editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Konsert For You Nourul mengumumkan kehadiran artis undangan istimewa, Mimifly, yang bakal memeriahkan malam 30 Mei 2026.
Mimifly meluahkan keterujaannya kerana dapat berkongsi pentas dengan Nourul Depp, yang sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepadanya sepanjang kerjaya seni.
“Bila Kak Nourul kata nak buat konsert, saya sangat teruja dan gembira kerana saya membesar dengan mendengar lagu Kak Nourul. Kita akan berikan yang terbaik untuk peminat,” kata Mimifly.
Bagi memastikan mutu persembahan berada pada tahap terbaik, Nourul turut memilih Eddie Slam sebagai pengarah muzik konsert terbabit.

Katanya, ND Entertainment komited memberikan penganjuran dan produksi bertaraf tinggi untuk acara perdana ini.
Dalam pada itu, demi memberi kepuasan maksimum kepada peminat dan memastikan konsert sulungnya yang cukup bermakna selepas lebih tiga dekad dalam industri berlangsung dengan sempurna, Nourul mengumumkan penukaran tarikh For You Nourul daripada 17 April 2026 ke 30 Mei 2026.
Tarikh baharu ini dipilih setelah pihak penganjur dan Nourul berbincang secara teliti, mengambil kira faktor perayaan penting umat Islam, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha, serta memberi ruang kepada peminat untuk menyusun semula bajet selepas musim perayaan.
Nourul, atau nama sebenarnya Noorulhuda Ab. Wahab, 49, berkata, penjadualan semula ini juga memberi kelebihan dari segi perancangan produksi dan penyusunan barisan artis jemputan.

“Antara sebab utama tarikh ditukar adalah bagi mencapai kata sepakat untuk menyusun semula jadual perjalanan konsert susulan penukaran penganjur lama kepada syarikat saya sendiri.
“Ini adalah langkah penting bukan sahaja untuk saya sebagai artis, tetapi juga untuk ND Entertainment sebagai penganjur rasmi,” katanya.
Beliau berkata, keputusan ini memberi peluang untuk meningkatkan standard diri sebagai penyanyi dan juga sebagai penganjur, sambil menekankan konsert ini bukan sekadar persembahan tetapi juga pengalaman pembelajaran dan inovasi dalam perjalanan seni serta perniagaan.

Kali ini, Nourul menggalas pelbagai peranan sebagai penyanyi, penganjur, usahawan, isteri, kakak dan seorang wanita yang menghadapi pelbagai cabaran.
Dalam suasana penuh emosi, Nourul meluahkan rasa terharu dan penghargaan kepada suami yang menjadi tonggak kekuatannya serta pasukan ND Entertainment yang berdiri teguh di belakangnya.
“Mereka telah menunggu detik ini selama hampir 15 tahun, sejak saya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada keluarga dan membina perniagaan kami dalam Herbalife,” katanya.
Konsert For You Nourul dijadualkan berlangsung pada 30 Mei 2026, jam 8 malam di Zepp KL dan dijangka menjadi malam penuh nostalgia, emosi, serta sambutan hangat daripada peminat yang setia mengikuti perjalanan seni Nourul.

