editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan filem pertama yang mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat seni persilatan tempatan, kisah perjuangan Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman diteruskan menerusi filem Gayong 2 terbitan SOL Pictures Sdn. Bhd. dengan skala yang lebih besar, emosi yang lebih mendalam serta konflik yang lebih kompleks.
Tidak sekadar memaparkan perjalanan hidup sebagai seorang guru silat, Gayong 2 membawa penonton menyelami sisi berbeza kehidupan tokoh berkenaan, khususnya ketika beliau berkhidmat sebagai pegawai CID dalam pasukan polis di bawah pentadbiran British selepas Perang Dunia Kedua di Singapura.
Fasa ini memperlihatkan cabaran yang lebih getir apabila beliau bukan sahaja berdepan ancaman fizikal, malah konflik moral dan tekanan emosi dalam menegakkan kebenaran.
Menurut Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, filem ini masih berpaksikan kisah sebenar kehidupan Meor Abdul Rahman, khususnya dari segi nilai, prinsip serta pilihan hidup yang menjadi pegangan beliau.

Namun, ia disampaikan dalam bentuk dramatik dan sinematik bagi memberikan impak lebih mendalam kepada penonton.
Katanya, karya terbabit bukan sebuah dokumentari, sebaliknya sebuah naskhah yang mengangkat realiti konflik kuasa serta tekanan emosi yang wujud dalam masyarakat ketika itu.
Berlatarbelakangkan suasana Tanah Melayu pasca perang, ketika keadaan kelihatan aman di permukaan namun bergolak dari dalam, filem ini menyelami dilema seorang lelaki berprinsip dalam usaha membanteras jenayah kongsi gelap, rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang dilindungi oleh sistem.
Filem arahan Faisal Ishak ini mengekalkan Beto Kusyairy sebagai watak utama Meor Abdul Rahman, disokong oleh barisan pelakon hebat termasuk Nabila Huda dan Syafie Naswip.
Turut membintangi filem ini ialah Fauzie Laily, Bobby Tonelli, Rabbit Chen, Hanna Aqeela dan Ayez Shaukat.

Menariknya, Gayong 2 turut menampilkan Sandra Lim yang membuat penampilan sulung dalam naskhah filem epik Melayu, sekali gus menambah daya tarikan kepada karya ini.
Mengulas lanjut, Khairul berkata, kisah hidup Meor Abdul Rahman tidak seharusnya terhenti sebagai sejarah seorang guru silat semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks perjuangan yang lebih luas.
“Terdapat satu fasa penting dalam kehidupan tokoh terbabit apabila beliau memilih untuk menentang kejahatan dari dalam sistem, menjadikan kisah ini lebih relevan dan signifikan untuk diangkat ke layar perak,” katanya.
Sementara itu, Faisal berkata, Gayong 2 bukan sekadar kesinambungan cerita, tetapi juga kesinambungan warisan dan tanggungjawab dalam mengangkat nilai jati diri serta maruah.
Walaupun filem ini mengetengahkan isu seperti rasuah, gangsterisme dan penyalahgunaan kuasa, teras utamanya tetap berpusat kepada konflik seorang lelaki yang terperangkap antara prinsip hidup dan keselamatan keluarganya.

“Berbanding filem pertama yang lebih menumpukan kepada pengenalan dunia persilatan, sekuel ini menyelami harga yang perlu dibayar dalam mempertahankan prinsip dan identiti diri.
“Dengan naratif yang lebih matang, konflik moral yang lebih tajam serta aksi yang lebih mantap, Gayong 2 diyakini mampu menjadi antara karya tempatan yang bukan sahaja mengangkat seni persilatan, malah keberanian mempertahankan kebenaran dalam dunia yang tidak sempurna,” katanya.
Penggambaran filem ini telah dijalankan sepenuhnya dari November hingga Disember 2024 dengan 100 peratus lokasi penggambaran di Ipoh, memberikan latar visual autentik yang menyokong jalan cerita.
Faisal turut menyuarakan harapan agar filem ini mampu menyentuh emosi penonton serta menimbulkan rasa bangga terhadap warisan budaya tempatan.
Beliau berharap penonton bukan sahaja terhibur dengan aksi yang dipersembahkan, tetapi turut pulang dengan renungan tentang keluarga, akar budaya dan pilihan hidup masing-masing.

Gayong 2 dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 9 April 2026.
Sinopsis
Gayong 2 berlatarbelakangkan era selepas Perang Dunia Kedua ketika Tanah Melayu memasuki fasa yang kelihatan aman namun sebenarnya sarat dengan kerosakan dalaman.
Dalam dunia yang penuh manipulasi kuasa, jenayah tidak lagi bersembunyi di sebalik bayang-bayang, sebaliknya dilindungi oleh sistem, pangkat dan kekayaan.

Meor Abdul Rahman yang berkhidmat sebagai pegawai CID dalam pasukan polis British mula membongkar rangkaian rasuah yang diketuai oleh seorang pegawai kanan bernama Malcom, yang memanipulasi undang-undang demi kepentingan peribadi.
Pada masa sama, kekuasaan di jalanan pula dikuasai oleh Lee Khoon, ketua gangster yang mengendalikan kegiatan perjudian, keganasan dan penyeludupan candu dengan perlindungan daripada pihak berkuasa.

