27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 39

SBKN desak Anthony Loke jelaskan dakwaan kenderaan JPJ guna plat tidak berdaftar

editormaxinfo@gmail.com

KARAK – Aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar sekali lagi tampil mempertikaikan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan dakwaan penggunaan sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran tidak berdaftar dalam satu insiden pemeriksaan di Plaza Tol Lancang pada 20 November lalu.

Mewakili Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) Dr. Kalaivanar berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat perlu memastikan setiap agensi penguat kuasa mematuhi undang-undang tanpa pengecualian.

Beliau menegaskan prinsip “nobody is above the law” perlu terpakai kepada semua pihak termasuk JPJ.

Insiden yang tular itu membabitkan seorang pemandu lori dikenali sebagai Rao dihampiri sebuah Toyota Fortuner yang didakwa digunakan oleh anggota penguat kuasa JPJ.

Video terbabit mencetuskan persoalan dalam kalangan pengguna jalan raya apabila nombor pendaftaran kenderaan berkenaan dikatakan tidak mempunyai logo rasmi JPJ dan dipercayai tidak berdaftar.

Walaupun laporan polis telah dibuat dan siasatan kini berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa,Dr. Kalai berharap isu utama yang dibangkitkan bukanlah insiden tular itu semata-mata, tetapi dakwaan penggunaan kenderaan yang tidak mematuhi peraturan ketika operasi penguatkuasaan dijalankan.

“Jika pemandu lori melakukan kesalahan, mereka dihukum. Itu kita tidak pertikaikan. Undang-undang tetap undang-undang.

“Namun apabila berlaku dakwaan JPJ sendiri menggunakan kenderaan tanpa pendaftaran yang sah, ia menimbulkan persoalan besar. Menteri Pengangkutan perlu memberi jawapan,” katanya.

Beliau turut mengulangi pendirian SBKN yang sebelum ini pernah mengadakan demonstrasi di Parlimen bagi membantah sebarang bentuk penyamaran oleh agensi penguat kuasa ketika menjalankan operasi.

Menurutnya, masyarakat khususnya golongan pemandu lori dan pengusaha pengangkutan berhak mengetahui sama ada prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi oleh pihak JPJ.

Dr. Kalai berkata, sebarang tindakan operasi harus dilakukan menggunakan kenderaan jabatan yang jelas identiti dan pendaftaran bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga integriti penguatkuasaan.

Beliau juga meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, tampil memberikan penjelasan segera terhadap dakwaan terbabit.

Menurutnya, menteri bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala urusan dan tindakan jabatan di bawah portfolio beliau.

“Kita mahu kedaulatan undang-undang ditegakkan. Kenapa kenderaan yang dipercayai tidak berdaftar digunakan untuk menahan lori? Menteri Pengangkutan perlu jawab. Rakyat berhak tahu,” tegasnya.

Minum kopi berlebihan jejas jantung dan buah pinggang – Dr Afif

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Minum kopi sudah menjadi rutin harian ramai rakyat Malaysia, malah ada yang menganggapnya sebagai “teman setia” sejak bangun tidur hingga ke penghujung hari.

Tiada salahnya menikmati secawan kopi untuk meningkatkan tenaga dan kekal fokus ketika bekerja.

Namun, menurut pakar kesihatan, setiap individu perlu mengetahui had selamat pengambilan kafein bagi mengelakkan risiko kesihatan yang serius.

Menurut Dr Afif Mohd Ridzwan, kopi mengandungi kafein iaitu bahan perangsang semula jadi yang memberi kesan langsung kepada sistem saraf manusia.

Katanya, pengambilan kafein dalam jumlah terkawal sememangnya bermanfaat, tetapi dos berlebihan boleh mendatangkan mudarat.

Beliau menjelaskan had maksimum kafein yang disarankan untuk dewasa ialah 400 miligram (mg) sehari, bersamaan kira-kira dua hingga tiga gelas kopi.

 Jumlah ini mengambil kira purata kandungan kafein 100 hingga 200 mg bagi setiap gelas kopi, bergantung kepada jenis bancuhan.

Dr Afif, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, turut berkongsi pengalamannya mendengar seorang pendengar radio mengaku meminum sehingga 15 gelas kopi sehari.

Angka itu bersamaan hampir 1,500 mg kafein, iaitu hampir empat kali ganda lebih tinggi daripada had selamat harian.

Menurutnya, jumlah kafein yang terlalu tinggi setiap hari untuk tempoh yang panjang boleh meningkatkan risiko penyakit kronik akibat tekanan berlebihan terhadap organ dalaman.

“Antara kesan negatif pengambilan kafein berlebihan termasuklah tekanan darah meningkat, degupan jantung menjadi laju serta jantung terpaksa bekerja lebih kuat daripada kebiasaan.

“Lebihan kafein juga boleh mempengaruhi fungsi buah pinggang apabila salur darah mengembang secara mendadak, menyebabkan aliran darah terlalu laju sehingga organ terbabit tidak mampu menapis dengan stabil,” katanya.

Katanya, keadaan ini, boleh menyebabkan kebocoran atau kerosakan buah pinggang dalam jangka panjang.

Selain itu, individu yang mengambil terlalu banyak kafein turut berisiko mengalami gastrik, refluks asid dan gangguan tidur.

Dr Afif berkata, pengambilan kopi dibuat dengan lebih berhati-hati terutamanya bagi golongan berisiko seperti pesakit darah tinggi, mereka yang mempunyai masalah jantung, individu yang mengalami gastrik, wanita hamil serta mereka yang sensitif terhadap kafein.

“Golongan ini digalakkan menghadkan jumlah kafein atau mengambilnya di bawah pemantauan doktor.

“Kopi tidak harus dianggap sebagai minuman berbahaya secara keseluruhan. Kopi mempunyai banyak manfaat seperti meningkatkan metabolisme, membantu fokus serta kaya dengan antioksidan yang baik untuk tubuh.

“Dos menentukan sama ada kopi memberi manfaat atau mudarat,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan pengambilan kopi secara sederhana bagi mengelakkan komplikasi kesihatan di kemudian hari.

“Lebih baik kita mencegah daripada terpaksa berulang-alik ke hospital suatu hari nanti hanya kerana kafein yang diambil secara berlebihan,” katanya.

Nasi Kandaq Fest 3.0 kembali lebih ‘Surrr’ di Datum Jelatek

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Festival makanan paling dinanti peminat nasi kandar seluruh negara kembali lagi apabila Nasi Kandaq Fest 3.0 diumumkan bakal berlangsung pada 29 dan 30 November 2025 di Datum Jelatek Shopping Centre.

Acara anjuran FriedChillies dengan kerjasama Datum Jelatek itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ketiga pusat beli-belah itu, sekali gus menjanjikan pengalaman kulinari yang lebih meriah dan berwarna.

Untuk edisi kali ini, festival berprestij itu menampilkan sembilan lagenda nasi kandar dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor, menjadikannya barisan vendor paling “Surrr” sejak penganjurannya.

Festival ini turut mendapat sokongan daripada Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) serta komuniti peminat tegar nasi kandar terbesar di Malaysia, Nasi Kandaq Hunters (NKH).

FriedChillies bersama NKH telah memilih sembilan vendor legenda yang mewakili warna-warni dunia nasi kandar daripada nama besar Pulau Pinang hingga ke jaguh Kuala Lumpur dan bintang dari Johor.

Antara line-up istimewa tahun ini termasuklah Deens Maju (Jalan Gurdwara), Nasi Kandar Kampung Melayu, Pelita Chai Leng Park, Kudu, Hameediyah, LC (Line Clear) Kampung Baru, Nasi Kandaq Talam (Johor), Nasi Kandar Bawah Pokok (Penang) serta Ibramsha yang kini kembali dengan lokasi baharu.

Setiap vendor bakal membawakan lauk tanda tangan masing-masing selain hidangan eksklusif khas untuk festival dua hari ini.

Nasi Kandaq Fest 3.0 bukan sekadar medan menjamu selera, malah sarat dengan aktiviti komuniti, hiburan keluarga dan demonstrasi makanan.

Antara tarikan utama termasuk promosi Nasi Kandar RM3 pada jam 3:33 petang untuk 333 pengunjung terawal pada kedua-dua hari festival.

Selain itu, turut diadakan pertandingan pakaian terbaik, pertandingan makan, serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

Festival ini turut diserikan dengan persembahan pentas dan demo memasak oleh chef jemputan.

Acara kali ini juga disokong oleh jenama rasmi seperti Able Farm (Krimer Rasmi), Jasmine Rice (Beras Rasmi) dan ECOSAFA (Minyak Masak Rasmi).

Menurut Adly Rizal, CEO FriedChillies, penganjuran tahun ini membawa semangat baharu dengan kombinasi vendor paling menarik pernah dikumpulkan.

“Tahun ini kami membawa sembilan vendor nasi kandar kegemaran rakyat dari Penang, KL dan Johor ini sememangnya line-up paling Surrr setakat ini.

“Kami juga teruja menganjurkan Nasi Kandaq Fest 3.0 di Datum Jelatek bersempena ulang tahun ketiga mereka.

“Lokasi ini sangat ideal dengan akses LRT terus ke pusat beli-belah, parkir yang luas dan suasana yang selesa untuk pengunjung” katanya.

Sementara itu, Zetty Rahim, CEO Datum Jelatek Shopping Centre, Zetty Rahim berkata, festival ini sebagai simbol komitmen pusat beli-belah terbabit untuk kekal menjadi ruang komuniti dan budaya.

“Untuk ulang tahun ketiga kami, kami mahukan acara yang meraikan warisan Malaysia sambil menyatukan Masyarakat dan Nasi Kandaq Fest 3.0 memenuhi matlamat ini.

“Menghimpunkan sembilan lejen nasi kandar di bawah satu bumbung adalah pengalaman jarang berlaku dan kami berbangga membawanya kepada pengunjung kami,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden PRESMA, Dato’ Mohamed Mosin berkata,pihaknya mengangkat kepentingan festival ini dalam memartabatkan warisan kulinari negara.

“Nasi kandar lebih daripada makanan ia simbol budaya dan identiti warisan Muslim-India Malaysia.

“PRESMA berbangga menyokong festival yang menghimpunkan pengusaha nasi kandar disegani dari seluruh negara,” katanya.

Pengasas Nasi Kandaq Hunters, Pandai Othman berkata, pihaknya teruja akan penganjuran ini.

“Dengan sembilan nama besar yang dipilih bersama FriedChillies, peminat akan menikmati pilihan terbaik serta rasa autentik,” katanya sambil menjemput ahli NKH hadir memeriahkan festival.

Minyak sawit kekal pilihan utama dunia, mampu milik dan pemacu tenaga hijau global

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Minyak sawit terus mengukuhkan kedudukannya sebagai minyak makan paling penting dan mampu milik dalam rantaian bekalan global, sekali gus memainkan peranan besar dalam keselamatan makanan, penyediaan pekerjaan serta pembangunan ekonomi negara-negara pengeluar.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Singapura, Dr. Sathia Varqa, berkata minyak sawit kini merangkumi sepertiga penggunaan minyak makan dunia, mengatasi minyak soya, bunga matahari dan biji sesawi dalam pasaran global.

Menurutnya, daya saing harga serta kestabilan bekalan menjadikan minyak sawit pilihan utama jutaan pengguna di seluruh dunia.

“Minyak sawit amat berdaya saing dan mampu milik. Ia membantu mengimbangi kenaikan harga makanan dan kekal sebagai sumber minyak makan stabil untuk pengguna global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Harapan Pasaran Minyak Sawit dan Laurik 2026” sempena Kongres dan Pameran Antarabangsa Minyak Sawit MPOB (PIPOC 2025) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dr. Sathia berkata, minyak sawit bukan sekadar komoditi makanan, tetapi turut menjadi sumber pendapatan utama jutaan pekebun kecil di Malaysia, Indonesia dan negara pengeluar lain.

Selain itu, minyak sawit juga semakin penting dalam dasar tenaga mampan, khususnya dalam pengeluaran dan penggunaan biodiesel.

Menurutnya, penggunaan biobahan api berasaskan sawit yang kini sekitar 10 peratus, berpotensi meningkat sehingga 25 peratus pada tahun depan, selaras dengan sasaran negara-negara pengeluar yang mahu memperluas peralihan kepada tenaga hijau.

“Kemampuan minyak sawit mengurangkan pelepasan karbon menjadikannya komponen penting dalam pembangunan biodiesel, termasuk program B20 yang dilaksanakan Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa perubahan iklim terus menjadi cabaran kepada semua komoditi pertanian.

Walaupun pokok sawit lebih tahan dan cepat pulih daripada cuaca ekstrem berbanding tanaman soya dan bunga matahari, impaknya tetap perlu diberi perhatian.

Dalam konteks Malaysia, Dr. Sathia mengakui terdapat beberapa isu domestik yang perlu ditangani segera termasuk pokok sawit tua, produktiviti rendah, kekurangan tenaga kerja, serta proses mekanisasi yang masih perlahan.

Beliau turut menekankan wujudnya jurang besar antara prestasi estet besar dan ladang pekebun kecil.

“Masalah ini tidak akan selesai menjelang 2026. Malaysia memerlukan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang yang merangkumi galakan penanaman semula, automasi dan inovasi teknologi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan Malaysia kini berada pada kedudukan yang sangat strategik untuk menarik pelaburan baharu, khususnya berikutan ketidaktentuan dasar tanah dan peningkatan risiko peraturan di Indonesia.

“Kelebihan Malaysia ialah kestabilan. Pelabur mahukan kepastian daripada segi hak pemilikan tanah, peraturan jelas dan pengawalseliaan yang teratur. Inilah masa paling sesuai untuk Malaysia menarik lebih banyak pelaburan,” katanya.

UPSI, IJNUC jalin kerjasama tawar Ijazah Sarjana Muda Psikologi bermula 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Kolej Universiti IJN (IJNUC) bagi melaksanakan Program Ijazah Sarjana Muda Psikologi (Kepujian), menandakan satu lagi usaha strategik untuk memperkukuh pendidikan psikologi dalam sektor kesihatan negara.

Kerjasama ini menyatukan kepakaran akademik UPSI dengan kekuatan pembelajaran klinikal IJNUC bagi melahirkan graduan yang holistik, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran industri.

Melalui perjanjian itui, UPSI berperanan sebagai badan penganugerahan ijazah, manakala IJNUC akan mengendalikan pelaksanaan dan pengajaran program.

Pendekatan ini dijangka memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar melalui gabungan teori akademik yang mapan dan latihan klinikal sebenar dalam ekosistem penjagaan kesihatan.

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Bangunan Yayasan Selangor dengan disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Naib Canselor IJNUC, Prof Emerita Durrishah Idrus.

Datuk Dr Md Amin berkata kerjasama ini adalah komitmen UPSI untuk memperluaskan impak pendidikan melalui jalinan strategik antara universiti dan industri, khususnya dalam bidang berkaitan kesihatan mental yang kini menjadi keutamaan nasional.

Menurut beliau, integrasi psikologi dalam bidang perubatan amat penting dalam membentuk profesional yang memahami aspek emosi dan tingkah laku pesakit serta mampu mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam amalan klinikal.

“UPSI berbangga bekerjasama dengan IJNUC dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja memahami ilmu psikologi tetapi juga mampu menerjemahkannya dalam konteks kesihatan.

“Kerjasama ini selari penekanan negara terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan emosi,” katanya.

Sementara itu, Prof Emerita Durrishah berkata, kerjasama ini adalah langkah penting dalam usaha IJNUC memperluas penawaran akademik ke luar bidang sains klinikal tanpa menjejaskan matlamat melahirkan tenaga profesional yang berkemahiran dan berdaya empati.

Beliau berkata, psikologi memiliki hubungan rapat dengan penjagaan kesihatan, terutama dalam memahami tingkah laku manusia serta kesejahteraan mental untuk menyediakan rawatan yang lebih holistik.

“Dengan menggabungkan keunggulan akademik UPSI dan kekuatan IJNUC dalam pendidikan kesihatan, kita dapat menyediakan graduan yang seimbang dari segi kompetensi dan belas ihsan, selaras dengan keperluan semasa,” katanya.

Program Ijazah Sarjana Muda Psikologi (Kepujian) itu akan menawarkan kurikulum pelbagai disiplin merangkumi teori, latihan klinikal dan pendedahan kepada persekitaran penjagaan kesihatan bagi mengukuhkan pemahaman pelajar tentang dimensi psikologi dalam rawatan dan kesejahteraan manusia.

Program itu dijangka mula ditawarkan pada September 2026 selepas memperoleh kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Kerjasama ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan UPSI dan IJNUC sebagai institusi yang komited melahirkan tenaga kerja profesional dalam bidang psikologi dan kesihatan, seterusnya menyumbang kepada usaha negara meningkatkan kesejahteraan mental masyarakat.

Pavilion Bukit Jalil hidupkan ‘Peanuts Christmas Wonders’ bersama Snoopy dan rakan-rakan mulai 20 November

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menyemarakkan keceriaan hujung tahun dengan penuh magis, Pavilion Bukit Jalil menganjurkan Peanuts Christmas Wonders: Together, Here., sebuah sambutan Krismas istimewa yang menampilkan watak-watak ikonik Snoopy, Charlie Brown dan Lucy.

Bermula 20 November 2025 hingga 4 Januari 2026, kempen perayaan ini mengubah seluruh pusat beli-belah itu menjadi destinasi musim perayaan yang memukau, meraikan kreativiti, hubungan komuniti dan semangat kebersamaan di koridor selatan Kuala Lumpur.

Dengan kerjasama Public Bank dan Visa sebagai Rakan Rasmi, edisi tahun ini tampil lebih meriah melalui dekorasi imersif, aktiviti mesra keluarga serta persembahan yang menghidupkan suasana Krismas.

Pengunjung yang berbelanja RM50 atau lebih di seluruh pusat beli-belah berpeluang menebus pas Meet & Greet eksklusif bersama Snoopy, Charlie Brown dan Lucy.

Sesi bertemu peminat ini dijadualkan pada 13, 14, 19, 21, 24 dan 25 Disember 2025 pada jam 12 tengah hari, 3 petang dan 6 petang, manakala sesi pada 20 Disember berlangsung pada jam 3 petang dan 6 petang sahaja.

Suasana perayaan turut diperkaya dengan acara Brunch with Santa pada 23 Disember 2025, jam 11 pagi, terhad kepada 50 peserta.

Dengan bayaran RM30 seorang melalui Ticket2u.com.my, pengunjung boleh menikmati hidangan istimewa di TGI Fridays bersama Santa dan Santarina, lengkap dengan momen bergambar, gelak tawa serta sajian istimewa bertemakan Krismas.

Pusat Court menjadi nadi utama hiburan Krismas tahun ini, menampilkan rangkaian persembahan yang padat dan memukau.

Antara tarikan utama ialah persembahan Kids Singing with Santa oleh Yamaha, orkestra PJ Philharmonic, String Performance oleh Clap & Tap, persembahan koir oleh UCSI, persembahan instrumental oleh Heavenly Star Music, pertunjukan fesyen Movekid, persembahan balet oleh Ballote Dance Studio, persembahan nyanyian oleh Kelly Tan, UCSI Christmas Fashion Parade serta persembahan vokal energik oleh V7 Music Academy.

Gabungan persembahan ini mewujudkan suasana penuh warna, meriah dan mengujakan di seluruh pusat beli-belah.

Kemeriahan berterusan dengan Christmas Parade serba baharu yang menampilkan Santa dan Santarina menaiki Christmas Express dari Zon Oren ke Zon Merah Jambu di Aras 2.

Perarakan ini berlangsung pada 29 dan 30 November serta 6, 7, 20, 21, 24 dan 25 Disember 2025 mulai jam 4.30 petang, membawa watak-watak ceria dan muzik perayaan yang menghidupkan suasana Krismas di setiap penjuru.

Bagi melengkapkan sambutan, Pavilion Bukit Jalil menawarkan penebusan eksklusif barangan edisi terhad Peanuts sepanjang tempoh kempen.

Pengunjung yang berbelanja minimum RM500 atau RM300 bagi pemegang Kad Visa Public Bank, boleh membawa pulang Snoopy Puffer Bag.

Sementara itu, Snoopy Travel Storage Box ditawarkan dengan perbelanjaan RM800 atau RM500 bagi pemegang Kad Visa Public Bank.

Istimewa untuk pemegang Kad Visa Public Bank, mereka yang berbelanja RM1,000 dalam maksimum dua resit layak menerima Snoopy Stainless Steel Thermos Cup edisi terhad.

Penebusan pusat beli-belah boleh dibuat di Kaunter Penebusan di Aras 4 (Zon Merah Jambu), manakala penebusan eksklusif pemegang kad Public Bank Visa tersedia di Centre Court, Aras 2.

