editormaxinfo@gmail.com
SEPANG – Pendidikan Bumiputera wajar terus diangkat sebagai agenda teras dalam pembangunan negara, namun pendekatan baharu yang menekankan anjakan minda serta tanggungjawab bersama masyarakat amat diperlukan bagi memastikan kelestarian kemajuan itu.
Pengerusi Teras Sosial Musyawarah Nasional, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pendidikan telah menjadi asas utama kepada pembangunan masyarakat Bumiputera sejak era pascamerdeka melalui pelbagai dasar dan pelaburan strategik kerajaan yang memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan.
Menurut beliau, hasil daripada komitmen berterusan itu dapat dilihat pada hari ini apabila ramai dalam kalangan Bumiputera berjaya mengisi jawatan penting di peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus membuktikan keberkesanan dasar pendidikan yang dilaksanakan sejak dahulu.
“Keadaan semasa yang berubah dengan pantas dari segi ekonomi, geopolitik dan pasaran kerja menuntut masyarakat menjadi lebih berdikari serta proaktif.
“Kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada kerajaan kerana pendidikan merupakan pelaburan paling ampuh dalam mengubah taraf sosioekonomi masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia berkata, kejayaan masa depan Bumiputera tidak hanya bergantung kepada dasar kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan perubahan sikap dan pemikiran dalam kalangan masyarakat itu sendiri.
Dalam hal ini, beliau menekankan pendidikan perlu dilihat sebagai keutamaan tanpa mengira bidang kerjaya, sama ada dalam sektor awam, swasta mahupun keusahawanan.
Katanya, pendekatan ini selari dengan aspirasi yang disuarakan oleh Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan mereka pada Kongres Pendidikan Bumiputera 2026, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan kongres itu merumuskan kepentingan memperkukuh pendidikan sebagai tunjang utama pembangunan masyarakat, dengan memberi fokus kepada perubahan minda, peningkatan akses kepada peluang pendidikan serta pemerkasaan tanggungjawab bersama antara kerajaan dan rakyat.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan negara tidak boleh ketandusan pemimpin berkualiti pada masa hadapan, justeru pendidikan perlu terus menjadi asas dalam pembentukan kepimpinan yang berwibawa dan berdaya saing.
Tambahnya lagi, pendidikan juga tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang kepada penglibatan dalam ekonomi atau kerjaya praktikal, sebaliknya kedua-duanya boleh bergerak seiring seperti yang diamalkan di negara maju, di mana individu dalam pelbagai sektor turut memiliki kelayakan akademik yang tinggi.


https://shorturl.fm/GDIau
https://shorturl.fm/eLLzM