32.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026

LIMA ’25 pentas perkasa syarikat tempatan ke peringkat global – Anwar Ibrahim

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) harus dimanfaatkan sepenuhnya sebagai platform strategik untuk memperkasa syarikat-syarikat tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam menembusi pasaran antarabangsa.

Dalam satu Taklimat Media yang disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan LIMA ’25 tidak boleh dilihat sekadar sebagai sebuah acara pameran berskala besar semata-mata.

Sebaliknya, beliau mahu penganjuran edisi kali ini menjadi medan yang lebih bermakna, yang bukan sahaja mempamerkan kehebatan teknologi terkini, tetapi turut menonjolkan potensi inovasi tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.

“Penganjuran ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab teknologi maritim dan aeroangkasa di peringkat serantau dan antarabangsa,” kata Tunku Nashrul yang mewakili Perdana Menteri dalam sesi taklimat itu.

Menurut beliau, Anwar turut menekankan LIMA ’25 perlu menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan tinggi, selain membuka peluang lebih luas kepada sektor-sektor berkaitan termasuk pertahanan, penerbangan komersial, penyelenggaraan dan pengubahsuaian (MRO), teknologi angkasa, satelit serta Internet Benda (IoT).

LIMA ’25, yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 24 Mei 2025 di Langkawi, akan diadakan dengan tema “Innovate Today, Thrive Tomorrow”, menggambarkan aspirasi negara untuk mengangkat inovasi sebagai asas kepada kemajuan masa depan industri pertahanan dan aeroangkasa.

Perdana Menteri turut menyuarakan harapan agar segala persiapan menjelang acara itu berjalan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan.

Beliau juga mengalu-alukan kehadiran pempamer, pelabur serta pelawat dari dalam dan luar negara yang dijangka merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat serta mengukuhkan kedudukan LIMA sebagai antara pameran industri terbesar di rantau ini.

Penganjuran LIMA yang berprestij ini dijangka akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan pelaburan langsung asing, pengukuhan jaringan perdagangan global dan lonjakan dalam sektor pelancongan, sekali gus menempatkan Malaysia pada kedudukan yang lebih strategik dalam landskap teknologi global.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular