editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi Shila Amzah kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan pelancaran album terbaharu berjudul SA25, sebuah karya istimewa yang menandakan 25 tahun perjalanan seninya sejak mula muncul pada tahun 2000.
Album penuh ini merangkumkan 10 lagu baharu, sebuah lagu rakaman semula serta empat lagu bonus yang memaparkan pelbagai fasa kehidupannya sebagai anak seni, wanita dan insan biasa.
Menurut Shila, judul SA25 membawa makna yang amat peribadi kerana ia bukan sekadar singkatan kepada namanya, tetapi simbol sebuah perjalanan panjang yang penuh jatuh bangun.
Beliau menyifatkan ketibaan album ini sebagai detik paling matang dalam kerjaya dan kehidupannya.

Menerusi SA25, Shila tampil bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga komposer dan penulis lirik yang lebih dewasa.
Ada karya dicipta beberapa tahun lalu seperti “Tinggal Kenangan” yang ditulis pada 2017 dan ada juga lagu baharu yang menggambarkan pengalaman yang telah membentuk dirinya.
Beliau menyatakan album terbabit adalah jurnal hidupnya, dengan setiap lagu membawa nilai sentimental tersendiri berdasarkan fasa yang pernah dilalui.
Walaupun bekerjasama dengan beberapa komposer, Shila mengekalkan identiti muziknya kerana kesemua mereka merupakan rakan yang mengenalinya secara mendalam, baik dari sudut peribadi mahupun profesional.
Sinergi itu memastikan setiap lagu mengekalkan DNA muzik yang sinonim dengan dirinya.
Daripada keseluruhan 10 lagu baharu, “Sirna Hati” menjadi karya paling mencabar untuk disiapkan.

Lagu itu merakam kisah benar berkaitan penderaan emosi dan fizikal yang pernah dilalui, menjadikan proses penulisannya seolah-olah menghidupkan kembali memori yang sukar.
Shila berkata, suaminya, Ubai, memainkan peranan besar dalam memberikan sokongan ketika menulis lagu berkenaan, yang dianggap sebagai satu proses menutup lembaran lama hidupnya.
Beberapa lagu lain seperti “Kamu”, “Untukmu” yang ditujukan khas buat suami, dan “Pernah Punya Aku” turut mengisi ruang istimewa dalam hatinya.
“Pernah Punya Aku”, single pertama daripada SA25, terus mencipta kejayaan apabila menduduki tangga kedua carta ERA 40 minggu ini selain pernah menjuarai carta Muzik Muzik 40 selama tiga minggu berturut-turut.

Album ini turut mempertemukan kembali Shila dengan beberapa individu kreatif yang sudah lama bersamanya, antaranya Izzy Musa, Raja Nazrin Shah dan Ubai.
Kesemuanya dipilih kerana memahami jiwanya serta perjalanan hidup yang ingin diterjemahkan melalui muzik.
Empat lagu bonus yang dimuatkan pula dipilih kerana mempunyai nilai sentimental dan menjadi penanda kepada perjalanan kerjaya serta kehidupannya.
Antaranya “Penyejuk Hati”, lagu ciptaan Shila sendiri untuk anaknya Seth Uwais; “Jauh Hati” yang menjadi detik kebangkitan dirinya; “Tiada Dirimu” yang dirakam ketika beliau hamil dan membuka jalan kerjasama dengan Seventeen Eleven Music serta Nova Music dan “Khilaf Asmara”, lagu nukilan sahabat baiknya Amylea Azizan yang ditulis ketika Shila baru melahirkan anak pertamanya.
Dalam SA25, Shila turut merakam semula lagu popularnya “Memori Tercipta”, sebuah karya penting yang melonjakkan namanya selepas program One In A Million.
Versi baharu lagu itu dianggap sebagai sambutan terhadap perjalanan panjang yang telah ditempuh, bukannya menggantikan rakaman asal.

Jika keseluruhan album ini perlu diringkaskan dalam satu perkataan, Shila memilih “kekuatan”. Setiap lagu menggambarkan proses bangkit daripada trauma, kecurangan, kesedihan dan kehilangan, menjadikan SA25 sebuah album penuh emosi dan sarat pengajaran hidup.
Beliau turut mengakui inspirasi terbesar sepanjang pembikinan album ini datang daripada ibunya, suaminya, rakan-rakan terdekat serta dirinya sendiri.
Shila kini merancang siri jelajah SA25 yang akan diumumkan dalam masa terdekat. Persembahan terdekat beliau dijadualkan berlangsung pada 9 Mei 2026 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Beliau berharap album ini diterima baik dan dapat memberi kekuatan kepada pendengar di dalam dan luar negara.
Album SA25 diterbitkan melalui kerjasama Nova Music Malaysia dan Leo Music & Entertainment, syarikat rakaman miliknya. Ia boleh didapati dalam bentuk fizikal di platform e-dagang dan di semua platform digital mulai 25 November 2025.
Video muzik rasmi untuk single kedua, “Tinggal Kenangan”, akan ditayangkan secara perdana di saluran YouTube Nova Music Video pada hari yang sama jam 8 malam.

