26.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 91

Universal Music Malaysia raikan ikon muzik negara di Hall of Fame Pavilion Malaysia, Ekspo 2025 Osaka

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Universal Music Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam mengangkat seni dan budaya tanah air ke pentas antarabangsa menerusi pameran istimewa yang meraikan empat ikon muzik Malaysia di Hall of Fame Malaysia, yang menjadi tarikan utama Pavilion Malaysia sempena Ekspo 2025 Osaka, Jepun.

Pameran yang berlangsung dari bulan April hingga Oktober ini menampilkan tokoh-tokoh besar dalam industri muzik tanah air seperti Tan Sri P. Ramlee, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri dan kumpulan pop wanita sensasi, DOLLA.

Keempat-empat figura ini dipilih bukan sekadar kerana kejayaan mereka dalam bidang seni, tetapi juga atas sumbangan besar mereka dalam membentuk landskap muzik Malaysia dari era ke era.

Hall of Fame Malaysia di Pavilion Malaysia direka sebagai pengalaman budaya menyeluruh, yang bukan sahaja menampilkan sejarah dan pencapaian artis-artis tersohor negara, malah mengajak pengunjung untuk menyelami kisah di sebalik perjalanan seni mereka menerusi penceritaan visual dan elemen audio interaktif.

Setiap tokoh mewakili satu era penting dalam perkembangan muzik negara, bermula daripada kegemilangan klasik Tan Sri P. Ramlee sehinggalah kepada keberanian dan kebaharuan muzik moden yang dibawa oleh DOLLA.

Pameran ini mengetengahkan Tan Sri P. Ramlee sebagai ikon perfileman dan muzik Melayu yang tidak perlu diperkenalkan lagi, dengan warisan yang terus menjadi rujukan generasi kini. Dato’ Sri Siti Nurhaliza pula diraikan atas sumbangannya sebagai suara emas negara yang bukan sahaja berjaya di dalam negara, malah mendapat pengiktirafan di peringkat serantau.

Sementara itu, Ernie Zakri diperlihatkan sebagai lambang kebangkitan vokalis wanita dalam muzik pop kontemporari, yang membawa nafas baharu dalam genre yang digemari ramai.

DOLLA pula mencerminkan semangat generasi baharu berani, kreatif dan berwawasan global dengan muzik mereka yang semakin mendapat tempat di hati peminat luar negara.

Anggota DOLLA, Tabby, berkongsi keterujaannya terhadap pengiktirafan itu, menyifatkan tahun 2025 sebagai detik penting dalam perjalanan seni mereka.

“Kami telah meneroka genre dan bunyi baharu, dan secara jujurnya, ia tentang pertumbuhan diri.

“Peminat boleh menjangkakan muzik yang masih kedengaran seperti DOLLA, tetapi dengan lebih keberanian, kematangan dan keikhlasan,” kata Tabby.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan peminat, khususnya iDOLLAs, yang sentiasa menjadi sumber semangat buat kumpulan itu.

Tambahnya lagi, pelantikan ke dalam Hall of Fame Malaysia di Ekspo Osaka adalah satu penghormatan yang besar, dan beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas pengiktirafan ini yang melangkaui sempadan negara.

Ernie Zakri turut meluahkan rasa syukur atas penghargaan berkenaan, berkata ia adalah satu pencapaian bermakna dalam kerjayanya.

“Saya sangat berbesar hati dan bersyukur pada masa yang sama kerana perjalanan kerjaya saya sepanjang beberapa tahun ini telah diiktiraf dan dihargai oleh semua.

Sudah tentu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga Universal Music Malaysia dan juga peminat yang tidak pernah berhenti menyokong serta sentiasa menantikan apa sahaja projek baharu daripada saya,” katanya.

Ekspo 2025 Osaka dijangka menarik kehadiran jutaan pengunjung dari seluruh dunia, menjadikan Hall of Fame Malaysia sebagai destinasi wajib bagi mereka yang ingin memahami kekayaan budaya dan kepelbagaian seni Malaysia.

Melalui pameran ini, Universal Music Malaysia bukan sahaja memberi penghormatan kepada barisan ikon muzik negara, malah turut memperkenalkan keindahan dan keunikan muzik Malaysia kepada khalayak global.

Menyahut Panggilan-Mu: TV AlHijrah lancar siri kandungan haji penuh makna & inspirasi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – TV AlHijrah sekali lagi memperkukuh peranannya sebagai peneraju kandungan Islamik negara apabila melancarkan Kempen Program Haji 1446H dalam satu majlis rasmi yang berlangsung penuh bermakna hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi TV AlHijrah, ilmuwan, personaliti tanah air serta wakil-wakil rakan strategik.

Mengangkat tema “Menyahut Panggilan-Mu”, kempen kali ini mencerminkan ketaatan, pengorbanan dan kerinduan mendalam setiap insan untuk menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci.

Menurut Mohd Na’im, pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan susunan program baharu sempena musim haji, sebaliknya satu usaha menyeluruh dalam membentuk perjalanan intelektual dan spiritual seluruh rakyat Malaysia.

“TV AlHijrah berperanan sebagai jambatan nurani menyampaikan bukan hanya visual, tetapi roh dan penghayatan terhadap ibadah agung ini,” katanya.

Beliau berkata, pengisian yang dibawakan oleh TV AlHijrah selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam mengangkat martabat insan melalui kandungan sarat nilai ketuhanan dan kemanusiaan.

Antara program utama yang bakal menghiasi musim haji di TV AlHijrah termasuk Alumni Haji, yang membawakan kisah pengalaman jemaah haji bersama tadabbur ayat-ayat suci al-Quran.

Program ini disiarkan setiap Isnin hingga Rabu jam 6.30 petang. Sementara itu, Labbaikallah 2025, yang menampilkan pengacara dan pelawak tersohor Shamsul Ghau Ghau, akan bersiaran setiap Isnin hingga Khamis jam 9 malam, mengetengahkan kisah dan nostalgia berkaitan haji.

Turut disiarkan ialah 30 Minit Bersama Prof. Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah, yang memberi pengisian ilmu haji secara padat dan mudah difahami setiap Selasa jam 8.30 malam.

Program Kisah Mutawif pula akan menemui penonton setiap Jumaat dan Sabtu jam 9 malam, memaparkan cabaran serta pengalaman mutawif dalam membimbing jemaah di Tanah Suci.

Satu lagi kemuncak kempen ialah siaran khas Munajat Arafah, yang dijadualkan pada Jumaat, 6 Jun 2025, jam 5 petang, menampilkan Profesor Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh bersama barisan asatizah terkenal negara.

Selain itu, dokumentari Umrah Yatim Palestin, yang bakal membawa penonton menelusuri perjalanan 750 anak yatim Palestin menunaikan umrah melalui darat, akan ditayangkan pada 7 dan 8 Jun 2025, jam 5.30 petang.

Bagi memperkayakan sisi penceritaan, sebuah telefilem istimewa berjudul “Bilal dan Abah” akan disiarkan pada Ahad, 8 Jun 2025 jam 9 malam.

Telefilem ini menggambarkan ketabahan seorang pemuda OKU dalam menghayati Islam dan cinta terhadap ibadah, dibintangi pelakon terkenal seperti Azhan Rani, Ummi Nazeera, Harun Hashim dan Luqman Hafidz.

Mohd Na’im turut menzahirkan penghargaan kepada TV AlHijrah atas usaha konsisten dalam menyantuni Duyufurrahman seawal bulan Syawal lagi melalui program Interaktif Haji.

Disiarkan secara langsung menerusi TV, TikTok dan Facebook Live, program ini menampilkan Ustaz Harryanto Rizal, Ustazah Ayu Suhana Merican dan Ustazah Yusnah Yusuff, dan telah menerima sambutan luar biasa dalam kalangan rakyat Malaysia yang bersiap menghadapi musim haji.

“Program-program Haji tahun ini bukan sekadar tontonan bermusim, tetapi menjadi pencetus keinsafan, pencambah ilmu dan pembina jiwa.

“Ia bukan sahaja relevan untuk bakal jemaah, tetapi juga untuk seluruh rakyat yang mendambakan ketenangan dan hidayah dalam kehidupan seharian,” katanya.

Statistik prestasi tahun lalu membuktikan kejayaan pendekatan TV AlHijrah. Kempen Haji 1445H mencatatkan lebih 9 juta tontonan, dengan peningkatan syer tontonan sebanyak 40 peratus.

Program seperti Labbaikallah, Munajat Arafah dan Peristiwa Haji mencatat pertumbuhan lebih 40 peratus dalam rating, manakala rancangan baharu Podcast Haji berjaya meraih lebih 2 juta tontonan di platform digital.

TV AlHijrah turut mencatat sejarah apabila muncul antara tiga saluran paling tinggi tontonan dalam kalangan penonton Melayu pada minggu pertama Ramadan, sekaligus menandakan pencapaian mingguan terbaik sejak penubuhannya.

Saluran ini juga merekodkan peningkatan syer tontonan sebanyak 21 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menutup ucapannya, Mohd Na’im yakin Program Haji 1446H anjuran TV AlHijrah akan menjadi antara inisiatif dakwah paling signifikan negara.

Katanya, TV AlHijrah kini tidak lagi sekadar sebuah stesen penyiaran, tetapi telah berkembang menjadi madrasah rohani yang membimbing umat menuju Allah SWT.

Sepanjang tempoh kempen, orang ramai boleh mengikuti pelbagai program menarik menerusi saluran TV AlHijrah, aplikasi AlHijrah Plus, serta platform digital rasmi seperti Facebook, TikTok dan portal AlHijrah Online.

Stesen ini terus kekal komited dalam menyampaikan kandungan yang bukan sahaja mendidik, tetapi membentuk jiwa dan akhlak masyarakat Malaysia secara menyeluruh.

Gema nostalgia di Bukit Jalil: KRU, Feminin & Elite satukan generasi

editormaxinfo@gmail.com

Foto Bangsawan Pictures

KUALA LUMPUR – Axiata Arena Bukit Jalil sekali lagi menjadi saksi kepada detik bersejarah dalam industri muzik tanah air apabila kumpulan KRU menutup tirai konsert mereka dengan penuh gemilang pada malam keempat persembahan.

Dihadiri ribuan peminat yang membanjiri ruang stadium, konsert GenKRU yang bermula sekitar jam 8.45 malam itu menyaksikan sorakan gegak gempita mengiringi setiap detik persembahan, seolah-olah mengukuhkan lagi status KRU sebagai satu nama yang kekal utuh dalam jiwa peminat seni hiburan tempatan.

Dari segenap lapisan umur dan latar belakang, peminat hadir bukan sekadar menonton, malah turut sama menyanyikan lagu-lagu nostalgia yang pernah menjadi siulan suatu ketika dahulu.

Berbanding konsert GenKRU yang berlangsung minggu sebelumnya, persembahan kali ini tampil lebih segar dengan penambahan lagu seperti Malam Kita dan Semuanya OK, mencetuskan suasana yang lebih bertenaga dan penuh emosi.

Keistimewaan konsert tidak terhenti di situ. Kehadiran Abon, yang pernah tampil dalam klip video lagu Terhangat di Pasaran, berjaya menambah warna dalam suasana persembahan.

Kemeriahan turut memuncak dengan penampilan mengejut Adam serta kehadiran semula kumpulan Feminin yang menyampaikan lagu Untukmu.

Lagu itu yang pernah menguasai carta lebih dua dekad lalu, kembali menghangatkan arena apabila mereka bersatu di pentas bersama KRU satu momen yang pasti terpahat dalam ingatan penonton.

Tidak ketinggalan, kumpulan Elite tampil dengan lebih bertenaga dalam persembahan pada malam itu, menceriakan suasana dan menghiburkan peminat setia.

Sorakan semakin membuak apabila Dato’ AC Mizal membuat kemunculan istimewa, tampil menyanyi, menari dan berinteraksi secara langsung dengan KRU serta penonton, menambahkan elemen keakraban dan hiburan tulen dalam konsert berkenaan.

Sebagai penghargaan terhadap era kegemilangan muzik 90-an, KRU turut menayangkan klip video daripada kumpulan-kumpulan seangkatan seperti Nico, Res’2 dan M’steen.

Paparan berkenaan bukan sekadar mengimbau kenangan, malah memperlihatkan semangat persaudaraan dan penghormatan sesama artis dalam industri hiburan tanah air.

Setelah lebih tiga dekad mengemudi arus muzik tanah air, KRU tidak hanya dikenang sebagai penyanyi, malah sebagai ikon yang berjaya mengekalkan ikatan persaudaraan dan profesionalisme dalam pelbagai cabang daripada perniagaan, perfileman, hinggalah ke pentas muzik.

Jenama KRU bukan sekadar sebuah nama, tetapi satu lambang kejayaan yang mahal harganya dan terus menjadi inspirasi merentas generasi.

Tahun 2025 kini terpahat sebagai satu detik istimewa buat peminat GenKRU.

Momen bersejarah ini menjadi bukti bahawa muzik mampu menyatukan hati tanpa mengira usia, bangsa atau latar hidup.

Ia adalah satu perjalanan emosi dan kenangan yang tidak mudah dilupakan sebuah perayaan terhadap muzik, cinta dan persaudaraan.

Persoalannya kini, adakah KRU akan kembali dengan sebuah konsert berskala lebih besar? Mungkinkah Feminin dan Elite akan bersatu dalam satu persembahan mega? Jawapannya masih menjadi tanda tanya.

Namun satu perkara yang pasti adalah peminat kini menantikan dengan penuh debaran.

Sementara itu, kita raikan sejarah yang telah tercipta. Bersama KRU, segalanya tidak mustahil.

TV AlHijrah raih tiga teratas stesen pilihan sepanjang Ramadan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Stesen penyiaran Islam negara, TV AlHijrah mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya menduduki tangga ketiga tertinggi dalam kalangan stesen televisyen pilihan penonton Melayu sepanjang minggu pertama Ramadan tahun ini.

Peningkatan prestasi ini turut menyaksikan lonjakan syer tontonan sebanyak 21 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus menandakan pencapaian mingguan terbaik sejak penubuhannya 15 tahun lalu.

Perkembangan positif ini dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu sidang media pelancaran program Haji TV AlHijrah 1446H: Menyahut Panggilan-Mu yang berlangsung hari ini.

Menurutnya, kejayaan itu bukan sahaja membuktikan keupayaan TV AlHijrah untuk bersaing dalam landskap penyiaran arus perdana, tetapi juga mencerminkan kekuatan dan daya tarik kandungan berteraskan Islam yang diketengahkan stesen itu.

“Alhamdulillah, saya ingin merakamkan penghargaan atas prestasi cemerlang TV AlHijrah sepanjang bulan Ramadan lalu.

“Syer tontonan saluran ini meningkat sebanyak 21 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Paling membanggakan, TV AlHijrah berjaya menduduki tempat ketiga tertinggi dalam kalangan penonton Melayu pada minggu pertama Ramadan. Ini adalah pencapaian mingguan terbaik sejak penubuhannya,” katanya.

Beliau berkata, lonjakan ini mula dirasai seawal minggu sebelum Ramadan dan kekal konsisten sepanjang bulan mulia itu.

Antara faktor yang mendorong kejayaan ini adalah kekuatan barisan program istimewa Ramadan seperti Falah Insani, Kalam Junjungan, Taranum Challenge, Ibrah Ramadan dan Panggilan Ilmu dalam slot Maghrib, selain program pagi seperti Assalam Sahur, Assalam Subuh dan Hadis@114 yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton.

Bagi Mohd Na’im, pencapaian yang direkodkan bukan sekadar angka, malah menjadi bukti jelas bahawa TV AlHijrah mampu tampil sebagai saluran Islam berautoriti yang progresif serta berdaya saing dalam menyampaikan mesej dakwah secara efektif dalam era digital.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam di negara ini, saya amat menghargai usaha TV AlHijrah yang konsisten menyampaikan syiar Islam dengan pendekatan berasaskan ilmu, kreativiti dan kefahaman semasa.

“Ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani dan mendokong tekad kita untuk melihat Islam terus mekar di bumi Malaysia,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, serta seluruh warga kerja stesen itu atas komitmen luar biasa mereka dalam menjadikan penyiaran bukan sekadar medium hiburan, tetapi juga sebagai wadah mendidik dan membimbing masyarakat secara rohani.

Dalam perkembangan sama, Namanzee menyifatkan kejayaan itu sebagai satu titik tolak baharu buat TV AlHijrah untuk terus menghasilkan kandungan yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam menyambut musim perayaan Aidiladha yang bakal tiba.

“Sejak 15 tahun penubuhan TV AlHijrah, ini adalah kejayaan pertama kami apabila berjaya menduduki tangga tiga terbaik sebagai stesen TV yang mencatatkan rating tinggi.

“Kami percaya kandungan yang kami bawakan selari dengan selera masyarakat,” katanya.

Walaupun menyedari selera majoriti penonton mungkin masih terarah kepada hiburan dan drama, beliau tetap yakin bahawa segmen kerohanian dan ilmiah terus memiliki tempat istimewa dalam hati masyarakat Malaysia.

Dengan pencapaian ini, TV AlHijrah bukan sahaja membuktikan keupayaan sebagai stesen penyiaran Islam yang relevan dan dinamik, malah turut mengukuhkan peranannya sebagai madrasah rohani dalam mendidik dan memimpin masyarakat ke arah kebaikan, berlandaskan nilai-nilai Islam yang sebenar.

KWC Fashion Wholesale meriahkan semangat komuniti bersama Hari Keluarga dan sukan pickleball

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha menyemarakkan semangat kejiranan dan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat bandar, KWC Fashion Wholesale dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Subzon 6, Parlimen Cheras telah menganjurkan edisi pertama Hari Keluarga KWC (KWC Family Day) sebuah acara komuniti yang berlangsung penuh meriah.

Bertempat di Stadium Pickleball KWC, acara ini menghimpunkan lebih 150 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuk wakil-wakil daripada Persatuan Penduduk Seri Selangor, Persatuan Penduduk-Penduduk Rumah Pangsa DBKL Jalan Loke Yew, dan Persatuan Penduduk Seri Sarawak KL.

Turut serta ialah kakitangan KWC, pengamal media, serta peminat sukan rekreasi pickleball yang kini semakin mendapat perhatian ramai.

Pengurus Besar Perbadanan Pengurusan Kompleks Kenanga Wholesale City Fiona Bong berkata, pemilihan sukan pickleball sebagai aktiviti utama adalah bertepatan dengan matlamat untuk menjadikan gaya hidup sihat sesuatu yang inklusif dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, walaupun ramai menganggap sukan ini sebagai sesuatu yang mahal dan eksklusif, hakikatnya pickleball adalah pilihan yang ringan, menyeronokkan dan mampu dimainkan oleh semua peringkat umur tanpa memerlukan kos yang tinggi.

“Kami percaya sukan ini mampu menyatukan masyarakat. Pickleball, adalah contoh aktiviti yang semakin dikenali dan sesuai untuk dijadikan wadah bagi menjalin hubungan baik antara jiran.

“Ini baru permulaan, dan kami berharap kerjasama seperti ini akan terus diperkasakan pada masa hadapan,” katanya.

Acara turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Pemilik Stadium Pickleball, Dato Hock Toh, serta Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Cheras Zon 6, Bryan Lew.

Dalam memastikan penglibatan yang menyeluruh, acara ini turut menampilkan Klinik Pickleball Percuma, di mana jurulatih bertauliah dari Stadium Pickleball KWC, Persatuan Pickleball Putrajaya dan Hussin San Pickleball berkongsi ilmu serta memperkenalkan sukan ini kepada peserta dan ramai yang hadir mencubanya buat pertama kali.

Selain itu, perlawanan santai turut diadakan bagi membolehkan peserta daripada pelbagai tahap kemahiran turut serta dalam suasana yang santai dan mesra.

Satu lagi tarikan utama acara adalah pertunjukan fesyen pakaian sukan oleh 6 finalis utama KWC Model Search 2025, yang memperagakan koleksi terkini daripada kedai-kedai sukan di KWC.

Gabungan elemen sukan dan fesyen ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah menonjolkan kepelbagaian tawaran yang terdapat di kompleks beli-belah berkenaan.

Sementara itu, Tan Kok Wai menzahirkan penghargaan kepada KWC atas inisiatif dan kerjasama yang dilakukan dilihat berjaya menyatukan komuniti setempat melalui pendekatan yang sihat dan menyeronokkan.

“Pickleball ialah sukan yang sangat inklusif. Ia bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan malah menggalakkan interaksi sosial.

“Inilah jenis aktiviti yang patut digalakkan di peringkat komuniti,” katanya yang turut berharap sukan ini akan lebih dikenali di Malaysia.

Dalam pada itu, Hock Toh berkata, Stadium Pickleball KWC memberi keutamaan kepada golongan pelajar untuk menggunakan fasiliti secara percuma pada hari-hari biasa sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkenalkan sukan ini secara lebih meluas.

Hari Keluarga KWC disempurnakan dengan cabutan bertuah, menawarkan baucar tunai bernilai sehingga RM500, menjadikan acara ini bukan sahaja bermakna dari segi pengisian, tetapi juga mengujakan bagi peserta yang hadir.

Keseluruhannya, penganjuran Hari Keluarga KWC menjadi bukti bahawa KWC Fashion Wholesale bukan sekadar sebuah destinasi beli-belah, tetapi turut berfungsi sebagai hab komuniti yang aktif dan inklusif.

Melalui paduan sukan, hiburan, fesyen dan kebersamaan, KWC mengukuhkan peranannya dalam menyatukan masyarakat bandar moden yang sering dibatasi kesibukan harian.

MME lebarkan sayap: Minuman kesihatan pilihan Pantai Timur kini di Shah Alam

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Selepas lebih satu dekad mencipta nama di Pantai Timur, produk minuman kesihatan Maamy Mineral Essence (MME) kini melangkah lebih jauh dengan pembukaan pejabat baharu di Avenue Crest, Seksyen 22, Shah Alam, sekali gus menandakan permulaan era baharu dalam usaha menembusi pasaran Lembah Klang.

Diasaskan oleh Hasmah Mohamad, yang lebih dikenali dengan panggilan mesra Maamy, MME telah bertapak selama 16 tahun dan mendapat kepercayaan pengguna khususnya di Kelantan dan Terengganu.

Pembukaan pejabat operasi baharu itu, yang dijadual bermula pada Mei ini, adalah langkah strategik hasil daripada permintaan tinggi pengguna serta pengikut setia di platform media sosial.

“Sudah sampai masanya untuk kami membawa kebaikan MME kepada warga Lembah Klang yang sekian lama menunjukkan minat terhadap produk ini.

“Saya percaya, langkah ini bukan sahaja memperluas capaian kami, tetapi juga membuka ruang untuk lebih ramai mengenali manfaat produk ini dalam menyokong gaya hidup sihat,” kata Maamy.

Beliau turut menjemput orang ramai untuk hadir ke pejabat baharu mereka bagi merasai sendiri keberkesanan produk berkenaan secara percuma.

Katanya, pengguna hanya perlu membuat temu janji terlebih dahulu dan pihak MME bersedia mendengar serta membantu menangani pelbagai isu kesihatan ringan menerusi penggunaan produk itu.

Maamy Mineral Essence adalah produk kesihatan berasaskan zat galian dan unsur surih tulen yang diambil secara semula jadi dari lautan di Queensland, Australia.

Ia diformulasikan untuk diambil bersama air mineral dan berupaya menyegarkan tubuh serta memberikan kelegaan kepada pengguna.

“Kami menerima banyak testimoni positif sejak mula dipasarkan, dan semuanya boleh ditonton menerusi laman sosial rasmi kami di @mammymineralessemce.official.

“Namun, tiada yang lebih meyakinkan selain mencuba sendiri,” tambah Maamy lagi.

Sebelum ini, produk MME dipasarkan secara aktif di beberapa masjid utama sekitar Pantai Timur dan berjaya membina pengaruh kukuh dalam kalangan komuniti setempat.

Sementara itu, penyampai radio Gegar FM, Fizie Roslan, yang juga menantu kepada Maamy dan kini bertindak sebagai Duta MME, menyifatkan pembukaan pejabat di Shah Alam sebagai satu lonjakan penting dalam memperluas potensi jenama itu.

“Permintaan yang tinggi dari pengguna, terutamanya generasi muda menerusi platform seperti TikTok, menunjukkan MME mempunyai peluang besar untuk terus berkembang.

“Saya pujuk Maamy untuk mengambil langkah ini kerana saya yakin MME sudah bersedia untuk ke peringkat seterusnya,” katanya.

Fizie berkata, pihaknya yakin Lembah Klang adalah pasaran yang luas dan strategik untuk memacu pertumbuhan MME pada masa akan datang.

Dengan pembukaan cawangan baharu ini, MME bukan sekadar memperluas operasinya, tetapi juga mengukuhkan lagi kedudukan sebagai produk kesihatan alternatif yang dipercayai rakyat Malaysia.

Pelantikan semula Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM satu penghormatan besar

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyifatkan pelantikan semula beliau untuk tempoh satu tahun sebagai suatu penghormatan besar yang mencerminkan kepercayaan tinggi pihak kepimpinan negara terhadap usaha berterusan memerangi rasuah.

Pelantikan semula itu berkuat kuasa mulai 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026, selepas mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Azam berkata, perkenan itu bukan sahaja memberi makna besar kepada dirinya secara peribadi, malah turut menjadi pengiktirafan kepada seluruh warga SPRM yang terus komited dalam perjuangan menegakkan integriti dan tadbir urus yang bersih.

“Saya menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka Baginda dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan serta dukungan berterusan dalam meneruskan amanah yang amat besar ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Azam berkata, beliau akan terus memikul tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh kesedaran dan komitmen, khususnya dalam menerajui misi SPRM membanteras segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Jelasnya, usaha ini adalah penting dalam memastikan Malaysia terus menuju ke arah sebuah negara yang makmur, adil dan berdaya saing.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyatakan iltizam SPRM untuk terus meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) agar negara terus dihormati serta diyakini oleh masyarakat antarabangsa.

Tambahnya, pencapaian itu akan menjadi satu penanda aras penting kepada keberkesanan langkah-langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara berterusan.

“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat serta kesejahteraan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri dalam memimpin negara ke arah masa depan yang gemilang,” katanya.

Tan Sri Azam Baki, 62, sebelum ini telah dua kali dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, masing-masing bagi tempoh setahun, iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan seterusnya dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.

Beliau mula memegang jawatan tertinggi dalam suruhanjaya itu pada 9 Mac 2020, menggantikan Latheefa Koya yang telah memendekkan tempoh perkhidmatannya.

Sepanjang lebih empat dekad berkhidmat dalam agensi pencegahan rasuah, Azam telah menggalas pelbagai jawatan penting termasuk Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Siasatan serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi).

Beliau memulakan kerjayanya dalam bidang penguatkuasaan pada tahun 1984 ketika agensi itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Pengalaman luas dan kepimpinan beliau dijangka terus memperkukuh peranan SPRM sebagai badan penguatkuasaan utama negara dalam memastikan budaya integriti terus menjadi asas dalam pentadbiran dan kehidupan masyarakat Malaysia.

LIMA ’25 pentas perkasa syarikat tempatan ke peringkat global – Anwar Ibrahim

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) harus dimanfaatkan sepenuhnya sebagai platform strategik untuk memperkasa syarikat-syarikat tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam menembusi pasaran antarabangsa.

Dalam satu Taklimat Media yang disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan LIMA ’25 tidak boleh dilihat sekadar sebagai sebuah acara pameran berskala besar semata-mata.

Sebaliknya, beliau mahu penganjuran edisi kali ini menjadi medan yang lebih bermakna, yang bukan sahaja mempamerkan kehebatan teknologi terkini, tetapi turut menonjolkan potensi inovasi tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.

“Penganjuran ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab teknologi maritim dan aeroangkasa di peringkat serantau dan antarabangsa,” kata Tunku Nashrul yang mewakili Perdana Menteri dalam sesi taklimat itu.

Menurut beliau, Anwar turut menekankan LIMA ’25 perlu menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan tinggi, selain membuka peluang lebih luas kepada sektor-sektor berkaitan termasuk pertahanan, penerbangan komersial, penyelenggaraan dan pengubahsuaian (MRO), teknologi angkasa, satelit serta Internet Benda (IoT).

LIMA ’25, yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 24 Mei 2025 di Langkawi, akan diadakan dengan tema “Innovate Today, Thrive Tomorrow”, menggambarkan aspirasi negara untuk mengangkat inovasi sebagai asas kepada kemajuan masa depan industri pertahanan dan aeroangkasa.

Perdana Menteri turut menyuarakan harapan agar segala persiapan menjelang acara itu berjalan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan.

Beliau juga mengalu-alukan kehadiran pempamer, pelabur serta pelawat dari dalam dan luar negara yang dijangka merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat serta mengukuhkan kedudukan LIMA sebagai antara pameran industri terbesar di rantau ini.

Penganjuran LIMA yang berprestij ini dijangka akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan pelaburan langsung asing, pengukuhan jaringan perdagangan global dan lonjakan dalam sektor pelancongan, sekali gus menempatkan Malaysia pada kedudukan yang lebih strategik dalam landskap teknologi global.

KRU, Icon Entertainment terima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi Konsert GenKRU 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan legenda muzik tanah air, KRU, melakar satu lagi detik bersejarah apabila menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) menerusi penganjuran Konsert GenKRU 2025 yang mencetus fenomena luar biasa di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Trio adik-beradik terkenal yang dianggotai oleh Dato’ Norman Abdul Halim, Dato’ Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim menerima anugerah Most Show in a Single Concerts Series atas kejayaan menganjurkan persembahan selama empat malam berturut-turut pada 3, 4, 10 dan 11 Mei 2025.

Penganjuran ini menjadikan mereka artis tempatan pertama mencatat rekod persembahan terbanyak dalam satu siri konsert di Malaysia.

Mewakili kumpulan KRU,  Norman berkata, kejayaan itu bukanlah semata-mata milik mereka, tetapi penghargaan yang ditujukan kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sejak lebih tiga dekad lalu.

“Pencapaian ini adalah sebuah apresiasi bukan untuk KRU secara peribadi tetapi buat peminat yang telah menjadikan Konsert GenKRU 2025 daripada rencana asal hanya satu malam kepada dua, tiga sehingga empat malam.

“KRU seharusnya berterima kasih terhadap sokongan tanpa henti selama lebih tiga dekad kami berada dalam industri,” katanya.

Sementara itu, penganjur konsert, Icon Entertainment (M) Sdn. Bhd. turut mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan Most Concert Tickets Sold Out in an Hour, selepas mencatat jualan tiket sebanyak 8,000 unit dalam tempoh hanya satu jam.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, kejayaan ini sebagai bukti kukuh bahawa produk hiburan tempatan masih mempunyai tempat istimewa di hati rakyat Malaysia.

“Terima kasih kepada pihak MBR atas pengiktirafan ini. Kami di Icon Entertainment dengan sukacita berkongsi penghormatan ini bersama semua peminat KRU yang telah menjadikan Konsert GenKRU cukup luar biasa.

“Bukan sahaja kerana rekod jualan tiket yang pantas, tetapi juga kerana sambutan hangat yang menyebabkan konsert ini dilanjutkan hingga empat malam,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Komunikasi, atas sokongan yang berterusan dalam memperkasa industri seni dan hiburan kreatif negara.

Konsert GenKRU 2025 yang berlangsung selama empat malam dihadiri oleh lebih 30,000 peminat dan dimeriahkan dengan kemunculan istimewa artis jemputan seperti kumpulan Feminin, Elite dan Adam AF, sekali gus mengimbau nostalgia era kegemilangan muzik Malaysia yang tidak pernah pudar dalam ingatan peminat.

Dengan kejayaan luar biasa ini, KRU dan Icon Entertainment bukan sahaja mencipta sejarah baharu dalam industri hiburan tanah air, malah menjadi pencetus semangat kepada penganjur dan artis tempatan lain untuk terus mengangkat martabat hiburan tempatan ke tahap yang lebih tinggi.