Sambutan Peanuts Christmas Wonders: Together, Here. ini mengajak orang ramai meraikan keindahan musim Krismas bersama keluarga dan rakan tersayang, sambil menikmati pengalaman perayaan yang sarat dengan nostalgia, kegembiraan dan kenangan indah.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti dan jadual persembahan, orang ramai boleh melayari saluran media sosial rasmi Pavilion Bukit Jalil.

Kuala Lumpur Tower lancar keluarga maskot baharu, raikan pemenang Pertandingan Befriend Kay Elle

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur Tower, salah satu mercu tanda paling ikonik di Malaysia, melakar detik bersejarah apabila memperkenalkan keluarga maskot baharu yang terdiri daripada lima watak unik iaitu Kay Elle, Tawa, Hornbelle, Cik Mak dan Puteri Raya.

Pelancaran penuh warna-warni yang berlangsung di HEMISFERA Luxury Sky Hall itu bukan sekadar memperkenalkan watak baharu, malah membuka lembaran baharu dalam strategi penceritaan, pengalaman pengunjung serta penjenamaan budaya Kuala Lumpur Tower.

Majlis berprestij ini turut meraikan pemenang Pertandingan Rekaan Befriend Kay Elle, sebuah inisiatif yang berjaya menarik hampir 200 penyertaan daripada seluruh negara, memperlihatkan kreativiti dan kepelbagaian bakat rakyat Malaysia.

Tiga pemenang utama iaitu Christelle Siow Zhi Shien (Hornbelle), Nur Aliahsafiyah Atikah binti Mat Noor (Cik Mak) dan Lay Heng Soon (Puteri Raya) masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 bersama pas tahunan Kuala Lumpur Tower serta peluang menyaksikan rekaan mereka diangkat sebagai maskot rasmi.

Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Othman, dalam ucapannya berkata, maskot-maskot ini adalah nadi baharu kepada penceritaan Kuala Lumpur Tower. Menurut beliau, menara yang telah menghiasi langit Kuala Lumpur hampir tiga dekad itu kini tampil dengan wajah dan personalitinya sendiri, menjadikan hubungan antara mercu tanda berkenaan dan rakyat Malaysia lebih dekat secara emosional.

“Kuala Lumpur Tower bukan sekadar struktur di kaki langit. Ia adalah simbol kebanggaan negara, saksi kepada perkembangan Kuala Lumpur dan mercu yang mempunyai nilai sentimental buat jutaan rakyat.

“Hari ini, buat pertama kalinya, kisah itu diterjemahkan melalui lima personaliti yang mencerminkan cahaya kita, alam kita, budaya kita, kehangatan kita dan semangat kebangsaan kita,” katanya.

Watak-watak yang diperkenalkan membawa identiti tersendiri.

Kay Elle diinspirasikan daripada cahaya yang menerangi malam Kuala Lumpur, melambangkan keterujaan dan harapan.

Tawa pula menggambarkan kelestarian alam melalui simbolik Hutan Simpan Bukit Nanas yang berusia lebih 130 juta tahun dan terletak berhampiran menara.

Hornbelle mengangkat keunikan budaya Malaysia Timur melalui inspirasi burung enggang, manakala Cik Mak mencerminkan keramahan, kasih sayang dan semangat hospitaliti rakyat Malaysia.

Puteri Raya pula mewakili bunga kebangsaan, melambangkan keberanian, keindahan dan perpaduan yang disatukan melalui warna-warni pencahayaan Kuala Lumpur Tower.

Pelancaran ini turut menjadi pemangkin kepada usaha Kuala Lumpur Tower memperkukuh pengalaman pelancongan menjelang Visit Malaysia 2026.

Keluarga maskot ini bakal menjadi wajah baharu untuk pelbagai program interaktif, aktiviti pendidikan, inisiatif kebudayaan, kempen pelancongan nasional, produk kreatif serta kandungan digital yang dirancang untuk mendekatkan menara ini dengan generasi baharu.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu, pereka muda serta penggiat seni yang menyaksikan detik bersejarah ketika kelima-lima maskot tampil bersama buat julung kalinya.

Suasana penuh keceriaan itu menandakan permulaan era baharu Kuala Lumpur Tower sebagai sebuah mercu yang hidup bukan hanya dengan keindahan seni binanya tetapi juga melalui kisah, karakter dan imaginasi yang menghidupkan ruang langit Kuala Lumpur.

SEN Symposium 2025 ASEAN tonjolkan kepelbagaian & kelestarian, kukuhkan ekosistem inklusif serantau

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – SEN Symposium 2025 ASEAN Edition kembali menjadi tumpuan apabila ia berlangsung dengan penuh berprestij, memasuki tahun kelima penganjurannya.

Acara penting ini terus mengangkat tema besar inklusiviti dan kelestarian, sekali gus menzahirkan komitmen negara-negara ASEAN dalam memperkukuh ekosistem yang menyokong pembangunan holistik golongan berkeperluan khas.

Simposium itu dirasmikan oleh Senator Isaiah D. Jacob, Ahli Dewan Negara merangkap Ketua Biro Orang Kurang Upaya Malaysia serta Pengerusi Commonwealth Persons with Disabilities bagi penggal 2025–2028.

Dalam ucapan pembukaannya, beliau berkata, masyarakat perlu meninggalkan pendekatan simpati semata-mata terhadap golongan OKU, sebaliknya membuka ruang dan peluang yang mampu meningkatkan martabat serta potensi mereka.

“Kita tidak boleh mendekati komuniti OKU dengan rasa kasihan. Apa yang perlu ialah menyediakan peluang untuk mereka berkembang, memperluas ruang penyertaan dan membina persekitaran inklusif yang membolehkan setiap individu menyumbang dengan bermakna serta hidup bermaruah,” katanya.

Dianjurkan oleh Kiwanis Malaysia Academy (KMA) di bawah Kiwanis Khir Johari Foundation, dengan kerjasama Persatuan Pemulihan Orang Cacat Selangor (PPOC), edisi tahun ini melakar sejarah apabila menghimpunkan pakar dan pemimpin pemikiran dari Brunei, Indonesia, Singapura dan Malaysia di bawah satu platform berimpak tinggi.

Simposium kali ini turut menampilkan sesi perbincangan panel, kelas induk, pameran dan rangkaian profesional yang memberi tumpuan kepada pendidikan inklusif, peluang pekerjaan dan penglibatan komuniti.

Antara detik penting simposium tahun ini ialah pelancaran MySENSE – Special Education Needs Support Exchange, sebuah ekosistem serantau yang dibina untuk menyatukan pengamal, NGO, pendidik, pakar dan penjaga dalam usaha mewujudkan impak jangka panjang terhadap pembangunan golongan OKU.

Berteraskan misi “Building an Inclusive Future, Together”, MySENSE diwujudkan melalui kolaborasi pelbagai rakan strategik termasuk Altuz Academy, Kiwanis Malaysia, LTT Global Communications, MILAD, Malaysian Down Syndrome Association, NAKSENI, NeuroBridge, NASOM Gombak dan beberapa pertubuhan lain yang memainkan peranan penting dalam komuniti.

Majlis turut diserikan dengan Spotlight Showcase, sebuah segmen istimewa yang meraikan individu berkeperluan khas berbakat besar yang menjadi inspirasi melalui kreativiti, ketabahan dan pencapaian mereka.

Antara yang diraikan ialah Ahmad Aaqil Aariz dalam bidang nyanyian dan muzik; Aidel Rahman dalam penulisan dan pengucapan awam; Alexander Philippe Wilhelm dalam seni bakeri dan muzik; serta Stephanie Tam, seorang penggiat seni muzik dan visual.

Turut menerima pengiktirafan ialah atlet catur negara Siti Safura Jaapar, tokoh advokasi Barnabas Leong, Dr. Billy Tang dalam bidang kelestarian dan beberapa nama lain yang membuktikan bahawa inklusiviti adalah tentang pengiktirafan terhadap bakat serta potensi sebenar manusia.

SEN Symposium 2025 ASEAN Edition sekali lagi membuktikan peranannya sebagai platform serantau yang menyatukan tenaga, kepakaran dan komitmen dari pelbagai sektor.

Acara ini bukan sekadar konferens, tetapi sebuah gerakan perubahan yang menyeru pendidik, NGO, pemimpin CSR, pembuat dasar, syarikat korporat, ibu bapa dan masyarakat umum untuk bersama-sama membina masa depan inklusif di seluruh ASEAN.

Dengan semangat kerjasama serantau yang semakin kukuh, simposium tahun ini mengukuhkan aspirasi membentuk sebuah ekosistem di mana setiap individu diterima, dihargai dan mampu berkembang tanpa batasan.

KRU takluk Stadium Hoki Bukit Jalil, GenKRU Finale cipta sejarah lagi

editormaxinfo@gmail.com

Foto Bangsawan Pictures

KUALA LUMPUR – Konsert GenKRU The Finale: One More Time yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada malam Sabtu yang lalu sekali lagi membuktikan pengaruh luar biasa kumpulan legenda, KRU, dalam industri muzik tanah air.

Penganjuran konsert kelima mereka di Malaysia pada tahun ini dan keenam secara keseluruhan dalam tempoh enam bulan menjadikannya sebuah pencapaian yang digelar “gamechanger” dalam sejarah hiburan tempatan.

Konsert yang dianjurkan oleh ICON Entertainment ini tercetus daripada permintaan peminat yang tidak pernah surut sejak empat penganjuran terdahulu di Axiata Arena Bukit Jalil mencetuskan fenomena.

Menurut wakil penganjur, Iman Tang, gelombang permintaan tinggi ini menggambarkan perubahan positif dalam trend penganjuran konsert berskala besar di Malaysia, selari dengan perkembangan global yang menyaksikan banyak konsert kini berlangsung lebih daripada sehari.

“Sejak penganjuran pertama pada bulan Mei, kami terus didesak untuk membawa KRU kembali ke pentas. Permintaan peminat menjadi faktor utama yang melahirkan The Finale One More Time.

“Trend penganjuran konsert berulang atas permintaan kini semakin meningkat, bukan hanya di pentas antarabangsa tetapi juga di Malaysia,” kata Iman.

Konsert bertemakan fesyen era 90-an ini berjaya menarik lebih 12,000 penonton, menjadikan Stadium Hoki Bukit Jalil kembali bergema dengan sorakan dan nostalgia peminat setia kumpulan itu.

Ia sekali lagi membuktikan bahawa jenama besar KRU masih relevan dan terus diminati pelbagai lapisan usia.

Malam penuh nostalgia itu dibuka dengan overture istimewa sebelum trio Norman, Yusry dan Edry menghidupkan pentas dengan rangkaian hit mereka seperti “Awas”, “Voodoo”, “Intifada”, “Fanatik” dan “Terhangat Di Pasaran”.

Deretan lagu yang dibawakan termasuk lebih 20 buah karya ikonik membuatkan penonton tidak putus-putus menyanyi bersama sepanjang persembahan.

Salah satu momen paling mencuri tumpuan ialah kemunculan kumpulan nasyid tersohor, Rabbani, sebagai artis jemputan untuk membawakan lagu “Intifada”, hasil ciptaan Edry sendiri.

Kehadiran mereka menggegarkan stadium dan memberikan suntikan emosi yang kuat kepada persembahan berkenaan.

Tidak ketinggalan, bekas artis naungan KRU, Juliana Banos, kembali ke pentas selepas sekian lama menyepi untuk berduet bersama Edry menerusi lagu hit “Sehidup Semati”.

Vokal matang Juliana mendapat sorakan gemuruh penonton yang merindui kehadirannya.

Segmen khas turut diserikan dengan kemunculan artis jemputan seperti Elite, Adam AF, Dina Nadzir, Leona, Dato’ Seri Vida, serta Nine dari Phyne Ballerz.

Turut mencuri perhatian ialah penampilan spontan bos Radio ERA, Oney, yang tampil sebagai DJ ketika Norman menyampaikan segmen rap Mc Normy menjadikan suasana lebih meriah dengan elemen kejutan yang tidak diduga.

Di akhir persembahan, Norman berkongsi keadaan kesihatan bapanya, Abdul Halim Kamal, yang kini dirawat di hospital.

Namun, komitmen beliau terhadap konsert dan peminat tetap diteruskan walaupun harus berulang-alik antara hospital dan latihan.

Dedikasi ini disambut penuh penghargaan oleh peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan KRU sejak awal penubuhan mereka.

Dengan sambutan luar biasa serta kejayaan enam konsert dalam setengah tahun, GenKRU The Finale One More Time bakal tercatat sebagai salah satu detik paling bersejarah dalam industri hiburan Malaysia mengukuhkan lagi status KRU sebagai kumpulan legenda yang terus relevan dan mampu memukau generasi demi generasi.