editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Kumpulan pop sensasi tanah air, DOLLA, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharu mereka berjudul MWA!, sebuah karya penuh bertenaga yang menandakan permulaan fasa baharu dalam perjalanan seni mereka.
Dengan gabungan kreativiti segar, produksi mantap dan penampilan visual yang berani, lagu ini disifatkan sebagai antara rilisan paling menyerlah mereka setakat ini.
Dilancarkan bersama video muzik yang dinamik, MWA! turut menerima suntikan eksklusif menerusi kerjasama strategik bersama jenama kenderaan OMODA JAECOO yang tampil sebagai penaja rasmi.
Kolaborasi ini bukan sahaja menyemarakkan nilai estetika video muzik tersebut, malah mengangkat pelancaran ini ke tahap yang lebih tinggi dalam aspek visual dan promosi.
Lagu MWA! dihasilkan oleh barisan tenaga kreatif yang terdiri daripada Chelsea Warner, GASTON, Roland Lim Shi Jie, serta tiga ahli DOLLA sendiri iaitu Tabby, Sabronzo dan Angel.
Proses penerbitan dan susunan muzik pula dikendalikan oleh GASTON dan Roland Lim.
Menurut Angel, pengalaman bekerjasama semula bersama pasukan ini merupakan sesuatu yang cukup mengujakan.
“Sesi studio bersama Gaston berjalan lancar, kami banyak bereksperimen dengan pelbagai struktur dan bunyi proses kreatif kali ini sangat menyeronokkan.
“Tambahan pula, Chelsea Warner menyumbang idea-idea melodi yang begitu segar,” kata Angel yang turut mengakui kesemua ahli DOLLA terbabit secara menyeluruh dalam pembentukan lagu ini, menjadikannya lebih bermakna buat mereka.
Video muzik MWA! diarahkan oleh pengarah tempatan terkenal, Jasmine Wong, yang berjaya menghidupkan naratif aksi berkonsep ilusi dan heist, dengan setiap ahli DOLLA memainkan peranan tersendiri dalam plot dramatik berkenaan.
Angel tampil sebagai pejuang, Sabronzo sebagai pemain kad, manakala Tabby membawa watak dalang utama.
“Konsep kali ini lebih liar dan ‘unhinged’. Ia sangat berbeza dengan karya-karya kami sebelum ini,” kata Angel lagi.
Keunikan MWA! turut terserlah melalui kehadiran kereta OMODA JAECOO yang memainkan peranan penting dalam keseluruhan video muzik berkenaan.
“Dari babak pertama hingga akhir, OMODA JAECOO sentiasa menjadi sebahagian daripada momen kami,” kata Tabby, yang turut melahirkan penghargaan kepada jenama itu atas sokongan padu mereka.
Berkongsi tentang proses penciptaan lagu, Sabronzo berkata, MWA! bermula hanya dengan sebuah idea asas.
Dari situ, ia dibina secara berperingkat sehingga menjadi lagu penuh yang kini dipersembahkan kepada peminat.
“Hasil akhirnya benar-benar menggambarkan visi kami,” katanya.

Tabby pula berkata, MWA! hanyalah permulaan kepada lebih banyak karya yang akan dilancarkan tahun ini.
“Kami anggap 2025 sebagai ‘tahun lagu DOLLA’. Banyak lagi lagu baharu bakal menyusul dan kami sangat teruja untuk membawakannya ke pentas serta berkongsi dengan lebih ramai pendengar,” katanya dengan penuh semangat.
Single MWA! kini boleh didapati di semua platform penstriman digital bermula 5 Mei 2025, manakala video muzik rasmi telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi DOLLA.
Kemuncak kepada pelancaran ini ialah penganjuran acara khas The MWA! Heist yang mengambil alih kawasan Bukit Bintang pada 10 Mei lalu.
Aktivasi kreatif itu berlangsung di Bukit Yayasan Selangor dengan pelbagai aktiviti imersif yang menghidupkan elemen-elemen utama dari video muzik berkenaan.
Antara sorotan acara termasuk persembahan tarian rawak, pameran visual, serta persembahan sulung lagu MWA! secara langsung oleh DOLLA menjadikan ia satu pengalaman unik yang membawa muzik dan pergerakan terus ke jalanan.
Dengan semangat baharu, produksi bermutu tinggi dan gaya persembahan yang semakin matang, DOLLA dilihat bersedia mengukir fasa baharu yang lebih menyerlah dalam dunia muzik tempatan dan serantau.

