30.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 21, 2026

Malaikat Malam: Filem aksi ‘Mat Motor’ penuh emosi gegar pawagam 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri perfileman tempatan sekali lagi disuntik dengan karya berimpak tinggi menerusi filem Malaikat Malam, sebuah naskhah aksi pemotoran yang sarat dengan elemen emosi dan kisah cinta, hasil gabungan empat penerbit terkemuka iaitu Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios.

Filem ini sudahpun menemui penonton di pawagam seluruh negara sejak 26 Mac 2026 yang lalu.

Malaikat Malam mengetengahkan perjalanan hidup seorang ‘mat motor’ yang bergelut dengan konflik dalaman antara realiti kehidupan yang membentuk dirinya dan keinginan untuk keluar daripada dunia terbabit.

Dalam masa sama, kehadiran seorang individu yang menjadi ‘cahaya’ dalam hidupnya membuka ruang kepada perubahan yang tidak pernah dijangka, sekali gus memberikan dimensi emosi yang mendalam kepada penceritaan.

Berbeza daripada kebanyakan filem bertemakan ‘rempit’ yang sering menumpukan kepada aksi semata-mata, karya ini tampil dengan pendekatan lebih menyeluruh dengan menitikberatkan hubungan antara watak, termasuk nilai kesetiaan dan pengorbanan yang mampu mengubah haluan hidup seseorang.

Naratif ini secara tidak langsung mencerminkan realiti masyarakat bahawa setiap individu mempunyai peluang kedua untuk berubah ke arah yang lebih baik walaupun berada dalam persekitaran yang sering dipandang negatif.

Filem ini menampilkan pelakon versatil, Syafiq Kyle sebagai Azam, seorang pelumba jalanan yang menyimpan konflik emosi di sebalik kehidupan berisiko tinggi.

Watak ini memperlihatkan sisi berbeza Syafiq Kyle apabila beliau buat pertama kalinya membawakan karakter ‘mat rempit’, sekali gus memperlihatkan transformasi lakonan yang lebih berani dan mencabar.

Turut menguatkan barisan pelakon ialah Tracie Sinidol yang membawa watak seorang gadis buta bernama Ratna, di samping kemunculan semula Que Haidar ke layar perak yang dinantikan peminat.

Filem ini juga dibintangi oleh Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Akmal Asyraf dan Riezman Khuzaimi, yang masing-masing menyumbang kepada kekuatan naratif menerusi watak yang penuh tenaga dan berkesan.

Malaikat Malam diarahkan oleh bakat muda Nazifdin Nasrudin, menandakan debut beliau sebagai pengarah filem.

Sebelum ini, beliau terbabit dalam pembikinan beberapa filem box-office sebagai editor dan penulis, termasuk Sheriff, Malam Terlarang, Reversi dan Soloz: Game of Life.

Projek ini turut disokong oleh pengarah tersohor, Syafiq Yusof sebagai penerbit, yang membawa pengalaman luas dalam memastikan kualiti produksi berada pada tahap terbaik.

Menurut Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif, Datuk Dr. Yusof Haslam, Malaikat Malam dilihat sebagai satu usaha untuk mengangkat semula genre pemotoran dengan pendekatan yang lebih tersusun dari segi penceritaan dan pembikinan.

“Penekanan diberikan kepada disiplin produksi, kekuatan skrip serta pembangunan watak agar filem ini tidak hanya bergantung kepada aksi, sebaliknya mampu berdiri sebagai karya berkualiti dalam landskap industri perfileman tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif Bersama, Raja Jastina Raja Arshad menyifatkan genre pemotoran masih relevan dan mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan penonton tempatan.

Menurutnya, Malaikat Malam mempersembahkan versi yang lebih segar dan relevan, di samping berpotensi melahirkan watak ikonik baharu dalam dunia pemotoran menerusi lakonan Syafiq Kyle.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Bersama yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian TV dan Kandungan Media Prima serta Primeworks Studios, Nini Yusof pula percaya filem ini bukan sahaja menawarkan pengalaman tontonan berbeza, malah memperkukuh kedudukan filem tempatan sebagai karya yang berkualiti dan berdaya saing di pasaran.

Dalam pada itu, pengarah merangkap penulis skrip, Nazifdin Nasrudin berkata, beliau ingin membawa penonton melihat dunia ‘mat motor’ dari sudut yang lebih manusiawi.

Menurutnya, filem ini bukan sekadar mengenai aksi, tetapi menyentuh aspek kehidupan seperti pilihan, penyesalan dan harapan untuk berubah.

Pendekatan ini diambil bagi mengangkat perspektif yang lebih jujur dan berlapis terhadap dunia yang sering disalah tafsir oleh masyarakat.

Malaikat Malam mengisahkan Azam yang secara tidak sengaja melanggar seorang gadis buta, Ratna, sekali gus menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya.

Namun, apabila dendam lama, pengkhianatan dan tragedi mula menghimpit, Azam terpaksa berdepan dengan realiti getir yang tidak dapat dielakkan.

Dengan gabungan aksi mendebarkan dan naratif emosi yang kuat, Malaikat Malam dijangka menjadi antara filem tempatan yang mencuri perhatian penonton tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular