25.3 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

‘Raise The Star Malaysia’ kembali, 5 komposer terkemuka berganding bahu cungkil bakat vokal tempatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro sekali lagi tampil memperkenalkan program hiburan yang segar dan inovatif dengan pelancaran Raise The Star Malaysia, sebuah pertandingan muzik digital pertama seumpamanya di Malaysia yang menyatukan lima komposer ternama tanah air bersama bakat vokal baharu yang bakal mencorak masa depan industri muzik tempatan.

Program ini menawarkan platform unik kepada individu berbakat dalam bidang nyanyian untuk diketengahkan menerusi cabaran mingguan yang penuh warna-warni dan transformasi.

Sepanjang lapan minggu bersiaran, 30 peserta terpilih akan bersaing untuk menambat hati juri profesional serta peminat menerusi undian dalam talian, bagi memastikan tempat mereka kekal di carta tertinggi dan terus mara dalam pertandingan.

Menariknya, Raise The Star Malaysia turut menampilkan lima nama besar dalam dunia muzik tanah air sebagai komposer dan mentor iaitu Ajai, Aina Abdul, Shila Amzah, Audi Mok dan Ikhwan Fatanna yang bukan sahaja akan membimbing peserta, tetapi juga mencari suara paling sesuai untuk menghidupkan lagu-lagu ciptaan eksklusif mereka.

Sesi uji bakat bagi program ini telah dibuka dalam dua format iaitu secara dalam talian dan fizikal.

Bagi uji bakat dalam talian, penyertaan telah dibuka bermula 1 hingga 8 Mei 2025 melalui platform media sosial dengan penggunaan tanda pagar #RaiseTheStarMY.

Manakala, uji bakat secara fizikal pula diadakan pada 10 dan 11 Mei di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, bermula seawal jam 8 pagi.

Penyertaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, berbakat dalam bidang nyanyian dan mempunyai personaliti menarik tanpa mengira kaum.

Program ini dijadualkan mula bersiaran pada 22 Jun 2025 di saluran Astro Ria (104) dan turut boleh distrim melalui Astro GO, sooka, On Demand serta Astro Gempak.

Ia akan bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam, selama lapan episod sehingga 10 Ogos 2025.

Raise The Star Malaysia bukan sekadar pertandingan nyanyian, tetapi sebuah inisiatif holistik yang berteraskan pembangunan bakat, pengiktirafan karya seni dan kolaborasi kreatif antara generasi baharu dengan penggiat muzik berpengalaman.

U Mobile tampil sebagai penaja utama program ini, menzahirkan sokongan terhadap pembangunan industri kreatif digital serta memperkasakan lebih ramai artis baharu melalui peluang eksklusif ini.

Astro menyeru orang ramai agar tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan perjalanan epik para peserta Raise The Star Malaysia, dari pentas uji bakat hingga ke malam kemuncak.

Program ini bukan sahaja menjanjikan hiburan berkualiti tinggi, tetapi juga detik-detik mengujakan yang bakal mencetus fenomena baharu dalam landskap hiburan Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai program dan penyertaan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di gempak.com/raisethestar.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular