturan semula yang digerakkan sejak beberapa tahun lalu kini mula membuahkan hasil yang nyata.

Katanya, langkah-langkah ini, bukan sahaja memperkukuh asas kewangan koperasi, tetapi juga berjaya mengembalikan keyakinan anggota terhadap hala tuju organisasi.

“Kami optimis bahawa pendekatan rasionalisasi yang dirangka secara berperingkat, serta pemerkasaan struktur pentadbiran dalaman telah membina semula asas kewangan yang kukuh bagi KPF,” katanya.

Antara langkah utama yang dilaksanakan melalui Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan termasuklah penjualan aset perladangan tertentu yang dijangka selesai menjelang suku keempat 2025, pelupusan hartanah yang tidak memberikan pulangan mampan serta penstrukturan semula pegangan dalam syarikat bersekutu.

Strategi ini bukan sekadar bertujuan menjana aliran tunai baharu, malah dirangka untuk memastikan KPF kekal relevan dan berdaya saing dalam jangka panjang.

“Tumpuan kami bukan sekadar menyelesaikan isu semasa, tetapi membina masa depan yang lebih cerah untuk anggota,” katanya.

Dalam masa yang sama, KPF turut komited terhadap kebajikan anggotanya, khususnya berhubung permintaan tinggi bagi pengeluaran syer.

Sepanjang tempoh dari tahun 2022 hingga April 2025, koperasi berkenaan telah menerima sebanyak 29,159 permohonan pengeluaran syer dengan nilai keseluruhan mencecah RM691.58 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 18,783 permohonan membabitkan nilai RM319.44 juta telah berjaya diproses dan dibayar kepada anggota.

Permohonan selebihnya, yang merangkumi nilai RM372.13 juta daripada 10,376 permohonan, sedang diselesaikan secara berfasa mengikut keutamaan.

Keutamaan khas diberikan kepada kes-kes yang membabitkan keperluan kritikal seperti kos rawatan perubatan, tujuan ibadah haji dan umrah, serta keperluan pendidikan.

“Kami menguruskan pembayaran dengan teliti berdasarkan keutamaan, bagi memastikan kebajikan anggota sentiasa menjadi fokus utama,” katanya.

Kejayaan pelaksanaan pelan ini turut didokong oleh tadbir urus yang cekap serta kerjasama erat bersama FELDA.

KPF merakamkan penghargaan kepada FELDA, khususnya kepada Pengerusinya, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, atas kepercayaan dan sokongan strategik yang diberikan.

Pelantikan KPF sebagai ejen tunggal bagi urusan pembelian Buah Tandan Segar (BTS) serta pengurusan Pusat Mengumpul Sawit (PMS) membuktikan kepercayaan FELDA terhadap peranan penting koperasi itu dalam memperkasa komuniti peneroka.

Lebih membanggakan, KPF terus mengekalkan prestasi kewangan yang stabil dan tidak pernah mencatatkan kerugian sejak penubuhannya pada tahun 1980.

Pencapaian ini mencerminkan keupayaan pengurusan yang berkesan serta kekuatan asas ekonomi koperasi.

Mohd Banuri turut menyeru seluruh anggota KPF untuk terus memberikan sokongan dalam menjayakan agenda pemulihan dan pembangunan koperasi ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

“Sokongan tidak berbelah bahagi daripada anggota, khususnya peneroka yang setia bersama KPF sejak awal, adalah nadi kekuatan kami.

“Kita akan bangkit bersama untuk masa depan yang lebih gemilang,” katanya penuh semangat.

Kolaborasi istimewa Anwar dan Ejen Ali warnai sambutan Hari Guru 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Guru 2025 diserikan dengan pendekatan unik dan kreatif apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil bersama watak animasi kebanggaan tempatan, Ejen Ali, dalam satu kolaborasi istimewa yang menyentuh hati dan penuh simbolik penghargaan terhadap golongan pendidik.

Menerusi satu video imaginatif dan penuh inspirasi, rakaman aksi nyata (live-action) Perdana Menteri dipadankan dengan dunia animasi tiga dimensi Ejen Ali, menghasilkan satu penyampaian perutusan yang menggabungkan teknologi moden dan mesej mendalam mengenai jasa guru dalam membentuk masyarakat berilmu.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi nafas baharu kepada cara penyampaian rasmi, malah berjaya menarik perhatian generasi muda dengan cara yang lebih dekat dengan dunia mereka.

Perutusan ini turut bertepatan dengan pelancaran filem animasi tempatan yang dinanti-nantikan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), yang dijadual menemui penonton di pawagam mulai 22 Mei ini.

Dalam video berkenaan, Datuk Seri Anwar menyampaikan ucapan penuh penghargaan kepada guru, menyifatkan mereka sebagai “wira luar biasa” yang tidak pernah lelah dalam memperjuangkan pendidikan negara.

“Hari ini kita berkumpul untuk meraikan wira luar biasa, guru-guru kita. Seperti ejen-ejen terhebat, mereka sentiasa berjuang di medan ilmu, memastikan misi pendidikan tercapai,” kata beliau dengan penuh semangat.

Beliau turut menekankan bahawa semangat dan dedikasi guru menjadi tunjang utama dalam membina generasi MADANI generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah sarat dengan nilai murni dan jati diri kebangsaan.

Dalam nada yang bersahaja tetapi menyentuh emosi, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa tiada ruang untuk sikap angkuh dan membuli, malah secara berseloroh menegaskan, “Ejen Ali akan ada dan bantu kita,” merujuk kepada watak animasi yang kini menjadi simbol keberanian dan integriti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia.

Bersempena tema Hari Guru tahun ini, Guru Pemacu Reformasi Pendidikan, Anwar berkata, guru bukan hanya penyampai ilmu, sebaliknya mereka adalah ejen transformasi sebenar dalam membentuk masa depan negara.

Katanya, sumbangan mereka terlalu besar untuk diukur dan harus sentiasa dihargai oleh seluruh lapisan masyarakat.

Menambahkan lagi makna dalam kolaborasi ini, Primeworks Studios (PWS) dalam kenyataannya berkata, penglibatan Ejen Ali bukan sekadar sebagai elemen hiburan, malah membawa mesej mendalam tentang aspirasi dan nilai-nilai positif yang diterapkan dalam kalangan generasi muda.

Watak animasi itu digambarkan sebagai lambang keberanian, keazaman dan perjuangan menegakkan kebenaran nilai-nilai yang selari dengan peranan guru dalam dunia nyata.

Menurut PWS, nilai-nilai itu menjadi teras utama dalam Ejen Ali The Movie 2, yang bakal menyajikan aksi penuh mendebarkan dan sarat dengan mesej moral untuk penonton pelbagai peringkat umur.

Tayangan awal filem terbabit akan bermula pada 20 dan 21 Mei, manakala tayangan rasmi akan berlangsung mulai 22 Mei di seluruh negara.

Filem ini adalah hasil kerjasama Primeworks Studios, WAU Animation dan Komet Productions.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia turut diseru untuk mengikuti perkembangan dan kandungan eksklusif berkaitan filem ini melalui saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta platform media sosial Primeworks Studios, termasuk penggunaan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2 bagi menyemarakkan lagi kempen kesedaran dan penghargaan terhadap para guru.

Kolaborasi antara tokoh negara dan ikon animasi tempatan ini membuktikan bahawa penghargaan terhadap guru boleh dizahirkan dengan cara yang kreatif dan menyentuh jiwa, di samping menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menyanjung tinggi jasa mereka yang bergelar pendidik.

KPF perjelas proses pembayaran saham, fokus perkukuh aset dan utamakan pemegang saham terdesak

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) tampil memberi penjelasan berhubung proses pembayaran hasil jualan saham kepada ahlinya dan menegaskan proses berkenaan sedang dilaksanakan secara berfasa mengikut keutamaan dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Menurut wakil pengurusan KPF, pihak koperasi kini sedang melaksanakan proses penyusunan semula portfolio pelaburan dengan memberi penekanan kepada aset-aset yang mempunyai daya saing tinggi.

Langkah ini bertujuan memastikan kelestarian pulangan kepada ahli dalam jangka panjang.

Pada masa yang sama, aset yang dikenal pasti kurang menyumbang secara optimum akan dilupuskan secara strategik bagi menyeimbangkan keperluan semasa dengan kepentingan masa depan pemegang saham.

“Kami memiliki lebih RM4 bilion aset, dan kami sedang menilai secara profesional aset mana yang sesuai untuk dilupuskan bagi tujuan memenuhi tuntutan semasa ahli dan pada masa sama memperkukuh pelaburan jangka panjang,” katanya.

Dalam menjelaskan proses pembayaran saham, KPF turut memaklumkan keutamaan diberikan kepada ahli yang berada dalam keadaan mendesak.

Golongan seperti warga emas, mereka yang memerlukan rawatan perubatan atau yang berhasrat menunaikan ibadah haji akan diberikan laluan khas melalui sistem yang dinamakan “green lane”.

Sementara itu, ahli lain tetap akan menerima pembayaran mengikut giliran yang adil dan telus.

Pihak pengurusan turut mengingatkan orang ramai bahawa KPF adalah sebuah koperasi, bukan institusi kewangan konvensional.

Oleh itu, operasi dan pengurusan dana pelaburan tertakluk kepada peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Koperasi bukan seperti bank. Setiap pelaburan ada tempoh matang dan pengurusan dana dilakukan secara berhemah dan mengikut peraturan,” katanya menjelaskan kekeliruan segelintir pihak mengenai mekanisme operasi koperasi.

Sebagai langkah strategik meningkatkan nilai kepada ahli, KPF turut diberi mandat khas sebagai ejen tunggal bagi urusan pembelian buah tandan segar (BTS) daripada peneroka Felda.

Inisiatif ini dijangka akan memberi pulangan lebih tinggi kepada ahli bermula tahun ini dan seterusnya, selaras dengan matlamat memperkukuh prestasi perniagaan koperasi secara keseluruhan.

“Kami optimis bahawa inisiatif baru ini akan memperkukuh prestasi perniagaan dan membolehkan kami memberikan pulangan yang lebih baik kepada pemegang saham,” kata wakil itu lagi.

Katanya, pihak koperasi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemegang saham yang terus menunjukkan sokongan dan kepercayaan.

KPF turut menyeru semua pihak agar memahami kedudukan sebenar koperasi ini sebagai institusi yang telah berkhidmat selama lebih empat dekad tanpa merekodkan sebarang kerugian.

Siri HONOR 400 perkenal ciri AI imej ke video termaju dalam industri, dibangunkan bersama Google Cloud AI

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama teknologi global, HONOR secara rasmi mengumumkan tarikh pelancaran Siri HONOR 400 di Malaysia akan berlangsung 22 Mei 2025.

Sejak perkenalannya kepada rakyat Malaysia minggu lalu, siri ini telah mencetuskan perbincangan hangat di media sosial, terutamanya mengenai keupayaan Next-gen AI Imaging.

Antara sorotan utama ialah ciri AI Image to Video, hasil kerjasama dengan Google Cloud AI yang membolehkan video dihasilkan daripada gambar statik.

Gabungan Berkuasa: Next-gen AI Imaging dengan Sistem Kamera Flagship

AI Image to Video membolehkan pengguna meneroka potensi baharu dengan menukarkan gambar kepada video menarik.

Dengan ciri AI bertaraf flagship dan keupayaan pengimejan AI yang luas, Siri HONOR 400 menyasarkan untuk menjadi telefon kamera AI terbaik dalam segmennya.

Ciri AI Image to Video merupakan komponen utama bagi keupayaan pengimejan AI HONOR, membolehkan penghasilan video terus dari galeri foto dalam telefon, tanpa keperluan aplikasi pihak ketiga. Ini menawarkan kemudahan dan kawalan kreatif yang luar biasa.

Kamera Flagship AI Terbaik Dalam Kelasnya

Bagi memastikan memberikan pengalaman fotografi yang unggul kepada pengguna, Siri HONOR 400 hadir dengan spesifikasi kamera flagship yang mengatasi jenama telefon flagship pesaing.

Kedua-dua peranti menampilkan Kamera Utama 200MP dengan sensor super besar 1/1.4-inci, lebih baik berbanding generasi terdahulu. Kamera utama ini turut dilengkapi dengan Penstabilan Imej Optikal (OIS) dan Penstabilan Imej Elektronik (EIS) untuk hasil yang jelas walaupun dalam keadaan kurang cahaya.

Bagi melengkapi ciri-ciri tersebut, peranti ini memiliki Kamera Makro dan Lebar 12MP untuk menghasilkan gambar yang lebih luas.

HONOR 400 Pro hadir dengan Kamera AI Telefoto 50MP yang menyokong zum digital sehingga 50 kali, manakala HONOR 400 pula tidak didatangi dengan kamera telefoto namun mampu menyokong sehingga 30 kali zum digital. Di bahagian hadapan, kedua-dua model dilengkapi Kamera Swafoto Potret 50MP untuk hasil swafoto setanding studio.

Suntingan Foto Mudah Alih Didefinisi Semula oleh Next-gen AI Imaging

Siri HONOR 400 tampil dengan pelbagai alat suntingan AI yang tiada tandingan bagi meningkatkan kreativiti pengguna dalam kehidupan seharian. Ciri-ciri ini bukan sahaja menambah baik kualiti imej, malah mampu menukarkan foto kepada video dinamik yang menghidupkan semula kenangan.

1.AI Image to Video – Hidupkan Gambar Lama Jadi Memori Bermakna 

Fungsi AI Image to Video ini membolehkan gambar statik seperti foto lama, hasil seni AI, komik, serta landskap ditukar kepada video pendek berdurasi lima saat. Hasil video boleh dikongsi di media sosial untuk pengguna Android dan iOS. Ciri ini sesuai bagi menghidupkan foto kenangan bersama insan tersayang. AI akan mengubah mereka senyum, bergerak atau berinteraksi.

Bagi menggambarkan bagaimana teknologi AI Image to Video boleh menghidupkan semula memori indah, HONOR baru-baru ini berkongsi dua video menyentuh hati sempena Hari Ibu.

Dalam video pertama, seorang wanita menghidupkan kembali foto lama bersama ibunya yang telah meninggal dunia dalam kebakaran. Dengan HONOR 400 Pro, gambar itu diubah menjadi video memaparkan ibunya tersenyum dan berinteraksi dengannya.

Tonton video tersebut di sini: https://www.youtube.com/watch?v=LAozqazXB_c 

Video kedua pula menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan yang tidak dapat menerima pemergian neneknya. Bapanya menggunakan HONOR 400 Pro untuk menghidupkan kembali gambar mereka bersama, mengembalikan senyuman neneknya bagi menggembirakan anaknya. Ciri ini menunjukkan bagaimana AI HONOR bukan sekadar memperindah imej, malah menghidupkan kembali kenangan lama dengan kisah menarik hati.

Tonton video tersebut di sini: https://www.youtube.com/watch?v=ubMmbFvCf5Q

2. AI Eraser 2.0 – Padamkan Pantulan dan Orang Lalu-lalang

Untuk meningkatkan tarikan kepada gambar, Siri HONOR 400 menawarkan ciri AI Eraser 2.0 yang dipertingkatkan untuk membuang objek tidak diingini atau latar belakang yang berterabur dengan lebih tepat. Ciri AI Erase Passersby menghapus orang yang lalu-lalang, manakala AI Remove Reflection menghilangkan silau dan pantulan pada imej, Ketepatan yang dihasilkan menggunakan ciri-ciri membolehkan gambar tampak lebih profesional dan kemas tanpa aplikasi tambahan.

3. AI Cutout – Kebebasan Kreatif  

Manakala fungsi AI Cutout membolehkan pengguna mengekstrak objek atau individu daripada latar belakang bagi membolehkan pengubahsuaian atau pernukaran latar belakang kepada yang baharu dengan mudah melalui AI. Dengan tiga mod disediakan iaitu Modify Background, Transparent Background, dan Solid Color Background, ciri ini sesuai untuk menghasilkan foto ID profesional, bahan pemasaran dan kandungan media sosial.

4. AI Outpainting – Luaskan Bingkai Imej

Siri HONOR 400 juga dilengkapi dengan AI Outpainting yang meluaskan sempadan imej secara pintar. Ianya sesuai untuk foto pemandangan, landskap, latar belakang atau gambar yang dipotong dan perlu diperluaskan. AI akan menghasilkan rupa semula jadi yang mampu menarik perhatian kepada hantaran media sosial pengguna.

5. AI Upscale – Naik Taraf Gambar Lama

Ciri AI Upscale pula menjadikan foto lama atau berkualiti rendah kelihatan lebih jelas dan terperinci. Dengan sekali sentuh, ia menambah butiran dan menjadikan gambar kabur lebih jelas, menghidupkan semula memori berharga. 

6. Moving Photo Collage – Kembali Hidupkan Suasana

Gunakan ciri ini untuk menggabungkan beberapa Live Photo bagi mencipta kisah yang menyeronokkan dan dinamik, berbanding kolaj statik yang membosankan. Pengguna boleh tetapkan muzik, durasi dan filter sebelum berkongsi di media sosial, sesuai untuk saat-saat seperti sambutan hari jadi.

7. Harcourt Studio 2.0 – Potret Lebih Realistik dan Artistik

Harcourt Studio 2.0 mampu mensimulasikan kabur latar seperti kamera optikal sebenar dengan ketepatan fokus dan kejelasan tepi yang tinggi untuk menghasilkan potret yang nampak alami dan hidup. Ia juga menawarkan enam filter Film Simulation menarik selain Harcourt Vibrant, Harcourt Colour dan Harcourt Classic menjadikan potret lebih artistik dan memukau.

Jangan lupa saksikan pelancaran Siri HONOR 400 pada 22 Mei 2025, jam 3 petang menerusi penstriman langsung di laman Facebook rasmi HONOR Malaysia.

Akim & The Majistret sedia “Rampas” Kuala Lumpur dengan konsert solo pertama mereka

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur bakal menjadi saksi kepada sebuah ‘rampasan kuasa artistik’ yang belum pernah disaksikan dalam sejarah muzik tanah air.

Akim & The Majistret, kumpulan rock yang telah mengukir nama sebagai antara pemuzik paling berpengaruh dalam arus perdana Malaysia, akan tampil dengan konsert solo pertama mereka yang diberi judul penuh simbolik, Akim & The Majistret Rampas Kuala Lumpur, pada 28 Jun 2025 bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Pemilihan nama “Rampas Kuala Lumpur” bukan sekadar gimik promosi semata-mata, tetapi diangkat daripada lagu hit mereka, “Rampas”, yang membawa mesej keberanian dan kekuatan dua unsur penting yang mencerminkan identiti kumpulan ini.

Konsert ini bukan hanya sebuah persembahan biasa, sebaliknya ia adalah pengisytiharan rasmi bahawa Akim & The Majistret kini bersedia menduduki kedudukan utama dalam dunia muzik tanah air.

“Kami mungkin bawa lebih 25 lagu sepanjang konsert itu nanti,” kata Akim dalam nada yakin, membayangkan sebuah malam penuh ledakan muzik dan emosi.

Lebih 20 buah lagu akan dipersembahkan secara langsung dalam sebuah produksi yang dilihat bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menjadi platform luahan suara dan semangat muzik rock Malaysia kontemporari.

Menariknya, promosi konsert ini turut mengambil pendekatan luar biasa.

Akim & The Majistret tampil dalam karakter baharu sebagai “Komander Akim” dan barisan pemuzik lain sebagai “Tentera Majistret”, satu pasukan pemuzik elit yang bersatu atas satu misi utama untuk merampas Kuala Lumpur.

Mereka tidak bergerak bersendirian, malah menyeru orang awam untuk turut serta dalam misi ini dengan mengambil peranan sebagai “Perisik Majistret”, gelaran yang diberikan kepada semua pemegang tiket konsert ini.

Pemegang tiket bukan lagi sekadar penonton, tetapi menjadi sebahagian daripada naratif besar yang dibina khas untuk konsert ini.

Perisik Majistret akan menyumbang tenaga, suara dan semangat mereka dalam menjayakan rampasan ini melalui sorakan, nyanyian dan penyertaan dalam pelbagai misi yang akan diumumkan oleh Komander Akim menjelang hari konsert.

Permohonan untuk menjadi Perisik Majistret kini dibuka melalui laman web rasmi www.ticket2u.com.my/rampas.

Dengan setiap pembelian tiket, secara automatik seseorang dilantik menjadi perisik dan diberi akses kepada pelbagai keistimewaan, termasuk peluang menyertai cabutan bertuah, menerima barangan eksklusif dan menyertai kejutan misi khas menjelang hari konsert.

Konsert ini adalah hasil kolaborasi kreatif antara Akim & The Majistret bersama Racus Studio yang bertindak sebagai rakan kreatif rasmi.

Mereka mengetengahkan konsep immersive experience di mana setiap penonton diberikan peranan dalam jalan cerita keseluruhan konsert.

Pendekatan ini menjadikan Rampas Kuala Lumpur tidak sekadar acara muzik ia adalah sebuah dunia pengalaman yang dibina bersama-sama dengan peminat.

Konsep persembahan untuk konsert ini masih dirahsiakan sepenuhnya dan hanya akan didedahkan pada malam konsert kepada mereka yang benar-benar hadir sebagai Perisik Majistret.

Apa yang pasti, mereka dijanjikan satu pengalaman luar biasa yang tidak akan dilupakan.

Akim & The Majistret kini dianggotai oleh barisan pemuzik berkaliber termasuk Akim Ahmad (vokalis), Wan dari 6ixth Sense (dram), Freddy dari Hyper Act (gitar), Fairuz dari Sofazr (bass), Afiez Azam dari New Boyz (keyboard), serta Gjie dari 6ixth Sense dan Zimi dari Sofazr (gitar).

Harga tiket bermula dari RM159 untuk tempat duduk biasa (Kategori Mewangi), RM189 untuk zon berdiri (Kategori Saksama/Rockzone), manakala tiket VIP Kategori Potret yang berharga RM249 telah pun habis terjual.

Pembelian boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman web rasmi, dengan kaedah bayaran yang pelbagai termasuk kad debit/kredit, perbankan dalam talian (FPX), dan kemudahan pembelian secara ansuran melalui Atome dan SPayLater.

Menambah keterujaan, peminat turut berpeluang untuk mendapatkan tiket percuma dan barangan eksklusif dengan mengikuti akaun rasmi @showtagasia di Instagram dan TikTok, di mana pelbagai kempen dan kejutan akan dilancarkan dari semasa ke semasa menjelang hari konsert.

Dengan segala elemen ini muzik, penceritaan, peranan penonton dan misi kolektif Akim & The Majistret Rampas Kuala Lumpur bakal menjadi titik penting dalam evolusi persembahan muzik tanah air.

Ia bukan sekadar persembahan, tetapi satu gerakan yang menggambarkan semangat rock Malaysia yang tidak pernah luntur.

B.Duck City Funs: Taman tema ikonik Asia pertama di Asia Tenggara kini dibuka di Pavilion Bukit Jalil

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Watak itik kuning ceria yang menjadi ikon kegemaran ramai di Asia kini melebarkan sayapnya ke Malaysia dengan pembukaan taman tema pertamanya di Asia Tenggara.

B.Duck, watak yang sinonim dengan keceriaan dan imaginasi sejak kemunculannya pada tahun 2005, kini menghidupkan suasana di Pavilion Bukit Jalil menerusi B.Duck City Funs, sebuah pengalaman taman tema sementara yang dijangka mencuri tumpuan pengunjung dari seluruh negara.

Bermula dari Mei hingga 2 November 2025, ruang terbuka PIAZZA di Pavilion Bukit Jalil ditransformasi menjadi sebuah “metropolis” bertemakan B.Duck, lengkap dengan pelbagai tarikan interaktif, permainan, zon bergambar dan jualan barangan eksklusif yang pasti menggembirakan pengunjung dari pelbagai lapisan umur.

Ketua Pegawai Eksekutif Retail, Kuala Lumpur Pavilion Sdn. Bhd. Dato’ Joyce Yap berkata, kehadiran taman tema ini selari dengan komitmen Pavilion Bukit Jalil untuk menawarkan pengalaman yang menggembirakan dan bermakna kepada pengunjung.

B.Duck City Funs adalah sambutan penuh warna-warni terhadap imaginasi dan keseronokan ruang di mana keluarga dan peminat boleh berkumpul, mencipta kenangan manis dan menikmati masa berkualiti bersama,” katanya.

Inisiatif ini diterajui oleh One Universe, syarikat produksi hiburan yang bertanggungjawab membawa B.Duck City Funs ke Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif One Universe World Sdn. Bhd. dan One Universal Production Sdn. Bhd., Alvin Lee berkata pihaknya berhasrat mengembangkan taman tema ini ke dua lagi lokasi utama di negara ini iaitu di Pulau Pinang dan Johor Bahru, serta terbuka untuk model francais di negeri-negeri lain.

“Kami mahu lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang merasai keunikan taman tema ini, dan menghidupkan semangat keceriaan B.Duck ke seluruh negara,” katanya.

Taman tema ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk tarikan utama seperti Bathroom Battle, di mana pengunjung dapat mengalami sensasi berada di dalam tab mandi ikonik B.Duck yang bergerak, serta Treasure Pirate Ship yang membawa mereka dalam pengembaraan penuh mendebarkan.

Zon trampolin Windmill pula menyediakan keseronokan aktif untuk kanak-kanak dan keluarga, manakala pelbagai permainan interaktif turut menanti.

Bagi memastikan pengalaman yang lancar dan mudah, B.Duck City Funs turut bekerjasama dengan Klook, platform terkemuka untuk tempahan aktiviti dan percutian di Asia.

Pengurus Besar Klook untuk Indonesia, Malaysia dan Singapura Sarah Wan berkata, melalui platform ini, pengunjung boleh membuat tempahan tiket awal dengan penjimatan sehingga 10 peratus dan mengelakkan barisan panjang di kaunter tiket.

“Kami mahu menjadikan hari keluarga di taman tema ini lebih mudah dan menyeronokkan untuk semua,” katanya.

Antara tarikan visual yang mencuri perhatian termasuk gerbang cahaya B.Duck yang menjadi mercu tanda taman tema ini, serta patung-patung B.Duck dalam pelbagai kostum bertemakan destinasi dunia.

Zon bergambar seperti Around the World dan suasana romantik ala Paris menawarkan latar menarik untuk pengunjung merakam memori indah.

Pada hujung minggu tertentu, pengunjung juga berpeluang bertemu dengan B.Duck secara langsung, di samping menyertai pencarian patung B.Duck kecil yang tersembunyi di seluruh kawasan pusat beli-belah.

Bagi peminat setia, kawasan jualan barangan eksklusif menawarkan pelbagai cenderahati yang hanya boleh didapati di taman tema ini termasuk pakaian, aksesori, figura koleksi dan pakej istimewa.

Sementara itu, kawasan makanan dan minuman pula menyediakan pilihan antarabangsa dari Korea, Thailand dan Jepun, di samping sajian tempatan yang pasti memuaskan selera selepas seharian berhibur.

Harga tiket bermula serendah RM15 bagi setiap permainan, manakala pakej bernilai seperti Family Day Pass untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak ditawarkan pada harga RM150 untuk akses tanpa had ke semua tarikan sepanjang hari.

Taman tema ini dibuka dari jam 11 pagi hingga 10 malam pada hari Jumaat hingga Ahad, dan dari 2 petang hingga 10 malam pada hari Isnin, Rabu dan Khamis.

Ia ditutup setiap hari Selasa untuk tujuan penyelenggaraan, kecuali pada cuti umum.

Dengan gabungan hiburan, seni visual dan interaksi mesra keluarga, B.Duck City Funs menjanjikan pengalaman unik yang tidak hanya menghiburkan, malah membina kenangan manis yang akan dikenang sepanjang hayat.

MADCash harumkan nama Malaysia, muncul juara Anugerah EFICA 2025 di Dubai

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Syarikat teknologi kewangan (fintech) tempatan, MADCash Sdn. Bhd., terus mengukir nama di peringkat antarabangsa apabila diumumkan sebagai juara utama Anugerah Ethical Finance Innovation Challenge and Awards (EFICA) 2025 yang berlangsung dalam satu majlis makan malam gala penuh prestij di Dubai pada 24 April lalu.

Kejayaan itu menyaksikan MADCash membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AED 300,000, trofi peringatan serta pengiktirafan global dalam kalangan pemain industri kewangan Islam dan beretika.

EFICA, yang kini memasuki edisi ketujuh, adalah anugerah antarabangsa anjuran Abu Dhabi Islamic Bank (ADIB) dengan kerjasama London Stock Exchange Group.

Ia memberi pengiktirafan kepada inovasi dalam bidang kewangan yang menepati prinsip etika dan Syariah, sekali gus menonjolkan usaha-usaha progresif yang memberi impak positif kepada masyarakat.

MADCash yang berpengkalan di Malaysia berjaya mengatasi lebih 150 penyertaan dari seluruh dunia, dengan kejayaan muktamad ditentukan melalui undian langsung hadirin sewaktu sesi pembentangan oleh tiga finalis akhir.

Syarikat ini mengetengahkan pendekatan inovatif dalam menyediakan pinjaman mikro tanpa faedah kepada usahawan wanita, khususnya mereka yang tersisih daripada sistem perbankan konvensional.

Penghargaan diterima oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MADCash, Nuraizah Shamsul Baharin, yang tampil ke pentas bagi menerima replika cek dan trofi mewakili kejayaan besar syarikatnya.

 Dalam ucapannya, beliau menyifatkan kemenangan ini sebagai satu pengesahan penting terhadap model perniagaan MADCash yang berasaskan impak sosial dan kewangan inklusif.

“Memenangi Anugerah EFICA sangat bermakna bagi kami. Ia suatu pengesahan terhadap model bisnes unik kami yang menyediakan pinjaman mikro tanpa faedah kepada usahawan mikro wanita yang tidak dapat menikmati perkhidmatan perbankan tradisional.

“Dengan anugerah ini, kami boleh teruskan usaha menambah kegunaan teknologi AI untuk perkasakan platform fintech kami,” katanya.

Beliau berkata, dana yang dimenangi akan digunakan untuk menambah baik proses pemilihan peminjam serta memperluas sokongan kepada lebih ramai wanita melalui penjejakan dana yang lebih efisien.

MADCash, yang kini beroperasi di Malaysia, Singapura dan Tajikistan, turut menyediakan latihan celik kewangan dan pendigitalan kepada kumpulan sasaran mereka.

Kemenangan di EFICA diyakini bakal mempercepatkan lagi perancangan syarikat untuk meluaskan operasinya ke Thailand dalam masa terdekat.

Syarikat ini juga telah menjalinkan kerjasama strategik bersama institusi kewangan utama termasuk Maybank Islamic Berhad, Hong Leong Islamic Bank Berhad, PayNet dan AEON Bank satu pencapaian yang menunjukkan keyakinan berterusan industri terhadap model perniagaan MADCash.

Pemilihan MADCash sebagai pemenang turut mendapat sokongan Lembaga Penasihat EFICA yang terdiri daripada tokoh-tokoh terkemuka dalam bidang kewangan Islam.

Finalis lain yang turut bersaing di peringkat akhir ialah Kestrl dari United Kingdom dan Kifiya Financial Technology dari Ethiopia, yang masing-masing membawa pendekatan tersendiri dalam menggerakkan agenda kewangan beretika.

Kejayaan MADCash ini bukan sahaja satu pencapaian membanggakan buat syarikat itu sendiri, tetapi juga mewakili pencapaian penting buat Malaysia.

Ia membuktikan bahawa negara ini bukan sahaja bersaing dalam inovasi teknologi kewangan, malah mampu menjadi peneraju dalam bidang kewangan Islam dan beretika yang memberi impak positif kepada masyarakat, khususnya dalam memperkasa golongan wanita.