editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – DAP mengakui kekalahan sepenuhnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 apabila parti itu tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandingi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dalam satu kenyataan hari ini berkata, parti itu menerima keputusan terbabit dengan hati terbuka dan menghormati pilihan pengundi Sabah.
Menurut beliau, kegagalan mempertahankan mana-mana kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini adalah satu tamparan besar, namun ia tetap dianggap sebagai proses demokrasi yang harus dihormati.
Loke berkata, beliau mengambil tanggungjawab penuh atas segala kelemahan dan kekurangan yang membawa kepada keputusan terbabit.
“DAP Sabah gagal mempertahankan sebarang kerusi yang disandang sebelum ini dalam PRN Sabah ke-17. Kami menerima dan menghormati keputusan pengundi di lapan kawasan yang ditandingi DAP,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon dan parti lain yang berjaya meraih mandat rakyat di kawasan masing-masing.
Loke berkata, pucuk pimpinan DAP akan menilai semula seluruh pendekatan dan strategi parti di Sabah, selain mengambil iktibar daripada keputusan terbabit.
Usaha memperbaiki gerak kerja dan mendekati rakyat akan dipertingkatkan bagi memastikan DAP kembali memperoleh kepercayaan pengundi pada pilihan raya akan datang.
Walaupun tewas di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP Sabah masih memiliki dua wakil rakyat di peringkat Parlimen.
Loke berkata, kedua-duanya akan melipatgandakan usaha di kawasan masing-masing, iaitu Kota Kinabalu dan Sandakan, bagi memastikan suara rakyat Sabah terus dibawa ke peringkat nasional.
Pada PRN kali ini, DAP bertanding di lapan kerusi DUN iaitu
Elopura (Vivian Wong), Sri Tanjung (Philip Yap Wui Lip), Luyang (Chan Loong Wei), Likas (Datuk Phoong Jin Zhe), Kapayan (Jannie Lasimbang), Tanjung Papat (Tang Szu Ching), Tanjung Aru (Datuk Chan Foong Hin) dan Kemabong (Noorita Sual). Kesemua calon terbabit gagal meraih kemenangan.
Walaupun keputusan kali ini tidak memihak kepada DAP, parti itu akan memberikan komitmen untuk terus bersama rakyat Sabah dan memperkukuh usaha bagi memastikan suara mereka terus mendapat tempat dalam arus politik negara.


https://shorturl.fm/SIuZv