editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR) terus mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai penerima Top 10 Asia: Malaysia Skilled Community Award dalam majlis berprestij Top Asia Corporate Ball 2025 yang berlangsung kelmarin di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur.
Pengiktirafan itu sekali lagi mengukuhkan reputasi BELIA MAHIR sebagai peneraju pembangunan bakat belia berkemahiran di Malaysia.
Majlis bertaraf antarabangsa itu dianjurkan oleh The Research House of Asia (RHA) dan RHA Media, penerbit rasmi Top 10 of Asia dan Top 10 of Malaysia, sempena meraikan ulang tahun ke-10 penganjuran anugerah paling berpengaruh di rantau ini.
Sambutan istimewa itu turut menampilkan kehadiran diraja Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Mariamz Almarhum Sultan Iskandar, yang berkenan menyampaikan kesemua anugerah pada malam gilang-gemilang itu.
Penyerahan anugerah daripada kerabat diraja itu memberi penghormatan luar biasa kepada BELIA MAHIR, sekali gus mengiktiraf peranan pertubuhan terbabit dalam memperkasa komuniti belia berkemahiran di negara ini.

Majlis tahun ini turut menghimpunkan nama-nama besar merangkumi tokoh seni, pemimpin industri, ikon masyarakat, institusi pendidikan dan syarikat korporat.
Antara penerima yang mencuri perhatian ialah Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang menerima Asia Legendary Lifetime Achievement Award, Dato’ Sri Rossa selaku Asia Legendary Music Icon dan Tan Sri Lee Lam Thye yang diberi pengiktirafan Lifetime Contribution to Nation Building.
Jenama fesyen terkemuka Rizman Ruzaini pula diumumkan sebagai Brand of the Year, manakala institusi pendidikan berprestij seperti Management & Science University (MSU) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) turut diraikan atas kecemerlangan akademik serta peranan mereka dalam pembangunan teknousahawan.
Penerima lain termasuk korporat besar seperti KPS Berhad, Bank Simpanan Nasional, Tune Protect Group Berhad, Star Planet dan AEON Credit Service.
Pengiktirafan yang diterima BELIA MAHIR dianggap sebagai satu tanda penghargaan penting terhadap ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Kejayaan ini turut mencerminkan keberkesanan kepimpinan strategik Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dalam memperkukuh agenda TVET Malaysia melalui usaha menjalin kerjasama industri, memperluas akses, melaksana pembiayaan mampan dan meningkatkan mobiliti global.

Kemasukan BELIA MAHIR dalam kelompok penerima elit anugerah Asia ini menjadi bukti bahawa pendekatan TVET Malaysia semakin diiktiraf di peringkat serantau.
Sejak penubuhannya, BELIA MAHIR kekal komited menyantuni golongan belia B40, asnaf, belia NEET (Not in Employment, Education and Training) serta kelompok belia berisiko melalui program latihan kemahiran berstruktur dan pelbagai inisiatif pemerkasaan sosial.
Antara program berimpak tinggi yang diterajui ialah TVET.belia, Sekolah ke Kerjaya (SKK), Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT), Industrial Manufacturing Crew (IMC), Cerita Orang Gagal (COG) dan beberapa program komuniti lain yang bertujuan menyediakan peluang kedua kepada belia termasuk bekas banduan dan pesalah juvana.

Melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik, latihan lapangan, kerjasama industri serta mobiliti TVET ke China, BELIA MAHIR terus mencipta ruang pembangunan bakat belia sekaligus membuka laluan kepada penempatan pekerjaan yang lebih luas dan berkualiti.
Kejayaan meraih Top 10 Asia Award ini menjadi simbol keyakinan rantau terhadap dedikasi pertubuhan ini dalam memperkasa agenda pembangunan bakat negara.
Pengiktirafan terbabit juga menyuntik semangat baharu kepada BELIA MAHIR untuk memperluaskan gerakan nasional “Bantu Belia, Bantu Negara” selaras dengan misi melahirkan generasi pekerja berkemahiran yang kompeten, berdaya saing dan bersedia memacu kemajuan Malaysia ke hadapan.

