editormaxinfo@gmail.com
KOTA KINABALU – Peminat muzik tanah air dan serantau bakal disajikan dengan sebuah konsert istimewa bertemakan cinta apabila Festival Tentang Cinta berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 9 Ogos 2025, bermula jam 8 malam.
Konsert berskala besar ini bukan sahaja menjanjikan persembahan penuh emosi, malah bakal menghimpunkan barisan artis ternama dari dalam dan luar negara dalam satu malam yang penuh magis dan bermakna.
Penganjuran acara ini diketuai oleh Extreme Visionary Venture dengan kerjasama erat daripada Tourism Malaysia, serta disokong oleh rakan strategik Fazbuzz Events & Media Sdn. Bhd. dan platform penjualan tiket rasmi, Ticket2U.
Antara daya tarikan utama konsert ini ialah kehadiran penyanyi sensasi dari Indonesia, Andmesh, yang terkenal menerusi lagu-lagu cinta menyentuh jiwa.
Bersama beliau ialah bintang muda bersuara unik, Ziva Magnolya, yang mula mencuri perhatian ramai selepas meraih tempat ketiga dalam rancangan realiti Indonesian Idol musim ke-10.

Dikenali dengan gaya vokal dinamik dan teknik ‘riffs & runs’ yang mengagumkan, Ziva terus mencipta nama menerusi lagu-lagu hit seperti Terlukis Indah dan Peri Cintaku, yang turut mendapat sambutan hangat di Malaysia.
Ziva juga pernah menggegarkan pentas antarabangsa apabila berduet bersama penyanyi Jeremy Passion di Ramadan Jazz Festival 2019.
Popularitinya semakin menyerlah apabila meraih pelbagai pengiktirafan muzik, termasuk Anugerah Musik Indonesia (AMI), menjadikannya antara bintang muda paling berpengaruh dalam industri hiburan Indonesia.
Festival ini turut menyaksikan penampilan artis-artis popular tempatan seperti Hael Husaini dan Ara Johari yang tidak asing lagi dengan lagu-lagu bertemakan cinta.

Lebih istimewa, dua bintang kelahiran Sabah Adira dan Mary Grace turut bakal menghangatkan pentas.
Adira yang dikenali menerusi kekuatan vokalnya, dan Mary Grace yang semakin mencipta nama dalam dunia seni, adalah lambang kebanggaan Sabah dalam industri hiburan nasional.
Penerbit konsert, Dato’ Suhaila Semaru berkata, Festival Tentang Cinta bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi turut bertujuan memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri.
“Kami merancang festival ini sebagai satu inisiatif yang menyatukan cinta dan muzik dalam satu pengalaman penuh makna.
“Selain menampilkan barisan artis hebat, festival ini juga menjadi platform penting untuk mengetengahkan bakat tempatan kepada khalayak lebih luas,” katanya.
Katanya, penganjuran festival ini juga disokong penuh oleh Tourism Malaysia dalam usaha memperkukuh pelancongan domestik menerusi acara berskala besar yang berimpak tinggi kepada ekonomi tempatan, khususnya dalam sektor hiburan dan hospitaliti.
Konsert ini menampilkan konsep susun atur tempat duduk yang unik dan bertemakan cinta, yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu:
-Kategori VVIP – Tentang Kita (Tempat duduk bernombor) – RM988
-Kategori VIP – Kau dan Aku (Tempat duduk bernombor) – RM488
-Kategori Gold – Jomblo (Tempat duduk bebas) – RM288
-Kategori Silver – Mencari Cinta (Berdiri bebas) – RM158

Nama-nama kategori ini bukan sahaja memberikan sentuhan kreatif, tetapi turut menghidupkan suasana dan emosi cinta dalam kalangan penonton, menjadikan festival ini lebih daripada sekadar hiburan ia adalah sebuah pengalaman emosi yang menyeluruh.
Tiket boleh dibeli bermula 9 Mei 2025 melalui laman rasmi www.ticket2u.com.my dan dijangka mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat muzik dari seluruh negara dan rantau ini.

Festival Tentang Cinta bukan sahaja meraikan cinta dalam pelbagai bentuk cinta terhadap seni, suara, dan emosi tetapi juga memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi hiburan bertaraf antarabangsa.
Konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti pada tahun ini.

