26.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 6, 2026

Konsert Awie ‘Last Man Standing 2026’ di Stadium Merdeka rai 40 tahun karier rock

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Legenda rock tanah air, Dato’ Awie, bersedia mencipta satu lagi sejarah dalam industri muzik tempatan menerusi penganjuran konsert berskala mega “Awie Rock King – Last Man Standing 2026” yang dijadualkan berlangsung pada 12 September ini di Stadium Merdeka.

Konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media ini dijangka menjadi antara persembahan paling epik dalam sejarah muzik tanah air apabila menghimpunkan perjalanan seni Awie sepanjang lebih empat dekad dalam industri hiburan tempatan.

Persembahan yang akan bermula pada jam 8.30 malam itu bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya sebuah penceritaan menyeluruh yang menggabungkan elemen muzik, naratif dan produksi berskala besar di pentas ikonik negara.

Pengarah Eksekutif Bombbay Legend Worldwide, Zamberi Shaari atau lebih dikenali sebagai Bombay, berkata hubungan profesional antara beliau dan Awie telah terjalin hampir 40 tahun, sejak era awal pembabitan seni penyanyi itu bersama kumpulan Wings sehingga ke fasa solo dan pelbagai evolusi dalam kariernya.

Menurut beliau, tajuk “Last Man Standing” membawa simbolik kepada keteguhan Awie dalam mengharungi pelbagai cabaran dan perubahan industri muzik, namun tetap kekal relevan dan berdiri teguh dengan identiti seni tersendiri.

Gelaran “Rock King” pula mencerminkan sumbangan besar beliau dalam membentuk dan mengangkat genre rock di Malaysia, sama ada sebagai penyanyi berkumpulan mahupun solo.

Sementara itu, Awie menyifatkan konsert ini sebagai satu penghargaan besar terhadap perjalanan seninya yang telah menjangkau lebih 40 tahun.

Beliau mengakui konsert berkenaan bukan sekadar persembahan hiburan, tetapi refleksi kepada jatuh bangun serta evolusi yang dilalui sepanjang kariernya dalam industri muzik.

Menurutnya, sokongan padu peminat sejak era awal bersama Wings sehingga ke hari ini menjadi kekuatan utama untuk terus berkarya dan relevan dalam dunia seni.

Beliau turut berharap konsert ini mampu memberikan pengalaman bermakna kepada penonton, selain meraikan legasi muzik rock yang masih hidup dalam kalangan pelbagai generasi.

Konsert ini turut mengetengahkan konsep naratif yang mengangkat perjalanan seni Awie sebagai tunjang utama penceritaan.

Ia merakam pelbagai fasa penting dalam karier beliau, termasuk era awal bersama kumpulan, perjalanan solo serta perubahan landskap muzik tanah air yang dilalui sepanjang dekad.

Pendekatan ini dijangka memberikan pengalaman lebih mendalam kepada penonton untuk menghayati kisah di sebalik setiap karya yang dipersembahkan.

Selain itu, konsert ini akan menampilkan gabungan pemuzik berkaliber dan penyanyi undangan terkenal yang mewakili generasi lama dan baharu.

Setiap artis jemputan akan membawakan lagu-lagu ikonik Awie sebagai tanda penghormatan terhadap legasi seni beliau, sekali gus memperkukuh elemen tribute dalam persembahan itu.

Dari sudut muzik, susunan repertoir dirangka secara dinamik dengan menggabungkan elemen nostalgia dan pendekatan segar, membolehkan penonton menyusuri evolusi muzik Awie secara lebih menyeluruh.

Gabungan pemuzik daripada pelbagai latar belakang genre seperti rock, pop dan lain-lain turut memberikan warna tersendiri kepada setiap segmen persembahan.

Menurut Bombay, matlamat utama penganjuran konsert ini adalah untuk menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja menghiburkan, malah berimpak tinggi serta berpotensi menjadi penanda aras baharu dalam industri konsert tempatan.

“Aspek kualiti produksi, kreativiti dan pengalaman penonton menjadi keutamaan dalam memastikan konsert ini mencapai standard tertinggi,” katanya.

Konsert “Awie Rock King – Last Man Standing 2026” turut mendapat sokongan rakan media rasmi termasuk ERA FM, Sinar FM dan GEGAR, manakala Astro Gempak bertindak sebagai portal digital rasmi bagi memastikan liputan menyeluruh menjelang acara berprestij ini.

Dengan gabungan konsep penceritaan, kekuatan muzik dan produksi berskala besar, konsert ini dijangka menjadi antara acara paling dinanti-nantikan pada tahun 2026, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Awie sebagai ikon rock yang terus relevan merentasi zaman.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular