29.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026

SBKN desak Anthony Loke jelaskan dakwaan kenderaan JPJ guna plat tidak berdaftar

editormaxinfo@gmail.com

KARAK – Aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar sekali lagi tampil mempertikaikan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan dakwaan penggunaan sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran tidak berdaftar dalam satu insiden pemeriksaan di Plaza Tol Lancang pada 20 November lalu.

Mewakili Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) Dr. Kalaivanar berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat perlu memastikan setiap agensi penguat kuasa mematuhi undang-undang tanpa pengecualian.

Beliau menegaskan prinsip “nobody is above the law” perlu terpakai kepada semua pihak termasuk JPJ.

Insiden yang tular itu membabitkan seorang pemandu lori dikenali sebagai Rao dihampiri sebuah Toyota Fortuner yang didakwa digunakan oleh anggota penguat kuasa JPJ.

Video terbabit mencetuskan persoalan dalam kalangan pengguna jalan raya apabila nombor pendaftaran kenderaan berkenaan dikatakan tidak mempunyai logo rasmi JPJ dan dipercayai tidak berdaftar.

Walaupun laporan polis telah dibuat dan siasatan kini berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa,Dr. Kalai berharap isu utama yang dibangkitkan bukanlah insiden tular itu semata-mata, tetapi dakwaan penggunaan kenderaan yang tidak mematuhi peraturan ketika operasi penguatkuasaan dijalankan.

“Jika pemandu lori melakukan kesalahan, mereka dihukum. Itu kita tidak pertikaikan. Undang-undang tetap undang-undang.

“Namun apabila berlaku dakwaan JPJ sendiri menggunakan kenderaan tanpa pendaftaran yang sah, ia menimbulkan persoalan besar. Menteri Pengangkutan perlu memberi jawapan,” katanya.

Beliau turut mengulangi pendirian SBKN yang sebelum ini pernah mengadakan demonstrasi di Parlimen bagi membantah sebarang bentuk penyamaran oleh agensi penguat kuasa ketika menjalankan operasi.

Menurutnya, masyarakat khususnya golongan pemandu lori dan pengusaha pengangkutan berhak mengetahui sama ada prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi oleh pihak JPJ.

Dr. Kalai berkata, sebarang tindakan operasi harus dilakukan menggunakan kenderaan jabatan yang jelas identiti dan pendaftaran bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga integriti penguatkuasaan.

Beliau juga meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, tampil memberikan penjelasan segera terhadap dakwaan terbabit.

Menurutnya, menteri bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala urusan dan tindakan jabatan di bawah portfolio beliau.

“Kita mahu kedaulatan undang-undang ditegakkan. Kenapa kenderaan yang dipercayai tidak berdaftar digunakan untuk menahan lori? Menteri Pengangkutan perlu jawab. Rakyat berhak tahu,” tegasnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular