29 C
Kuala Lumpur
Friday, April 10, 2026

Talk To My Manager musim 2 kembali, Astro lancar kem TTMM cungkil bakat baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Susulan kejayaan luar biasa musim sulungnya, Astro Malaysia Holdings Berhad kembali menghangatkan industri hiburan tempatan dengan pelancaran musim baharu program realiti popular, Talk To My Manager (TTMM), yang tampil dengan skala lebih besar, penyertaan lebih mantap serta inisiatif baharu dalam pembangunan bakat generasi masa hadapan.

Tidak sekadar meneruskan format pertandingan yang mendapat sambutan hangat penonton, musim kedua ini turut memperkenalkan pendekatan lebih menyeluruh apabila Astro menganjurkan TTMM Experience, sebuah kem latihan eksklusif yang direka khas untuk mencungkil dan memupuk bakat baharu dalam industri hiburan tanah air.

Meneruskan momentum kejayaan musim pertama yang berjaya menambat hati penonton menerusi gabungan elemen kompetitif dan persembahan bertenaga, Talk To My Manager Musim 2 dijangka terus mencipta fenomena apabila menampilkan lebih ramai selebriti bersama anak-anak mereka dalam konsep unik berteraskan hubungan kekeluargaan.

Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh berkata, program ini bukan sekadar sebuah pertandingan hiburan, sebaliknya menjadi platform yang meraikan legasi seni, bakat serta ikatan kekeluargaan yang jarang dipaparkan kepada umum.

Menurut beliau, sambutan luar biasa terhadap musim pertama membuktikan bahawa format yang mengetengahkan hubungan antara selebriti dan anak mereka berjaya menarik perhatian penonton, di samping membuka ruang kepada generasi baharu untuk menyerlah dalam industri.

“Talk To My Manager bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah pentas yang mengangkat nilai kekeluargaan dan bakat.

“Kami yakin musim kedua ini akan terus memikat hati penonton dengan gandingan istimewa serta pelbagai kejutan yang lebih mengujakan,” katanya.

Musim terbaharu ini mengekalkan konsep ikonik ‘pass-the-baton’, yang menyaksikan selebriti bertindak sebagai “manager” kepada anak-anak mereka yang berbakat sebagai “artis”.

Setiap persembahan bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi cerminan kepada bimbingan, kepercayaan serta keserasian antara dua generasi, sekali gus menjadikan setiap detik di pentas lebih bermakna.

Antara pasangan ‘manager-artist’ yang bakal mencuri perhatian termasuk Adira Suhaimi bersama Anggrek, Ani Maiyuni dan Viviana, A. Aida bersama Azeva, Fazley Yaakob dan Fariedz Fazley, Hasmiza Othman bersama Cik B, Jamilulhayat Abdul Hamid dan Hussain, Linda Jasmine bersama Ratu, Nana Mahazan bersama Althea, Azad Jasmin bersama Amarra serta Safura Yaacob bersama Kim Khairii.

Program ini turut dimeriahkan dengan kembalinya Aznil Nawawi sebagai pengacara, bersama barisan juri tetap Sarimah Ibrahim dan AC Mizal yang terus memainkan peranan penting dalam memberikan penilaian profesional serta panduan kepada peserta.

Talk To My Manager Musim 2 akan mula bersiaran secara langsung pada 19 April 2026, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), dengan siaran berlangsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.

Program ini juga boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan sooka.

Dalam usaha memperluas impak program ini, Astro turut memperkenalkan TTMM Experience, iaitu kem latihan eksklusif selama dua hari satu malam yang bakal berlangsung sejurus tamat musim kedua.

Inisiatif ini membuka peluang kepada ibu bapa dan anak-anak untuk merasai pengalaman sebenar dunia hiburan melalui latihan intensif yang sebelum ini hanya ditawarkan kepada peserta program realiti Astro.

Sepanjang kem itu, peserta akan dibimbing oleh barisan selebriti, mentor profesional serta pakar industri menerusi pelbagai aktiviti interaktif yang memfokuskan kepada kemahiran persembahan, nyanyian dan pembinaan keyakinan diri di pentas.

Inisiatif ini dilihat sebagai platform pembangunan bakat yang berpotensi melahirkan bintang baharu dalam industri hiburan tempatan.

Selain itu, musim baharu ini turut mengekalkan format penjurian profesional sepenuhnya dengan pecahan 60 peratus kepada kecekapan pengurusan dan strategi ‘manager’, manakala 40 peratus lagi dinilai berdasarkan kualiti persembahan serta vokal ‘artis’.

Elemen undian dalam talian juga diperkenalkan bagi memberi kelebihan tambahan kepada pasangan pilihan penonton.

Program ini disokong oleh Eskayvie sebagai penaja utama, selain kolaborasi bersama Astro Gempak sebagai rakan digital dan ERA sebagai rakan radio rasmi.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular