editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur bakal menjadi saksi kepada sebuah ‘rampasan kuasa artistik’ yang belum pernah disaksikan dalam sejarah muzik tanah air.
Akim & The Majistret, kumpulan rock yang telah mengukir nama sebagai antara pemuzik paling berpengaruh dalam arus perdana Malaysia, akan tampil dengan konsert solo pertama mereka yang diberi judul penuh simbolik, Akim & The Majistret Rampas Kuala Lumpur, pada 28 Jun 2025 bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Pemilihan nama “Rampas Kuala Lumpur” bukan sekadar gimik promosi semata-mata, tetapi diangkat daripada lagu hit mereka, “Rampas”, yang membawa mesej keberanian dan kekuatan dua unsur penting yang mencerminkan identiti kumpulan ini.
Konsert ini bukan hanya sebuah persembahan biasa, sebaliknya ia adalah pengisytiharan rasmi bahawa Akim & The Majistret kini bersedia menduduki kedudukan utama dalam dunia muzik tanah air.
“Kami mungkin bawa lebih 25 lagu sepanjang konsert itu nanti,” kata Akim dalam nada yakin, membayangkan sebuah malam penuh ledakan muzik dan emosi.
Lebih 20 buah lagu akan dipersembahkan secara langsung dalam sebuah produksi yang dilihat bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menjadi platform luahan suara dan semangat muzik rock Malaysia kontemporari.
Menariknya, promosi konsert ini turut mengambil pendekatan luar biasa.
Akim & The Majistret tampil dalam karakter baharu sebagai “Komander Akim” dan barisan pemuzik lain sebagai “Tentera Majistret”, satu pasukan pemuzik elit yang bersatu atas satu misi utama untuk merampas Kuala Lumpur.
Mereka tidak bergerak bersendirian, malah menyeru orang awam untuk turut serta dalam misi ini dengan mengambil peranan sebagai “Perisik Majistret”, gelaran yang diberikan kepada semua pemegang tiket konsert ini.
Pemegang tiket bukan lagi sekadar penonton, tetapi menjadi sebahagian daripada naratif besar yang dibina khas untuk konsert ini.

Perisik Majistret akan menyumbang tenaga, suara dan semangat mereka dalam menjayakan rampasan ini melalui sorakan, nyanyian dan penyertaan dalam pelbagai misi yang akan diumumkan oleh Komander Akim menjelang hari konsert.
Permohonan untuk menjadi Perisik Majistret kini dibuka melalui laman web rasmi www.ticket2u.com.my/rampas.
Dengan setiap pembelian tiket, secara automatik seseorang dilantik menjadi perisik dan diberi akses kepada pelbagai keistimewaan, termasuk peluang menyertai cabutan bertuah, menerima barangan eksklusif dan menyertai kejutan misi khas menjelang hari konsert.
Konsert ini adalah hasil kolaborasi kreatif antara Akim & The Majistret bersama Racus Studio yang bertindak sebagai rakan kreatif rasmi.
Mereka mengetengahkan konsep immersive experience di mana setiap penonton diberikan peranan dalam jalan cerita keseluruhan konsert.
Pendekatan ini menjadikan Rampas Kuala Lumpur tidak sekadar acara muzik ia adalah sebuah dunia pengalaman yang dibina bersama-sama dengan peminat.
Konsep persembahan untuk konsert ini masih dirahsiakan sepenuhnya dan hanya akan didedahkan pada malam konsert kepada mereka yang benar-benar hadir sebagai Perisik Majistret.
Apa yang pasti, mereka dijanjikan satu pengalaman luar biasa yang tidak akan dilupakan.
Akim & The Majistret kini dianggotai oleh barisan pemuzik berkaliber termasuk Akim Ahmad (vokalis), Wan dari 6ixth Sense (dram), Freddy dari Hyper Act (gitar), Fairuz dari Sofazr (bass), Afiez Azam dari New Boyz (keyboard), serta Gjie dari 6ixth Sense dan Zimi dari Sofazr (gitar).

Harga tiket bermula dari RM159 untuk tempat duduk biasa (Kategori Mewangi), RM189 untuk zon berdiri (Kategori Saksama/Rockzone), manakala tiket VIP Kategori Potret yang berharga RM249 telah pun habis terjual.
Pembelian boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman web rasmi, dengan kaedah bayaran yang pelbagai termasuk kad debit/kredit, perbankan dalam talian (FPX), dan kemudahan pembelian secara ansuran melalui Atome dan SPayLater.
Menambah keterujaan, peminat turut berpeluang untuk mendapatkan tiket percuma dan barangan eksklusif dengan mengikuti akaun rasmi @showtagasia di Instagram dan TikTok, di mana pelbagai kempen dan kejutan akan dilancarkan dari semasa ke semasa menjelang hari konsert.
Dengan segala elemen ini muzik, penceritaan, peranan penonton dan misi kolektif Akim & The Majistret Rampas Kuala Lumpur bakal menjadi titik penting dalam evolusi persembahan muzik tanah air.
Ia bukan sekadar persembahan, tetapi satu gerakan yang menggambarkan semangat rock Malaysia yang tidak pernah luntur.

