32.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026

KOKUMAS lancar nanas jambul emas A-18: Varieti premium tempatan sasar pasaran antarabangsa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri buah-buahan tempatan melakar sejarah baharu apabila Koperasi Kurnia Mewah Selangor Berhad (KOKUMAS) bersama Jambul Emas Sdn. Bhd. (JESB) melancarkan secara rasmi varieti premium Nanas Jambul Emas A-18, sekali gus mengangkat produk pertanian Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Varieti yang dibangunkan melalui penyelidikan intensif ini menampilkan ciri rasa manis seimbang, tekstur rangup dan kadar jus yang tinggi, menjadikannya antara produk paling berpotensi untuk menembusi pasaran global.

Nanas Jambul Emas A-18 dibangunkan melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh pakar hortikultur tempatan serta ditanam mengikut piawaian Halal Toyyiban.

Pendekatan ini memastikan hasil tanaman mencapai standard keselamatan makanan, kebersihan dan kelestarian yang ketat selain mengekalkan kualiti premium yang konsisten.

Pengarah Urusan JESB, Amiruddin Rizuan berkata, pelancaran Jambul Emas A-18 adalah bukti komitmen mereka untuk mengangkat produk pertanian Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

“Kami mahu memberikan pengalaman terbaik kepada pengguna bukan sekadar buah yang sedap, tetapi yang melambangkan identiti usaha tani Malaysia yang berkualiti tinggi,” katanya pada majlis pelancaran yang turut mendapat kerjasama daripada PPIM dan Gold Crest Asia (GCA).

Pelancaran ini turut menonjolkan keistimewaan A-18 yang mempunyai nilai Brix tinggi, isi emas pekat, ketahanan lama selepas dituai serta kesesuaiannya untuk pasaran eksport.

Selain itu, ia ditanam menggunakan kaedah pertanian moden yang mampan, menjadikannya pilihan ideal untuk pengguna Muslim dan pengguna global yang mementingkan kualiti serta keselamatan makanan.

Majlis pelancaran menyaksikan demonstrasi pemotongan nanas, sesi merasa, perkongsian nutrisi serta memperkenalkan dua produk terbaharu di bawah jenama KOKUMAS: jus nanas premium dan snek nanas beku kering (freeze-dry).

Produk freeze-dry ini adalah antara inovasi utama KOKUMAS kerana ia tidak menggunakan teknik jeruk seperti kebanyakan produk luar negara, sekali gus menawarkan rasa asli nanas Malaysia secara lebih unik dan praktikal.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Azlan Salleh berkata, permintaan terhadap variati ini semakin meningkat, termasuk pertanyaan daripada pasaran Turki, Bosnia, Dubai dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Namun, kekurangan bekalan buah menyaksikan KOKUMAS giat menambah kapasiti tanaman.

“Buat masa ini, kira-kira 70 ekar tanah di Jelebu sedang diusahakan, manakala tambahan 100 ekar di Pahang telah disewa bagi mempertingkat pengeluaran untuk menampung permintaan dari Timur Tengah dan Eropah.

“Penyewaan tanah adalah pilihan lebih praktikal bagi tanaman nanas yang mempunyai kitaran 8 hingga 11 bulan.

“Langkah ini memudahkan pemindahan lokasi sekiranya berlaku banjir atau bencana dan mengoptimumkan kos operasi,” katanya.

Sebagai langkah memperkukuh pemasaran dan rangkaian niaga, KOKUMAS merancang mengembangkan pengedaran produk melalui pasar raya utama, platform e-dagang serta Halal Toyib Mart di seluruh Lembah Klang.

Syarikat itu turut merancang siri jelajah promosi (roadshow) dan pelancaran besar-besaran selepas Hari Raya Aidilfitri sebagai fasa kedua memperkenalkan Jambul Emas A-18 kepada pengguna.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular