27.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 14, 2026

Kuala Lumpur Tower lancar keluarga maskot baharu, raikan pemenang Pertandingan Befriend Kay Elle

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur Tower, salah satu mercu tanda paling ikonik di Malaysia, melakar detik bersejarah apabila memperkenalkan keluarga maskot baharu yang terdiri daripada lima watak unik iaitu Kay Elle, Tawa, Hornbelle, Cik Mak dan Puteri Raya.

Pelancaran penuh warna-warni yang berlangsung di HEMISFERA Luxury Sky Hall itu bukan sekadar memperkenalkan watak baharu, malah membuka lembaran baharu dalam strategi penceritaan, pengalaman pengunjung serta penjenamaan budaya Kuala Lumpur Tower.

Majlis berprestij ini turut meraikan pemenang Pertandingan Rekaan Befriend Kay Elle, sebuah inisiatif yang berjaya menarik hampir 200 penyertaan daripada seluruh negara, memperlihatkan kreativiti dan kepelbagaian bakat rakyat Malaysia.

Tiga pemenang utama iaitu Christelle Siow Zhi Shien (Hornbelle), Nur Aliahsafiyah Atikah binti Mat Noor (Cik Mak) dan Lay Heng Soon (Puteri Raya) masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 bersama pas tahunan Kuala Lumpur Tower serta peluang menyaksikan rekaan mereka diangkat sebagai maskot rasmi.

Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Othman, dalam ucapannya berkata, maskot-maskot ini adalah nadi baharu kepada penceritaan Kuala Lumpur Tower. Menurut beliau, menara yang telah menghiasi langit Kuala Lumpur hampir tiga dekad itu kini tampil dengan wajah dan personalitinya sendiri, menjadikan hubungan antara mercu tanda berkenaan dan rakyat Malaysia lebih dekat secara emosional.

“Kuala Lumpur Tower bukan sekadar struktur di kaki langit. Ia adalah simbol kebanggaan negara, saksi kepada perkembangan Kuala Lumpur dan mercu yang mempunyai nilai sentimental buat jutaan rakyat.

“Hari ini, buat pertama kalinya, kisah itu diterjemahkan melalui lima personaliti yang mencerminkan cahaya kita, alam kita, budaya kita, kehangatan kita dan semangat kebangsaan kita,” katanya.

Watak-watak yang diperkenalkan membawa identiti tersendiri.

Kay Elle diinspirasikan daripada cahaya yang menerangi malam Kuala Lumpur, melambangkan keterujaan dan harapan.

Tawa pula menggambarkan kelestarian alam melalui simbolik Hutan Simpan Bukit Nanas yang berusia lebih 130 juta tahun dan terletak berhampiran menara.

Hornbelle mengangkat keunikan budaya Malaysia Timur melalui inspirasi burung enggang, manakala Cik Mak mencerminkan keramahan, kasih sayang dan semangat hospitaliti rakyat Malaysia.

Puteri Raya pula mewakili bunga kebangsaan, melambangkan keberanian, keindahan dan perpaduan yang disatukan melalui warna-warni pencahayaan Kuala Lumpur Tower.

Pelancaran ini turut menjadi pemangkin kepada usaha Kuala Lumpur Tower memperkukuh pengalaman pelancongan menjelang Visit Malaysia 2026.

Keluarga maskot ini bakal menjadi wajah baharu untuk pelbagai program interaktif, aktiviti pendidikan, inisiatif kebudayaan, kempen pelancongan nasional, produk kreatif serta kandungan digital yang dirancang untuk mendekatkan menara ini dengan generasi baharu.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu, pereka muda serta penggiat seni yang menyaksikan detik bersejarah ketika kelima-lima maskot tampil bersama buat julung kalinya.

Suasana penuh keceriaan itu menandakan permulaan era baharu Kuala Lumpur Tower sebagai sebuah mercu yang hidup bukan hanya dengan keindahan seni binanya tetapi juga melalui kisah, karakter dan imaginasi yang menghidupkan ruang langit Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular