editormaxinfo@gmail.com
SHAH ALAM – Keprihatinan terhadap nasib keluarga mangsa kemalangan jalan raya terus dizahirkan apabila Pengasas Yayasan Insan Sakan merangkap Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Sri Dr. Riza Dato’ Hj Che Umar, turun padang menyantuni keluarga mangsa yang terkesan akibat tragedi membabitkan pemandu dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Klang, baru-baru ini.
Lawatan yang diadakan di kediaman keluarga mangsa di Shah Alam itu bukan sahaja bertujuan untuk menzahirkan simpati, malah sebagai usaha meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga berkenaan selepas kehilangan insan tersayang dalam kejadian tragis berkenaan.
Kehadiran beliau turut membawa sinar harapan kepada ahli keluarga yang masih berdepan dengan kesedihan dan cabaran hidup pasca tragedi.
Dalam kunjungan itu, Yayasan Insan Sakan melalui Pasaraya Borong Sakan bersama Saloma Kuala Lumpur telah menyalurkan bantuan berbentuk tajaan keperluan asas persekolahan kepada anak-anak mangsa.

Sumbangan itu merangkumi pakaian sekolah, beg serta alat tulis yang akan disediakan secara berterusan mengikut keperluan semasa.
Selain itu, bantuan kewangan turut disampaikan bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga terbabit.
Menurut Dr. Riza, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan pihak Yayasan Insan Sakan dan Saloma Kuala Lumpur dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat serta membantu golongan yang memerlukan.
“Saya berharap sumbangan yang disalurkan ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada keluarga mangsa, di samping menjadi tanda sokongan moral bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi dugaan yang sukar ini.
“Sokongan komuniti amat penting dalam membantu keluarga yang diuji agar terus kuat dan tabah meneruskan kehidupan,” katanya.
Dalam masa sama, Yayasan Insan Sakan dan Saloma Kuala Lumpur terus memberi komitmen untuk melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan seumpama ini pada masa akan datang sebagai sebahagian usaha menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Diraja Malaysia (PERKEP), Datin Sri Munirah Che Rose yang bersama-sama memberikan sokongan kepada keluarga mangsa.
Terdahulu, mangsa, Allahyarham Amirul Hafiz Omar, dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh seorang pemandu yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Pemergian Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nor Nadia Abd Majid serta tiga orang anak, di mana dua daripadanya masih bersekolah manakala seorang lagi berusia dua tahun.
Tragedi itu sekali lagi mengingatkan masyarakat tentang bahaya pemanduan di bawah pengaruh bahan terlarang, selain menekankan kepentingan solidariti komuniti dalam membantu mereka yang terkesan meneruskan kehidupan dengan lebih tabah.

