30.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 13, 2026

Ara Johari kembali dengan lagu ‘Terlalu Bodoh’, sambung kisah galau selepas cetus fenomena MJOL

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas mencetuskan fenomena menerusi lagu Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL), penyanyi, Ara Johari kembali dengan sebuah karya baharu berjudul Terlalu Bodoh, yang sekali lagi menampilkan konsep ‘galau’ yang begitu sinonim dengan identitinya.

Lagu terbaharu ini adalah hasil ciptaan komposer Indonesia, Ilham Baso, yang sebelum ini turut menghasilkan MJOL, menjadikan Terlalu Bodoh sebagai kesinambungan emosional kepada karya terdahulu itu.

Ara Johari atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 28, berkata lagu berkenaan membawa luahan hati yang lebih mendalam, menggambarkan perasaan kecewa dan terluka apabila dikhianati insan yang dicintai sepenuh jiwa.

Menurutnya, ramai pendengar pasti dapat mengaitkan diri mereka dengan kisah dan emosi yang disampaikan melalui lirik lagu terbabit.

“Bagi Ara, lagu Terlalu Bodoh adalah kesinambungan daripada Menjaga Jodoh Orang Lain.

“Ia mengisahkan tentang seseorang yang bermati-matian demi cinta, namun akhirnya dicurangi. Ara percaya ramai pendengar di luar sana boleh ‘relate’ dengan lagu ini,” katanya.

Proses rakaman lagu berlangsung di Indonesia pada September lalu, dengan Ara mengekalkan pasukan kreatif yang sama iaitu komposer Ilham Baso, penggubah muzik Adrian Rahmat Purwanto serta bimbingan vokal daripada Bowo Soulmate.

Keserasian pasukan ini sekali lagi berjaya menghasilkan sebuah karya beremosi yang kuat, mengekalkan identiti ‘lagu galau’ yang dekat dengan jiwa peminat.

Terlalu Bodoh diedarkan secara rasmi oleh Universal Music Malaysia dan boleh mula distrim di semua platform digital sejak 19 November 2025.

Melihat kepada rekod cemerlang MJOL yang sehingga kini mencatat lebih 75 juta pendengar di platform penstriman dan YouTube sejak dilancarkan pada 30 Julai 2024, lagu terbaharu ini dijangka mampu mengulangi atau mungkin mengatasi kejayaan itu.

Dengan kekuatan vokal, penyampaian penuh emosi dan karya yang dekat dengan realiti kehidupan, Terlalu Bodoh dijangka menjadi lagu galau seterusnya yang mengukuhkan kedudukan Ara Johari sebagai salah satu penyanyi wanita tempatan paling berpengaruh dalam genre balada kontemporari.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular