29.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 38

Suria FM rai ulang tahun ke-18 dengan identiti baharu ‘Muzik & Jiwa’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suria FM menyambut ulang tahunnya yang ke-18 pada 24 November lalu dengan menganjurkan acara Suria 18 Tahun, sebuah sambutan penuh meriah yang berlangsung di Sunway Lagoon Surf Beach.

Tahun ini, acara istimewa itu turut diraikan bersama rakan kolaborasi media, mStar, yang pada masa sama meraikan ulang tahun ke-20 mereka, menjadikan sambutan lebih bermakna dan bersejarah.

Kemeriahan ulang tahun Suria FM kali ini hadir dengan signifikan tersendiri, khususnya selepas stesen radio itu memperkenalkan penjenamaan baharu pada 17 November lalu.

Dengan tagline terbaharu “Muzik & Jiwa”, Suria FM menegaskan identiti segar dan hala tuju baharu mereka dalam menyambut kedatangan tahun 2026.

Sebanyak 200 peserta bertuah yang memenangi peraduan di Suria FM dan Kuiz Kreatif di media sosial mStar menerima tiket khas bagi menikmati hari istimewa itu bersama seorang rakan pilihan.

Mereka turut berpeluang meluangkan masa bersama barisan penyampai Suria FM seperti Ajak, Fad, Elly, Cik Piah, Chiwan, Kai, Irsyad dan DJ Lin.

Turut memeriahkan acara ialah barisan artis jemputan termasuk Nabila Razali, Najmi Niery, Bella Astillah, Ara Johari, Wany Hasrita, Aiman Tino, Syahrul Kamal, Nadia Brian, Rezza Shah, Badron Munirah, Marc Syahmie, Queen Din dan Muaz Zabir.

Antara tarikan utama sambutan tahun ini ialah aktiviti Explorace Sunway Challenge, yang membabitkan penyampai, artis jemputan dan peserta.

Aktiviti mencabar ini bukan sahaja menguji kreativiti serta ketangkasan, malah mengeratkan kerjasama berpasukan, lantas menjadikan pengalaman hari tersebut lebih bermakna dan dipenuhi gelak tawa.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, menzahirkan rasa syukur atas sambutan hangat yang diterima.

“Sambutan Suria 18 Tahun ini amat bermakna kerana ia menghimpunkan pendengar setia yang telah bersama kami sejak awal.

“Kami juga berbesar hati meraikan hari istimewa ini bersama rakan media seperti mStar yang turut menyambut pencapaian penting tahun ini.

“Sambutan yang diberikan benar-benar memberi semangat dan inspirasi kepada kami untuk terus mencipta detik-detik indah bersama mereka,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan Suria selama 18 tahun tidak akan tercapai tanpa sokongan pelbagai pihak.

“Kejayaan Suria selama ini adalah berkat sokongan padu pendengar, rakan media, klien dan selebriti yang tidak pernah berhenti menyokong.

“Dengan penjenamaan semula serta tagline ‘Muzik & Jiwa’, kami komited untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti dan mencipta momen yang lebih segar, dekat dan relevan di hati rakyat Malaysia,” katanya.

Suria FM turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan acara berkenaan, termasuk pendengar setia yang menjadi nadi kepada perjalanan Suria selama hampir dua dekad.

Sambutan Suria 18 Tahun bukan sahaja meraikan pencapaian stesen berkenaan, tetapi juga menjadi simbol hubungan erat antara Suria FM dan pendengar Malaysia serta komitmen berterusan stesen itu untuk menghiburkan rakyat pada masa depan.

Raes Arifin lancar single debut ‘Jalan Cinta’ di bawah naungan Shiha Zikir Empire

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu yang juga bintang program Gimme The Mic 2024, Raes Arifin, kini rasmi memulakan langkah dalam industri muzik tanah air dengan pelancaran single sulung berjudul Jalan Cinta.

Lagu yang diterbitkan hasil kerjasama antara Shiha Zikir Empire (SZE) dan Sony Music Malaysia itu menandakan permulaan baharu buat Raes sebagai artis rakaman profesional.

Raes yang bernaung di bawah label milik penyanyi terkenal Shiha Zikir meluahkan rasa syukur kerana akhirnya dapat mempersembahkan karya pertamanya kepada umum.

Menurutnya, minat mendalam terhadap melodi dan nyanyian sejak kecil menjadi kekuatan untuknya bangkit daripada pelbagai cabaran hidup.

“Nyanyian bagi saya ialah satu ‘alat’ untuk bangkit daripada liku-liku kehidupan. Jalan Cinta menjadi titik permulaan saya dalam dunia seni dan Insya-Allah, saya mahu lebih serius selepas ini,” katanya.

Mengulas tentang penceritaan lagu terbabit, Raes berkata, Jalan Cinta mengetengahkan kisah cinta yang sarat emosi dan mudah dikaitkan dengan pengalaman ramai.

“Ia mengisahkan seorang pencinta yang telah memberikan segala-galanya namun akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa takdir tidak memihak kepada mereka.

“Walaupun harapan untuk kembali bersama masih ada, jalan yang disangka sehaluan bertukar menjadi dua arah apabila insan yang dicintai memilih orang lain,” katanya.

Bagi Raes sendiri, karya ini turut bersifat peribadi. Baginya, “cinta” yang paling mendalam ialah pada nyanyian cinta yang telah menyelamatkannya daripada pengalaman dibuli, gangguan kecemasan dan detik-detik sukar yang pernah hampir memadam semangatnya.

“Dalam lagu ini ada rangkap ‘dan aku merayu, jalan cinta ini tak berakhir dulu…’. Begitulah harapan saya agar suara ini terus kekal dalam hidup saya kerana dengan nyanyianlah saya bangkit semula dan percaya segala-galanya akan baik-baik sahaja,” katanya.

Raes juga tidak lupa menzahirkan penghargaan terhadap Shiha Zikir yang bukan sahaja bertindak sebagai ketua label, malah guru yang banyak membentuk perjalanan awal kariernya.

Menurutnya, Shiha bekerja keras dalam proses pemilihan lagu pertama itu sehingga berpuluh-puluh lagu ditapis sebelum Jalan Cinta dipilih sebagai karya pembukaan.

“Sesiapa yang mengenali Shiha tahu beliau seorang yang ceria, tetapi apabila masuk soal pemilihan lagu, terutama lagu pertama saya, beliau sangat serius dan fokus.

“Selepas pemilihan dibuat, saya diberi masa untuk mengolah lagu ini mengikut gaya sendiri di bawah bimbingannya. Alhamdulillah, proses rakaman hanya mengambil sekitar 40 minit hingga sejam,” katanya.

Raes turut merakamkan terima kasih kepada seluruh pasukan SZE yang telah membimbingnya sejak penyertaannya dalam pencarian SZ Talent Discover, kemudian ke program realiti Gimme The Mic Malaysia, sehinggalah ke pelancaran single pertamanya.

“SZE banyak membantu saya daripada perkara kecil hinggalah besar. Segalanya dilakukan dengan sehabis baik untuk membentuk siapa Raes Arifin hari ini. Terima kasih banyak-banyak,” katanya penuh rasa syukur.

Mengakhiri bicara, Raes berharap Jalan Cinta diterima baik pendengar dan mampu menjadi antara lagu pilihan dalam playlist galau peminat muzik tempatan.

Lebih daripada itu, beliau mengimpikan agar lagu ini membuka pintu rezeki serta menjadi jambatan yang mengukuhkan hubungan dengan peminatnya, sunRaes, yang sentiasa menyokong sejak awal pembabitan hingga kini.

Ara Johari kembali dengan lagu ‘Terlalu Bodoh’, sambung kisah galau selepas cetus fenomena MJOL

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas mencetuskan fenomena menerusi lagu Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL), penyanyi, Ara Johari kembali dengan sebuah karya baharu berjudul Terlalu Bodoh, yang sekali lagi menampilkan konsep ‘galau’ yang begitu sinonim dengan identitinya.

Lagu terbaharu ini adalah hasil ciptaan komposer Indonesia, Ilham Baso, yang sebelum ini turut menghasilkan MJOL, menjadikan Terlalu Bodoh sebagai kesinambungan emosional kepada karya terdahulu itu.

Ara Johari atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 28, berkata lagu berkenaan membawa luahan hati yang lebih mendalam, menggambarkan perasaan kecewa dan terluka apabila dikhianati insan yang dicintai sepenuh jiwa.

Menurutnya, ramai pendengar pasti dapat mengaitkan diri mereka dengan kisah dan emosi yang disampaikan melalui lirik lagu terbabit.

“Bagi Ara, lagu Terlalu Bodoh adalah kesinambungan daripada Menjaga Jodoh Orang Lain.

“Ia mengisahkan tentang seseorang yang bermati-matian demi cinta, namun akhirnya dicurangi. Ara percaya ramai pendengar di luar sana boleh ‘relate’ dengan lagu ini,” katanya.

Proses rakaman lagu berlangsung di Indonesia pada September lalu, dengan Ara mengekalkan pasukan kreatif yang sama iaitu komposer Ilham Baso, penggubah muzik Adrian Rahmat Purwanto serta bimbingan vokal daripada Bowo Soulmate.

Keserasian pasukan ini sekali lagi berjaya menghasilkan sebuah karya beremosi yang kuat, mengekalkan identiti ‘lagu galau’ yang dekat dengan jiwa peminat.

Terlalu Bodoh diedarkan secara rasmi oleh Universal Music Malaysia dan boleh mula distrim di semua platform digital sejak 19 November 2025.

Melihat kepada rekod cemerlang MJOL yang sehingga kini mencatat lebih 75 juta pendengar di platform penstriman dan YouTube sejak dilancarkan pada 30 Julai 2024, lagu terbaharu ini dijangka mampu mengulangi atau mungkin mengatasi kejayaan itu.

Dengan kekuatan vokal, penyampaian penuh emosi dan karya yang dekat dengan realiti kehidupan, Terlalu Bodoh dijangka menjadi lagu galau seterusnya yang mengukuhkan kedudukan Ara Johari sebagai salah satu penyanyi wanita tempatan paling berpengaruh dalam genre balada kontemporari.

Belia Mahir raih Anugerah Top 10 Asia 2025, angkat martabat TVET Malaysia ke pentas antarabangsa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR) terus mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai penerima Top 10 Asia: Malaysia Skilled Community Award dalam majlis berprestij Top Asia Corporate Ball 2025 yang berlangsung kelmarin di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur.

Pengiktirafan itu sekali lagi mengukuhkan reputasi BELIA MAHIR sebagai peneraju pembangunan bakat belia berkemahiran di Malaysia.

Majlis bertaraf antarabangsa itu dianjurkan oleh The Research House of Asia (RHA) dan RHA Media, penerbit rasmi Top 10 of Asia dan Top 10 of Malaysia, sempena meraikan ulang tahun ke-10 penganjuran anugerah paling berpengaruh di rantau ini.

Sambutan istimewa itu turut menampilkan kehadiran diraja Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Mariamz Almarhum Sultan Iskandar, yang berkenan menyampaikan kesemua anugerah pada malam gilang-gemilang itu.

Penyerahan anugerah daripada kerabat diraja itu memberi penghormatan luar biasa kepada BELIA MAHIR, sekali gus mengiktiraf peranan pertubuhan terbabit dalam memperkasa komuniti belia berkemahiran di negara ini.

Majlis tahun ini turut menghimpunkan nama-nama besar merangkumi tokoh seni, pemimpin industri, ikon masyarakat, institusi pendidikan dan syarikat korporat.

Antara penerima yang mencuri perhatian ialah Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang menerima Asia Legendary Lifetime Achievement Award, Dato’ Sri Rossa selaku Asia Legendary Music Icon dan Tan Sri Lee Lam Thye yang diberi pengiktirafan Lifetime Contribution to Nation Building.

Jenama fesyen terkemuka Rizman Ruzaini pula diumumkan sebagai Brand of the Year, manakala institusi pendidikan berprestij seperti Management & Science University (MSU) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) turut diraikan atas kecemerlangan akademik serta peranan mereka dalam pembangunan teknousahawan.

Penerima lain termasuk korporat besar seperti KPS Berhad, Bank Simpanan Nasional, Tune Protect Group Berhad, Star Planet dan AEON Credit Service.

Pengiktirafan yang diterima BELIA MAHIR dianggap sebagai satu tanda penghargaan penting terhadap ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Kejayaan ini turut mencerminkan keberkesanan kepimpinan strategik Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dalam memperkukuh agenda TVET Malaysia melalui usaha menjalin kerjasama industri, memperluas akses, melaksana pembiayaan mampan dan meningkatkan mobiliti global.

Kemasukan BELIA MAHIR dalam kelompok penerima elit anugerah Asia ini menjadi bukti bahawa pendekatan TVET Malaysia semakin diiktiraf di peringkat serantau.

Sejak penubuhannya, BELIA MAHIR kekal komited menyantuni golongan belia B40, asnaf, belia NEET (Not in Employment, Education and Training) serta kelompok belia berisiko melalui program latihan kemahiran berstruktur dan pelbagai inisiatif pemerkasaan sosial.

Antara program berimpak tinggi yang diterajui ialah TVET.belia, Sekolah ke Kerjaya (SKK), Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT), Industrial Manufacturing Crew (IMC), Cerita Orang Gagal (COG) dan beberapa program komuniti lain yang bertujuan menyediakan peluang kedua kepada belia termasuk bekas banduan dan pesalah juvana.

Melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik, latihan lapangan, kerjasama industri serta mobiliti TVET ke China, BELIA MAHIR terus mencipta ruang pembangunan bakat belia sekaligus membuka laluan kepada penempatan pekerjaan yang lebih luas dan berkualiti.

Kejayaan meraih Top 10 Asia Award ini menjadi simbol keyakinan rantau terhadap dedikasi pertubuhan ini dalam memperkasa agenda pembangunan bakat negara.

Pengiktirafan terbabit juga menyuntik semangat baharu kepada BELIA MAHIR untuk memperluaskan gerakan nasional “Bantu Belia, Bantu Negara” selaras dengan misi melahirkan generasi pekerja berkemahiran yang kompeten, berdaya saing dan bersedia memacu kemajuan Malaysia ke hadapan.

PRN Sabah: DAP terima kekalahan, Anthony Loke janji nilai semula strategi dan kembali raih sokongan rakyat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – DAP mengakui kekalahan sepenuhnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 apabila parti itu tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandingi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dalam satu kenyataan hari ini berkata, parti itu menerima keputusan terbabit dengan hati terbuka dan menghormati pilihan pengundi Sabah.

Menurut beliau, kegagalan mempertahankan mana-mana kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini adalah satu tamparan besar, namun ia tetap dianggap sebagai proses demokrasi yang harus dihormati.

Loke berkata, beliau mengambil tanggungjawab penuh atas segala kelemahan dan kekurangan yang membawa kepada keputusan terbabit.

“DAP Sabah gagal mempertahankan sebarang kerusi yang disandang sebelum ini dalam PRN Sabah ke-17. Kami menerima dan menghormati keputusan pengundi di lapan kawasan yang ditandingi DAP,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon dan parti lain yang berjaya meraih mandat rakyat di kawasan masing-masing.

Loke berkata, pucuk pimpinan DAP akan menilai semula seluruh pendekatan dan strategi parti di Sabah, selain mengambil iktibar daripada keputusan terbabit.

Usaha memperbaiki gerak kerja dan mendekati rakyat akan dipertingkatkan bagi memastikan DAP kembali memperoleh kepercayaan pengundi pada pilihan raya akan datang.

Walaupun tewas di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP Sabah masih memiliki dua wakil rakyat di peringkat Parlimen.

Loke berkata, kedua-duanya akan melipatgandakan usaha di kawasan masing-masing, iaitu Kota Kinabalu dan Sandakan, bagi memastikan suara rakyat Sabah terus dibawa ke peringkat nasional.

Pada PRN kali ini, DAP bertanding di lapan kerusi DUN iaitu
Elopura (Vivian Wong), Sri Tanjung (Philip Yap Wui Lip), Luyang (Chan Loong Wei), Likas (Datuk Phoong Jin Zhe), Kapayan (Jannie Lasimbang), Tanjung Papat (Tang Szu Ching), Tanjung Aru (Datuk Chan Foong Hin) dan Kemabong (Noorita Sual). Kesemua calon terbabit gagal meraih kemenangan.

Walaupun keputusan kali ini tidak memihak kepada DAP, parti itu akan memberikan komitmen untuk terus bersama rakyat Sabah dan memperkukuh usaha bagi memastikan suara mereka terus mendapat tempat dalam arus politik negara.

KOKUMAS lancar nanas jambul emas A-18: Varieti premium tempatan sasar pasaran antarabangsa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri buah-buahan tempatan melakar sejarah baharu apabila Koperasi Kurnia Mewah Selangor Berhad (KOKUMAS) bersama Jambul Emas Sdn. Bhd. (JESB) melancarkan secara rasmi varieti premium Nanas Jambul Emas A-18, sekali gus mengangkat produk pertanian Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Varieti yang dibangunkan melalui penyelidikan intensif ini menampilkan ciri rasa manis seimbang, tekstur rangup dan kadar jus yang tinggi, menjadikannya antara produk paling berpotensi untuk menembusi pasaran global.

Nanas Jambul Emas A-18 dibangunkan melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh pakar hortikultur tempatan serta ditanam mengikut piawaian Halal Toyyiban.

Pendekatan ini memastikan hasil tanaman mencapai standard keselamatan makanan, kebersihan dan kelestarian yang ketat selain mengekalkan kualiti premium yang konsisten.

Pengarah Urusan JESB, Amiruddin Rizuan berkata, pelancaran Jambul Emas A-18 adalah bukti komitmen mereka untuk mengangkat produk pertanian Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

“Kami mahu memberikan pengalaman terbaik kepada pengguna bukan sekadar buah yang sedap, tetapi yang melambangkan identiti usaha tani Malaysia yang berkualiti tinggi,” katanya pada majlis pelancaran yang turut mendapat kerjasama daripada PPIM dan Gold Crest Asia (GCA).

Pelancaran ini turut menonjolkan keistimewaan A-18 yang mempunyai nilai Brix tinggi, isi emas pekat, ketahanan lama selepas dituai serta kesesuaiannya untuk pasaran eksport.

Selain itu, ia ditanam menggunakan kaedah pertanian moden yang mampan, menjadikannya pilihan ideal untuk pengguna Muslim dan pengguna global yang mementingkan kualiti serta keselamatan makanan.

Majlis pelancaran menyaksikan demonstrasi pemotongan nanas, sesi merasa, perkongsian nutrisi serta memperkenalkan dua produk terbaharu di bawah jenama KOKUMAS: jus nanas premium dan snek nanas beku kering (freeze-dry).

Produk freeze-dry ini adalah antara inovasi utama KOKUMAS kerana ia tidak menggunakan teknik jeruk seperti kebanyakan produk luar negara, sekali gus menawarkan rasa asli nanas Malaysia secara lebih unik dan praktikal.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Azlan Salleh berkata, permintaan terhadap variati ini semakin meningkat, termasuk pertanyaan daripada pasaran Turki, Bosnia, Dubai dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Namun, kekurangan bekalan buah menyaksikan KOKUMAS giat menambah kapasiti tanaman.

“Buat masa ini, kira-kira 70 ekar tanah di Jelebu sedang diusahakan, manakala tambahan 100 ekar di Pahang telah disewa bagi mempertingkat pengeluaran untuk menampung permintaan dari Timur Tengah dan Eropah.

“Penyewaan tanah adalah pilihan lebih praktikal bagi tanaman nanas yang mempunyai kitaran 8 hingga 11 bulan.

“Langkah ini memudahkan pemindahan lokasi sekiranya berlaku banjir atau bencana dan mengoptimumkan kos operasi,” katanya.

Sebagai langkah memperkukuh pemasaran dan rangkaian niaga, KOKUMAS merancang mengembangkan pengedaran produk melalui pasar raya utama, platform e-dagang serta Halal Toyib Mart di seluruh Lembah Klang.

Syarikat itu turut merancang siri jelajah promosi (roadshow) dan pelancaran besar-besaran selepas Hari Raya Aidilfitri sebagai fasa kedua memperkenalkan Jambul Emas A-18 kepada pengguna.

Penipuan 13 tahun babitkan warga asing, Dr Kalaivanar minta tindakan segera pihak berkuasa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Aktivis sosial Dato’ Dr Kalaivanar memohon tindakan pihak berkuasa diambil terhadap seorang warga asing dari Tamil Nadu, India yang didakwa melakukan penipuan hampir 13 tahun.

Mewakili Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), Dr Kalaivanar berkata, pendedahan itu dibuat bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Malaysia agar tidak mudah terpedaya dengan individu yang dipercayai menyalahgunakan kepercayaan rakyat tempatan, terutamanya dalam urusan perniagaan membabitkan warga asing.

“Mangsa mendakwa dirinya diperdaya oleh seorang rakan warga India yang dikenalinya sejak 13 tahun lalu.

“Individu terbabit pada awalnya memujuk mangsa untuk menubuhkan sebuah syarikat yang diberi nama Everest Enterprise di atas namanya kerana rakan warga asing itu tidak memiliki kelayakan untuk membuka syarikat sendiri di Malaysia.

“Syarikat terbabit dilaporkan menjalankan perniagaan membaiki jentera berat seperti JCB, bulldozer dan eskavator,” katanya.

Dr Kalaivanar berkata, walaupun syarikat beroperasi atas nama mangsa, keseluruhan pengurusan, termasuk akaun bank dan akses kewangan syarikat telah diberikan kepada rakan warga India berkenaan atas dasar kepercayaan.

“Mangsa dijanjikan bayaran bulanan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebagai pemilik syarikat, namun bayaran terbabit dikatakan tidak pernah ditunaikan.

“Sebaliknya, beliau hanya menerima bayaran kecil secara tidak konsisten, termasuk pembayaran sekali sekala sebanyak RM200 hingga RM300, serta RM10,000 ketika individu berkenaan mahu ke Australia dan RM5,000 untuk pembelian kereta,” katanya.

Katanya, transaksi bulanan syarikat didakwa mencecah antara RM80,000 hingga RM100,000, namun segala keuntungan dikatakan tidak disalurkan kepada mangsa walaupun syarikat berdaftar atas namanya.

“Situasi terbabit menyebabkan mangsa menanggung implikasi undang-undang dan cukai kerana semua urusan rasmi terikat kepada pemilik berdaftar.

“Mangsa mula menyedari kedudukannya dieksploitasi selepas keluarga menegur keadaannya itu,” katanya.

Dr Kalaivanar berkata, mangsa kemudian bertindak membekukan akaun syarikat apabila mendapati baki sebanyak RM76,000 berada dalam akaun terbabit.

“Tindakan itu menyebabkan individu warga asing berkenaan menghubunginya semula, namun isu pembayaran yang dijanjikan masih tidak diselesaikan.

“Berikutan itu, mangsa telah membuat laporan polis pada 4 November 2025. SBKN kini sedang mengatur penyediaan notis saman melalui peguam bagi tindakan lanjut terhadap individu berkenaan.

“SBKN juga akan mengemukakan maklumat berkaitan kepada beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi siasatan lanjut,” katanya.

Beliau mengingatkan masyarakat Malaysia supaya tidak mudah menyerahkan akses kewangan, dokumen penting atau kuasa urus tadbir syarikat kepada individu luar tanpa kawalan yang sah, bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

“Ini adalah peringatan kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak menggadaikan hak dan maruah sendiri demi imbuhan kecil. SBKN akan terus membantu mangsa mendapatkan keadilan mengikut undang-undang,” katanya.

Promosi Krismas TC Acoustic: Hadiah audio premium 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – TC Acoustic kembali memeriahkan musim perayaan dengan pelancaran koleksi audio eksklusif sempena Krismas, menampilkan barisan produk premium daripada Sonos dan Bowers & Wilkins.

Koleksi istimewa ini diperkenalkan melalui kempen “Sound Steals” yang berlangsung dari 12 hingga 24 Disember, menawarkan pilihan hadiah audio berkualiti tinggi untuk setiap gaya hidup dan momen sepanjang musim cuti.

Menurut TC Acoustic, hujung tahun adalah masa yang sarat dengan kenangan dari perjalanan pulang ke kampung, pertemuan keluarga, sehinggalah malam-malam panjang yang dipenuhi tawa dan cerita lama.

Justeru, syarikat itu menampilkan rangkaian produk yang direka bukan sekadar untuk dibuka sebagai hadiah, tetapi untuk melengkapkan setiap detik istimewa.

Menghiasi musim ini dengan sentuhan baharu, Sonos Roam 2 diperkenalkan dalam tiga warna perayaan iaitu Olive, Sunset dan Wave yang mencerminkan suasana ceria hujung tahun.

Pembesar suara bersaiz kompak ini bukan sahaja mudah dibawa ke mana-mana, malah cukup berkuasa untuk mengubah mana-mana ruang menjadi momen bermakna.

Dengan palet warna baharu yang ceria dan bersifat peribadi, model ini dijangka menjadi antara hadiah paling popular musim ini.

Bagi mereka yang menghargai ketenangan diri, khususnya ketika perjalanan atau selepas kunjungan keluarga, fon kepala Sonos Ace menawarkan pengalaman audio yang mendalam dan menenangkan.

Dengan teknologi audio spatial dan kemampuan menyambung kepada bar bunyi Sonos yang serasi, ia memberikan pengalaman menonton seperti berada di dalam pawagam secara peribadi.

Sistem multi-bilik Sonos turut memastikan pengalaman audio yang padu di seluruh kediaman, sesuai untuk sesi menghias pokok Krismas atau menikmati malam tenang bersama orang tersayang.

Bagi penggemar filem, Sonos Arc Ultra hadir sebagai pelengkap ideal untuk maraton filem Krismas.

Dengan sokongan Dolby Atmos dan prestasi audio sinematik, Arc Ultra memberikan pengalaman tontonan yang lebih hidup, khususnya apabila dipadankan dengan Sub Mini atau Sub 4 bagi menghasilkan bunyi lebih mendalam dan mengasyikkan.

Menambah sentuhan eksklusif, Bowers & Wilkins memperkenalkan warna baharu dan edisi khas menerusi beberapa model utama mereka.

Fon telinga Pi8 kini ditawarkan dalam warna Dark Burgundy yang elegan, mengekalkan kejelasan dan kekayaan bunyi khas jenama tersebut dalam rekaan yang ringkas tetapi bergaya.

Model Px7 S3 pula hadir dalam warna Frost Blue yang lebih segar, lengkap dengan teknologi pembatalan bunyi aktif dan prestasi audio imersif yang sesuai untuk perjalanan atau kegunaan harian.

Tidak ketinggalan, Px8 S2 McLaren Edition menjadi tumpuan dengan rekaan diinspirasikan daripada McLaren, dipadankan dengan bunyi berdefinisi tinggi, pembatalan bunyi adaptif dan material premium seperti lengan aluminium tuang serta kemasan kulit Nappa.

Edisi khas ini kini dibuka untuk pra-tempahan dan akan mula dijual di Malaysia awal Disember, termasuk pelancaran eksklusif di Lazada dari 13 hingga 19 Disember.

Sempena kempen “Sound Steals”, TC Acoustic turut menawarkan harga promosi menarik bagi pelbagai produk Sonos dan Bowers & Wilkins, termasuk Era 100, Arc Ultra, Roam 2, Pi8, Px8 S2, Zeppelin Pro dan banyak lagi.

Ketibaan musim perayaan ini memberi inspirasi kepada TC Acoustic untuk mendekatkan lagi hubungan antara insan melalui pengalaman bunyi yang hebat sama ada di sepanjang perjalanan jauh, momen sunyi di rumah ataupun detik kecil yang dirasai bersama.

Koleksi audio tahun ini diraikan dengan tujuan untuk menjadikan sambutan Krismas lebih hangat, cerah dan penuh kenangan.

Shila Amzah lancar album SA25: 25 Tahun perjalanan seni dalam naratif muzik penuh emosi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi Shila Amzah kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan pelancaran album terbaharu berjudul SA25, sebuah karya istimewa yang menandakan 25 tahun perjalanan seninya sejak mula muncul pada tahun 2000.

Album penuh ini merangkumkan 10 lagu baharu, sebuah lagu rakaman semula serta empat lagu bonus yang memaparkan pelbagai fasa kehidupannya sebagai anak seni, wanita dan insan biasa.

Menurut Shila, judul SA25 membawa makna yang amat peribadi kerana ia bukan sekadar singkatan kepada namanya, tetapi simbol sebuah perjalanan panjang yang penuh jatuh bangun.

Beliau menyifatkan ketibaan album ini sebagai detik paling matang dalam kerjaya dan kehidupannya.

Menerusi SA25, Shila tampil bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga komposer dan penulis lirik yang lebih dewasa.

Ada karya dicipta beberapa tahun lalu seperti “Tinggal Kenangan” yang ditulis pada 2017 dan ada juga lagu baharu yang menggambarkan pengalaman yang telah membentuk dirinya.

Beliau menyatakan album terbabit adalah jurnal hidupnya, dengan setiap lagu membawa nilai sentimental tersendiri berdasarkan fasa yang pernah dilalui.

Walaupun bekerjasama dengan beberapa komposer, Shila mengekalkan identiti muziknya kerana kesemua mereka merupakan rakan yang mengenalinya secara mendalam, baik dari sudut peribadi mahupun profesional.

Sinergi itu memastikan setiap lagu mengekalkan DNA muzik yang sinonim dengan dirinya.

Daripada keseluruhan 10 lagu baharu, “Sirna Hati” menjadi karya paling mencabar untuk disiapkan.

Lagu itu merakam kisah benar berkaitan penderaan emosi dan fizikal yang pernah dilalui, menjadikan proses penulisannya seolah-olah menghidupkan kembali memori yang sukar.

Shila berkata, suaminya, Ubai, memainkan peranan besar dalam memberikan sokongan ketika menulis lagu berkenaan, yang dianggap sebagai satu proses menutup lembaran lama hidupnya.

Beberapa lagu lain seperti “Kamu”, “Untukmu” yang ditujukan khas buat suami, dan “Pernah Punya Aku” turut mengisi ruang istimewa dalam hatinya.

“Pernah Punya Aku”, single pertama daripada SA25, terus mencipta kejayaan apabila menduduki tangga kedua carta ERA 40 minggu ini selain pernah menjuarai carta Muzik Muzik 40 selama tiga minggu berturut-turut.

Album ini turut mempertemukan kembali Shila dengan beberapa individu kreatif yang sudah lama bersamanya, antaranya Izzy Musa, Raja Nazrin Shah dan Ubai.

Kesemuanya dipilih kerana memahami jiwanya serta perjalanan hidup yang ingin diterjemahkan melalui muzik.

Empat lagu bonus yang dimuatkan pula dipilih kerana mempunyai nilai sentimental dan menjadi penanda kepada perjalanan kerjaya serta kehidupannya.

Antaranya “Penyejuk Hati”, lagu ciptaan Shila sendiri untuk anaknya Seth Uwais; “Jauh Hati” yang menjadi detik kebangkitan dirinya; “Tiada Dirimu” yang dirakam ketika beliau hamil dan membuka jalan kerjasama dengan Seventeen Eleven Music serta Nova Music dan “Khilaf Asmara”, lagu nukilan sahabat baiknya Amylea Azizan yang ditulis ketika Shila baru melahirkan anak pertamanya.

Dalam SA25, Shila turut merakam semula lagu popularnya “Memori Tercipta”, sebuah karya penting yang melonjakkan namanya selepas program One In A Million.

Versi baharu lagu itu dianggap sebagai sambutan terhadap perjalanan panjang yang telah ditempuh, bukannya menggantikan rakaman asal.

Jika keseluruhan album ini perlu diringkaskan dalam satu perkataan, Shila memilih “kekuatan”. Setiap lagu menggambarkan proses bangkit daripada trauma, kecurangan, kesedihan dan kehilangan, menjadikan SA25 sebuah album penuh emosi dan sarat pengajaran hidup.

Beliau turut mengakui inspirasi terbesar sepanjang pembikinan album ini datang daripada ibunya, suaminya, rakan-rakan terdekat serta dirinya sendiri.

Shila kini merancang siri jelajah SA25 yang akan diumumkan dalam masa terdekat. Persembahan terdekat beliau dijadualkan berlangsung pada 9 Mei 2026 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Beliau berharap album ini diterima baik dan dapat memberi kekuatan kepada pendengar di dalam dan luar negara.

Album SA25 diterbitkan melalui kerjasama Nova Music Malaysia dan Leo Music & Entertainment, syarikat rakaman miliknya. Ia boleh didapati dalam bentuk fizikal di platform e-dagang dan di semua platform digital mulai 25 November 2025.

Video muzik rasmi untuk single kedua, “Tinggal Kenangan”, akan ditayangkan secara perdana di saluran YouTube Nova Music Video pada hari yang sama jam 8 malam.