28 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 40

Exists umum tarikh baharu konsert Premium di PJ, 20 Disember 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan legenda Exists bakal menutup tirai 2025 dengan sebuah persembahan eksklusif berjudul EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ, yang dijadualkan semula ke tarikh baharu, 20 Disember 2025 di Petaling Jaya.

Konsert anjuran JioBuddy itu dijanjikan sebagai sebuah produksi paling intim dan mewah pernah dipersembahkan oleh kumpulan berpengaruh itu, yang dianggotai Ujang, Ajai, Musa, Along dan Ezad.

Sebelum ini, konsert berkenaan diumumkan berlangsung pada 4 Oktober, namun selepas penelitian terhadap beberapa faktor teknikal, Exists dan JioBuddy mencapai kata sepakat untuk menunda acara itu bagi memastikan mutu persembahan benar-benar setaraf konsep “premium” yang dibawa.

Menurut wakil JioBuddy, Sean Ng, keputusan itu dibuat demi memberikan pengalaman terbaik kepada peminat.

“Penundaan tarikh ini adalah keputusan bersama Exists. Kami mahu EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ dipersembahkan dengan standard eksklusif, bukan sekadar sebuah lagi konsert biasa.

“Kami juga memahami keresahan peminat berikutan tren pembatalan konsert kebelakangan ini,” katanya.

Sean berkata, penundaan ini bukan petanda pembatalan, sebaliknya usaha untuk memastikan peminat benar-benar merasai maksud premium.

Sementara itu, Musa, pemain bass Exists, berkata, konsert kali ini direka khas sebagai sebuah persembahan yang lebih dekat dengan peminat.

“Konsert ini akan menjadi lebih intimate, lebih dekat dan lebih up close and personal,” katanya.

Along pula berkata, persembahan berkenaan akan dibahagikan kepada empat segmen, merangkumi sesi sembang-santai, soal jawab, serta kupasan mendalam mengenai perjalanan pembikinan lagu-lagu hits mereka.

“Peminat akan mengetahui momen sentimental sesuatu lagu ketika rakaman dan penghasilan, sesuatu yang belum pernah didedahkan dalam mana-mana konsert Exists,” katanya.

Bagi Ajai pula, elemen sentimental ini bakal menjadi nadi utama persembahan, sekali gus membezakan EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ daripada konsert-konsert terdahulu.

“Kami mahu peminat merasakan makna premium yang dibina melalui pengalaman dan emosi bersama Exists,” katanya.

Bagi menambah keistimewaan, Exists turut menyediakan dua hadiah eksklusif buat peminat bertuah.

Antaranya sebuah gitar akustik Manuel Rodriguez milik Along sendiri, yang pernah digunakan dalam rakaman beberapa lagu popular seperti Setanggi Syurga dan Salam Rindu.

Selain itu, dengan kerjasama JS Music, sebuah set dram PDP lengkap dengan Evans Drumheads dan Promark Sticks akan diberikan kepada seorang pemenang bertuah.

Semua butiran mengenai cara penyertaan akan diumumkan di media sosial dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Ujang berkata, peminat yang ingin memenangi hadiah berkenaan perlu mengikuti perjalanan Exists sehingga ke pentas JioSpace pada 20 Disember nanti.

“Untuk jadi pemenang, anda harus follow sampai ke pentas,” katanya berjenaka.

Walaupun berdepan penundaan, Exists menganggap keputusan itu sebagai peluang memperkukuh persiapan teknikal.

Ezad berkata, mereka sentiasa mementingkan kualiti dan menghargai setiap peminat yang melaburkan wang bagi menyokong konsert mereka.

“Kami mahu pesona mewah yang ingin disampaikan menjadi momen tidak dilupakan,” katanya.

JioBuddy berkata, konsert ini akan tampil berbeza daripada persembahan Exists sebelum ini.

“Kami yakin EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ benar-benar akan menepati standard premium yang dijanjikan daripada mutu permainan muzik, audio hingga pengalaman eksklusif untuk peminat,” kata Sean.

Sebagai tambahan, seramai 100 peminat bertuah berpeluang bergambar secara peribadi bersama semua anggota Exists.

Tiket konsert yang ditawarkan dalam kategori Premium (RM588), VIP (RM488) dan Diamond (RM368) boleh diperoleh melalui www.jiotix.asia atau talian hotline khas OKU di +6011 1660 1122.

Tiket kategori Diamond yang laris juga telah ditambah jumlahnya dan peminat boleh merujuk media sosial untuk kemas kini terkini.

Peminat yang telah membeli tiket sebelum ini tidak perlu bimbang kerana tiket masih sah untuk tarikh baharu.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui WhatsApp hotline atau emel rasmi JioBuddy. Bagi pembelian korporat, diskaun istimewa turut disediakan untuk pembelian 30, 50 dan 100 tiket.

Single debut ‘Mendewasa’ Amad Dayyan, kisah jujur tentang perjalanan menuju kedewasaan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi cilik yang semakin menyerlah, Amad Dayyan, tampil memperkenalkan single pertamanya berjudul “Mendewasa”, sebuah karya pop balada yang menyelami realiti perubahan hidup serta perjalanan emosi seorang anak muda yang belajar menerima hakikat kedewasaan.

Lagu yang diterbitkan oleh World Peace Music Sdn. Bhd. ini secara rasmi diperkenalkan kepada semua, baru-baru ini.

Suasana penuh mesra itu turut memberi peluang kepada tetamu untuk mendekati Amad, selain menikmati persembahan dan perkongsian eksklusif mengenai penghasilan lagu ini.

Mendewasa membawa pendengar menelusuri dilema dan konflik emosi yang sering dialami golongan muda keinginan untuk kekal dalam zon selesa zaman remaja, berdepan ketakutan terhadap perubahan, serta keberanian menerima realiti bahawa kehidupan sentiasa bergerak ke hadapan.

Dengan lirik puitis tulisan Shazriq Azeman dan Omar K, serta melodi pop balada yang lembut namun kuat menyentuh perasaan, lagu ini hadir sebagai sebuah refleksi jujur tentang proses membesar.

Amad, yang tampil dengan vokal lembut tetapi bertenaga, menjayakan lagu ini dengan penuh penghayatan.

Baginya, Mendewasa bukan sekadar single pertama, tetapi sebuah karya yang lahir daripada pengalaman peribadinya sendiri.

“Sebagai single pertama saya, Mendewasa amat bermakna kerana ia menggambarkan fasa kehidupan sebenar yang saya alami tentang ketakutan, kehilangan dan akhirnya keberanian untuk menerima bahawa membesar itu bukan sesuatu yang mudah, tetapi perlu,” katanya.

Single ini diterbitkan oleh Omar K, dengan gubahan gitar oleh Denny Mojo, proses mixing oleh Omar K dan mastering oleh John Jeeves.

Mendewasa kini boleh dinikmati di semua platform digital serta di saluran YouTube rasmi World Peace Music.

Webull Malaysia umum kerjasama dengan AHAM Capital, lancar Moneybull patuh syariah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Webull Malaysia, anak syarikat kepada Webull Corporation (NASDAQ: BULL), mengumumkan kerjasama strategik dengan AHAM Asset Management Berhad (AHAM Capital) untuk melancarkan Moneybull, sebuah penyelesaian pengurusan tunai (cash management solution) yang direka khusus bagi membantu pelabur menjana pulangan stabil daripada tunai terbiar tanpa menjejaskan kecairan.

Pelancaran Moneybull menandakan komitmen terkini Webull dalam meningkatkan akses kewangan digital di Malaysia dengan menggabungkan teknologi platform pelaburan Webull dan kepakaran pengurusan dana AHAM Capital.

Melalui penyelesaian ini, pengguna boleh menikmati pemindahan automatik serta pulangan harian dengan proses yang mudah dan telus.

Dalam skim Moneybull, baki tunai pelabur akan dilaburkan secara automatik ke dalam AHAM Aiiman Enhanced i-Profit Fund-Class B, iaitu dana pasaran wang patuh Syariah yang diurus oleh AHAM Capital.

Dana berkenaan menawarkan pilihan berisiko rendah dengan pulangan stabil sehingga 3.4 peratus setahun*, sambil mengekalkan akses penuh kepada tunai tanpa sebarang tempoh kunci masuk atau penalti.

Salah satu ciri utama Moneybull ialah fungsi Auto Sweep yang membolehkan pemindahan tunai berlaku serta-merta apabila pengguna membuat pembelian saham di Bursa Malaysia.

Ini memastikan pelabur tidak perlu memilih antara kecairan dan pulangan, sekali gus mengoptimumkan penggunaan tunai terbiar secara lebih efisien.

Pelabur juga tidak dikenakan sebarang yuran langganan, penebusan atau caj platform tambahan.

Pelancaran ini hadir ketika rakyat Malaysia berdepan inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurut Youth Capital Market Survey oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, 69 peratus responden menyatakan masih ragu-ragu untuk melabur akibat kekurangan pengetahuan kewangan, manakala 74 peratus lagi menyebut halangan seperti akses produk pelaburan yang rumit dan modal permulaan yang tinggi.

Moneybull hadir sebagai penyelesaian mudah, digital dan berisiko rendah sejajar dengan Financial Inclusion Framework 2023–2026 oleh Bank Negara Malaysia.

Moneybull mencerminkan langkah seterusnya dalam menjadikan pelaburan sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia.

“Kerjasama dengan AHAM ini menghubungkan inovasi digital dan pengurusan dana profesional, menyediakan pintu masuk pelaburan yang ringkas, mampu milik dan berisiko rendah untuk membina tabiat kewangan yang lebih sihat,” kata Kenneth Chan, Ketua Pegawai Eksekutif Webull Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan AHAM Capital, Dato’ Teng Chee Wai berkata, kerjasama ini memberi tumpuan kepada keperluan sebenar pelabur hari ini.

“Ramai pelabur mempunyai tunai terbiar yang tidak dioptimumkan.

Moneybull menyelesaikan perkara ini dengan mengalirkan baki tunai ke dalam dana pasaran wang patuh Syariah yang menawarkan pulangan stabil, sambil mengekalkan fleksibiliti sepenuhnya untuk mengambil peluang pasaran.

“Kami mahu membantu rakyat Malaysia membina ketahanan kewangan jangka panjang dengan akses kepada penyelesaian profesional yang sebelum ini hanya tersedia kepada institusi dan individu berpendapatan tinggi,” katanya.

Sempena pelancaran Moneybull, Webull Malaysia turut mengumumkan kempen promosi bagi semua pengguna baharu dan sedia ada.

Pengguna yang mengaktifkan Moneybull berpeluang menerima pulangan bonus sehingga 6.0 peratus setahun* selama 90 hari, untuk baki tunai layak sehingga RM200,000 setiap pengguna.

Pengguna baharu yang membuka dan mengaktifkan akaun Webull sepanjang tempoh kempen turut layak menerima Welcome Rewards.

Mereka yang mendeposit RM5,000 dan mengekalkan baki tersebut selama 60 hari akan menerima saham Nvidia bernilai RM500.

Kempen ini berlangsung dari 14 November hingga 31 Disember 2025.

Sebagai broker berlesen di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Webull Malaysia mengekalkan komitmen penuh terhadap ketelusan dan perlindungan pelabur.

Platform ini menawarkan sifar yuran platform dan tiada caj tersembunyi, termasuk sifar komisen bagi perdagangan saham Bursa Malaysia sehingga 31 Disember 2025.

Webull turut menyediakan antara muka mesra pengguna yang menyokong Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, serta pilihan akaun perbankan konvensional dan Islam.

Pelabur juga boleh mengakses penapis saham patuh Syariah untuk pasaran Malaysia, Amerika Syarikat, Hong Kong dan China-A.

ToyyibPay, Yayasan Restu lancar portal Waqf Digital satu juta al-Quran global

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – ToyyibPay Sdn Bhd hari ini memeterai Perjanjian Usaha Sama (MoA) dengan Yayasan Restu bagi membangunkan Portal Waqf Digital yang selamat, telus dan patuh shariah.

Inisiatif ini bertujuan memperkukuh program Waqf al-Quran di peringkat global dengan sasaran menyediakan satu juta naskhah al-Quran kepada komuniti memerlukan di seluruh dunia.

MoA itu disempurnakan oleh Pengerusi ToyyibPay Sdn Bhd Datuk Dr. Mazlan Ahmad dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu Datuk Abdul Latif Mirasa, bertempat di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya.

Kerjasama ini menyatukan kepakaran ToyyibPay dalam pembayaran digital patuh shariah dengan pengalaman Yayasan Restu dalam percetakan, penjagaan dan pengedaran al-Quran secara global.

Dalam ucapannya, Dr. Mazlan Ahmad berkata, projek Satu Juta al-Quran ini adalah tindak balas Malaysia terhadap insiden pembakaran al-Quran di Sweden.

Susulan peristiwa itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pada tahun 2023 bahawa Malaysia berikrar menghantar satu juta naskhah al-Quran ke seluruh dunia sebagai simbol sokongan dan solidariti umat Islam.

“Usaha sama ini mencerminkan komitmen strategik untuk meningkatkan ketelusan, capaian dan impak penyediaan waqf al-Quran.

“Dengan menggabungkan misi Yayasan Restu dan keupayaan digital ToyyibPay, kami membina platform yang selamat, mudah diakses dan patuh shariah, membolehkan pewakaf di seluruh dunia menyumbang dengan yakin.

“Harapan kami, setiap sumbangan akan memberi manfaat berkekalan kepada generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Abdul Latif berkata, MoA ini bukan sekadar perjanjian, tetapi membawa amanah dan harapan agar mesej Aal-Quran dapat disampaikan kepada lebih ramai insan di Malaysia dan antarabangsa.

“Yayasan Restu telah memikul tanggungjawab dalam penyampaian al-Quran dan pendidikan selama lebih 30 tahun.

“Projek Satu Juta Waqf al-Quran bersama ToyyibPay bakal meneruskan momentum ini dengan platform digital yang lebih mudah dan dipercayai, membolehkan lebih ramai penyumbang menyertai usaha murni ini,” katanya.

Kerjasama ini memanfaatkan rangkaian ToyyibPay yang melebihi 200,000 peniaga serta lebih 5,000 masjid dan institusi Islam, sekaligus memperluas pasaran pewakaf dan komuniti Muslim digital di Asia, Timur Tengah, Afrika, Eropah, dan Amerika.

Sejak 2023, Yayasan Restu telah mengedarkan naskhah terjemahan al-Quran dalam 30 bahasa, memberi manfaat kepada lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Afrika Selatan, India dan Nigeria, dengan rancangan untuk menambah lebih banyak bahasa bagi meningkatkan capaian global.

Majlis hari ini juga menyaksikan ToyyibPay menandatangani tiga lagi MoU strategik bersama Namirial untuk modul keselamatan digital eKYC, Kirarafics bagi perkhidmatan wasiat digital dan Masjid Pro untuk aplikasi pengurusan masjid.

Dr. Mazlan Ahmad berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada pasukan ToyyibPay dan Yayasan Restu atas dedikasi serta profesionalisme mereka dan mendoakan agar kerjasama ini terus memberi manfaat kepada ummah dengan keikhlasan, kecemerlangan dan integriti.

KWC Fashion Wholesale dedah trend raya 2026 di Raya Preview Fashion Show: Tradisi bertemu gaya moden

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – KWC Fashion Wholesale, hab fesyen borong terkemuka di Malaysia, sekali lagi mengangkat industri fesyen tempatan apabila menganjurkan Raya Preview Fashion Show 2025, sebuah acara eksklusif yang menyatukan tradisi dan keanggunan moden.

Pertunjukan ini bukan sahaja menampilkan kreativiti pereka tempatan, tetapi turut menjadi platform strategik untuk pemain industri mendapatkan akses awal kepada trend Raya 2026.

Acara penuh bergaya ini menghimpunkan pembeli, pemilik butik, peniaga serta pencinta fesyen bagi menyaksikan sendiri koleksi perayaan yang bakal mendominasi musim Raya akan datang.

Menggabungkan elemen tradisional Malaysia dengan sentuhan moden yang segar, kesemua rekaan yang dipersembahkan sedia untuk ditempah secara borong memudahkan usahawan membuat persediaan awal bagi musim jualan yang paling dinanti setiap tahun.

Salah satu tarikan utama ialah Raya 2026 Runway Showcase, yang mempersembahkan rangkaian lengkap rekaan fesyen perayaan untuk Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.

Pentas peragaan dipenuhi variasi rekaan termasuk gaya klasik Raya, busana kasual, abaya, fesyen saiz besar, koleksi kanak-kanak serta rekaan berinspirasikan Oriental.

Antara model yang menyerikan pentas ialah pemenang KWC Model Search 2024 dan 2025, bersama 12 model muda berbakat melalui kerjasama khas dengan SL Event.

Selain pertunjukan fesyen, acara ini turut menampilkan Sesi Analisis & Perkongsian Trend Raya, yang memberikan gambaran awal mengenai warna pilihan, fabrik utama dan gaya yang dijangka menjadi tumpuan untuk Raya 2026.

Sesi ini dirangka khusus untuk membantu peniaga, media dan penggiat fesyen kekal mendahului pasaran serta merancang strategi koleksi perayaan dengan lebih tepat.

“Raya Preview Fashion Show ini menonjolkan keindahan rekaan fesyen perayaan sambil memberi peluang kepada semua untuk melihat trend Raya akan datang.

“KWC, sebagai hab fesyen terkemuka Malaysia, berbangga berkongsi trend perayaan yang membentuk landskap fesyen tempatan sambil menyokong bakat kreatif,” kata Pengurus Pengiklanan dan Promosi KWC Fashion Wholesale, Wendy Lam.

Acara ini turut menyediakan sesi lawatan berpandu ke butik-butik terpilih yang mempamerkan koleksi yang dipertontonkan di runway, membuka peluang kepada peniaga dan pembeli untuk menilai rekaan secara dekat serta membuat tempahan awal.

Sebagai peneraju dalam dunia fesyen borong negara, KWC Fashion Wholesale terus komited memperkasakan pereka dan usahawan tempatan.

Dengan gabungan warisan, kreativiti dan gaya moden, jenama ini kekal sebagai destinasi utama bagi pemain industri yang mencari inspirasi serta peluang perniagaan dalam dunia fesyen Malaysia.

MAGlifestyle perkenal koleksi modest paling berwarna di Fashionable Modest Asia, angkat inspirasi French Riviera

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama fesyen modest, MAGlifestyle, kembali mencuri tumpuan apabila mempersembahkan koleksi terbaharu di pentas Fashionable Modest Asia dengan pendekatan yang jauh lebih berani dan penuh warna.

Walaupun diasaskan oleh dua pereka bukan Muslim, Yen dan Shirley, jenama ini terus mengekalkan identiti sopan, moden serta tertutup, sekali gus membuktikan bahawa fesyen sederhana boleh dinikmati oleh semua tanpa mengira agama atau budaya.

Menurut dua pereka itu, koleksi terbaharu ini menjadi detik transformasi bagi MAGlifestyle kerana ia membawa mereka keluar daripada zon selesa yang selama ini sinonim dengan tona pastel dan rekaan minimalis.

Kali ini, pentas memperlihatkan paparan warna-warna terang dan ‘vibrant’ yang memberi impak visual lebih hidup dan energik.

“Kami memang mahu tonjolkan sesuatu yang lebih berwarna. Sebelum ini banyak rekaan pastel, tetapi untuk koleksi baharu ini kami nak tampilkan warna yang lebih menyerlah. Di atas pentas, ia nampak lebih hidup,” kata mereka.

Koleksi itu dijangka memuatkan antara 12 hingga 20 pilihan warna, bergantung kepada pemilihan akhir sebelum pelancaran rasmi.

Diinspirasikan oleh suasana romantik French Riviera, koleksi ini mengangkat konsep flower blooming yang diterjemahkan melalui penggunaan lace, motif flora serta tekstur fabrik yang kelihatan mewah.

Walaupun tidak menggunakan French lace asli, semuanya dipilih dengan teliti bagi memastikan hasil akhir tetap halus, premium dan selesa.

Sentuhan labuci dan manik turut diselitkan secara minimal untuk mengekalkan konsep simple elegant anggun tanpa berlebihan.

Bagi memenuhi cita rasa lebih meluas, setiap rekaan dihasilkan dalam dua gaya berbeza iaitu versi minimal bagi peminat gaya ringkas dan versi lebih berperincian untuk mereka yang mahukan sedikit kilauan.

Daripada keseluruhan rekaan yang dihasilkan, 23 daripadanya dipilih sebagai koleksi utama kerana kekuatan motif serta keseimbangan warna yang menonjol.

Rekaan selebihnya pula akan diperkenalkan dalam keluaran akan datang.

Kata mereka berdua, sesi penggambaran rasmi sedang dalam perancangan dan lookbook penuh koleksi ini dijangka dilancarkan tidak lama lagi.

Dengan motif flora yang bersifat universal dan palet warna yang sesuai untuk pelbagai tona kulit, mereka optimis bahawa koleksi ini akan mendapat sambutan merentas kaum.

Melangkah ke fasa baharu perkembangan jenama, MAGlifestyle turut mengumumkan perancangan untuk memperluaskan rangkaian produk dengan melancarkan koleksi 100 peratus womenswear merangkumi skirt, top dan dress yang lebih feminin dan moden pada keluaran seterusnya.

Dengan keberanian menggabungkan elemen modest, moden dan warna yang lebih segar, MAGlifestyle sekali lagi membuktikan bahawa fesyen sederhana mampu berevolusi lebih elegan, lebih versatil dan kini lebih berwarna daripada sebelumnya.

Misi Kemanusiaan Malaysia berjaya:  11 lori kargo ‘The Rightful Gift’ selamat tiba di Gaza

editormaxinfo@gmail.com

BANGI – Sebanyak 11 lori kargo bantuan kemanusiaan di bawah Kempen The Rightful Gift berjaya menembusi pintu sempadan Rafah pada 19 November lalu, menandakan perkembangan penting dalam usaha bantuan pasca serangan besar-besaran terhadap Gaza sejak Oktober 2023.

Misi itu diketuai oleh Global Hayat bersama Komuniti Dakwah Tarbiah, Kelab Perwira Malaysia dan Nisa Al-Khair, yang mengesahkan semua lori bantuan kini berada di dalam Gaza dan sedang melalui proses pengagihan kepada keluarga yang paling terjejas di Utara Gaza dan Bandar Gaza.

Kejayaan ini dianggap signifikan kerana ia membuka laluan baharu bagi penghantaran bantuan melalui jalan darat, sekali gus memperkukuh momentum bantuan kemanusiaan selepas pengumuman gencatan senjata pada 10 Oktober lalu.

Walaupun keadaan dilaporkan lebih tenang selepas pengumuman gencatan senjata, situasi di lapangan masih berada pada tahap krisis.

Lebih 70,000 penduduk Gaza dilaporkan syahid dengan majoriti korban terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Kira-kira dua juta rakyat kehilangan tempat tinggal dan kini hidup di dalam khemah tanpa akses kepada air bersih, sementara hospital, sekolah, masjid serta infrastruktur penting hampir lumpuh sepenuhnya.

Akses kepada makanan, ubat-ubatan, pendidikan dan keperluan asas masih terhad susulan sekatan yang berterusan, manakala jumlah lori bantuan harian yang dibenarkan masuk tidak mencapai satu pertiga daripada keperluan sebenar penduduk.

Pengarah Kempen The Rightful Gift, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, sebarang bentuk normalisasi dengan rejim Zionis Israel wajib ditolak.

Menurutnya, berdiam diri atau bersikap neutral dalam isu kemanusiaan sebesar ini dianggap sebagai sebahagian daripada proses normalisasi.

Beliau turut mengulas perkembangan terbaru di peringkat antarabangsa susulan kelulusan Pelan Damai Trump oleh Majlis Keselamatan PBB.

Walaupun pelan itu membabitkan gencatan senjata, pengunduran tentera Israel, pertukaran tawanan serta pembentukan Pasukan Penstabilan Antarabangsa, pihak mereka menyatakan kebimbangan kerana pelan itu tidak boleh mengabaikan suara rakyat Palestin sendiri.

“Sebarang pelan damai yang tidak menjamin akses bantuan tanpa halangan, keselamatan orang awam serta hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan sendiri berisiko mengulang kitaran penindasan.

“Melalui penghantaran terbaharu ini, sebanyak 5,400 kotak makanan asas dan 100 tan gandum telah berjaya dibawa masuk ke Gaza dengan nilai keseluruhan RM2.8 juta,” katanya.

Pada bulan sebelumnya, bantuan bernilai RM1.6 juta turut diagihkan dalam bentuk makanan panas, roti, pek makanan, bekalan perubatan, susu, lampin pakai buang, kayu api, pakaian, selimut dan khemah.

Semua bantuan diuruskan oleh wakil The Rightful Gift yang berada di dalam Gaza.

Keseluruhannya, jumlah bantuan bagi Oktober dan November 2025 mencecah RM4.4 juta, memberi manfaat hampir 80,000 penduduk.

Katanya, pihak mereka juga telah membuka Gudang ‘The Rightful Gift’ di Gaza bagi memudahkan koordinasi logistik dan pengagihan secara lebih sistematik.

“Kejayaan ini bukanlah hasil usaha satu organisasi semata-mata tetapi hasil sokongan rakyat Malaysia dan Nusantara yang tidak pernah berhenti menyalurkan sumbangan sejak konflik memuncak pada 2023.

“Kempen ini kini membuka peluang kerjasama kepada mana-mana NGO, syarikat korporat serta agensi kerajaan yang ingin menyertai misi bantuan seterusnya demi memperkukuh kapasiti penghantaran bantuan,” katanya.

Seiring pembukaan laluan bantuan yang semakin positif, Muhd Farhan berkata, mereka menyasarkan sekurang-kurangnya 50 lori kargo dihantar ke Gaza dalam Fasa Pertama sehingga akhir Mac 2026.

The Rightful Gift menyeru rakyat Malaysia untuk terus bersama dalam usaha kemanusiaan ini, terutama ketika rakyat Gaza sedang melalui musim sejuk dan hanya tinggal beberapa bulan sebelum tibanya Ramadan.

“Semoga usaha ini menjadi saksi bahawa Malaysia dan Nusantara tidak pernah meninggalkan Gaza dalam apa jua keadaan,” katanya.

Syed Saddiq, PTTI tawar kelas Matematik percuma sebulan untuk 20,000 calon SPM 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa pendidikan negara terus diperkukuh apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama selebriti popular, Bella Astillah, menjalin kerjasama strategik dengan PTTI bagi melancarkan program Online Tuition Class (OTC) Matematik secara percuma selama sebulan khusus untuk pelajar Tingkatan 4 Batch 09, yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2026.

Inisiatif berskala besar bersempena tema Generasi Pandai Matematik itu diwujudkan bagi mengukuhkan asas Matematik pelajar, meningkatkan keyakinan mereka dalam subjek teras terbabit, selain memastikan lebih ramai remaja mendapat akses pendidikan berkualiti tanpa sebarang bayaran.

Program percuma ini terbuka kepada 20,000 pelajar dari seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana, berkata pelaksanaan OTC Matematik ini selari dengan komitmen PTTI untuk menyediakan peluang pembelajaran inklusif bagi semua pelajar tanpa mengira latar belakang.

“Kami percaya setiap pelajar berhak mendapat peluang pembelajaran yang adil. Dengan OTC Matematik ini, PTTI mahu membantu 20,000 pelajar Batch 09 SPM 2026 untuk bermula lebih awal, membina asas yang kukuh dan memastikan mereka mampu melangkah ke peperiksaan dengan lebih yakin.

“PTTI komited menjadi rakan pembelajaran utama yang menyokong potensi dan kecemerlangan generasi muda,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata kerjasama itu adalah langkah penting dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat.

“Kita mahu memastikan anak muda hari ini tidak tercicir hanya kerana kekangan kos. Pendidikan berkualiti mesti boleh diakses semua, bukan hanya mereka yang mampu.

“Kerjasama dengan PTTI ini adalah usaha membuka lebih banyak ruang kepada pelajar untuk mempersiapkan diri menuju masa depan yang lebih cerah.

“Saya percaya dengan persediaan awal, sokongan tepat dan guru yang berdedikasi, pelajar kita mampu menjadi generasi yang lebih yakin, mahir dan berdaya saing,” katanya.

Majlis pelancaran program itu berlangsung meriah di IDCC Shah Alam melalui program Roadtour Mula Awal Straight A SPM 2026 PTTI, yang dihadiri hampir 1,000 calon SPM dari seluruh negara.

Turut memeriahkan acara ialah duta rasmi PTTI, Iman Troye, yang hadir memberikan kata-kata semangat kepada pelajar.

Inisiatif kelas percuma ini dibuka secara terhad kepada 20,000 pelajar Batch 09 dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman rasmi www.ptti.my.

CIMB, Nicol David perkasa 750 pelajar melalui program +Play Finance

editormaxinfo@gmail.com

BAYAN LEPAS – CIMB Bank Berhad (CIMB) memperkukuh komitmennya dalam memajukan pembangunan generasi muda Malaysia melalui pelancaran +Play Finance Programme, sebuah inisiatif holistik yang dibangunkan bersama Nicol David Organisation (NDO).

Program ini diperkenalkan sempena Karnival Celik Kewangan anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) dan direka untuk membina ketahanan diri pelajar melalui gabungan literasi kewangan, kesejahteraan mental dan aktiviti fizikal.

+Play Finance Programme menyasarkan lebih 750 pelajar daripada 30 sekolah di Lembah Klang, dengan pendekatan pembelajaran yang menggabungkan latihan pergerakan aktif dan bengkel interaktif.

Melalui kaedah ini, pelajar bukan sahaja didedahkan kepada asas pengurusan kewangan, tetapi turut dilatih untuk membina disiplin, ketahanan mental dan keyakinan diri nilai penting untuk menghadapi dunia yang semakin mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank Berhad dan CIMB Malaysia, Gurdip Singh Sidhu, berkata pendidikan kewangan yang diperkenalkan pada usia muda mampu memberi kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan individu dan masyarakat.

“CIMB percaya bahawa kemajuan bermula apabila komuniti dibekalkan alat dan peluang untuk berkembang. Melalui +Play Finance Programme, kami berhasrat menyampaikan ilmu dengan cara yang lebih menarik dan berkesan.

“Gabungan aktiviti fizikal, kesejahteraan mental dan literasi kewangan dapat membina disiplin serta ketangkasan pemikiran, sekali gus melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing dan bermaklumat,” katanya.

Sementara itu, Pengasas NDO dan legenda skuasy dunia, Datuk Nicol David, turut berkongsi nilai yang dibawa melalui kolaborasi berkenaan.

“Masa depan Malaysia bergantung kepada keyakinan, ketabahan dan kebijaksanaan anak muda.

“+Play Finance menggabungkan nilai sukan seperti disiplin, hormat dan semangat juang dengan ilmu kewangan yang penting untuk membuat keputusan yang bertanggungjawab.

“Kerjasama bersama CIMB ini diharapkan mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang, tetapi turut memimpin dengan tujuan dan memberi impak kepada komuniti serta negara,” katanya.

Program ini memperkenalkan pelajar kepada konsep asas pengurusan kewangan termasuk penetapan matlamat kewangan, cara membuat bajet, amalan menabung dan perbelanjaan berhemah.

Melalui empat sesi mingguan yang disertakan elemen pergerakan fizikal, program ini memecahkan stigma bahawa topik kewangan sukar difahami atau tidak relevan kepada golongan muda.

Sebaliknya, ia membawa pembelajaran kewangan ke dalam konteks yang menyeronokkan dan lebih mudah diterima oleh pelajar.

+Play Finance Programme turut seiring dengan inisiatif komuniti CIMB, ‘Kita Bagi Jadi Komuniti’, yang menumpukan kepada usaha memperkukuh keterangkuman kewangan dan ekonomi untuk rakyat Malaysia.

Usaha ini memastikan lebih ramai anggota masyarakat mampu membina masa depan yang lebih stabil, selamat dan mampan melalui pengetahuan serta sokongan yang tepat.