editormaxinfo@gmail.com
TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menyemarakkan semangat kesukanan dan kebersamaan warga kampus menerusi penganjuran Karnival Sukan Staf (KIESTA) 2026 yang berlangsung penuh meriah di Padang Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjong Malim.
Majlis perasmian karnival berkenaan mencuri perhatian apabila lapan kontinjen tampil dengan persembahan kreatif dan penuh warna yang berjaya menghidupkan suasana sepanjang acara berlangsung.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, persembahan yang dipersembahkan setiap kontinjen jelas menggambarkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan warga universiti tanpa mengira pangkat mahupun latar belakang.
Menurut beliau, elemen budaya dan hiburan yang diketengahkan seperti Zombie Kampung Pisang, kisah Mat Kilau dan tarian Kuda Kepang membuktikan kreativiti serta semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan peserta.

“Daripada Zombie Kampung Pisang, cerita Mat Kilau, Kuda Kepang, semua ada.
“Nampak biasa-biasa, tetapi ini menunjukkan bahawa semangat kita bersatu, bersama-sama tanpa mengira pangkat dan darjat,” katanya ketika berucap merasmikan majlis terbabit.
Beliau turut memuji komitmen setiap kontinjen yang sanggup menjalani latihan selama berminggu-minggu demi memastikan persembahan terbaik dapat dipersembahkan pada malam perasmian.
“Latihannya saya perhatikan berminggu-minggu dilaksanakan. Walaupun masih ada kekurangan, tetapi inilah KIESTA, kita meraikan perbezaan dan menghargai kehebatan serta kekurangan kita,” katanya.

Kemeriahan majlis jelas terserlah apabila setiap kontinjen tampil dengan konsep tersendiri yang kreatif dan unik sehingga mencetuskan sorakan serta keterujaan dalam kalangan penonton yang memenuhi padang utama kampus.
Dalam pertandingan persembahan kontinjen, kontinjen Rahman Talib muncul juara dengan kutipan 93 markah.
Tempat kedua pula dimenangi kontinjen Kapten Yazid dengan 91 markah, manakala kontinjen Ahmad Bakhtiar menduduki tempat ketiga selepas memperoleh 88 markah.
Mengulas lanjut, Md Amin berkata penganjuran KIESTA bukan sekadar platform sukan semata-mata, sebaliknya menjadi medium penting dalam membina jati diri, semangat kekeluargaan dan budaya kecemerlangan dalam kalangan warga universiti.

Menurut beliau, aktiviti sukan mampu membentuk nilai keinsanan dan memperkukuh hubungan silaturahim sesama warga kampus.
“Bersukan bukan hanya untuk mencapai kemenangan, tetapi yang paling penting adalah untuk membentuk jati diri, jiwa keinsanan, jiwa kekeluargaan dan jiwa kecemerlangan,” katanya.
Dalam pada itu, KIESTA 2026 akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu fasa pertama bermula 4 hingga 9 Mei serta 19 dan 20 Mei yang membabitkan 10 jenis sukan.
Fasa kedua pula dijadual berlangsung pada 11 hingga 14 Oktober bersempena Hari Sukan Negara, turut mempertandingkan 10 jenis sukan.

Sebanyak 20 acara sukan dipertandingkan sepanjang karnival itu melibatkan pelbagai kategori yang sesuai untuk semua peringkat umur termasuk sukan tradisional dan santai seperti dam haji serta karom yang menjadi pilihan peserta veteran.
Md Amin berkata, persiapan awal dan perancangan rapi yang dilakukan sejak 2024 diyakini mampu membantu meningkatkan pencapaian UPSI dalam temasya Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2026.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa UPSI mampu mencapai sasaran berada dalam kelompok lima universiti terbaik berdasarkan kekuatan atlet yang dimiliki universiti itu dalam beberapa acara utama.
“UPSI menyasarkan untuk berada dalam kelompok lima terbaik berikutan memiliki ramai atlet berprestasi tinggi dalam pelbagai acara seperti strongman, berbasikal dan golf, sekali gus meningkatkan keyakinan universiti untuk mencapai sasaran terbabit,” katanya.

