26.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 10, 2026
Home Blog Page 4

Bartech Beautee angkat keyakinan wanita, sasar tembusi pasaran Asia

1

editormaxinfo@gmail.com

RAWANG – Industri kecantikan tempatan terus menunjukkan perkembangan positif dengan kemunculan pelbagai jenama baharu yang mengetengahkan inovasi serta memenuhi keperluan pengguna moden.

Antara jenama yang semakin mencuri perhatian ialah Bartech Beautee yang tampil dengan pendekatan tersendiri dalam membantu wanita meningkatkan kecantikan dan keyakinan diri.

Jenama di bawah Bartech Empire itu dilihat semakin aktif memperkenalkan pelbagai produk kecantikan yang menepati citarasa pengguna masa kini, khususnya wanita yang mahukan penjagaan diri yang lebih praktikal, selamat dan berkualiti.

Pengasas dan Pengarah Bartech Empire, Nurul Adlinna Mohammad Bakri berkata, selain memberi fokus terhadap kecantikan luaran, Bartech Beautee turut menitikberatkan aspek keyakinan diri dan gaya hidup sihat menerusi rangkaian produk yang dihasilkan berdasarkan trend serta permintaan semasa pengguna.

Menurut beliau, setiap produk yang diperkenalkan melalui proses penyelidikan dan pemilihan bahan secara teliti bagi memastikan ia sesuai digunakan oleh pelbagai lapisan pengguna.

“Wanita hari ini bukan sahaja mencari produk kecantikan yang berkesan, tetapi juga mahu jenama yang memahami keperluan gaya hidup mereka.

“Kami mahu tampil sebagai jenama yang dekat dengan pengguna serta memberi pengalaman penjagaan diri yang lebih menyenangkan,” katanya.

Dalam masa sama, Bartech Beautee turut aktif memperkukuhkan pengaruh di platform digital dan media sosial bagi mendekati lebih ramai pengguna terutama generasi muda yang semakin peka terhadap penjagaan diri dan penampilan.

Pendekatan pemasaran moden serta sokongan komuniti pengguna yang semakin berkembang menjadikan jenama tempatan itu antara syarikat yang berpotensi untuk terus berkembang dalam industri kecantikan negara.

Di sebalik kejayaan itu, Nurul Adlinna berkongsi idea menghasilkan produk kecantikan itu tercetus daripada pengalaman peribadi membabitkan anak sulungnya yang pernah berdepan situasi sukar selepas berpindah dari Kajang ke Rawang.

Menurut beliau, anaknya berubah menjadi pendiam dan kurang keyakinan diri selepas menerima komen berkaitan warna kulit daripada rakan di sekolah baharu.

Keadaan itu menyebabkan remaja berkenaan mula mencari pelbagai produk kecantikan di media sosial bagi mendapatkan kulit yang lebih cerah.

Bimbang melihat perubahan emosi anaknya, beliau mengambil inisiatif bekerjasama dengan seorang ahli kimia untuk menghasilkan formulasi produk yang lebih selamat dan sesuai digunakan.

Selepas diuji sendiri, produk berkenaan diberikan kepada anaknya sebelum mula mendapat perhatian dalam kalangan pelajar dan guru di sekolah berkenaan.

Dilancarkan secara rasmi pada tahun 2023, Bartech Beautee pantas meraih perhatian pengguna terutama menerusi platform TikTok yang menjadi medium utama jenama itu memperluaskan pemasaran digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bartech Empire, Shaharuddin Karim berkata syarikat itu kini dalam perancangan memperkenalkan aplikasi sistem Bartech to AI yang membolehkan pengguna mengimbas keadaan kulit wajah secara dalam talian menerusi laman web rasmi mereka.

Menurut beliau, sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu bakal memudahkan pelanggan mendapatkan analisis kulit tanpa perlu hadir ke pusat kecantikan.

“Sistem AI ini membantu pelanggan mengimbas kulit tanpa perlu pergi ke pusat kecantikan.

“Selain menjimatkan masa dan kos, sistem ini juga lebih fleksibel dan efektif bagi membantu pelanggan untuk terus mendapatkan produk kami,” katanya.

Tambah beliau, Bartech Beautee turut menyasarkan untuk menembusi pasaran Indonesia dalam masa terdekat selain sedang dalam proses mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Dalam pada itu, syarikat berkenaan turut menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Bumiputera Bestbrands 2026 bagi kategori Consumer Cosmetics serta Anugerah The BrandLaureate Bumiputera BrandLeadership Award Beauty & Cosmetics 2026.

Pencapaian itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Bartech Beautee sebagai antara jenama kecantikan tempatan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna dan berpotensi berkembang ke pasaran antarabangsa.

Hotel Malaysia kurangkan sejuta botol plastik sempena VM2026

1

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri perhotelan tempatan kini semakin agresif melaksanakan inisiatif hijau apabila lebih banyak hotel di Malaysia mula mengurangkan penggunaan botol plastik sekali guna dengan beralih kepada sistem penapisan air terus di dalam bilik penginapan.

Perubahan itu dilihat selari dengan peningkatan kesedaran terhadap amalan pelancongan lestari sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), selain memenuhi permintaan pelancong yang semakin prihatin terhadap isu kelestarian alam sekitar dan pengurangan sisa plastik.

Terbaharu, BACFREE Water Engineering Technologies memaklumkan empat hotel di bawah rangkaian hospitaliti Kumpulan UOL berjaya mengurangkan penggunaan lebih sejuta botol plastik sekali guna menerusi penggunaan sistem penapisan air BACFREE EcoTap.

Hotel terbabit ialah PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur, Pan Pacific Serviced Suites Kuala Lumpur, PARKROYAL A’Famosa Melaka Resort dan PARKROYAL Langkawi Resort.

Pencapaian itu diraikan menerusi Majlis Penghargaan Kelestarian Hospitaliti BACFREE 2026 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen hotel-hotel berkenaan dalam melaksanakan operasi lebih mampan dan mesra alam.

Berbeza dengan pendekatan konvensional yang menggunakan air minuman berbotol di setiap bilik penginapan, sistem EcoTap membolehkan tetamu menikmati air minuman bertapis secara terus melalui pemasangan khas di dalam bilik hotel.

Pengarah Teknikal BACFREE Water Engineering Technologies, Dr. Chee Chung Yee berkata, industri hospitaliti mempunyai potensi besar dalam membantu mengurangkan pencemaran plastik memandangkan sektor itu antara penyumbang utama penggunaan botol plastik sekali guna.

Menurut beliau, langkah memperkenalkan sistem penapisan air secara terus bukan sahaja mampu mengurangkan sisa plastik, malah dapat dilakukan tanpa menjejaskan keselesaan tetamu dan standard perkhidmatan hotel.

“Sektor hospitaliti sebenarnya boleh memainkan peranan besar dalam usaha pemeliharaan alam sekitar tanpa menjejaskan keselesaan tetamu ataupun standard perkhidmatan.

“Kelestarian tidak sepatutnya hanya diberikan perhatian sebagai kempen pemasaran semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan melalui perubahan sebenar dalam operasi harian,” katanya.

Beliau berkata, pengurangan penggunaan botol plastik itu dikenal pasti berdasarkan perbandingan rekod pembelian serta kadar penghunian hotel sebelum dan selepas sistem berkenaan diperkenalkan.

Menurut Dr. Chee, sistem EcoTap mula diuji di PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur pada tahun 2020 sebelum diperluaskan ke lebih 10,000 bilik melibatkan 42 hotel di seluruh negara.

Selain hotel di bawah Kumpulan UOL, beberapa hotel lain turut menggunakan teknologi berkenaan termasuk Pullman Kuala Lumpur City Centre Hotel & Residences, Pullman Kuching, Pullman Miri Waterfront, Royale Chulan Kuala Lumpur dan LEGOLAND Hotel Malaysia.

BACFREE memaklumkan sistem itu menggunakan proses penapisan dan pembasmian kuman empat peringkat yang merangkumi penapisan sedimen, gentian karbon aktif, perlindungan ion perak dan teknologi membran ultra tapisan bagi memastikan kualiti air yang selamat untuk diminum.

Sistem berkenaan juga telah memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia selain memenuhi piawaian air minuman Kementerian Kesihatan Malaysia dan pengesahan SIRIM termasuk menerusi ujian bakteria E.Coli.

Dalam pada itu, Dr. Chee berkata penggunaan sistem penapisan air tersebut turut membantu hotel mengurangkan kos operasi khususnya melibatkan pembelian, penyimpanan dan logistik bekalan air minuman berbotol.

Beliau berkata, BACFREE Water Engineering Technologies menyasarkan untuk memperluaskan lagi penggunaan teknologi itu dalam tempoh lima tahun akan datang termasuk menerusi pembangunan sistem penapisan air berpusat dan teknologi penuaian air hujan di hotel-hotel seluruh negara.

“Tatkala Malaysia menyambut lebih ramai pelancong sempena kempen VM2026 yang sedang berlangsung, aspek kelestarian akan menjadi antara perkara yang semakin diberi perhatian oleh pengunjung.

“Saat ini merupakan peluang untuk industri hospitaliti membuktikan bahawa pengalaman premium dan tanggungjawab terhadap alam sekitar boleh bergerak seiring,” katanya.

Jangan guna institusi Raja demi politik – Amirudin

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan semua pihak termasuk pembangkang perlu menghentikan sikap memilih-milih dalam mempertahankan institusi Raja, agama dan bangsa hanya apabila ia memberi keuntungan kepada kepentingan politik tertentu.

Beliau berkata, pendekatan sedemikian yang mempertahankan sesuatu prinsip secara bermusim dan bergantung kepada situasi politik semasa boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta kestabilan negara yang dibina atas asas perpaduan dan persefahaman antara kaum.

Menurut beliau, titah nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena sambutan Aidiladha baru-baru ini wajar dijadikan pedoman oleh semua pihak dalam memastikan perpaduan rakyat terus dipelihara.

Katanya, titah baginda hadir pada waktu yang amat penting ketika terdapat kecenderungan segelintir pihak memainkan sentimen perkauman dan memperalatkan agama serta institusi diraja demi kepentingan politik sempit.

“Titah Tuanku hadir pada waktu yang amat penting ketika wujud kecenderungan segelintir pihak meniup sentimen perkauman, memperalatkan agama dan institusi diraja demi kepentingan politik sempit,” katanya dalam satu kenyataan.

Amirudin Shari berkata, terdapat pihak yang memilih untuk berdiam diri apabila institusi diraja dihina, namun tampil bersuara apabila isu berkenaan dilihat mampu memberi kelebihan kepada agenda politik tertentu.

Beliau menekankan, Malaysia dibina atas semangat muafakat, keluhuran undang-undang dan persefahaman antara kaum, bukannya melalui budaya kebencian serta politik ketakutan yang boleh memecahbelahkan rakyat.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat supaya terus menghayati prinsip Rukun Negara secara menyeluruh termasuk memahami mukadimahnya yang menjadi asas pembentukan masyarakat bersatu padu, demokratik, adil dan progresif.

Katanya, rakyat juga perlu memahami Perlembagaan Persekutuan serta sejarah pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj agar fakta sejarah negara tidak diputar belit demi kepentingan politik pihak tertentu.

“Malaysia ialah negara berasaskan undang-undang dengan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi yang jelas memperuntukkan Malaysia sebagai Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” katanya.

Tambah beliau, sebarang usaha untuk mengherotkan sejarah, menyemai kebencian kaum atau mempertikaikan kerangka Perlembagaan Persekutuan merupakan tindakan tidak bertanggungjawab dan boleh mengancam masa depan negara.

Menurutnya lagi, Kerajaan Selangor akan terus berpegang kepada prinsip perpaduan, kesederhanaan serta penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang sebagaimana yang digariskan oleh pengasas negara.

“Pengorbanan terbesar dalam negara majmuk ialah keberanian menolak kebencian. Perpaduan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan,” katanya lagi.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap pertelingkahan dan perselisihan yang semakin kerap berlaku dalam kalangan ahli politik sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Baginda bertitah, budaya perpecahan dan pertelingkahan sesama sendiri perlu dihentikan kerana ia hanya akan melemahkan orang Melayu serta umat Islam di negara ini.

Samsung lancar TV AI 2026 di Malaysia dengan teknologi vision AI

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Samsung Malaysia Electronics melakar satu lagi pencapaian baharu dalam industri hiburan rumah apabila melancarkan barisan penuh TV AI 2026 yang menampilkan teknologi kecerdasan buatan (AI) merentasi hampir keseluruhan rangkaian televisyen keluarannya, sekali gus memperkukuh kedudukan syarikat sebagai jenama TV No.1 dunia selama 20 tahun berturut-turut.

Pelancaran itu menyaksikan Samsung memperkenalkan pelbagai model premium dan arus perdana termasuk siri Micro RGB, OLED, Neo QLED, Mini LED, UHD serta barisan audio pintar terbaharu yang direka untuk memberikan pengalaman hiburan rumah lebih pintar, imersif dan diperibadikan kepada pengguna di Malaysia.

Menjelang tahun 2026, Samsung mengesahkan semua model TV baharunya akan dilengkapi teknologi AI menerusi platform Samsung Vision AI, sekali gus menandakan langkah besar syarikat ke arah era televisyen berasaskan kecerdasan buatan sepenuhnya.

Presiden Samsung Malaysia Electronics, Charles Kim berkata, barisan TV AI 2026 mencerminkan visi Samsung untuk menjadikan hiburan rumah pintar dan saling terhubung lebih mudah diakses oleh pengguna tempatan.

Menurut beliau, Samsung Vision AI bukan sekadar menjadikan televisyen sebagai skrin tontonan biasa, sebaliknya berfungsi sebagai rakan pintar yang mampu menawarkan pengalaman lebih peribadi, interaktif dan lancar dalam ekosistem rumah moden.

“Barisan TV AI 2026 Samsung mencerminkan visi kami untuk menjadikan hiburan rumah yang pintar dan terhubung lebih mudah diakses oleh pengguna di Malaysia.

“Dengan Samsung Vision AI, TV kini bukan sekadar skrin, tetapi rakan pintar yang menawarkan pengalaman tontonan lebih peribadi, imersif dan sambungan lancar dalam ekosistem rumah,” katanya.

Antara pembaharuan utama yang diperkenalkan menerusi barisan TV AI 2026 ialah Vision AI Companion (VAC), iaitu platform pintar yang menggabungkan teknologi AI Samsung bersama integrasi Bixby, Perplexity dan Microsoft Copilot bagi membantu pengguna mendapatkan pengalaman hiburan yang lebih intuitif dan diperibadikan.

Melalui VAC, pengguna boleh menerima cadangan kandungan, audio dan hiburan berdasarkan minat serta tabiat tontonan masing-masing.

Teknologi itu turut memperkenalkan beberapa ciri pintar baharu seperti AI Upscaling Pro yang meningkatkan kandungan resolusi rendah secara masa nyata, Color Booster Pro untuk paparan warna lebih hidup serta AI Soccer Mode yang mengoptimumkan visual dan audio ketika siaran bola sepak berlangsung.

Selain itu, AI Sound Controller Pro membolehkan pengguna melaras dialog, muzik latar dan sorakan stadium secara automatik bagi menghasilkan pengalaman audio yang lebih imersif.

Dalam kategori premium, Samsung memperkenalkan siri Micro RGB yang disifatkan sebagai masa depan teknologi paparan televisyen.

Ditawarkan menerusi model R95H dan R85H dengan pilihan saiz antara 65 hingga 115 inci, teknologi Micro RGB menggunakan LED mikro merah, hijau dan biru yang dikawal secara individu untuk menghasilkan warna lebih tepat, kontras lebih mendalam dan pencahayaan lebih realistik.

Model premium itu turut dilengkapi teknologi Glare Free yang membantu mengurangkan pantulan cahaya, selain menyokong Micro RGB AI Engine Pro dan Micro RGB Precision Color 100 yang menawarkan liputan warna sehingga 100 peratus BT.2020 untuk pengalaman visual lebih nyata.

Samsung turut memperluaskan teknologi OLED menerusi model S95H, S90H dan S85H yang menawarkan warna hitam lebih mendalam, prestasi gaming lebih responsif serta reka bentuk moden yang sesuai untuk pelbagai gaya ruang kediaman.

Teknologi Glare Free yang sebelum ini hanya tersedia pada model tertentu kini diperluaskan ke lebih banyak model OLED bagi memastikan visual kekal jelas walaupun dalam persekitaran terang.

Bagi peminat permainan video, siri OLED baharu Samsung turut menampilkan Motion Xcelerator 165Hz, AMD FreeSync Premium Pro serta NVIDIA G-SYNC Compatible untuk pengalaman gaming lebih lancar dan responsif.

Samsung juga terus memperkukuh penawaran gaya hidup menerusi siri The Frame yang menggabungkan televisyen dan seni dalam satu produk premium.

Model The Frame Pro LS03HW tampil dengan paparan Neo QLED, Wireless One Connect serta akses kepada lebih 5,000 karya seni menerusi Art Mode.

Dalam masa sama, model The Frame LS03HE direka khas untuk pemasangan terbina dalam dengan konsep ‘flush-to-wall’ yang memberikan sentuhan lebih kemas dan elegan kepada ruang dalaman rumah.

Bagi kategori Neo QLED, Samsung memperkenalkan model QN80H dan QN70H yang menawarkan pengalaman tontonan lebih pintar menerusi teknologi AI dan Quantum Mini LED.

Teknologi itu membolehkan kawalan cahaya lebih tepat untuk menghasilkan kontras mendalam, warna lebih stabil serta tahap kecerahan yang konsisten.

Neo QLED Samsung juga menerima pengiktirafan Real QLED TV daripada TÜV Rheinland, sekali gus mengesahkan penggunaan lapisan quantum dot tulen dan prestasi warna yang memenuhi standard paparan premium antarabangsa.

Dalam usaha memperluaskan akses kepada teknologi AI, Samsung turut memperkenalkan siri Mini LED menerusi model M80H dan M70H yang menawarkan pengalaman visual berkualiti tinggi pada harga lebih mampu milik.

Model M80H hadir dengan Motion Xcelerator 144Hz, NQ4 AI Gen2 Processor dan AI Sound Controller, manakala M70H memberi fokus kepada pengalaman tontonan harian yang stabil dengan ciri Mini LED HDR serta Adaptive Sound.

Selain televisyen, Samsung Malaysia Electronics turut memperkenalkan barisan Q-Series Soundbar terbaharu yang diketuai model flagship HW-Q990H.

Sistem audio saluran 11.1.4 itu menawarkan pengalaman bunyi sinematik menerusi integrasi Dolby Atmos dan teknologi baharu Sound Elevation yang meningkatkan kejelasan dialog secara automatik.

Naib Presiden Pemasaran APAC Dolby Laboratories, Ashim Mathur berkata, kerjasama antara Dolby dan Samsung akan membolehkan pengguna menikmati pengalaman audio lebih hidup dan multidimensi di rumah.

Menurut beliau, teknologi Dolby Atmos memberikan pengalaman bunyi yang lebih realistik dengan keupayaan mengawal penempatan dan pergerakan setiap elemen audio secara lebih tepat.

Samsung turut memperluaskan portfolio audio gaya hidup menerusi pelancaran Music Studio 7 dan Music Studio 5 yang direka untuk melengkapkan ruang moden dengan kombinasi reka bentuk premium dan pengalaman audio imersif.

Dalam perkembangan sama, Samsung mengumumkan sokongan Google Cast dan Google Photos pada model TV terpilih tahun 2026, sekali gus memudahkan pengguna menstrim kandungan serta menikmati koleksi gambar peribadi terus pada skrin televisyen.

Sempena pelancaran rasmi TV AI 2026, Samsung menawarkan pelbagai promosi menarik sehingga 31 Mei 2026 termasuk hadiah eksklusif seperti Samsung Galaxy Z Flip 7, Nintendo Switch 2, Galaxy Tab S10 Lite dan rebat Touch ‘n Go eWallet bagi pembelian TV bersama soundbar terpilih.

Barisan TV AI Samsung 2026 kini boleh didapati di seluruh Malaysia menerusi laman rasmi Samsung Malaysia serta pengedar sah terpilih di seluruh negara.

B.U.I.L.D.E.R.S. Industry Gala & Awards 2026 perkukuh jaringan industri dan kepimpinan negara

0

editormaxinfo@gmail.com


BANGI – Majlis B.U.I.L.D.E.R.S. Industry Gala & Awards 2026 berlangsung penuh gemilang apabila menghimpunkan tokoh industri, pemimpin korporat, institusi akademik serta wakil kerajaan dalam meraikan kecemerlangan, kepimpinan dan sumbangan besar terhadap pembangunan negara.


Acara berprestij yang dianjurkan bersempena B.U.I.L.D.E.R.S. Industry Forum 2026 itu menjadi platform rasmi penghargaan kepada organisasi, syarikat, institusi dan individu yang memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan negara menerusi sektor persekitaran binaan, infrastruktur, kejuruteraan, pendidikan, pelaburan dan pembangunan sosioekonomi.


Majlis dipimpin oleh Adj. Prof. Dato Sri Abdul Rani Osman selaku Canselor dan Pengerusi Kehormat Olympia Education Group bersama Tan Sri Dato’ Sri Dr. Mohamed Yusof Mohamed Noor yang disifatkan sebagai tonggak utama dalam menjayakan platform B.U.I.L.D.E.R.S. menerusi kepimpinan strategik serta komitmen berterusan dalam memperkukuh ekosistem industri persekitaran binaan dan infrastruktur di peringkat nasional serta antarabangsa.


Kehadiran pelbagai tokoh berpengaruh termasuk Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bersama wakil kanan kerajaan, delegasi antarabangsa dan pemain industri turut menyerlahkan kepentingan acara berkenaan dalam landskap profesional dan ekonomi negara.


Sepanjang majlis berlangsung, lebih 35 penerima menerima pengiktirafan menerusi pelbagai kategori yang mencerminkan kecemerlangan dan inovasi dalam sektor utama negara.


Antara kategori yang dipertandingkan termasuk Kecemerlangan Korporat, Pelaburan Strategik dan Inovasi Kewangan, Kepimpinan Pembinaan dan Infrastruktur, Kecemerlangan Akademik dan Institusi, Impak Komuniti dan Pembangunan Sosioekonomi, Kepimpinan Profesional, Transformasi Digital dan Inovasi serta Keusahawanan dan Pemerkasaan Ekonomi.


Antara organisasi dan institusi yang menerima pengiktirafan pada malam berkenaan ialah Olympia Land Sdn Bhd, World Islamic Economic Development Capital Bhd, Universiti Sains Islam Malaysia, Multimedia University, DRB-HICOM Berhad, CIDB Holdings Sdn Bhd dan Institut Keusahawanan Negara yang dilihat mewakili kekuatan serta potensi masa depan ekosistem pembangunan negara.


Selain meraikan pencapaian institusi, BIFA 2026 turut memberi penghormatan kepada tokoh kepimpinan yang berjaya membawa perubahan besar dalam industri dan komuniti menerusi inovasi, ketahanan, strategi kepimpinan serta impak jangka panjang terhadap pembangunan negara.


Sementara itu, Adj. Prof. Dato Sri Abdul Rani Osman berkata, sambutan luar biasa daripada pelbagai sektor membuktikan platform B.U.I.L.D.E.R.S. mampu menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik antara industri, akademia dan pemain utama negara.


Menurut beliau, negara memerlukan elemen penting seperti inovasi dan kepimpinan yang cekap bagi memastikan pembangunan mampan dapat diteruskan secara lebih menyeluruh dan kompetitif.


“B.U.I.L.D.E.R.S. ini mampu membina satu rangkaian yang boleh membantu perkembangan negara.


“Jika sesebuah negara tidak mempunyai inovasi dan kepimpinan yang baik, sudah tentu sukar untuk bergerak maju.


“Sebab itu platform seperti ini penting kerana ia mencantumkan pelbagai sektor dalam satu ekosistem yang saling melengkapi,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan.


Beliau berkata, pemilihan pemenang dibuat berdasarkan pencapaian dan sumbangan menerusi penilaian panel yang terdiri daripada pemain industri, ahli akademik serta wakil agensi berkaitan termasuk CIDB Malaysia.


Katanya, konsep B.U.I.L.D.E.R.S. yang berteraskan industri pembinaan turut merangkumi pelbagai elemen penting lain termasuk teknologi, rangkaian strategik, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan masa depan industri.
“Semua panel digabungkan bagi memilih calon terbaik mengikut kategori yang telah ditetapkan berdasarkan keperluan industri semasa,” katanya.


Mengulas mengenai masa depan penganjuran itu, beliau berkata edisi kali ini adalah penganjuran sulung B.U.I.L.D.E.R.S., namun sambutan positif yang diterima membuka ruang untuk acara itu diteruskan sebagai platform tahunan.


Menurutnya, penyatuan pemain industri dan institusi akademik sepanjang forum serta malam gala membuktikan wujud keperluan besar terhadap jaringan kerjasama yang bukan sahaja tertumpu di peringkat tempatan, malah diperluaskan ke arena antarabangsa.


Katanya, B.U.I.L.D.E.R.S. diwujudkan bukan sekadar sebagai platform anugerah, sebaliknya sebagai ekosistem strategik yang menghubungkan kerajaan, akademia, industri dan rakan antarabangsa dalam usaha mempercepat transformasi sektor infrastruktur dan persekitaran binaan negara.


Majlis gala itu turut melengkapkan hasil strategik yang dibincangkan dalam B.U.I.L.D.E.R.S. Industry Forum 2026 yang sebelum ini memberi fokus kepada pelbagai isu global penting termasuk ESG, pembinaan digital, pembiayaan infrastruktur, bandar pintar dan pembangunan mampan.


Turut mencuri perhatian ialah pelancaran rasmi Chartered International Institute of Built Environment & Engineering, sebuah institusi antarabangsa baharu yang diwujudkan bagi memperkukuh standard profesional, kecemerlangan penyelidikan serta kerjasama rentas sempadan dalam sektor berkaitan.


Sinergi antara forum, malam gala dan pelancaran institusi global terbabit dilihat sebagai langkah jangka panjang dalam membina ekosistem infrastruktur yang lebih inovatif, mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.


Malam penghargaan berkenaan bukan hanya meraikan kejayaan semata-mata, tetapi turut mengiktiraf individu dan organisasi yang sedang membentuk masa depan Malaysia dan dunia menerusi kepimpinan serta sumbangan mereka.


Seiring perubahan landskap ekonomi, teknologi dan alam sekitar global yang semakin pesat, platform seperti B.U.I.L.D.E.R.S. Industry Gala & Awards dilihat terus relevan sebagai medium penting untuk mengiktiraf kecemerlangan, memperkukuh jaringan strategik serta mencetuskan kerjasama yang mampu membina masa depan negara yang lebih kukuh dan berdaya tahan.

Ikano Centres, Welton lancar projek kediaman RM600 juta di Tebrau

editormaxinfo@gmail.com

JOHOR BAHRU – Ikano Centres mengumumkan kerjasama strategik bersama Welton Group of Companies bagi membangunkan projek kediaman bersepadu baharu dikenali sebagai Habitation Plus+ di destinasi IKEA Tebrau dan Toppen Shopping Centre.

Pembangunan baharu di kawasan Tebrau itu dilihat sebagai langkah penting dalam evolusi Ikano Centres yang kini memperluaskan fokus daripada sektor peruncitan kepada pembangunan bersepadu berorientasikan komuniti dan gaya hidup moden.

Projek berkenaan adalah kesinambungan strategi pengaktifan tanah jangka panjang Ikano Centres di Tebrau sejak syarikat itu memperoleh tapak berkenaan pada tahun 2008.

Fasa awal pembangunan menyaksikan pembukaan IKEA Tebrau pada tahun 2017 sebelum diikuti Toppen Shopping Centre pada tahun 2019 yang kini menjadi antara destinasi gaya hidup utama di selatan tanah air.

Dengan kapasiti pembangunan yang masih tersedia di kawasan Toppen Shopping Centre, Ikano Centres kini melangkah ke fasa seterusnya menerusi pembangunan komponen kediaman bersepadu yang bertujuan memperkukuh lagi ekosistem komuniti di kawasan terbabit.

Kerjasama strategik itu juga mencerminkan visi Ikano Centres untuk meningkatkan kualiti kehidupan harian menerusi pembangunan yang menggabungkan elemen kediaman, peruncitan dan rekreasi dalam satu ekosistem yang saling berhubung.

Permintaan yang semakin meningkat terhadap kediaman mampu milik dan pertengahan dengan akses strategik serta kemudahan lengkap di Johor Bahru turut menjadi antara faktor utama pembangunan projek berkenaan.

Habitation Plus+ dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM600 juta dan bakal merangkumi dua menara kediaman yang menawarkan kira-kira 1,230 unit kediaman moden.

Pembangunan itu direka khas untuk memenuhi keperluan kehidupan moden dan pelbagai generasi dengan menampilkan susun atur praktikal serta penggunaan ruang pintar yang fleksibel mengikut perubahan gaya hidup semasa.

Diinspirasikan daripada falsafah reka bentuk fungsional IKEA, setiap unit kediaman dibangunkan dengan penekanan terhadap keselesaan, kepraktisan dan kebolehsuaian untuk jangka panjang.

Pengarah Urusan Ikano Centres, Adrian Mirea berkata, visi syarikat terhadap Tebrau sentiasa tertumpu kepada pembangunan sebuah destinasi yang melangkaui konsep peruncitan semata-mata.

Menurut beliau, sejak pembukaan IKEA Tebrau dan Toppen Shopping Centre, pihaknya terus melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan termasuk penambahan ruang runcit seluas 100,000 kaki persegi, peningkatan keluasan kawasan pembangunan serta penambahbaikan kemudahan akses seperti pembinaan parkir bertingkat.

“Pelaburan ini mencerminkan komitmen jangka panjang kami dalam memperkukuh destinasi ini sebagai sebuah persekitaran yang meriah di mana orang ramai boleh tinggal, beriadah dan berhubung.

“Habitation Plus+ mewakili fasa seterusnya dalam perjalanan ini dengan melengkapkan ekosistem sedia ada menerusi pembangunan kediaman yang disepadukan secara lancar dalam kehidupan harian,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan Welton Group of Companies yang terkenal dengan pendekatan pembangunan berteraskan inovasi dan teknologi akan membolehkan kedua-dua pihak menggabungkan kekuatan dalam pembangunan komuniti dan kepakaran kediaman bagi membentuk ekosistem yang benar-benar memberi pengalaman kehidupan moden kepada penduduk.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Welton Group of Companies, Thomas Ling berkata, pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan Ikano Centres dalam membentuk penanda aras baharu bagi kehidupan bandar di Johor Bahru.

Menurut beliau, projek Habitation Plus+ mencerminkan komitmen syarikat untuk menyediakan kediaman berkualiti tinggi yang mengutamakan fungsi, keselesaan dan kebolehdiaman.

“Diilhamkan oleh falsafah IKEA yang praktikal dan lestari, pembangunan pelbagai guna ini disepadukan secara lancar dengan Toppen Shopping Centre dan IKEA Tebrau.

“Ia menawarkan tahap kemudahan dan kualiti hidup yang unik di Johor Bahru sambil meningkatkan lagi persekitaran bandar di sekitarnya,” katanya.

Terletak bersebelahan IKEA Tebrau dan Toppen Shopping Centre, pembangunan itu bakal menjadi sebahagian daripada hab gaya hidup sedia ada yang menawarkan akses mudah ke laluan utama serta pelbagai kemudahan persekitaran.

Penduduk juga dijangka menikmati rangkaian ruang komuniti yang direka khas bagi menggalakkan interaksi sosial dan keseimbangan gaya hidup menerusi kemudahan seperti pusat kesejahteraan, ruang sosial dan zon kerja bersama.

Habitation Plus+ turut dirancang sebagai sebuah kawasan yang saling berhubung di mana elemen kehidupan, rekreasi dan peruncitan digabungkan dalam satu pembangunan moden dan dinamik.

Selain itu, lokasi strategik pembangunan di sepanjang laluan utama Tebrau dijangka memudahkan akses pejalan kaki dan kenderaan sekali gus mengukuhkan lagi peranannya sebagai sebahagian daripada ekosistem pembangunan bandar moden Johor Bahru.

Ikano Centres ketika ini mengendalikan beberapa destinasi utama di Malaysia dan Thailand termasuk IPC Shopping Centre, MyTOWN Shopping Centre, Toppen Shopping Centre, Klippa di Batu Kawan serta Megabangna di Bangkok.

Sementara itu, Welton Group of Companies pula dikenali menerusi pelbagai pembangunan hartanah berprofil tinggi termasuk Green Haven dan Orion Residence yang mengukuhkan reputasi syarikat sebagai antara pemaju hartanah dipercayai di Malaysia.

Kedua-dua pihak turut menegaskan komitmen mereka terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam memastikan pembangunan mampan yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti dan persekitaran bandar.

Disagree kembali selepas sedekad, lancar single baharu “Let’s Do It All Again”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas lebih sedekad menyepi daripada industri muzik tanah air, kumpulan alternatif rock Malaysia, Disagree akhirnya kembali menghangatkan arena muzik tempatan menerusi pelancaran single baharu berjudul Let’s Do It All Again yang mula dilancarkan di semua platform penstriman digital sejak 15 Mei 2026.

Kemunculan semula kumpulan yang pernah menjadi antara nama penting dalam landskap indie progressive rock Malaysia itu nyata menjadi detik yang dinanti-nantikan peminat, khususnya generasi yang membesar bersama karya-karya ikonik mereka pada era awal 2000-an.

Disagree kini tampil dengan barisan asal yang terdiri daripada Zahid, Hamka dan Taa, membawa semula identiti muzik penuh emosi yang pernah mendefinisikan perjalanan seni mereka suatu ketika dahulu.

Namun kali ini, muzik yang dibawakan hadir dengan penceritaan lebih mendalam, reflektif dan matang, seiring perjalanan hidup yang telah mereka lalui sepanjang tempoh menyepi daripada perhatian umum.

Single Let’s Do It All Again menjadi pembuka tirai kepada album penuh terbaharu mereka yang bakal diterbitkan tidak lama lagi berjudul Black & White in Colour.

Kemunculan semula ini bukan sekadar didorong nostalgia, sebaliknya lahir daripada keinginan untuk menyempurnakan perjalanan yang pernah terhenti tanpa penutup yang jelas.

Menurut anggota kumpulan itu, mereka tidak pernah benar-benar sempat mengucapkan selamat tinggal kepada peminat ketika mengambil keputusan untuk memperlahankan perjalanan seni lebih sedekad lalu.

“Kehidupan terus berjalan, begitu juga kami. Tetapi di suatu titik, ada sesuatu yang kami tinggalkan tanpa penyelesaian,” kata mereka mengenai keputusan untuk kembali aktif dalam industri muzik.

Sepanjang tempoh berehat, setiap anggota membawa haluan masing-masing dengan memberi fokus kepada keluarga, kerjaya dan perubahan kehidupan.

Namun rasa rindu terhadap muzik serta hubungan yang pernah terjalin bersama peminat akhirnya membawa mereka kembali bersatu.

Menerusi kemunculan semula ini, Disagree turut merancang untuk mendekati semula peminat melalui pelbagai siri interaksi eksklusif dan penampilan khas di seluruh negara, sekali gus menghidupkan kembali hubungan erat yang pernah terjalin antara kumpulan itu dan penyokong mereka suatu ketika dahulu.

Single Let’s Do It All Again tampil sebagai sebuah anthem penuh emosi yang mengangkat tema kepulangan, penyesalan dan penghargaan terhadap peminat yang tidak pernah melupakan mereka.

Lagu itu menceritakan perjalanan sebuah kumpulan yang pernah berada di puncak populariti sebelum perlahan-lahan menghilang tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal.

Dengan nuansa nostalgik tetapi tetap optimis memandang ke hadapan, karya tersebut hadir sebagai simbol permohonan maaf yang tulus serta usaha untuk kembali berhubung dengan peminat lama yang selama ini setia menanti.

Menariknya, lagu berkenaan dirakam di Malaysia dan Australia sebelum diadun serta diterbitkan oleh pemenang pelbagai Anugerah Industri Muzik (AIM), Greg Henderson.

Proses mastering pula dilakukan oleh pemenang Anugerah Grammy, Leon Zervos di Studios 301, Australia.

Hasil kolaborasi berkenaan melahirkan sebuah karya yang bukan sahaja berkualiti dari sudut teknikal dan bunyi, malah kekal jujur dari segi emosi dan penceritaan.

Pada era kegemilangannya sekitar awal 2000-an hingga awal 2010-an, Disagree dikenali sebagai antara kumpulan yang berjaya membentuk identiti tersendiri dalam genre alternatif rock dan indie progressive rock tempatan menerusi lagu-lagu seperti Crumbs, Suicide Note, Scarecrow Adams, Osaka dan Haley.

Mereka juga pernah menjadi nama tetap di festival muzik ikonik Rock The World selain berkongsi pentas dengan kumpulan antarabangsa seperti Hoobastank dan The All-American Rejects.

Sepanjang perjalanan seni mereka, Disagree turut mencatat pelbagai pencapaian membanggakan termasuk memenangi tiga Anugerah Industri Muzik (AIM), antaranya kategori Artis Baru Terbaik pada AIM ke-12 serta Album Inggeris Terbaik dan Kulit Album Terbaik pada AIM ke-17.

Mereka juga pernah menerima pengiktirafan Most Airplay di Anugerah Malaysian English Top 10 anjuran hitz.fm selain diiktiraf oleh Universal Music Malaysia sebagai album paling pantas terjual pada tahun 2005.

Kini, Disagree hadir dengan pendekatan berbeza yang lebih matang dan introspektif.

Jika dahulu mereka dikenali dengan intensiti emosi grunge dan pemberontakan anak muda, hari ini muzik mereka lebih memberi penekanan kepada hubungan semula, keikhlasan serta penghargaan terhadap perjalanan hidup dan peminat.

Album baharu Black & White in Colour pula bakal meneroka pelbagai tema termasuk patah hati, trauma, pergolakan hidup, hubungan semula dan kepercayaan.

Setiap lagu dalam album tersebut dikatakan mewakili fasa berbeza dalam evolusi kumpulan berkenaan, daripada siapa mereka dahulu kepada siapa mereka hari ini.

Walaupun senarai penuh lagu masih dirahsiakan, album itu disifatkan sebagai simbol penutup kepada satu perjalanan lama dan kelahiran semula buat Disagree serta peminat yang membesar bersama muzik mereka.

Dengan kemunculan semula ini, Disagree membuktikan bahawa jiwa seorang rocker tidak pernah benar-benar terpisah daripada muziknya.

Lebih daripada sekadar kebangkitan nostalgia, ia menjadi perjalanan penuh makna untuk kembali menyatukan muzik, kenangan dan peminat yang selama ini tidak pernah berhenti percaya kepada mereka.

Konsert Radja 25 tahun di Kuala Lumpur tampil lebih eksklusif dan nostalgia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan popular Indonesia, Radja bakal kembali menghangatkan pentas hiburan Malaysia menerusi penganjuran Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 11 Julai 2026.

Konsert anjuran DHYAH PROD7CTION bersama INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES itu diadakan sempena meraikan perjalanan 25 tahun Radja dalam industri muzik Nusantara, sekali gus menjadi simbol penghargaan kepada peminat yang terus setia menyokong perjalanan seni kumpulan itu sejak awal penubuhannya.

Kemunculan semula Radja di Malaysia kali ini dijangka mencetuskan fenomena tersendiri selepas kejayaan Konsert RadjaWali yang berlangsung pada Januari lalu.

Lebih menarik, Konsert Revolusi Radja 25 Tahun tampil sebagai sebuah konsert solo penuh yang memberi fokus sepenuhnya kepada kekuatan muzik, vokal dan identiti sebenar kumpulan legenda itu.

Sepanjang konsert berlangsung, peminat bakal dihidangkan dengan deretan lagu popular yang pernah mendominasi carta muzik serantau seperti Cinderella, Jujur, Benci Bilang Cinta, Takkan Melupakanmu, Manusia Biasa, Jangan Sakiti Aku dan Aku Ada Karena Kau Ada.

Lagu-lagu berkenaan bukan sahaja menjadi siulan ramai sejak lebih dua dekad lalu, malah masih kekal relevan dan dekat di hati peminat pelbagai generasi sehingga hari ini.

Lagu seperti Cinderella, Jujur dan Manusia Biasa juga dianggap sebagai karya ikonik atau “signature songs” Radja yang sering menjadi kemuncak dalam setiap persembahan pentas mereka.

Elemen nostalgia yang dibawa menerusi lagu-lagu ini dijangka mengembalikan memori era kegemilangan muzik awal 2000-an yang pernah mencetuskan fenomena besar di rantau Nusantara.

Konsert ini turut menjadi medan buat peminat menyaksikan semula keserasian anggota utama Radja iaitu Ian Kasela selaku vokalis utama, Moldy sebagai gitaris dan komposer utama, Adit selaku pemain bass serta Seno Aji di posisi dram yang selama ini menjadi tunjang kekuatan kumpulan berkenaan.

Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris berkata, Konsert Revolusi Radja 25 Tahun memberi peluang kepada peminat yang masih belum puas menikmati persembahan kumpulan itu ketika Konsert RadjaWali sebelum ini untuk merasai pengalaman sebenar menyaksikan Radja dalam format konsert solo eksklusif.

Menurut beliau, konsert berkenaan bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya akan menampilkan beberapa elemen kejutan istimewa termasuk persembahan tribute unik oleh dua DJ profesional wanita dari Malaysia dan Indonesia yang bakal mempersembahkan lagu-lagu Radja dalam susunan muzik elektronik lebih segar dan moden.

Katanya lagi, antara nama yang telah mengesahkan penglibatan ialah Nathalie Holscher, seorang DJ wanita dari Indonesia yang kini semakin meningkat popularitinya di republik terbabit.

“Walaupun diberikan pembaharuan dari segi susunan muzik, identiti asal serta kekuatan emosi setiap karya tetap dikekalkan.

“Ia sekali gus menawarkan pengalaman persembahan yang lebih moden, bertenaga dan relevan dengan citarasa penonton masa kini,” katanya.

Selain itu, penganjur turut memaklumkan bahawa beberapa penyanyi jemputan dari Malaysia dijangka membuat kemunculan khas pada malam konsert berkenaan, sekali gus menambahkan lagi nilai eksklusif kepada acara muzik berprestij itu.

Sementara itu, mewakili Radja, Ian Kasela mengakui Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan seni kumpulan berkenaan sejak awal pembabitan mereka dalam industri muzik.

Beliau berkata, setiap kali Radja mengadakan persembahan di Malaysia, sambutan yang diterima daripada peminat sentiasa luar biasa dan penuh kehangatan.

“Konsert Revolusi Radja 25 Tahun ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi satu perjalanan emosi yang meraikan 25 tahun muzik, kenangan dan sokongan yang tidak pernah putus daripada peminat kami di Malaysia dan seluruh Nusantara.

“Kami tidak sabar untuk kembali ke Kuala Lumpur dan berkongsi malam penuh nostalgia ini bersama semua peminat. Ini adalah hadiah istimewa daripada Radja buat peminat setia kami,” katanya.

Konsert Revolusi Radja 25 Tahun dijangka menjadi sebuah malam yang sarat dengan nostalgia, emosi dan energi, sekali gus mengubat kerinduan peminat terhadap persembahan solo kumpulan legenda Indonesia itu serta mengukuhkan lagi kedudukan Radja sebagai antara nama besar dalam industri muzik Nusantara.

Maklumat lanjut berkaitan penjualan tiket, kategori harga dan barisan penuh persembahan akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi laman rasmi airasia MOVETIX.

Filem animasi Fleak tayang di Malaysia 21 Mei 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Filem animasi pengembaraan penuh imaginasi berjudul Fleak bakal menemui penonton di seluruh Malaysia bermula 21 Mei 2026, bersempena musim cuti sekolah, selepas mencuri perhatian di pelbagai festival dan pasaran filem antarabangsa.

Diterbitkan melalui kerjasama Anima Vitae Point bersama Anima Vitae, Animoon dan Godo Films, filem berkenaan turut mendapat kerjasama Astro Shaw sebagai rakan pemasaran dan pengedaran rasmi di Malaysia.

Fleak sebelum ini telah dipersembahkan di beberapa festival antarabangsa berprestij termasuk Annecy International Animation Film Festival, Children’s International Film Festival dan Busan International Kids and Youth Film Festival, sekali gus mengukuhkan reputasinya di peringkat global.

Filem ini turut dijadualkan menembusi pelbagai pasaran antarabangsa termasuk Sepanyol, Perancis, Brazil, Türkiye, Denmark, Maghribi, Norway, Tunisia, Sweden dan Poland, menjadikannya antara karya animasi yang mendapat pengedaran meluas di peringkat global.

Malaysia pula menjadi antara negara Asia terawal menayangkan Fleak dalam bahasa asal Bahasa Inggeris, lebih awal sebelum tayangan di Amerika Syarikat dan Kanada.

Dari sudut penceritaan, Fleak mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Thomas yang kehilangan upaya untuk berjalan selepas terbabit dalam satu kemalangan. Kehadirannya bersama makhluk misteri dari dimensi lain membawa penonton menyelami dunia alternatif penuh warna, imaginasi dan emosi.

Filem ini diarahkan oleh Jens Moller, yang sebelum ini dikenali menerusi karya seperti Lego Star Wars: The Freemaker Adventures dan Ninjago, serta menerima pujian media antarabangsa termasuk Variety yang menyifatkannya sebagai karya “wildly imaginative”.

Selain elemen fantasi, Fleak turut mengangkat tema seperti penerimaan diri, konflik emosi dan hubungan kekeluargaan yang disampaikan dalam bentuk visual kreatif dan mudah difahami penonton pelbagai peringkat umur.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Penerbit Anima Vitae Point, Yuki Pang berkata, filem itu adalah hasil usaha panjang membabitkan bakat kreatif tempatan yang dibangunkan selama lebih 14 tahun dalam bidang produksi animasi.

Menurut beliau, Fleak pada asalnya diinspirasikan daripada watak rakan imaginasi yang dicipta bagi membantu kanak-kanak berdepan situasi sukar, sebelum melalui evolusi reka bentuk sehingga menjadi watak yang lebih mesra, comel dan dekat dengan penonton.

Katanya, filem ini membawa mesej penting mengenai peranan imaginasi dalam kehidupan moden yang semakin pantas dan mencabar.

Sementara itu, Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kerjasama strategik antara produksi tempatan dan antarabangsa ini mencerminkan potensi besar industri animasi Malaysia di peringkat global.

Menurut beliau, sambutan terhadap filem animasi di Malaysia yang semakin meningkat turut memberi keyakinan bahawa Fleak mampu menjadi pilihan utama penonton keluarga, khususnya sempena musim cuti sekolah.

Dengan gabungan visual memukau, dunia imaginatif dan naratif yang menyentuh emosi, Fleak dijangka memberikan pengalaman sinematik yang menghiburkan kepada penonton apabila mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 21 Mei 2026.