editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Platform penstriman tempatan, UTV terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya dalam industri hiburan digital apabila secara rasmi melancarkan saluran TV Digital yang kini boleh diakses menerusi semua peranti Android TV.
Pelancaran itu menandakan satu transformasi penting dalam usaha UTV memperluaskan capaian penonton, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai platform Over-the-Top (OTT) tempatan yang berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dengan kemudahan akses di skrin televisyen, pengguna kini berpeluang menikmati kandungan hiburan secara lebih imersif dan selesa bersama keluarga di rumah.
Pengumuman berhubung pelancaran itu dibuat oleh Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Datuk Seri Dr. Hasan atau lebih dikenali sebagai Datuk Nana, sempena Majlis Seri Syawal Usanita 2026 yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut beliau, keputusan untuk memperluaskan akses ke Android TV dibuat selepas melihat sambutan luar biasa terhadap aplikasi UTV yang sebelum ini boleh diakses melalui peranti mudah alih dan desktop.
Katanya, kehadiran UTV di Android TV membolehkan pengguna menikmati pengalaman menonton seperti platform penstriman antarabangsa dengan lebih mudah.
“UTV bukan sekadar saluran televisyen konvensional, sebaliknya sebuah aplikasi penstriman digital yang menawarkan pengalaman seperti “pawagam peribadi” di rumah.
“Pengguna hanya perlu mengakses aplikasi berkenaan melalui Android TV untuk menikmati pelbagai kandungan yang disediakan.
“Pengalaman tontonan di skrin besar memberi nilai tambah kepada pengguna, khususnya bagi mereka yang ingin berehat dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sambil menikmati kandungan hiburan yang ringan dan menghiburkan,” katanya.
UTV terus mengekalkan identitinya sebagai platform hiburan berkonsepkan ‘feel good’, dengan memberi fokus kepada genre romantik komedi yang santai dan dekat dengan jiwa penonton.

Sehingga kini, hampir 30 telefilem baharu termasuk siri UTV Nusantara telah diterbitkan, menampilkan kolaborasi pelakon dari Malaysia dan Indonesia bagi menghasilkan kandungan yang lebih segar serta relevan kepada penonton serantau.
Dalam masa sama, UTV turut mencatat pencapaian memberangsangkan apabila berjaya meraih lebih 30 juta tontonan secara keseluruhan sejak diperkenalkan.
Antara kandungan paling mendapat sambutan ialah telefilem Postkad Cinta Dari Auckland lakonan Fattah Amin dan Amira Othman yang berjaya mencatat lebih 20.1 juta tontonan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan UTV sebagai platform pilihan penonton tempatan.
Kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pengembangan UTV ke platform televisyen digital, sejajar dengan permintaan pengguna yang mahukan pengalaman tontonan lebih fleksibel dan berkualiti tinggi.
Dari segi model perniagaan, UTV mengekalkan pendekatan “pay-per-content”, di mana pengguna hanya perlu membayar kandungan yang ingin ditonton tanpa perlu melanggan secara bulanan.

Pendekatan ini dilihat lebih mesra pengguna dan memberi kebebasan kepada mereka untuk mengawal perbelanjaan hiburan digital.
Dalam perkembangan berkaitan, UTV turut merancang untuk mengembangkan sayap ke industri perfileman dengan sasaran menerbitkan filem layar perak menjelang tahun 2027.
Projek itu dijangka membabitkan pelakon gred A serta personaliti berpengaruh, sekali gus memperkukuh aspirasi UTV untuk muncul sebagai peneraju kandungan hiburan di peringkat serantau.
Aplikasi UTV kini boleh dimuat turun melalui App Store bagi pengguna iOS dan Play Store untuk pengguna Android, selain tersedia di Android TV bagi memberikan pengalaman tontonan yang lebih menyeluruh.
Pelancaran ini mencerminkan evolusi pesat industri hiburan digital tempatan serta membuktikan komitmen UTV dalam menyediakan kandungan berkualiti tinggi yang memenuhi citarasa penonton Malaysia dan rantau ini.

