29.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 10, 2026
Home Blog Page 92

Operasi Redback 20 perkukuh keselamatan perairan negara melalui kerjasama strategik Malaysia–Australia

editormaxinfo@gmail.com

PORT DICKSON – Usaha memperkukuh kawalan sempadan maritim negara terus digiatkan menerusi pelaksanaan Operasi Redback 20 (OP REDBACK 20), hasil kerjasama strategik antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Australian Border Force (ABF).

Operasi ini berlangsung dari 5 hingga 9 Mei 2025, merangkumi perairan negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, operasi dua hala yang memasuki edisi ke-20 itu adalah kesinambungan kepada Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia yang telah dimeterai sejak tahun 2012.

Katanya, pelaksanaan OP REDBACK bukan sahaja mencerminkan komitmen bersama dalam membanteras jenayah rentas sempadan, malah menjadi platform penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang maritim di antara kedua-dua negara.

“Operasi ini memberi tumpuan kepada pencegahan jenayah serius di laut seperti penyeludupan migran, aktiviti perikanan haram tanpa laporan dan kawalan (IUU), serta penyeludupan barangan terlarang yang boleh menjejaskan keselamatan serta kedaulatan perairan negara,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan OP REDBACK 20 di Port Dickson.

Bagi edisi kali ini, operasi penguatkuasaan dijalankan meliputi kawasan seluas 2,860 kilometer persegi dari Kuala Sepang, Selangor sehingga ke Kuala Kesang, Muar.

Ia membabitkan penyertaan empat aset laut milik Maritim Malaysia iaitu Kapal Maritim (KM) DANGA, bot BENTENG 04, bot PERKASA 37 dan bot PENGGALANG 38.

Sepanjang operasi lima hari itu, sebanyak 122 pemeriksaan telah dijalankan ke atas pelbagai jenis vesel termasuk kapal dagang, vesel nelayan tempatan, bot penumpang dan bot tunda.

Hasil pemeriksaan ini membantu memperkukuh kawalan dan pengesanan awal terhadap sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan perairan yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, Maritim Malaysia telah menahan seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam tempoh Januari hingga April 2025.

Daripada jumlah itu, lapan adalah warga Indonesia dan sembilan warga Myanmar yang dipercayai cuba keluar atau masuk ke negara ini melalui laluan tikus.

Sepanjang tempoh yang sama, agensi itu turut merekodkan 16 tangkapan berkaitan penyeludupan barangan kawalan seperti petrol dan diesel, manakala 17 lagi kes membabitkan barangan kontraban termasuk rokok, minuman keras serta tong gas LPG.

Nilai keseluruhan rampasan yang diperoleh daripada kes-kes ini dianggarkan melebihi RM9.2 juta.

Selain operasi penguatkuasaan, OP REDBACK 20 turut menampilkan komponen ilmiah dan pendidikan melalui penganjuran seminar yang menghimpunkan pakar-pakar keselamatan maritim antarabangsa.

Antara yang terbabit ialah Profesor Stuart Kaye, Pengarah Australian National Centre for Ocean Resources & Security (ANCORS) dan Dr. Sarah Lothian, Pensyarah Kanan ANCORS, yang berkongsi pandangan mengenai strategi keselamatan maritim serantau.

Turut diadakan ialah program mesra rakyat atau Community Engagement yang berlangsung di dua lokasi iaitu Kampung Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru, Melaka pada 6 Mei, serta di Jeti Nelayan Telok Pelandok, Port Dickson pada 8 Mei.

Program ini memberi ruang kepada Maritim Malaysia untuk mendekati komuniti setempat, terutamanya golongan nelayan, di samping menyampaikan mesej berkaitan keselamatan di laut.

Sebanyak 100 jaket keselamatan telah diedarkan kepada komuniti nelayan sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran maritim.

Majlis penutup turut dihadiri oleh Superintendan Brooke Leung, Kaunselor ABF di Suruhanjaya Tinggi Australia, serta Pemangku Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Norrimi Hassan.

Kejayaan pelaksanaan OP REDBACK 20 sekali lagi membuktikan bahawa kerjasama antarabangsa dalam aspek keselamatan perairan adalah penting dan perlu diteruskan secara berterusan bagi menangani cabaran jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks dan mencabar.

‘Raise The Star Malaysia’ kembali, 5 komposer terkemuka berganding bahu cungkil bakat vokal tempatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro sekali lagi tampil memperkenalkan program hiburan yang segar dan inovatif dengan pelancaran Raise The Star Malaysia, sebuah pertandingan muzik digital pertama seumpamanya di Malaysia yang menyatukan lima komposer ternama tanah air bersama bakat vokal baharu yang bakal mencorak masa depan industri muzik tempatan.

Program ini menawarkan platform unik kepada individu berbakat dalam bidang nyanyian untuk diketengahkan menerusi cabaran mingguan yang penuh warna-warni dan transformasi.

Sepanjang lapan minggu bersiaran, 30 peserta terpilih akan bersaing untuk menambat hati juri profesional serta peminat menerusi undian dalam talian, bagi memastikan tempat mereka kekal di carta tertinggi dan terus mara dalam pertandingan.

Menariknya, Raise The Star Malaysia turut menampilkan lima nama besar dalam dunia muzik tanah air sebagai komposer dan mentor iaitu Ajai, Aina Abdul, Shila Amzah, Audi Mok dan Ikhwan Fatanna yang bukan sahaja akan membimbing peserta, tetapi juga mencari suara paling sesuai untuk menghidupkan lagu-lagu ciptaan eksklusif mereka.

Sesi uji bakat bagi program ini telah dibuka dalam dua format iaitu secara dalam talian dan fizikal.

Bagi uji bakat dalam talian, penyertaan telah dibuka bermula 1 hingga 8 Mei 2025 melalui platform media sosial dengan penggunaan tanda pagar #RaiseTheStarMY.

Manakala, uji bakat secara fizikal pula diadakan pada 10 dan 11 Mei di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, bermula seawal jam 8 pagi.

Penyertaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, berbakat dalam bidang nyanyian dan mempunyai personaliti menarik tanpa mengira kaum.

Program ini dijadualkan mula bersiaran pada 22 Jun 2025 di saluran Astro Ria (104) dan turut boleh distrim melalui Astro GO, sooka, On Demand serta Astro Gempak.

Ia akan bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam, selama lapan episod sehingga 10 Ogos 2025.

Raise The Star Malaysia bukan sekadar pertandingan nyanyian, tetapi sebuah inisiatif holistik yang berteraskan pembangunan bakat, pengiktirafan karya seni dan kolaborasi kreatif antara generasi baharu dengan penggiat muzik berpengalaman.

U Mobile tampil sebagai penaja utama program ini, menzahirkan sokongan terhadap pembangunan industri kreatif digital serta memperkasakan lebih ramai artis baharu melalui peluang eksklusif ini.

Astro menyeru orang ramai agar tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan perjalanan epik para peserta Raise The Star Malaysia, dari pentas uji bakat hingga ke malam kemuncak.

Program ini bukan sahaja menjanjikan hiburan berkualiti tinggi, tetapi juga detik-detik mengujakan yang bakal mencetus fenomena baharu dalam landskap hiburan Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai program dan penyertaan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di gempak.com/raisethestar.

Kuala Lumpur bersedia gempur aksi ‘Fightnight Muaythai International’ (FMI) 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dunia sukan tempur bakal digegarkan dengan penganjuran kejohanan berprestij, Fightnight Muaythai International (FMI) 2025, yang akan berlangsung pada 24 Mei ini di Dewan Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Kejohanan ini dianjurkan oleh Kelab Muaythai Kala Merah (KMKM) dengan kerjasama erat Persatuan Muaythai Malaysia (PMM), Persatuan Muaythai Kuala Lumpur (PMKL), serta pelbagai badan sukan tanah air.

FMI 2025 menghimpunkan lebih 250 atlet Muaythai amatur dan 18 atlet profesional dari enam buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Iran dan Yaman menjadikannya antara kejohanan terbesar seumpamanya di rantau ini.

Ia dijangka menarik kehadiran seramai 5,000 pengunjung, terdiri daripada atlet, pegawai teknikal, perubatan, pengadil, penaja, NGO serta peminat sukan dari seluruh negara.

Pengerusi Kelab Kala Merah, Dato’ Hairudin Yunos berkata, FMI bukan sekadar sebuah kejohanan sukan tempur, sebaliknya platform yang mengangkat nilai perpaduan, pembangunan sukan tanah air serta promosi pelancongan sukan sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Kami beriltizam menjadikan Malaysia sebagai pusat tumpuan Muaythai bertaraf antarabangsa.

“FMI bukan hanya sekadar perlawanan ia adalah medan untuk mencungkil bakat baharu, mempamerkan keindahan sukan Muaythai dalam format amatur dan profesional, serta menyatukan rakyat pelbagai latar belakang melalui sukan,” katanya.

Kelab Muaythai Kala Merah yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia adalah entiti aktif dalam pembangunan Muaythai tempatan.

KMKM sebelum ini telah menganjurkan pelbagai kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan, selain melatih ramai atlet muda yang kini mewakili negara di pentas antarabangsa.

FMI 2025 juga mendapat sokongan teknikal dan logistik daripada Persatuan Muaythai negeri-negeri, pihak berkuasa tempatan, NGO serta komuniti Muaythai tempatan.

Antara objektif utama penganjuran ini adalah untuk mencungkil dan mempromosikan bakat tempatan, memupuk integrasi kaum melalui penyertaan merentas negeri termasuk Sabah dan Sarawak, serta meletakkan Malaysia sebagai kuasa besar sukan Muaythai dunia.

Beberapa nama besar dalam arena Muaythai bakal tampil memperagakan aksi mantap mereka, termasuk Khuzairi Azim Mohd Kamal dari Respect Fighter KL7 (kategori 50kg), Nur Dhea Salsabila Saifulddin Yusof dari Respect Fighter Gym (kategori 45kg), dan Mohamad Rashid Mohd Redzuan dari Empire Akademi Singa Bersatu (kategori 63kg).

Mereka dijangka memberikan saingan sengit dan menjadi tumpuan utama kejohanan.

Barisan jawatankuasa penganjur diterajui oleh Pengarah Kejohanan, Mohd Razaki Mohamad Zin, dibantu oleh Timbalan Pengarah, Hasrul Najib Hasim serta Naib Timbalan, Ir. Ts. Mohd Sabri Mohamad Zin.

Turut memainkan peranan penting ialah Pengurus Kejohanan, Emrita Alias, dan Ketua Teknikal, Mohd Farid.

Dengan persiapan rapi dan sokongan padu pelbagai pihak, FMI 2025 dijangka menjadi detik bersejarah dalam kalendar sukan tempur negara satu acara yang bukan sahaja menjulang semangat juang atlet, malah mengukuhkan perpaduan dan membangunkan industri sukan tempatan secara holistik.

Kad Pekerja MADANI dijangka galak lebih ramai sertai kesatuan sekerja

editormaxinfo@gmail.com

KUALA NERUS – Pelancaran Kad Pekerja MADANI oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan penyertaan pekerja dalam kesatuan sekerja di seluruh negara.

Kad istimewa yang diperkenalkan itu menawarkan pelbagai manfaat eksklusif kepada ahli kesatuan sekerja, termasuk diskaun sehingga 30 peratus di lebih 100 buah syarikat yang mengambil bahagian.

Inisiatif ini disifatkan sebagai langkah progresif dalam memperkasa golongan pekerja dan memupuk kesedaran tentang kepentingan penyertaan dalam gerakan kesatuan sekerja.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Pekerja Malaysia, Mohd. Asri Abdul Wahab berkata, pihaknya optimis bahawa Kad Pekerja MADANI akan menjadi antara tarikan utama untuk menarik keanggotaan baharu dalam kalangan pekerja.

Menurutnya, jumlah keanggotaan kesatuan pekerja setakat tahun lalu telah mencecah 1,038,435 orang, menunjukkan peningkatan berbanding 1,008,371 ahli yang direkodkan pada tahun 2023.

“Sebelum ini, kami menyasarkan pertambahan keanggotaan baharu seramai 50,000 ahli setiap tahun.

“Dengan adanya Kad Pekerja MADANI, kami percaya sasaran ini mampu dicapai, bahkan mungkin melebihi jangkaan,” katanya pada Majlis penyerahan bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 Peringkat Zon Timur.

Selain itu, Mohd. Asri berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi pelaksanaan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) bagi tahun 2025.

Peruntukan ini bertujuan menyokong pelaksanaan aktiviti-aktiviti kesatuan yang memberi manfaat secara langsung kepada ahli, sekali gus memperkukuh peranan kesatuan sekerja sebagai pemangkin suara pekerja dalam pembangunan negara.

Program PHEKS dilihat sebagai platform penting yang bukan sahaja memperkasakan keupayaan kesatuan sekerja, tetapi juga mempererat hubungan antara pekerja dan kerajaan dalam mewujudkan suasana pekerjaan yang adil, inklusif dan sejahtera.

Dengan sokongan inisiatif seperti Kad Pekerja MADANI dan peruntukan strategik melalui PHEKS, kerajaan dilihat terus komited dalam mengangkat martabat pekerja serta memperkukuh landskap pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia.

Festival Tentang Cinta bakal gegarkan SICC Ogos ini, gabungkan muzik, emosi dan bakat serantau

editormaxinfo@gmail.com

KOTA KINABALU – Peminat muzik tanah air dan serantau bakal disajikan dengan sebuah konsert istimewa bertemakan cinta apabila Festival Tentang Cinta berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 9 Ogos 2025, bermula jam 8 malam.

Konsert berskala besar ini bukan sahaja menjanjikan persembahan penuh emosi, malah bakal menghimpunkan barisan artis ternama dari dalam dan luar negara dalam satu malam yang penuh magis dan bermakna.

Penganjuran acara ini diketuai oleh Extreme Visionary Venture dengan kerjasama erat daripada Tourism Malaysia, serta disokong oleh rakan strategik Fazbuzz Events & Media Sdn. Bhd. dan platform penjualan tiket rasmi, Ticket2U.

Antara daya tarikan utama konsert ini ialah kehadiran penyanyi sensasi dari Indonesia, Andmesh, yang terkenal menerusi lagu-lagu cinta menyentuh jiwa.

Bersama beliau ialah bintang muda bersuara unik, Ziva Magnolya, yang mula mencuri perhatian ramai selepas meraih tempat ketiga dalam rancangan realiti Indonesian Idol musim ke-10.

Dikenali dengan gaya vokal dinamik dan teknik ‘riffs & runs’ yang mengagumkan, Ziva terus mencipta nama menerusi lagu-lagu hit seperti Terlukis Indah dan Peri Cintaku, yang turut mendapat sambutan hangat di Malaysia.

Ziva juga pernah menggegarkan pentas antarabangsa apabila berduet bersama penyanyi Jeremy Passion di Ramadan Jazz Festival 2019.

Popularitinya semakin menyerlah apabila meraih pelbagai pengiktirafan muzik, termasuk Anugerah Musik Indonesia (AMI), menjadikannya antara bintang muda paling berpengaruh dalam industri hiburan Indonesia.

Festival ini turut menyaksikan penampilan artis-artis popular tempatan seperti Hael Husaini dan Ara Johari yang tidak asing lagi dengan lagu-lagu bertemakan cinta.

Lebih istimewa, dua bintang kelahiran Sabah Adira dan Mary Grace turut bakal menghangatkan pentas.

Adira yang dikenali menerusi kekuatan vokalnya, dan Mary Grace yang semakin mencipta nama dalam dunia seni, adalah lambang kebanggaan Sabah dalam industri hiburan nasional.

Penerbit konsert, Dato’ Suhaila Semaru berkata, Festival Tentang Cinta bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi turut bertujuan memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri.

“Kami merancang festival ini sebagai satu inisiatif yang menyatukan cinta dan muzik dalam satu pengalaman penuh makna.

“Selain menampilkan barisan artis hebat, festival ini juga menjadi platform penting untuk mengetengahkan bakat tempatan kepada khalayak lebih luas,” katanya.

Katanya, penganjuran festival ini juga disokong penuh oleh Tourism Malaysia dalam usaha memperkukuh pelancongan domestik menerusi acara berskala besar yang berimpak tinggi kepada ekonomi tempatan, khususnya dalam sektor hiburan dan hospitaliti.

Konsert ini menampilkan konsep susun atur tempat duduk yang unik dan bertemakan cinta, yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu:

-Kategori VVIP – Tentang Kita (Tempat duduk bernombor) – RM988

-Kategori VIP – Kau dan Aku (Tempat duduk bernombor) – RM488

-Kategori Gold – Jomblo (Tempat duduk bebas) – RM288

-Kategori Silver – Mencari Cinta (Berdiri bebas) – RM158

Nama-nama kategori ini bukan sahaja memberikan sentuhan kreatif, tetapi turut menghidupkan suasana dan emosi cinta dalam kalangan penonton, menjadikan festival ini lebih daripada sekadar hiburan ia adalah sebuah pengalaman emosi yang menyeluruh.

Tiket boleh dibeli bermula 9 Mei 2025 melalui laman rasmi www.ticket2u.com.my dan dijangka mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat muzik dari seluruh negara dan rantau ini.

Festival Tentang Cinta bukan sahaja meraikan cinta dalam pelbagai bentuk cinta terhadap seni, suara, dan emosi tetapi juga memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi hiburan bertaraf antarabangsa.

Konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti pada tahun ini.

‘Tinggalkan Luka’ – Roziana Cindy kembali menyentuh jiwa dengan single terbaharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan artis berbakat, Roziana Cindy, kembali mewarnai industri muzik serantau dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Tinggalkan Luka”, sebuah karya balada emosional yang mengangkat tema kehilangan, keperitan dan penyembuhan jiwa.

Lagu ini dilancarkan secara rasmi di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer, serta diiringi oleh pelancaran video lirik rasmi di saluran YouTube Roziana.

Selepas mencipta kejayaan menerusi single Paling Sejati pada November tahun lalu yang meraih hampir 150,000 penstriman di Spotify dan lebih 300,000 tontonan di YouTube, Roziana memperkukuh kedudukannya dalam arena muzik dengan karya baharu ini.

Tinggalkan Luka adalah hasil kolaborasi istimewa bersama komposer terkenal Indonesia, Ilham Baso, yang sebelum ini dikenali dengan karya-karya hits seperti Bukan Dia Tapi Aku dan Menjaga Jodoh Orang Lain.

Lagu Tinggalkan Luka mengisahkan perjalanan seorang insan yang telah melalui episod patah hati, namun berjaya membina kekuatan untuk melepaskan dan bangkit semula.

Dengan susunan muzik yang lembut dan senikata yang penuh ketulusan, lagu ini mengetengahkan sisi Roziana yang lebih jujur, rapuh dan kontemplatif, memperlihatkan keupayaan vokalnya yang menggetarkan emosi dan menyentuh jiwa pendengar.

Tinggalkan Luka mengingatkan kita agar melepaskan segala kesakitan yang pernah melingkari hidup dan tidak membenarkan trauma lalu mendefinisikan siapa kita hari ini.

“Saya amat bersyukur dapat bekerjasama dengan Ilham yang bukan sahaja berbakat besar, malah mempunyai empati mendalam dalam menzahirkan makna lagu ini,” kata Roziana yang juga bertindak sebagai penerbit eksekutif bagi projek ini.

Ilham Baso turut meluahkan rasa bangga terhadap kerjasama ini.

Katanya, suara Roziana memiliki keanggunan dan kejujuran yang menyampaikan mesej lagu ini dengan sangat mendalam.

“Kolaborasi kami dalam Tinggalkan Luka membolehkan kami menyampaikan pengalaman universal tentang kehilangan dan penyembuhan. Saya percaya ramai akan merasa terhubung dengan lagu ini,” katanya.

Pelancaran Tinggalkan Luka bukan sahaja memperkukuh identiti muzik Roziana, malah memperlihatkan kematangan artistiknya yang semakin menyerlah.

Lagu ini turut mencerminkan komitmennya dalam menghasilkan karya bersifat peribadi dan tulus, yang mudah dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Roziana Cindy artis berdarah Singapura-Indonesia yang mula dikenali menerusi program realiti nyanyian Mediacorp TV pada tahun 2017.

Sejak itu, beliau aktif dalam pelbagai cabang seni termasuk pengacaraan, lakonan dan peragaan sebelum memberi fokus kepada kerjaya muzik secara lebih serius.

Beliau turut mencipta sejarah sebagai artis Singapura pertama yang berkolaborasi dengan komposer ternama Indonesia, Ade Govinda, serta bertindak sebagai penerbit eksekutif untuk setiap karyanya sesuatu yang jarang dilakukan dalam kalangan artis muda serantau.

Malaysia jadi tuan rumah WEF ASEAN 2025: Forum pemimpin wanita paling dinanti

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Malaysia secara rasminya menjadi negara pertama yang diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah penganjuran Forum Ekonomi Wanita (Women Economic Forum – WEF) ASEAN 2025, yang dilancarkan baru-baru ini.

Pelancaran ini menandakan permulaan kepada sebuah perjalanan bermakna yang memfokuskan kepada pemerkasaan wanita serantau, menerusi pelbagai inisiatif berimpak tinggi serta sokongan padu daripada pelbagai sektor.

Acara yang diraikan dengan penuh semangat ini turut memperkenalkan barangan rasmi edisi khas WEF ASEAN 2025, yang direka khas bagi meraikan kekuatan, ketabahan dan kreativiti wanita di seluruh ASEAN.

Koleksi ini menampilkan pakaian dan aksesori mesra alam yang boleh didapati secara dalam talian serta di semua acara rasmi WEF yang akan datang.

Forum utama WEF ASEAN 2025 akan diadakan pada 19 hingga 21 Jun 2025 bertempat di Dewan Perdana, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran turut mengumumkan senarai penaja dan rakan strategik yang terdiri daripada organisasi korporat dan institusi utama termasuk MITI selaku tuan rumah, Felda Global Ventures (FGV), CUCKOO, Kinohimitsu, Matis Paris dan HWC Coffee.

Sokongan mereka menggambarkan komitmen kolektif terhadap usaha memperluas akses dan peluang ekonomi serta kepimpinan kepada wanita di rantau ini.

Usaha sama ini dijangka menjana pelbagai program jaringan dan pembangunan kapasiti sepanjang tahun.

Salah satu kemuncak pelancaran adalah pengumuman “Anugerah Kepimpinan Wanita WEF”, sebuah pengiktirafan kepada tokoh wanita cemerlang dalam bidang perniagaan, perusahaan sosial, inovasi serta kelestarian.

Proses pencalonan kini dibuka dan penyampaian anugerah akan berlangsung semasa forum utama pada bulan Jun nanti.

Dalam usaha memperkasakan bakat kreatif tempatan, majlis turut diserikan dengan pertunjukan fesyen eksklusif oleh pereka muda Malaysia.

Persembahan ini bukan sahaja menjadi tumpuan visual, malah memperkukuh komitmen WEF untuk menyediakan pentas serantau bagi menampilkan hasil karya anak tempatan.

Pengerusi Penganjur WEF ASEAN 2025, Datin Dr (h.c) Hajah Hartini Osman berkata, forum ini bukan sekadar perhimpunan serantau, tetapi sebuah platform penting dalam merapatkan jurang gender global melalui tindakan kolektif.

Katanya, pengasas WEF, Dr. Harbeen Arora Rai menyifatkan forum ini sebagai suatu titik temu bersejarah bagi pemimpin dan usahawan wanita dari seluruh dunia, menghubungkan utara dan selatan global.

“Dengan tema “Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the ASEAN Sheconomy”, forum ini diharapkan dapat menyemarakkan perbincangan strategik dan memperkukuh kerjasama merentas negara dalam usaha mencapai kesaksamaan gender menjelang akhir dekad ini,” katanya.

WEF ASEAN 2025 dijangka menjadi pentas berprestij bagi mengetengahkan kisah kejayaan wanita, strategi pembangunan mampan berasaskan kepimpinan wanita serta menyokong matlamat pembangunan lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).

Dengan aspirasi untuk menjadi pemangkin perubahan, forum selama tiga hari itu dijangka memberi impak transformasi bukan sahaja kepada peserta tetapi juga kepada dasar dan ekosistem pembangunan wanita serantau.

Majlis pelancaran berkenaan menjadi bukti nyata bahawa apabila sektor kerajaan, swasta dan masyarakat berganding bahu, potensi sebenar wanita dapat dicapai dan diraikan dengan penuh bermaruah.

“Gantung: Musketeer Code” kembali hidupkan misteri gelap sekolah elit ke layar perak

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun menyepi dari dunia hiburan, kisah ikonik yang pernah mencetus fenomena dalam kalangan peminat novel dan siri televisyen tempatan akhirnya kembali dalam bentuk filem.

Filem bertajuk Gantung: Musketeer Code, adaptasi daripada novel popular “Gantung” karya penulis tersohor Nadia Khan, bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 Jun 2025.

Pernah menggemparkan kaca televisyen pada tahun 2018 menerusi drama bersiri Gantung The Series, kisah ini mengisahkan empat sekawan Gibbs, Ray, Troll dan KJ yang menjalani tahun akhir persekolahan mereka di sebuah institusi elit.

Namun, kehidupan remaja mereka tidak seindah yang disangka apabila mereka dikaitkan dengan insiden tragis kematian seorang pelajar perempuan yang menggantung diri di auditorium sekolah.

Kini, kesinambungan kisah penuh misteri itu diangkat ke layar perak oleh syarikat produksi Neddo Works, dengan Nadia Khan sendiri bertindak sebagai penerbit, pengarah dan penulis skrip.

Nadia berkata, filem ini direalisasikan atas dorongan luar biasa daripada peminat novel yang menginginkan pengakhiran yang tuntas untuk kisah yang telah lama tertangguh.

“Kami menerima sokongan luar biasa sejak mula-mula melancarkan kempen crowdfunding pada Januari 2020.

“Melalui penjualan buku Musketeers, t-shirt dan cenderamata, kami berjaya mengumpul dana sebanyak RM200,000,” katanya.

Bagaimanapun, projek ini tidak terlepas daripada cabaran besar apabila pandemik Covid-19 melanda, menyebabkan proses pembikinan filem tergendala untuk beberapa tahun.

Namun begitu, semangat dan komitmen tinggi daripada seluruh pasukan produksi akhirnya membuahkan hasil apabila penggambaran berjaya diselesaikan antara Disember 2023 dan Januari 2024.

Menariknya, meskipun filem ini adalah kesinambungan kepada siri televisyen terdahulu, Gantung: Musketeer Code dibina sebagai karya berdiri sendiri yang mampu dinikmati oleh penonton baharu.

Nadia berkata, meskipun terdapat sedikit kelainan daripada versi novel, naskhah ini masih mengekalkan semangat dan roh asal yang digarap dalam buku berkenaan.

“Bagi mereka yang tidak pernah menonton siri TV ataupun membaca novel, filem ini tetap mudah difahami.

“Ia mengangkat tema yang dekat dengan kehidupan tentang persahabatan, kenangan zaman sekolah dan juga kesilapan yang sering dilakukan sewaktu usia muda,” katanya lagi.

Dalam menampilkan semangat segar, beberapa watak utama menyaksikan penyesuaian semula barisan pelakon.

Watak Gibbs dan Farah yang dahulunya dilakonkan oleh Randy Pangalila dan Mentari de Marelle digantikan dengan lakonan mantap Ben Amir dan Shazia Rozaini.

Mereka bergandingan dengan pelakon asal seperti Ikmal Amry, Hafreez Adam dan pelakon Indonesia, Brandon Salim.

Turut memeriahkan barisan pelakon ialah nama-nama besar industri seperti Bront Palarae, Sofia Jane serta ramai lagi pelakon berbakat tanah air.

Filem Gantung: Musketeer Code dijangka menjadi satu lagi karya sinema tempatan yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton, khususnya dalam mengetengahkan naratif gelap remaja, konflik dalaman dan persoalan moral yang mencabar persepsi.

Ia bukan sekadar sebuah cerita misteri, tetapi juga sebuah renungan tentang persahabatan, tanggungjawab dan kesan keputusan yang dibuat dalam usia yang rapuh.

Dengan sokongan daripada pembaca setia, penonton siri asal dan penggiat industri filem tempatan, Nadia Khan menzahirkan harapan agar Gantung: Musketeer Code bukan sahaja menepati jangkaan peminat, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam landskap filem adaptasi di Malaysia.

Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 5 Jun 2025.

SINOPSIS

Gantung: Musketeer Code bermula dengan Khalil, seorang pengarah filem tersohor yang tiba-tiba mendapat panggilan telefon dari teman sekolahnya, Farah untuk dia kembali ke sekolah lamanya kerana ada urusan yang belum selesai.

Khalil mengimbau kembali tragedi yang berlaku di sekolahnya 10 tahun lalu di mana dia (dahulu dikenali sebagai Ray) dan tiga orang sahabat baiknya Gibbs, KJ dan Troll dituduh menjadi punca seorang pelajar perempuan (Ratna) menggantung diri di auditorium sekolah.

Cubaan seludup prekursor bernilai hampir RM15 juta di perairan Melaka berjaya ditumpaskan

editormaxinfo@gmail.com

ALOR GAJAH – Usaha terancang sebuah sindiket penyeludupan dadah untuk membawa masuk bahan kimia terlarang bernilai hampir RM15 juta melalui perairan Melaka berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan dalam satu operasi yang dijalankan pada malam 1 Mei lalu.

Rampasan besar itu, yang disifatkan sebagai kejayaan terbesar agensi tersebut bagi tahun ini, telah diumumkan oleh Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama erat antara Unit Risikan Maritim Negeri dengan Bahagian Perisikan Maritim (MIND) dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Operasi yang dijalankan berdasarkan maklumat risikan ini membawa kepada penemuan 15 kotak yang dibalut kemas dengan plastik hitam, diletakkan di kawasan pesisir Pantai Pengkalan Balak berhampiran Pusat Latihan Perahu Layar.

Pemeriksaan lanjut yang dilakukan sekitar jam 9.40 malam menemui sebanyak 179 botol berisi cecair bahan kimia, dipercayai prekursor yang digunakan dalam penghasilan dadah sintetik.

Bahan kimia itu, jika diproses, dianggarkan mampu menghasilkan sehingga 150 kilogram dadah yang kemudiannya boleh diedarkan kepada lebih 300,000 hingga 800,000 penagih.

“Nilai rampasan bagi bahan kimia ini dalam pasaran gelap dianggarkan mencecah hampir RM15 juta.

“Jumlah ini membuktikan betapa serius dan besarnya skala kegiatan penyeludupan yang cuba dijalankan sindiket ini,” katanya.

Walaupun tiada tangkapan dilakukan semasa serbuan, pihak Maritim percaya bahawa sindiket itu terpaksa meninggalkan bahan kimia berkenaan setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa yang melakukan rondaan di kawasan itu.

Justeru, pihak Maritim kini giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu atau kumpulan yang terbabit dalam sindiket penyeludupan berkenaan.

Kes kini disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952, memandangkan ia membabitkan bahan kimia terkawal yang sering disalahgunakan untuk menghasilkan dadah sintetik berbahaya.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh kawalan sempadan maritim negara melalui pelbagai langkah termasuk memperhebat rondaan, memperkasa risikan serta menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi penguat kuasa lain.

“Maritim Malaysia akan terus komited membanteras jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan bahan terlarang yang mengancam keselamatan negara,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru agar komuniti pesisir pantai serta nelayan tampil memainkan peranan sebagai barisan hadapan keselamatan dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan perairan kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim yang beroperasi 24 jam.

Rampasan ini bukan sahaja menggagalkan cubaan sindiket membawa masuk bahan kimia berbahaya, tetapi juga menzahirkan ketegasan serta kecekapan pasukan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara daripada ancaman jenayah terancang.