30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 13, 2026

12,000 peminat hadiri Konsert Wali Kembali di Kuala Lumpur, tampil hiburan berunsur dakwah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Hampir 12,000 penonton membanjiri Stadium Hoki Bukit Jalil bagi menyaksikan Konsert Wali Kembali yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh emosi, malam Jumaat lalu.

Walaupun hujan lebat melanda ibu negara sebelum acara bermula, keadaan itu tidak menjejaskan perjalanan konsert solo Wali Band yang dianjurkan oleh GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures.

Konsert tetap dimulakan tepat jam 8.30 malam dengan sorakan gemuruh peminat yang sebahagiannya telah hadir seawal jam 4 petang.

Sepanjang persembahan, suasana menjadi semakin rancak apabila kumpulan yang dianggotai Faank, Apoy, Tomi dan Ovie membawakan lagu-lagu popular seperti Aku Bukan Bang Toyib, Tobat Maksiat, Yank, Cari Jodoh dan Baik-Baik Sayang.

Persembahan berjaya membuatkan penonton bangun, menari dan menyanyi bersama, sekali gus mewujudkan suasana yang penuh keterujaan di seluruh stadium.

Kumpulan itu dilihat terharu dengan sambutan luar biasa yang diberikan oleh peminat, yang menjadi pemangkin kepada persembahan bertenaga sepanjang malam.

Lebih daripada sekadar hiburan, Wali Band turut menyelitkan elemen kerohanian dalam persembahan mereka dengan mengalunkan zikir serta menitipkan doa-doa buat para penonton.

Mereka turut mengajak hadirin membaca surah Al-Fatihah sebagai tanda penghargaan, di samping mendoakan kesejahteraan dan keberkatan hidup buat peminat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Tidak ketinggalan, doa khusus turut dipanjatkan untuk rakyat Palestin sebagai tanda solidariti terhadap isu kemanusiaan semasa.

Pendekatan itu mencerminkan identiti unik Wali Band yang sinonim dengan konsep dakwah melalui hiburan, di mana setiap persembahan bukan sahaja menghibur, tetapi turut menyampaikan mesej positif berkaitan nilai kemanusiaan, kasih sayang, akhlak dan keinsafan.

Konsert Wali Kembali bukan sekadar acara muzik biasa, sebaliknya menjadi satu pengalaman yang menyentuh emosi dan jiwa penonton.

Ia sekali gus membuktikan bahawa kekuatan Wali Band terletak bukan hanya pada melodi yang memikat, tetapi juga pada mesej bermakna yang disampaikan kepada pendengar merentasi generasi.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular