28.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 23, 2026
Home Blog Page 5

KL Headline Season 2026 pacu Kuala Lumpur sebagai destinasi konsert Asia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi utama hiburan langsung di Asia apabila dipilih sebagai lokasi penganjuran pelbagai konsert antarabangsa berskala besar menerusi pelancaran KL Headline Season 2026 oleh Live Nation Malaysia.

Inisiatif strategik yang dibangunkan bersama PR Worldwide, Tourism Malaysia dan CelcomDigi itu dijangka menjadi pemangkin baharu kepada industri hiburan langsung negara sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi kreatif Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menerusi KL Headline Season 2026, Kuala Lumpur bakal menjadi tuan rumah kepada 25 persembahan muzik antarabangsa sepanjang tahun ini membabitkan enam venue utama dengan anggaran kehadiran lebih 500,000 peminat muzik dari Malaysia dan seluruh rantau Asia.

Barisan artis antarabangsa yang bakal membuat persembahan termasuk nama besar seperti LANY, Laufey, Bryan Adams, DAY6, TREASURE dan Daniel Caesar, selain konsert berskala stadium membabitkan Post Malone, The Weeknd dan BTS yang dijangka menarik ribuan peminat dari dalam serta luar negara.

Penganjuran siri konsert berskala mega ini turut memperlihatkan kemampuan Kuala Lumpur untuk menjadi hab utama jelajah artis antarabangsa di Asia, setanding dengan bandar raya utama lain di rantau ini seperti Bangkok, Singapura dan Seoul.

Selain menawarkan pengalaman hiburan bertaraf dunia, KL Headline Season 2026 juga dilihat sebagai pemacu penting kepada industri pelancongan negara.

Selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan 47 juta pelancong antarabangsa, acara hiburan langsung kini memainkan peranan besar dalam mempengaruhi pilihan destinasi pelancong global.

Fenomena pelancongan berasaskan pengalaman dilihat semakin berkembang apabila peminat muzik sanggup merentas negara untuk menghadiri konsert artis kegemaran mereka.

Situasi ini secara tidak langsung meningkatkan tempoh penginapan pelancong serta merangsang perbelanjaan dalam sektor hotel, penerbangan, peruncitan dan makanan serta minuman.

Melalui kerjasama strategik bersama pemain industri pelancongan, hospitaliti dan gaya hidup, pengunjung yang hadir ke Kuala Lumpur bukan sahaja menikmati persembahan muzik, malah berpeluang merasai pengalaman budaya, gastronomi dan gaya hidup urban yang menjadi identiti ibu negara Malaysia.

Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, hiburan langsung kini menjadi komponen penting dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bernilai tinggi.

Menurut beliau, konsert dan acara berskala besar bukan sahaja berjaya menarik pelancong antarabangsa, malah memberi limpahan ekonomi kepada keseluruhan ekosistem pelancongan termasuk sektor hospitaliti dan komuniti perniagaan tempatan.

“Kuala Lumpur berada dalam kedudukan terbaik untuk menyokong pertumbuhan ini dan kami mengalu-alukan kerjasama berterusan bersama rakan industri termasuk Live Nation bagi memperluaskan penawaran acara hiburan langsung negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Paramananthan Rajagopal berkata, muzik langsung mempunyai kuasa untuk menghubungkan artis dan peminat menerusi pengalaman yang meninggalkan kenangan mendalam.

Beliau berkata, KL Headline Season 2026 menjadi langkah penting dalam membina ekosistem hiburan langsung yang konsisten di Kuala Lumpur sekali gus menjadikan ibu negara sebagai hentian tetap bagi jelajah artis antarabangsa di Asia.

“Dengan membawa lebih banyak artis global ke Kuala Lumpur, kami bukan sahaja mencipta pengalaman hiburan bertaraf dunia, malah membantu memperkukuhkan ekosistem pelancongan dan ekonomi kreatif negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Perkhidmatan Jenama dan Pemasaran CelcomDigi, Chan May Ling berkata, muzik secara langsung kini menjadi medium penting yang menyatukan rakyat Malaysia menerusi pengalaman dan minat bersama.

Menurut beliau, kerjasama bersama KL Headline Season 2026 membolehkan lebih 20 juta pelanggan CelcomDigi menikmati akses lebih mudah kepada pengalaman hiburan bertaraf dunia melalui sokongan rangkaian telekomunikasi syarikat itu.

“Kami mahu membawa pengalaman hiburan yang lebih dekat kepada rakyat Malaysia sambil memastikan ia boleh diakses secara lebih meluas oleh peminat di seluruh negara,” katanya.

Antara acara yang telah diumumkan bagi baki tahun 2026 termasuk persembahan BUS di Zepp Kuala Lumpur pada 19 Mei, Vir Das di Plenary Hall KL Convention Centre pada 23 Mei, Daniel Caesar di Idea Live Arena dari 24 hingga 26 Mei serta TREASURE di Unifi Arena pada 30 Mei.

Selain itu, peminat muzik juga bakal disajikan dengan persembahan Anson Seabra, Laufey dan Kodaline sebelum konsert mega Post Malone pada 27 September di TM Stadium Nasional.

Keterujaan dijangka memuncak pada November dan Disember apabila The Weeknd serta BTS bakal menggegarkan TM Stadium Nasional menerusi persembahan berskala stadium yang dijangka menjadi antara acara hiburan terbesar tahun ini.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket konsert, orang ramai boleh melayari laman rasmi Live Nation Malaysia di https://www.livenation.my/.

Ernie Zakri hayati emosi dalam OST Khadam ‘Tak Berlagu’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Filem seram dramatik Khadam terus mencuri perhatian apabila melancarkan lagu tema rasmi berjudul Tak Berlagu, sebuah karya penuh emosi yang mengangkat kisah kehilangan, kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu menerusi gabungan muzik yang menyentuh jiwa.

Dipersembahkan oleh penyanyi terkenal, Ernie Zakri, lagu itu menjadi nadi emosi kepada filem Khadam dengan menampilkan perjalanan perasaan watak utama, Melor, yang sarat dengan penderitaan, harapan dan doa demi melindungi insan tersayang.

Lagu Tak Berlagu dihasilkan menerusi kerjasama komposer Rendra Zawawi dan NJWA, manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh NJWA.

Susunan muzik dan melodi dibentuk secara terperinci bagi menggambarkan perkembangan emosi watak dari awal hingga penghujung cerita.

Penerbit Eksekutif Khadam, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, kekuatan utama lagu itu terletak pada pembinaan emosi dan susunan muzik yang bergerak selari dengan jalan cerita filem.

“Apa yang menjadikan susunan muzik ini istimewa adalah garapan melodi dan ritmanya yang dibina dengan jelas dari segi teknik dan emosi, seiring dengan jalan cerita serta perjalanan watak utama iaitu Melor,” katanya.

Berbeza dengan kebanyakan filem seram yang sering bergantung kepada elemen kejutan, Khadam tampil dengan pendekatan lebih mendalam menerusi penceritaan berasaskan emosi dan suasana, dengan muzik memainkan peranan penting dalam membina pengalaman penonton.

Menurut Rendra Zawawi, lagu berkenaan berkembang daripada elemen kesunyian yang menjadi asas kepada emosi watak dalam filem berkenaan.

“Dalam Khadam, muzik dibina untuk menyampaikan emosi dengan tepat. Tak Berlagu berkembang daripada ruang sunyi yang menjadi asas kepada perasaan watak,” katanya.

Beliau turut memuji kerjasama bersama NJWA yang disifatkan berjaya memperhalusi sentuhan emosi dalam lagu tersebut menerusi perspektif seorang ibu.

“Sebagai seorang ibu, NJWA berjaya menzahirkan melodi dengan rasa yang lebih dekat dan jujur,” katanya.

Dari sudut teknikal, Tak Berlagu turut menampilkan sentuhan bertaraf antarabangsa apabila proses adunan dilakukan oleh Alvin Wee, anak kelahiran Malaysia yang kini menetap di Los Angeles, manakala proses mastering disempurnakan oleh pemenang Anugerah Grammy, Jett Galindo.

Lagu berkenaan juga dirakam menggunakan orkestrasi alat muzik akustik secara langsung seperti piano, violin, viola, cello dan double bass bagi menghasilkan pengalaman audio yang lebih menyeluruh serta dramatik.

Bagi Ernie Zakri, penglibatannya dalam lagu itu hadir daripada hubungan emosi yang kuat terhadap jalan cerita filem Khadam, terutama sebagai seorang ibu.

“Saya terpanggil kerana jalan cerita ini sangat dekat dengan perasaan saya sebagai seorang ibu.

“Apabila mengetahui ia adalah kerjasama antara Rendra dan NJWA, saya terus yakin untuk menerimanya,” katanya.

Menurut Ernie, penghayatan terhadap watak Melor memberi kesan mendalam sepanjang proses rakaman sehingga beliau tidak mampu menahan air mata.

“Sepanjang rakaman, air mata saya tidak berhenti mengalir kerana saya benar-benar dapat merasai emosi itu,” katanya.

Tak Berlagu adalah hasil kolaborasi antara Komet Productions, Red Communications dan Universal Music Malaysia yang menggabungkan kepakaran dalam produksi filem, komunikasi strategik dan penerbitan muzik.

Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng berkata, kekuatan penceritaan dalam filem Khadam menjadi faktor utama yang menjadikan projek berkenaan istimewa.

“Filem Khadam menitik beratkan penceritaan dalam lagu, dan muzik bukan dijadikan sekadar elemen sokongan sesebuah filem. Ini yang menjadikan projek ini amat menarik,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Ernie Zakri dibuat berdasarkan kemampuan vokalnya dalam menyampaikan emosi secara mendalam dan berkesan.

“Lagu ini berpaksi kepada vokal dan emosi, itu juga adalah kekuatan Ernie,” katanya lagi.

Pelancaran Tak Berlagu dilihat mampu memperluaskan lagi kehadiran Khadam dalam industri hiburan tempatan apabila bukan sahaja menonjol sebagai filem seram dramatik, malah sebagai karya yang memberi penekanan terhadap kekuatan emosi, ketelitian bunyi dan kualiti produksi.

Lagu Tak Berlagu kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala muzik video rasminya bakal dilancarkan dalam masa terdekat menerusi saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.

Filem Khadam pula dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun 2026.

UMNO Batu agih 600 paket daging korban kepada penduduk Parlimen Batu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Batu terus memperkukuh hubungan bersama masyarakat setempat apabila berjaya melaksanakan program ibadah korban Aidiladha menerusi penyembelihan enam ekor lembu yang memberi manfaat kepada lebih 600 penerima di sekitar Parlimen Batu.

Program korban yang berlangsung meriah itu menyaksikan peningkatan jumlah haiwan korban berbanding tahun lalu yang hanya membabitkan empat ekor lembu, sekali gus membolehkan lebih banyak paket daging korban diagihkan kepada penduduk kurang berkemampuan.

Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, pertambahan jumlah korban tahun ini mencerminkan rezeki serta sokongan berterusan pelbagai pihak dalam membantu masyarakat setempat sempena sambutan Aidiladha.

Menurut beliau, sebanyak lebih 600 paket daging korban berjaya disediakan dan diagihkan kepada warga Parlimen Batu yang memerlukan.

“Alhamdulillah tahun ini kita korbankan enam ekor lembu. Tahun lepas hanya empat ekor dan tahun ini rezeki bertambah.

“Lebih kurang 600 lebih paket daging korban dapat diagihkan kepada warga Parlimen Batu yang kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui selepas program.

Beliau berkata, pendekatan pengagihan pada tahun ini turut dilakukan secara lebih terbuka dan tersusun apabila UMNO Bahagian Batu memperkenalkan sistem pendaftaran menggunakan kod QR bagi memudahkan penduduk mendapatkan agihan daging korban.

Katanya, kaedah itu dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai penduduk dalam kawasan Parlimen Batu berpeluang menerima sumbangan tanpa perlu melalui cawangan-cawangan tertentu.

“Kaedah pengagihan kali ini agak berbeza sedikit. Kami tidak melalui cawangan-cawangan, tetapi buka kepada semua penduduk dalam Parlimen Batu melalui pendaftaran QR Code.

“Alhamdulillah, respon begitu baik sekali diterima,” katanya lagi.

Program berkenaan turut mendapat sokongan padu kira-kira 200 urus setia daripada pelbagai peringkat UMNO Bahagian Batu termasuk cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri yang berganding bahu memastikan kelancaran proses penyembelihan serta pengagihan daging korban.

Sebagai tanda penghargaan kepada petugas yang bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan, pihak penganjur turut menyediakan juadah makan malam khas buat semua sukarelawan dan urus setia yang terbabit.

Dalam pada itu, Gulam turut melahirkan rasa terharu terhadap sambutan luar biasa penduduk setempat yang hadir lebih awal bagi mendapatkan agihan daging korban.

Menurut beliau, orang ramai mula beratur panjang seawal jam 4 petang walaupun edaran asal dijadualkan bermula sekitar jam 5 petang.

“Saya begitu terharu kerana sambutan kali ini sangat baik. Saya jangkakan jam 5 petang baru buat edaran, tetapi jam 4 lebih orang ramai sudah beratur panjang untuk ambil sumbangan daging korban ini,” katanya.

Beliau berkata, pengagihan dilakukan berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat memandangkan jumlah paket yang disediakan adalah terhad.

Ketika program sedang berlangsung, sebahagian besar daripada lebih 600 paket yang disediakan telah berjaya diagihkan kepada penerima.

Dalam masa sama, Gulam turut memohon maaf kepada mana-mana penduduk yang tidak sempat menerima sumbangan daging korban pada kali ini berikutan sambutan yang amat menggalakkan.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan UMNO Bahagian Batu akan menambah baik pelaksanaan program korban pada tahun hadapan termasuk meningkatkan jumlah sumbangan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk di kawasan Parlimen Batu.

“Kalau ada yang tidak dapat, saya mohon maaf. Insya-Allah tahun depan kita akan memperbaiki dan menambah sumbangan daging korban kepada penduduk-penduduk dalam Parlimen Batu,” katanya.

Program korban itu sekali lagi membuktikan komitmen berterusan UMNO Bahagian Batu dalam menyemarakkan semangat kebersamaan, memperkukuh hubungan komuniti serta membantu golongan memerlukan sempena sambutan Aidiladha.

Karnival Qurban Tayyib Ranch 2026 agih 6,000 pek daging korban

editormaxinfo@gmail.com

BANTING – Sambutan Aidiladha tahun ini kian meriah apabila Tayyib Ranch menganjurkan Karnival Qurban Tayyib Ranch 2026 yang berlangsung di Tayyib Ranch Feedlot, Banting, dengan penglibatan sebanyak 200 ekor lembu termasuk lebih 10 ekor lembu sado bagi ibadah korban dan program kebajikan masyarakat.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 27 Mei hingga 28 Mei 2026 itu bukan sahaja menjadi platform pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha, malah turut menghimpunkan masyarakat setempat, sukarelawan, peserta korban serta pengunjung dalam suasana penuh kemeriahan dan semangat kebersamaan.

Aktiviti korban pada hari pertama berlangsung kira-kira jam 9 pagi sehingga 12 malam, manakala hari kedua akan bermula seawal jam 6 pagi hingga 12 malam.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai aktiviti komuniti dan jamuan percuma turut disediakan kepada orang ramai yang hadir.

Pengarah Urusan Kumpulan Tayyib Ranch Sdn Bhd, Dr Lui Sze Chiang berkata, sambutan terhadap program korban tahun ini amat menggalakkan dengan peningkatan permintaan khususnya bagi kategori lembu sado.

Menurut beliau, pada tahun lalu pihaknya berjaya menjual sekitar 15 ekor lembu sado, namun jumlah itu meningkat hampir 20 ekor pada tahun ini, sekali gus menunjukkan peningkatan minat masyarakat terhadap baka premium untuk ibadah korban.

Beliau berkata, Tayyib Ranch kini memiliki lebih daripada 15 baka lembu termasuk baka terkenal seperti Limousin, Charolais dan Brahman yang menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia.

Selain itu, pihaknya turut memelihara beberapa baka premium dan jarang ditemui di negara ini seperti Wagyu Cross, Black Angus, Blonde d’Aquitaine, Indo-Brazil serta Beefmaster.

“Untuk pasaran Malaysia, baka yang paling popular masih lagi Limousin dan Charolais kerana saiz serta kualiti dagingnya yang baik untuk ibadah korban,” katanya ketika ditemui sempena program itu.

Tambah beliau, keseluruhan proses penyembelihan dan pemprosesan dikendalikan secara sistematik dengan pembahagian pasukan khas membabitkan penyembelihan, pemotongan, pembungkusan dan logistik bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang program berlangsung.

Menurutnya lagi, lebih 150 hingga 200 petugas dan sukarelawan terbabit sepanjang karnival berlangsung termasuk penduduk kampung sekitar Banting yang saban tahun membantu menjayakan program korban anjuran Tayyib Ranch.

“Setiap pasukan mempunyai tugasan tersendiri. Ada pasukan penyembelihan, pasukan melapah, pemotongan dan pembungkusan.

“Sambutan masyarakat setempat juga sangat baik kerana ramai sukarelawan daripada kampung sekitar turut membantu operasi korban,” katanya.

Dalam masa sama, sebanyak 1,000 pek daging korban akan diagihkan setiap hari kepada pengunjung secara percuma di tapak karnival bermula jam 12 tengah hari hingga 10 malam berdasarkan konsep “first come, first served”.

Selain agihan kepada pengunjung, Tayyib Ranch turut menyediakan antara 5,000 hingga 6,000 pek daging korban amal untuk diedarkan kepada masyarakat di beberapa kawasan termasuk Banting, Kuala Selangor, Hulu Langat, Klang, Kapar, Kuala Lumpur, Seremban, Rembau dan Kuala Pilah.

Menurut Dr Lui Sze Chiang, sebahagian besar daripada jumlah lembu yang dikorbankan adalah sumbangan kebajikan pihak syarikat sendiri bagi tujuan sedekah dan bantuan komuniti sempena Aidiladha.

“Kita bukan sahaja menguruskan korban pelanggan, tetapi Tayyib Ranch sendiri turut memperuntukkan lembu korban untuk tujuan amal dan kebajikan masyarakat,” katanya lagi.

Katanya, pengunjung yang hadir ke Karnival Qurban Tayyib Ranch 2026 turut berpeluang menikmati jamuan korban percuma yang disediakan sepanjang dua hari program berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Kita akan terus memasak untuk pengunjung selagi ada permintaan kerana Tayyib Ranch mempunyai dapur sendiri di lokasi program,” katanya.

Pihak Tayyib Ranch turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pelanggan, sukarelawan, petugas dan masyarakat setempat yang bersama-sama menjayakan program korban tahun ini.

Program berkenaan dilihat bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidiladha, malah memperkukuhkan nilai kebersamaan, semangat gotong-royong dan budaya berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat.

PU Riz jayakan program Quranic Madani di Rumah Titian Kaseh

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Inisiatif program Quranic Madani yang digerakkan oleh pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail terus mendapat sambutan positif apabila siri pertamanya berjaya dilaksanakan di Rumah Titian Kaseh baru-baru ini dalam usaha memperkukuhkan pendidikan al-Quran dalam kalangan golongan asnaf dan masyarakat kurang berkemampuan.

Program yang berteraskan pengajaran al-Quran serta ilmu tajwid itu menghimpunkan penghuni rumah kebajikan berkenaan, termasuk kanak-kanak dan remaja berusia seawal lapan tahun hingga belasan tahun.

Inisiatif itu dilihat sebagai platform penting dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja celik al-Quran, malah mampu membaca kitab suci itu dengan baik dan bertajwid.

Menurut PU Riz, pelaksanaan Quranic Madani adalah satu usaha murni yang diharap dapat diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan lebih ramai masyarakat mendapat akses kepada pendidikan agama secara menyeluruh.

Beliau berkata, sesi pengajaran yang berlangsung di Rumah Titian Kaseh itu berjalan dengan lancar dan memberikan manfaat kepada semua peserta yang hadir.

“Alhamdulillah, hari ini kita memulakan sesi Quranic Madani iaitu sesi pengajaran al-Quran dan tajwid di Rumah Titian Kaseh.

“Bermula dengan anak-anak sekecil usia lapan tahun sehingga remaja belasan tahun yang mengikuti kelas ini, secara keseluruhannya sesi berjalan dengan baik dan semua mendapat manfaat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan program berkenaan selari dengan aspirasi dan usaha yang digerakkan oleh pihak Kementerian Agama dalam membantu golongan asnaf serta masyarakat memerlukan, khususnya melalui pendekatan pendidikan agama dan kebajikan.

Menurut beliau, sokongan serta bantuan yang disalurkan kepada penghuni rumah kebajikan seperti Rumah Titian Kaseh membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan kesejahteraan ummah.

PU Riz turut merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan atas usaha berterusan kementerian dalam membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.

“Ini juga seiring dengan apa yang dilakukan oleh Kementerian Agama yang menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang berada di sini. Kita ucapkan tahniah,” katanya.

Beliau berharap program Quranic Madani dapat menjadi satu gerakan berterusan dalam melahirkan masyarakat yang lebih dekat dengan al-Quran serta menjadikan pembelajaran al-Quran sebagai budaya dalam kehidupan seharian.

“Semoga semua masyarakat di Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia dapat belajar al-Quran serta membaca al-Quran dengan baik,” katanya lagi.

Program Quranic Madani dijangka akan diperluaskan ke beberapa lagi lokasi di seluruh negara sebagai usaha mendekati masyarakat dan memastikan pendidikan al-Quran dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosial dan ekonomi.

Huawei, UM jalankan kajian risiko diabetes melalui Smartwatch

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Huawei Consumer Business Group Malaysia dan Universiti Malaya terus memperkukuhkan inovasi kesihatan pintar menerusi kerjasama strategik dalam penyelidikan teknologi wearable bagi menyokong pembangunan penjagaan kesihatan pencegahan yang lebih moden dan mudah diakses rakyat Malaysia.

Kerjasama bersejarah itu dimeterai menerusi majlis menandatangani memorandum perjanjian yang membabitkan kajian risiko diabetes menggunakan teknologi jam pintar melalui peranti terbaharu HUAWEI WATCH FIT 5 Pro.

Kolaborasi berkenaan adalah kerjasama penyelidikan pertama antara Universiti Malaya dan Huawei Consumer Business Group Malaysia, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memperluaskan pembangunan teknologi kesihatan pintar yang mampu meningkatkan kesedaran kesihatan serta menggalakkan gaya hidup lebih sihat dalam kalangan masyarakat.

Majlis menandatangani perjanjian itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya, Professor Ir. Dr. Kaharudin Dimyati bersama Pengarah Negara Huawei Consumer Business Group Malaysia, Patrick Ru.

Menurut Patrick Ru, Huawei percaya teknologi bukan sekadar menawarkan kemudahan dan sambungan digital, malah mampu memberikan nilai bermakna dalam kehidupan harian masyarakat.

Beliau berkata, kerjasama bersama Universiti Malaya itu diharap dapat membuka lebih banyak peluang dalam meneroka bagaimana teknologi wearable mampu membantu meningkatkan kesedaran kesihatan selain menggalakkan rakyat Malaysia mengambil pendekatan lebih proaktif terhadap penjagaan kesihatan dan kesejahteraan diri.

Kajian itu akan diketuai oleh Pengarah Eksekutif Jabatan Penyelidikan dan Kemajuan Klinikal serta Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Universiti Malaya, Professor Dr. Lim Lee Ling dan dijangka bermula dalam masa terdekat di Malaysia.

Penyelidikan yang berlangsung selama dua tahun itu akan memberi fokus kepada kajian berkaitan glukosa darah menerusi keupayaan teknologi wearable yang diintegrasikan dalam jam pintar Huawei, sekali gus memperkukuhkan peranan peranti pintar dalam menyokong inovasi penjagaan kesihatan pencegahan.

Menerusi inisiatif berkenaan, pengguna HUAWEI WATCH FIT 5 Pro bakal menjadi antara individu terawal yang boleh mendaftarkan minat untuk menyertai kajian berkenaan, manakala maklumat lanjut berkaitan penyertaan akan diumumkan oleh Universiti Malaya pada masa akan datang.

Sementara itu, Professor Ir. Dr. Kaharudin Dimyati berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Universiti Malaya dalam memperkasakan penyelidikan dan inovasi yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat.

Menurut beliau, gabungan kepakaran akademik bersama kemajuan teknologi wearable dilihat sebagai satu langkah besar ke arah meningkatkan penglibatan komuniti serta memperkasakan kesedaran penjagaan kesihatan pencegahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kerjasama itu turut memperkukuhkan komitmen Huawei dalam memperluaskan inovasi kesihatan pintar menerusi ekosistem wearable syarikat terbabit, khususnya dalam pembangunan ciri yang menyokong pemantauan kesihatan lebih bijak, kesedaran gaya hidup sihat dan pengalaman kesejahteraan menyeluruh kepada pengguna.

Dalam perkembangan sama, siri HUAWEI WATCH FIT 5 Series kini ditawarkan di Malaysia bermula pada harga RM799 dengan baucar diskaun awal sehingga RM150.

Peranti terbabit boleh didapati di semua HUAWEI Experience Store, Laman Rasmi Huawei Malaysia, HUAWEI Official Store Shopee, HUAWEI Flagship Store Lazada serta HUAWEI Official Store TikTok Shop.

Pelanggan turut menerima hadiah eksklusif bernilai sehingga RM585 termasuk HUAWEI FreeBuds SE 2, jaminan APAC selama setahun, keahlian HUAWEI Health+ selama tiga bulan serta langganan HUAWEI Watch Face Membership selama sebulan.

Cromok, Barbarik tampil tribute khas Kembara dalam ‘Black On White’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Peminat muzik rock dan metal tanah air bakal disajikan dengan sebuah persembahan luar biasa apabila dua nama besar industri muzik tempatan, Cromok dan Barbarik, bergabung menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik yang dijadual berlangsung pada 27 Jun ini di IdeaLive Arena.

Konsert anjuran KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik itu dijangka menjadi antara acara muzik rock paling dinantikan tahun ini apabila menghimpunkan dua kumpulan berpengaruh dengan identiti dan pendekatan muzik yang berbeza dalam satu pentas eksklusif.

Lebih menarik, Black On White bukan sekadar menampilkan persembahan biasa, sebaliknya hadir dengan konsep penceritaan dan pengalaman konsert yang lebih menyeluruh bagi memberikan kelainan kepada penonton.

Antara tarikan utama yang bakal mencuri perhatian ialah segmen tribute khas kepada kumpulan legenda Kembara yang akan dipersembahkan dengan susunan muzik lebih segar tanpa menghilangkan keaslian melodi asal.

Gitaris Barbarik, Jobranko berkata, idea segmen tribute itu tercetus sebagai penghormatan kepada kumpulan yang banyak mempengaruhi perjalanan muzik mereka sejak usia remaja selain mahu memberikan pengalaman berbeza kepada peminat.

Menurutnya, konsert berkenaan tidak hanya tertumpu kepada persembahan lagu semata-mata, sebaliknya membawa penonton menikmati sebuah pengalaman muzik yang lebih bermakna dan bertenaga.

Tambah beliau, lagu-lagu Kembara dipilih kerana karya kumpulan itu mempunyai mesej yang kuat, dekat dengan jiwa masyarakat serta masih relevan sehingga kini walaupun ada antaranya dianggap underrated dalam industri muzik tempatan.

“Segmen tribute berkenaan turut bakal menyaksikan gabungan khas antara Barbarik dan Cromok dalam beberapa persembahan eksklusif sebagai penghormatan kepada legasi Kembara,” katanya.

Sementara itu, anggota Cromok, Karl Cromok menyifatkan tribute berkenaan sebagai perjalanan nostalgia yang diberikan nafas baharu menerusi identiti muzik moden kedua-dua kumpulan.

Menurut beliau, lagu-lagu Kembara sememangnya dekat dengan kehidupan mereka sejak zaman remaja dan sentuhan rock yang lebih moden dijangka memberikan pengalaman berbeza kepada peminat yang hadir.

Selain segmen tribute khas itu, peminat turut bakal disajikan dengan kolaborasi eksklusif antara Cromok dan Barbarik termasuk persembahan single baharu daripada kedua-dua kumpulan yang akan dipersembahkan secara langsung buat pertama kali.

Dalam pada itu, Karl berkata, konsert Black On White turut mencipta kelainan tersendiri menerusi penggunaan konsep No Noise Digital Stage yang menggunakan teknologi persembahan digital sepenuhnya.

Menurut beliau, pendekatan itui menggunakan sistem audio digital tanpa penggunaan amplifier gitar atau dram akustik di atas pentas, sekali gus membolehkan bunyi yang lebih bersih dan pengalaman audio yang lebih berkualiti kepada penonton menerusi penggunaan sistem pemantauan in-ear monitor.

Bagaimanapun, Barbarik masih mengekalkan pendekatan persembahan konvensional mengikut identiti kumpulan itu sendiri menerusi penggunaan monitor wedges dan susunan pentas yang lebih organik, namun tetap dibantu teknologi mixer digital.

Perbezaan pendekatan antara kedua-dua kumpulan itu dijangka menjadi antara keunikan utama konsert Black On White yang menghimpunkan dua karakter muzik berbeza dalam satu persembahan berskala besar.

Konsert Black On White Cromok-Barbarik menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula RM175 bagi CAT 1, RM195 (CAT 2), RM250 (CAT 3), RM350 (CAT 4), RM480 (CAT 5) dan RM998 bagi pakej VIP (CAT 6).

Tiket boleh didapati menerusi MyArteez bagi kategori CAT 1, CAT 2 dan CAT 6, manakala kategori CAT 3, CAT 4 dan CAT 5 pula dijual menerusi Fantopia.

Konsert berkenaan turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures melalui Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik dan Dana Persembahan Muzik sebagai usaha memperkasa pembangunan industri kreatif tanah air.

Karl turut merakamkan penghargaan kepada The Heritage Club dan Royale Chulan Kuala Lumpur atas kerjasama dan penyediaan venue bagi sidang media konsert berkenaan.

Sempena penganjuran konsert itu, Royale Chulan Damansara turut menawarkan pakej penginapan eksklusif kepada peminat dengan harga bermula RM238 nett termasuk sarapan pagi, baucar makanan serta perkhidmatan shuttle percuma dari hotel ke lokasi konsert.

PEKABS perkukuh komuniti Putrajaya melalui program Jom Ronda PDRM

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Anggota Badan Beruniform Negeri Selangor (PEKABS) terus memperkukuhkan jaringan komuniti dan semangat kebersamaan masyarakat menerusi penganjuran Program Ramah Mesra “Jom Ronda” Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jalinan Kasih bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Presint 14H Putrajaya yang berlangsung dengan jayanya.

Program berkenaan menjadi platform penting dalam merapatkan hubungan antara masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta pasukan keselamatan demi mewujudkan komuniti yang lebih harmoni, selamat dan sejahtera selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sebagai sebuah pertubuhan kebajikan yang aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan, PEKABS sentiasa komited menyantuni masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Melalui pendekatan inklusif dan berteraskan semangat kebersamaan, PEKABS terus memainkan peranan aktif dalam membantu golongan memerlukan menerusi pelbagai inisiatif kebajikan, aktiviti kesukarelawanan, pembangunan komuniti serta program pengukuhan hubungan sosial.

Di Putrajaya, PEKABS turut memperluaskan gerak kerja komuniti menerusi platform Komuniti MADANI Putrajaya yang dilihat sebagai medium strategik untuk memperkukuhkan hubungan antara rakyat, komuniti setempat dan agensi kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi PEKABS, Mohd Hafiz Osman, pada 16 Mei lalu telah menerima Watikah Pelantikan Ketua Komuniti MADANI Zon 4 Putrajaya yang merangkumi kawasan Presint 12, Presint 14 dan Presint 15.

Watikah pelantikan itu telah disampaikan oleh Menteri Komunikasi sebagai tanda kepercayaan terhadap kepimpinan beliau dalam memperkasakan pembangunan komuniti di kawasan berkenaan.

Pelantikan itu dilihat sebagai satu amanah besar dalam usaha memperkukuhkan peranan masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai program pembangunan komuniti yang lebih tersusun, efektif dan memberi impak positif kepada penduduk setempat.

Menerusi platform Komuniti MADANI Zon 4 Putrajaya, PEKABS akan terus memanfaatkan peluang kerjasama strategik bersama Persatuan Penduduk Presint 14, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Presint 14, Surau Al-Istiqlal Presint 14 serta pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia bagi melaksanakan lebih banyak program kemasyarakatan dan aktiviti berimpak tinggi pada masa akan datang.

Dalam masa sama, PEKABS turut menyeru orang ramai untuk tampil menyertai pertubuhan itu sebagai sukarelawan dan ahli bagi membantu menjayakan pelbagai aktiviti kebajikan serta program komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat pelbagai lapisan usia dan kaum.

Menurut PEKABS, penglibatan masyarakat secara aktif amat penting dalam memastikan agenda kebajikan dan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan demi membentuk komuniti yang lebih prihatin, bersatu padu dan sejahtera.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai PEKABS sebagai sukarelawan atau ahli boleh menghubungi Setiausaha PEKABS, Siti Asmah di talian 016-221 9167 untuk maklumat lanjut.

Aaron Aziz sertai KARVA Travel, tawar pengalaman Umrah Premium dan mesra perubatan

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – KARVA Travel & Tours Sdn. Bhd. secara rasmi melancarkan operasinya di Malaysia dengan penyertaan pelakon dan usahawan terkenal, Datuk Aaron Aziz sebagai Pemilik Bersama dan Pengarah syarikat, sekali gus membuka lembaran baharu dalam industri pelancongan Islamik dan pengurusan Umrah premium di rantau ini.

Pelancaran rasmi syarikat itu memperlihatkan komitmen KARVA Travel dalam menawarkan pengalaman Umrah yang lebih tersusun, dibimbing secara langsung serta dilengkapi sokongan perubatan menyeluruh khususnya kepada jemaah warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik.

Bagi Aaron Aziz dan isterinya, Datin Diyana Halik, aspek penjagaan kesihatan dalam ibadah Umrah adalah perkara yang sangat dekat di hati mereka.

Pengalaman menguruskan ahli keluarga yang menjalani rawatan Dialisis Peritoneal Ambulatori Berterusan (CAPD) membuka mata pasangan itu mengenai pentingnya persediaan rapi, koordinasi perubatan yang sistematik dan keyakinan ketika bermusafir atau beribadah dalam keadaan kesihatan yang memerlukan perhatian khusus.

Pengalaman itu menjadi antara faktor yang memperkukuhkan keyakinan mereka terhadap visi dan pendekatan KARVA Travel dalam menyediakan pengalaman Umrah yang lebih inklusif, selamat dan penuh ketenangan kepada jemaah.

Menurut Aaron, pada usia yang semakin matang, beliau kini melihat perjalanan hidup sebagai satu amanah untuk dimanfaatkan ke arah membawa lebih banyak kebaikan kepada masyarakat.

“Pada usia mencecah 50 tahun, saya semakin memahami perjalanan hidup adalah satu amanah. Saya mahu menggunakan platform dan pengalaman yang ada untuk membawa lebih banyak kebaikan, mendekatkan diri kepada nilai Islamik serta berkongsi dakwah dengan cara yang positif dan penuh keikhlasan.

“Melalui KARVA Travel, saya berharap dapat membantu lebih ramai jemaah menunaikan Umrah dengan rasa tenang, yakin dan dibimbing dengan baik,” katanya.

Aaron berkata, pakej Umrah yang dijadualkan berlangsung dari 24 Jun hingga 4 Julai 2026, termasuk untuk warga Singapura itu antara usaha syarikat untuk memudahkan lebih ramai umat Islam menyahut panggilan ke Tanah Suci.

Menurutnya, KARVA Travel bukan sekadar membawa jemaah melancong, sebaliknya mahu memastikan setiap perjalanan menjadi pengalaman spiritual yang bermakna dan mampu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Kejayaan sebenar bukan lagi diukur melalui populariti atau pencapaian dunia semata-mata, tetapi bagaimana seseorang menggunakan pengaruh yang dimiliki untuk memberi manfaat kepada orang lain.

“Sepanjang penglibatan dalam dunia seni menerusi Aaron Aziz Production yang menghasilkan pelbagai filem, drama dan kandungan OTT, saya percaya seni juga mampu menjadi medium menyampaikan mesej positif kepada masyarakat.

“Semakin saya matang, semakin saya merasakan bahawa hidup ini perlu mempunyai tujuan yang lebih besar daripada sekadar hiburan.

“Saya mahu platform yang Allah berikan ini digunakan untuk mendekatkan manusia kepada nilai kasih sayang, persaudaraan, keikhlasan dan dakwah yang lembut,” katanya.

Ditubuhkan di Singapura pada tahun 2022, KARVA Travel Group Pte. Ltd. diterajui oleh selebriti Jai Wahab dan Rozza Ramli serta telah membina reputasi kukuh dalam pengurusan perjalanan Umrah dan pelancongan mesra Muslim secara holistik.

Syarikat itu dikenali menerusi pendekatan hospitaliti premium, pengurusan logistik yang tersusun serta penyediaan penjagaan perubatan secara peribadi kepada jemaah.

KARVA Travel juga mendapat perhatian menerusi program ikonik seperti “First Umrah” dan “All Ladies Umrah by Ustazah Liyana Musfirah” yang memberi bimbingan rapat kepada jemaah sepanjang perjalanan spiritual mereka.

Sebagai sebuah syarikat yang memberi fokus kepada pengalaman Umrah pertama, KARVA Travel komited membantu jemaah yang baru pertama kali menunaikan ibadah tersebut melalui pendidikan yang sistematik, sokongan emosi dan pengurusan operasi yang teliti.

Antara kemudahan yang ditawarkan termasuk kelas manasik komprehensif sebelum berlepas, bimbingan langkah demi langkah, asatizah berpengalaman, penginapan premium berhampiran Haramain serta pasukan sokongan khas di Singapura, Malaysia dan Arab Saudi.

Lebih menarik, syarikat itu turut menyediakan ketua rombongan yang mempunyai latihan dalam bidang perubatan bagi membantu jemaah warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti keperluan dialisis serta bantuan mobiliti.

“Visi kami adalah untuk menghapuskan sebarang kegusaran sepanjang perjalanan Umrah supaya tetamu Allah dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibadah dengan hati yang tenteram.

“Ramai yang bercita-cita menunaikan Umrah tetapi terhalang kerana takut berjalan sendiri atau berdepan isu kesihatan kronik.

“Di KARVA Travel, matlamat kami adalah memastikan setiap jemaah menerima bimbingan dan sokongan menyeluruh sejak awal persiapan lagi,” kata Aaron lagi.

Dalam masa sama, KARVA Travel turut memperkukuhkan program Umrah khas wanita menerusi kerjasama bersama Hayaa’ Network Pte. Ltd. sejak empat tahun lalu.

Program berkenaan bukan sekadar menawarkan pakej Umrah biasa, tetapi menyediakan ruang ibadah yang lebih selesa dan selamat untuk wanita sambil mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama jemaah.

Program dipimpin oleh Ustazah Liyana Musfirah yang membimbing jemaah dalam aspek ibadah dan hukum-hakam wanita secara dekat dan penuh kasih sayang.

Pengisian turut disokong oleh psikoterapis dan pengasas Hayaa’ Network, Maimunah Mosli yang membantu menjaga kesejahteraan emosi dan mental para jemaah sepanjang perjalanan.

KARVA Travel turut bekerjasama dengan pelbagai rakan strategik antarabangsa termasuk Saudia Airlines, Malaysia Airlines, Emirates, Qatar Airways dan Turkish Airlines selain menyediakan penginapan bertaraf empat dan lima bintang di Makkah dan Madinah.

Selain perkhidmatan Umrah dan Haji, syarikat itu juga menawarkan pakej pelancongan mesra Muslim, perjalanan peribadi, perkhidmatan Qurban dan Badal Umrah serta perjalanan berunsurkan pendidikan dan spiritual.

Dengan pelancaran rasmi di Kuala Lumpur, KARVA Travel Malaysia menyasarkan untuk menjadi antara jenama paling dipercayai dalam industri pelancongan Islamik dan pengurusan Umrah di rantau ini menerusi pengalaman perjalanan yang lebih eksklusif, selamat dan dipenuhi nilai spiritual.

Maklumat lanjut mengenai pakej dan perkhidmatan KARVA Travel boleh didapati menerusi laman rasmi KARVA Travel Malaysia iaitu www.karvatravel.com/my