29.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 37

DIGNIFIED: The Faisal Cup Story – Dokumentari inspirasi anak pelarian di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam landskap filem Malaysia yang jarang menyingkap kehidupan pelarian, DIGNIFIED: The Faisal Cup Story muncul sebagai dokumentari perintis yang mengangkat kisah sekumpulan anak-anak pelarian yang berani bermimpi untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebuah simbol prestij yang sebelum ini tampak jauh daripada jangkauan mereka.

Dokumentari ini bukan sekadar tentang sukan, tetapi tentang identiti, ketabahan dan keinginan universal manusia untuk diterima dan dihormati sebagai insan bermaruah.

Sepanjang tempoh rakaman selama setahun, filem ini memaparkan perjalanan anak-anak pelarian dan kurang berkemampuan yang menekuni latihan dengan disiplin luar biasa demi peluang sekali seumur hidup, sekaligus membuktikan bahawa dengan sokongan dan peluang, mereka mampu mencipta kejayaan.

Melalui perspektif Jeremy Chin, seorang guru dan jurulatih Malaysia, bersama dua remaja pelarian, Kurban Ali dari komuniti Rohingya dan Ezra Van Lian Ceu dari komuniti Chin, Myanmar, dokumentari ini memberikan potret intim tentang persahabatan, pengorbanan dan nilai maruah yang jarang ditonjolkan.

Naratif ini membuka mata penonton terhadap realiti kehidupan pelarian dan impian mereka yang sering tidak didengar.

Filem ini menandakan debut pengarah Hazel Desmond, yang membawa pengalaman lebih 15 tahun dalam kewartawanan ke dalam dokumentari ini.

Kepekaan kewartawanan Hazel membolehkan kamera menangkap detik-detik asli yang rapuh, sarat emosi, namun tidak dibuat-buat.

Sentuhan beliau diperkukuhkan oleh Steve Chao, penerbit eksekutif yang dua kali tercalon Anugerah Emmy, menjadikan DIGNIFIED sebuah karya visual matang, elegan dan berani menghadapi realiti tanpa sensasi murahan.

Selain itu, dokumentari ini turut menyerlahkan sisi Malaysia yang penuh nilai ihsan, melalui komuniti dan individu yang bersedia membuka pintu dan membantu anak-anak pelarian meniti impian mereka.

Turut tampil dalam dokumentari ini ialah Deborah Henry, Miss Universe Malaysia 2011 dan aktivis kemanusiaan, dengan sokongan Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, yang memperkukuhkan lagi mesej kemanusiaan dan aspirasi sosial filem ini.

Menurut data UNHCR, setakat Oktober 2025, terdapat 211,360 pelarian dan pencari suaka di Malaysia, termasuk 64,801 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun, yang sebahagiannya berpeluang menyertai inisiatif sosial dan pendidikan melalui sukan.

DIGNIFIED: The Faisal Cup Story mengingatkan penonton bahawa di sebalik setiap statistik terdapat wajah-wajah manusia, di sebalik setiap wajah terdapat cerita dan di sebalik setiap cerita itu ada impian kecil yang ingin didengari.

Dokumentari ini bukan sahaja relevan untuk Malaysia, tetapi membawa mesej global tentang ketabahan, aspirasi dan kemanusiaan, menjadikannya sebuah karya yang memberi impak jauh melangkaui sempadan Asia Tenggara.

The Orchid Journey: Travelog inspirasi & kepimpinan wanita moden

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Siri travelog inspirasi terbaru terbitan Skyhill Clinic, The Orchid Journey, dilancarkan sebagai sebuah karya dokumentari yang mengetengahkan pencarian makna keseimbangan hidup wanita masa kini.

Menggabungkan elemen ilmu, spiritual, kepimpinan dan kesihatan wanita, siri ini mempertemukan tiga tokoh wanita berpengaruh negara iaitu Dr. Linda Mat Hassin, pakar perubatan dengan kepakaran dalam perawatan hormon wanita; Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, tokoh dakwah dan kerohanian; serta Datuk Dr. Faridah Hanim Haron, pakar kepimpinan dan pembangunan organisasi.

Perjalanan mereka merentasi kota Tokyo dan Bandung dirakam sebagai metafora pencarian diri dalam dunia moden yang penuh tekanan dan tuntutan.

The Orchid Journey mengetengahkan misi untuk memahami keperluan sebenar wanita hari ini bukan hanya dari sudut kesihatan fizikal dan mental, tetapi juga kekuatan spiritual dan nilai dalaman yang membentuk keseimbangan hidup.

Siri ini bukan sekadar dokumentasi pelancongan, tetapi sebuah eksplorasi menyeluruh tentang kehidupan wanita kontemporari.

Dalam setiap episod berdurasi 20 hingga 25 minit, penonton akan dibawa menyelami perbincangan mendalam mengenai cabaran hormon, tekanan kehidupan, kesihatan mental, peranan wanita dalam kerjaya dan keluarga, serta bagaimana kepimpinan wanita boleh diperkasakan dalam era yang serba mencabar.

Visual sinematografi yang memukau dipadukan dengan perbualan jujur dan refleksi peribadi, menjadikan The Orchid Journey sebuah pengalaman yang bukan sahaja menghiburkan tetapi mengajak penonton merenung kembali nilai diri, kesihatan dan hubungan dengan Tuhan.

Menurut penerbit eksekutif siri ini, Dr. Linda Mat Hassin, The Orchid Journey diwujudkan untuk merapatkan jurang antara tuntutan prestasi dunia moden dan keperluan jiwa wanita yang mendambakan ketenangan.

“Wanita hari ini hidup di antara dua dunia, satu dunia yang menuntut produktiviti dan prestasi dan satu lagi dunia jiwa dalaman yang mendambakan ketenangan dan makna. The Orchid Journey adalah jambatan antara keduanya,” katanya.

Menjayakan siri ini juga adalah hasil kerjasama pelbagai penaja rasmi.

Skyhill Clinic selaku Penaja Utama menjadi tulang belakang penerbitan ini, disertai Siti Khadijah sebagai Rakan Rasmi Busana Muslimah, AMPAC sebagai Rakan Latihan Rasmi, MedikGO sebagai Rakan Portal Kesihatan Rasmi, Linheal sebagai Rakan Suplemen Halal, Casalwa sebagai Rakan Butik Rasmi, dan Brainy Bunch sebagai Rakan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Gabungan kesemua rakan strategik ini memperkukuh matlamat The Orchid Journey untuk memberi impak yang lebih besar dalam usaha memperkasakan wanita dari aspek kesihatan, spiritual dan kepimpinan.

Dalam sidang media pelancaran, dua pengumuman penting turut dibuat. Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa dilantik sebagai Ikon Syariah Skyhill Clinic, manakala Datuk Dr. Faridah Hanim Haron dilantik sebagai Penasihat Korporat Skyhill Clinic.

Pelantikan ini menjadi simbol kolaborasi ilmu, nilai dan profesionalisme dalam memperkukuh komitmen Skyhill Clinic terhadap misi memperkasa wanita melalui pendekatan menyeluruh merangkumi kesihatan, kerohanian dan kepimpinan.

Dengan mesej yang kuat, visual yang indah dan pengisian ilmu yang mendalam, The Orchid Journey dijangka menjadi antara siri inspirasi wanita paling berpengaruh tahun ini, sekaligus membuka ruang kepada lebih ramai wanita untuk memahami, menghargai dan meraih keseimbangan hidup dalam dunia moden yang semakin mencabar.

KNKV Group umum kerjasama TikTok: Strategi digital baharu sasar RM100 juta jualan tambahan menjelang 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri pemasaran digital negara melangkah ke fasa baharu apabila KNKV Group Sdn. Bhd. mengumumkan kerjasama strategik sebagai TikTok Affiliate Partner, bersama barisan rakan industri utama bagi memperkukuh ekosistem pengiklanan, data dan kecerdasan buatan (AI) dalam negara.

Langkah ini disifatkan sebagai pemangkin penting dalam mempercepatkan pertumbuhan digital Malaysia dan meningkatkan daya saing perniagaan tempatan di platform media sosial paling pesat berkembang itu.

Group CEO KNKV Group Sdn. Bhd., Prof. (Adj.) Hj Adam Richman, berkata pemasaran masa kini tidak lagi bergantung pada kaedah tradisional, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi strategi pengiklanan yang boleh dibuktikan keberkesanannya melalui jualan yang konsisten, terukur dan berskala besar.

Beliau berkata, analisis pihaknya terhadap jenama yang berjaya mencatat jualan ratusan ribu ringgit sebulan di TikTok Shop menunjukkan satu kesimpulan utama kejayaan hanya dicapai apabila sesuatu jenama menguasai keseluruhan ekosistem TikTok.

“Elemen seperti User-Generated Content (UGC), micro influencers, pengaktifan TikTok Live secara harian serta penghasilan kandungan berasaskan AI dalam jumlah tinggi adalah faktor dominan yang mencipta kekuatan ekosistem pengiklanan saling bergantung atau TikTok Interdependent Advertising Strategy.

“Formula ini memberi impak berganda kerana setiap elemen saling menyokong antara satu sama lain dan mendorong lonjakan trafik serta jualan,” katanya pada majlis pelancaran Digital & AI Business War 2026 yang dirasmikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Dalam forum industri yang dianjurkan, KNKV Group turut berkongsi dapatan eksklusif termasuk bagaimana sehingga 50 peratus jualan jenama sebenarnya datang daripada ejen Affiliate, bagaimana jenama terbaik menghasilkan ratusan hingga ratusan konten sebulan bagi mengekalkan kelebihan algoritma, serta peranan sekurang-kurangnya 20 peratus ejen Affiliate yang melakukan TikTok Live setiap hari bagi menjana jualan masa nyata.

Tiga elemen ini dikatakan sebagai faktor pembeza utama antara jenama yang berkembang pesat dan jenama yang masih bergelut di platform tersebut.

Prof. Adam berkata strategi KNKV Group direka bukan hanya untuk menghasilkan iklan tetapi untuk membantu jenama menguasai keseluruhan ekosistem TikTok dari penciptaan UGC, penglibatan micro influencers, pengendalian TikTok Live, hinggalah penggunaan teknologi AI bagi meningkatkan kadar penukaran video kepada jualan

“Melalui pendekatan agresif berfokuskan data ini, syarikat menyasarkan penciptaan RM100 juta jualan tambahan untuk pelanggan mereka, sasaran yang disifatkan sebagai realistik berdasarkan potensi sebenar apabila pencipta kandungan, data dan iklan digabungkan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakan strategik yang menjayakan program Business War 2026, termasuk Muslim Insiders Chamber of Commerce, CTOS Data Systems, Dynads Academy, Droplets of Mercy Malaysia serta Universiti Malaysia Kelantan, yang masing-masing menyumbang kepakaran dalam strategi, data, pendidikan dan impak sosial.

Katanya, kerjasama ini, membuktikan bahawa ekosistem digital hanya dapat berkembang melalui sinergi industri, akademia dan komuniti.

Sementara itu, Patron Muslim Insiders Chamber of Commerce, Datuk Seri Dr. Zurainah, turut menyifatkan kerjasama ini sebagai permulaan era digital baharu untuk Malaysia.

Menurut beliau, perniagaan kini tidak lagi boleh bergantung kepada pemasaran tradisional, sebaliknya perlu menguasai ekosistem digital secara menyeluruh bermula daripada penghasilan kandungan, mencipta trafik sehinggalah menukar perhatian pengguna kepada jualan yang sebenar.

“Kajian TikTok Shop menunjukkan tiga formula kejayaan yang konsisten: memiliki pasukan Affiliate Agents yang menyumbang sehingga 50 peratus jualan, menghasilkan volume konten yang tinggi setiap bulan, serta menjalankan TikTok Live secara konsisten dengan penglibatan harian ejen Affiliate.

“Kombinasi elemen-elemen ini, bersama strategi AI, menjadikan KNKV Group antara syarikat yang mampu memimpin perniagaan untuk mendominasi arena pemasaran digital,” katanya.

Dr. Zurainah berkata, dengan sokongan data dan AI daripada rakan strategik seperti CTOS, pemilik perniagaan kini dapat membuat keputusan eksekutif berdasarkan analisis sebenar dan bukannya andaian.

“Kesemua ini melengkapkan visi KNKV Group dalam membina ekosistem pengiklanan yang agresif, berasaskan data pintar serta dipacu kecerdasan buatan.

“Business War 2026 bukan sekadar forum, tetapi simulasi strategi dunia sebenar untuk membantu pengasas menangi trafik, naratif, pengguna dan akhirnya jualan,” katanya.

Pelancaran dan kerjasama ini menandakan satu langkah besar dalam memacu pertumbuhan digital Malaysia, sekali gus membuka ruang kepada perniagaan tempatan untuk bukan sekadar bertahan, tetapi mendominasi era ekonomi digital yang semakin pesat.

MYSpecialKid revolusi peranti VR untuk sokongan emosi anak istimewa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – CMD Solutions Sdn Bhd terus memperkukuh inovasi teknologi kebajikan kanak-kanak istimewa dengan pelancaran MYSpecialKid, sebuah peranti multisensori berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dan Realiti Maya (VR) yang direka khusus untuk menyokong keperluan murid autisme dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

Peranti berbentuk gogal VR ini bertindak sebagai alternatif yang lebih pintar, mudah alih dan berpatutan berbanding bilik multisensori fizikal yang lazimnya memerlukan ruang luas serta kos yang tinggi.

MYSpecialKid dibangunkan melalui kajian mendalam terhadap corak tingkah laku kanak-kanak autisme dan ADHD.

Dengan keupayaan AI yang terbina di dalamnya, peranti ini mampu mengenal pasti tahap tekanan atau kegelisahan kanak-kanak secara langsung.

Sistem berkenaan seterusnya mencadangkan rangsangan visual, audio atau elemen multisensori yang sesuai bagi menenangkan emosi mereka ketika berlaku tantrum atau ketidakstabilan emosi.

Selain itu, data yang direkodkan dapat membantu guru pendidikan khas, ahli terapi dan ibu bapa memahami keperluan setiap kanak-kanak dengan lebih baik, sekaligus memudahkan intervensi yang lebih berkesan.

CMD Solutions menzahirkan penghargaan kepada Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Technology Depository Agency (TDA)dan Prasarana Malaysia Bhdatas pembiayaan projek ini melalui geran Industrial Collaboration Programme(ICP).

Menurut syarikat itu, bantuan kerajaan melalui ICP membuka peluang besar untuk mencipta teknologi yang benar-benar memberi manfaat kepada komuniti pendidikan khas, khususnya dalam mengurangkan kebergantungan kepada bilik multisensori fizikal yang memerlukan kos pembinaan dan penyelenggaraan yang tinggi.

Pengasas CMD Solutions, Bryan Lew, berkata, idea pembinaan MYSpecialKid lahir daripada pengalaman peribadi pada tahun 2019 yang menyentuh hati beliau.

Keinsafan itu mendorong beliau untuk memanfaatkan teknologi sedia ada bagi menghasilkan penyelesaian yang mampu menyokong perkembangan emosi dan sensori kanak-kanak istimewa.

“Melalui sokongan ICP, projek ini berjaya direalisasikan dan fasa pertama kini lengkap dibangunkan,” katanya.

Fasa pertama MYSpecialKid dilancarkan pada awal Januari 2025 dalam satu majlis yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Taman Midah 2.

Dalam majlis itu, Kenneth Loh, pengasas bersama CMD Solutions, menyerahkan gogal VR AI MYSpecialKid kepada Guru Besar SK Taman Midah 2, Rosli Juhari.

Inisiatif ini adalah projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) CMD Solutions yang bertujuan memberi manfaat kepada lebih 100 murid pendidikan khas di sekitar Lembah Klang dan bukan bertujuan komersial.

Pelancaran berkenaan disempurnakan oleh Asdahrizam Alias, Pengurus ICP dari MRCB dan turut dihadiri oleh wakil-wakil MRCB serta TDA, selain murid-murid pendidikan khas SK Taman Midah 2 yang menjadi penerima manfaat utama program ini.

Pelancaran MYSpecialKid menandakan langkah penting dalam usaha merapatkan jurang teknologi dalam pendidikan khas, sekaligus menawarkan harapan baharu kepada kanak-kanak istimewa melalui penggunaan AI dan VR yang lebih inklusif, selamat dan berimpak positif.

MYLedger: Solusi perakaunan AI baharu mudahkan urus kewangan PKS

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – CMD Solutions Sdn Bhd memperkenalkan MYLedger, sebuah perisian perakaunan moden berasaskan Automasi dan Kecerdasan Buatan (AI) yang direka untuk meringankan beban kerja perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menyokong transformasi digital negara.

Projek inovatif ini memanfaatkan teknologi Optical Character Recognition (OCR) dan algoritma pembelajaran mendalam AI bagi menghapuskan sebahagian besar tugasan penyediaan data yang sebelum ini dilakukan secara manual.

Melalui keupayaan automasi yang canggih, MYLedger membolehkan penyediaan penyata kewangan, analisis serta nisbah kewangan dijana dalam masa beberapa saat.

Fungsi ini memberi kelebihan besar kepada pemilik perniagaan dan pengurus dalam membuat keputusan dengan lebih cepat, tepat dan berkualiti, sejajar dengan keperluan operasi moden yang semakin mencabar.

Pengasas CMD Solutions Sdn Bhd, Bryan Lew, berkata idea untuk membangunkan MYLedger mula tercetus ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika itu, beliau melihat perubahan ketara dalam landskap digital apabila golongan mikrousahawan mula menerima penggunaan e-dompet sebagai medium pembayaran utama.

Peralihan itu membuka ruang kepada penyelesaian perakaunan automasi yang lebih efektif dan inklusif, sekali gus menginspirasikan pembangunan MYLedger sebagai platform yang mampu memodenkan pengurusan kewangan PKS di Malaysia.

Pembangunan MYLedger turut mendapat sokongan penting melalui geran Program Kolaborasi Industri (ICP).

CMD Solutions Sdn Bhd menzahirkan penghargaan kepada Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Technology Depository Agency (TDA) dan Prasarana Malaysia Bhd atas pembiayaan yang membolehkan projek ini berkembang dengan lebih agresif.

Menurut syarikat itu, sokongan kerajaan memainkan peranan besar dalam memperkasa usaha penyelidikan dan pembangunan teknologi tempatan, khususnya bagi membantu syarikat seperti CMD Solutions membawa teknologi digital berasaskan AI ke peringkat lebih tinggi.

Majlis pelancaran modul automasi MYLedger berlangsung pada awal Januari 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pelancaran berkenaan disempurnakan oleh Mahathir Yunous, Pegawai Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Majlis turut dihadiri oleh Asdahrizam Alias, Pengurus ICP MRCB; Razlim Ahmad Rashid, Ketua Kerajaan Berkanun Prasarana Malaysia Berhad; Nursolehah Rosli, Pengurus Program di TDA; wakil-wakil dari MRCB dan TDA; serta para usahawan PKS.

Pelancaran MYLedger menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh ekosistem digital negara, khususnya dalam memudahkan operasi kewangan PKS dan memacu mereka ke era kecerdasan buatan yang semakin berkembang pesat.

Ary Hussin lancar single perdana ‘Luka Terpaling Dalam’ sentuhan Edrie Hashim

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dunia hiburan tempatan menerima kemunculan wajah baharu apabila bakat vokal media sosial, Ary Hussin, akhirnya tampil dengan single perdana berjudul Luka Terpaling Dalam, hasil sentuhan komposer legenda tanah air, Edrie Hashim.

Selepas lebih 20 tahun berusaha mencari ruang dalam industri arus perdana, kemunculan single ini menjadi detik bersejarah buat penyanyi yang mula dikenali melalui video nyanyiannya ketika bekerja di sebuah gerai burger.

Ary atau nama sebenarnya Muhammad Hadzri Hussin, 40, bukan lagi sekadar mendendangkan lagu orang lain di media sosial.

Kini, dengan sokongan padu A7 Empire (A7E), beliau melangkah masuk ke dunia profesional dengan sebuah karya asli yang mempamerkan kekuatan vokalnya dalam genre pop balada.

Pelancaran single terbabit turut disertakan dengan tayangan perdana muzik video rasmi yang diarahkan oleh Syazwan Zazlan dari A7 Entertainment.

Lebih istimewa, ini kali pertama Ary dan Edrie menyaksikan MV itu bersama tetamu dan wakil media yang hadir.

Menurut Edrie, Luka Terpaling Dalam dicipta khusus bagi menonjolkan identiti vokal Ary yang kaya dengan elemen Melayu dan nuansa klasik namun tetap segar untuk cita rasa muzik masa kini.

“Lagu ini berkisarkan emosi dan patah hati, tetapi disampaikan secara sinematik melalui susunan strings dan piano, menjadikannya sebuah balada kontemporari yang kuat,” katanya.

Bagi Ary sendiri, peluang bekerjasama dengan figura muzik yang menjadi idolanya sejak muda adalah satu penghormatan besar yang tidak pernah terlintas dalam hidupnya.

“Memiliki single sendiri adalah satu mimpi yang menjadi kenyataan, apatah lagi ia dihasilkan oleh legenda seperti Edrie Hashim. Saya bersyukur kerana bakat saya dinilai berkualiti dan layak diketengahkan,” katanya.

Mengulas harapannya, Ary berharap Luka Terpaling Dalam diterima peminat sebagai sebuah karya jujur yang menyentuh hati, selain menjadi batu loncatan dalam perjalanan profesionalnya sebagai artis rakaman pertama A7 Empire.

“Ini bukan sekadar lagu, tetapi permulaan baharu dalam hidup saya. Saya berharap karya ini mendapat tempat di hati pendengar,” katanya.

Single Luka Terpaling Dalam kini boleh didengarkan di semua platform digital dan stesen radio tempatan.

Baik Ary mahupun Edrie, kedua-duanya optimis bahawa karya ini mampu memperkayakan kepelbagaian muzik tempatan dan merancakkan pertumbuhan industri.

“Harapan kami agar Luka Terpaling Dalam diterima sebagai karya baharu yang memeriahkan industri muzik. Tanpa karya baharu, industri tidak dapat berkembang,” kata mereka.

Selain bergelar penyanyi, Ary yang turut menganggotai kumpulan rock “Band Penunggu” sejak 2017 kini membuka lembaran baharu dalam kerjaya muziknya selepas menerima kontrak rakaman sulung daripada A7 Empire awal tahun ini.

Pihak label mula meminati komitmen dan bakatnya sejak Ary menyertai program Gimme The Mic terbitan Astro pada tahun 2024.

Fendy Bakry hidupkan karya Usman Awang di pentas teater

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas sedekad mencorakkan perjalanan dalam industri hiburan tanah air, pelakon Fendy Bakry kini melangkah ke fasa baharu kerjayanya apabila buat pertama kali tampil sebagai penerbit teater melalui pementasan Purbawara: Matinya Seorang Pahlawan (MSP).

Naskhah agung karya Sasterawan Negara, Usman Awang itu dijadikan landasan Fendy untuk mengembangkan Persatuan Pembangunan Inisiatif Malaysia (NADIM), sekali gus menyumbang kepada pembangunan seni budaya tempatan.

Menurut Fendy, kecintaannya terhadap teater telah berputik sejak awal pembabitannya dalam seni, malah dunia teaterlah yang membentuk dirinya sebagai anak seni hingga ke hari ini.

Bagaimanapun, langkah baharu ini turut hadir bersama pelbagai cabaran yang tidak dijangka.

Fendy mengakui, antara perkara yang paling mencabar ialah memikirkan penerimaan dan kritikan penonton, terutamanya daripada mereka yang sudah lama berkecimpung dalam dunia teater.

“Saya akui takut berdepan kritikan, terutama daripada orang lama dalam teater. Tapi saya terima semua itu sebagai pengalaman dan panduan untuk jadi lebih baik selepas ini,” katanya.

Di sebalik pentas, cabaran yang lebih besar datang daripada aspek pengurusan dan persiapan teknikal.

Jelasnya, ramai yang hanya melihat hasil persembahan, namun tidak ramai yang menyedari beban kerja besar yang perlu ditanggung oleh pasukan produksi.

“Ini pengalaman pertama saya, jadi saya banyak belajar, bertanya dan membuat rujukan,” katanya.

Fendy, yang sebelum ini dikenali menerusi watak Mr. Grey, turut mengakui bahawa projek sulung sebagai penerbit ini menuntut pengorbanan besar dari segi masa, tenaga dan kewangan.

Namun segala penat lelah itu berbaloi kerana beliau mendapat sokongan kuat daripada keluarga.

“Saya percaya kalau kita buat sesuatu dengan ikhlas, Allah akan permudahkan,” katanya.

Bagi Fendy, MSP bukan sekadar sebuah pementasan teater, tetapi sebuah karya yang membawanya memahami erti kehilangan, kekuatan dan perjalanan hidup dari sudut yang lebih mendalam.

“Ia membentuk saya sebagai penerbit, sebagai artis dan sebagai manusia,” katanya.

Fendy juga berharap industri seni tempatan terus berkembang seiring perkembangan teknologi, namun tetap mengekalkan identiti warisan Melayu yang menjadi asas budaya negara.

“Saya ingin lihat lebih banyak pementasan yang merancakkan industri seni teater di Malaysia,” katanya.

Pementasan Purbawara: Matinya Seorang Pahlawan turut menerima kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKNWPKL) dengan sokongan MOTAC dan MaTic.

Beberapa rakan strategik seperti UPSI, WARDAH, Dinda.look, Firz Hafiz, TEGAS Broadcast Multimedia dan Kantin turut bersama menjayakan produksi ini.

Pihak produksi turut membuka peluang kolaborasi kepada mana-mana pihak yang berminat.

Dalam perkembangan lain, Fendy kini aktif membabitkan diri dalam bidang latihan industri untuk usahawan mikro dan golongan asnaf.

Beliau turut memberi bimbingan kepada kumpulan B40 dalam usaha membantu mereka menjana pendapatan sendiri.

Katanya, beberapa tawaran lain sudah diterima, namun komitmen terhadap latihan industri menyebabkan beliau menumpukan sepenuhnya kepada tanggungjawab itu sebelum memulakan projek seterusnya.

Dengan visi yang jelas dan komitmen yang tidak berbelah bahagi, langkah Fendy dalam menerbitkan MSP menjadi permulaan penting dalam perjalanan baharunya sebagai penerbit teater, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak karya seni yang bakal diangkat ke pentas pada masa hadapan.

Stacy kembali dengan “Mega Ching!” – Single energi baharu EDM hidupkan semula identiti ikoniknya

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Stacy kembali mencetus fenomena dalam industri muzik tempatan menerusi pelancaran single baharunya berjudul “Mega Ching!”, sebuah karya bersalut elemen muzik elektro ‘dance’ moden yang penuh tenaga serta menampilkan sisi kreatif penyanyi kelahiran Sabah itu.

Selepas beberapa tahun berehat daripada meriliskan karya solo, kehadirannya kali ini dianggap sebagai ‘comeback’ yang paling dinantikan peminat.

“Mega Ching!” adalah ciptaan sepenuhnya Stacy yang menggunakan nama pena Bunga Cantik, memperlihatkan kemampuan penyanyi ini bukan sahaja sebagai pemilik vokal bertenaga, tetapi juga seorang komposer yang bijak bermain dengan identiti artistiknya.

Lagu ini muncul sebagai simbol ekspresi diri, keyakinan dan jiwa penghibur yang telah lama sinonim dengan dirinya sejak mula dikenali sebagai Ratu Tari Malaysia.

Menurut Stacy, inspirasi utama “Mega Ching!” tercetus daripada personaliti dan karakter yang sering ditunjukkannya di atas pentas.

Katanya, watak ‘mega ching’ membawa maksud “Alamak! Terlebih sudah”, satu frasa yang cukup dekat dengan gaya bersahajanya sejak awal kerjaya.

Jelasnya, lagu itu menjadi medium untuk dirinya menyalurkan rasa gementar dan mengekalkan disiplin ketika menyanyi sambil menari.

“Semua orang ada cerita masing-masing. Lagu ini jambatan untuk meluahkan perasaan, dan bagi saya, apa pun situasinya, lebih mudah untuk saya labelkan sebagai ‘ching’ sahaja.

“Ia cara saya ‘move on’ supaya emosi tidak terperangkap terlalu lama, lebih-lebih lagi kerja ini memerlukan mental yang kuat,” katanya.

Stacy turut berkongsi proses pembikinan lagu ini berlangsung panjang dan sangat teliti.

“Ia sepatutnya dibawakan semasa konsert ‘Aku Stacy’ di Kota Kinabalu pada Jun lalu, tetapi saya memilih untuk tidak tergesa-gesa.

“Kami menukar melodi hampir dua hingga tiga kali sepanjang lima bulan rakaman,” katanya.

Sebagai seorang artis yang dikenali dengan persembahan penuh energi, Stacy mengakui “Mega Ching!” membawa kelainan ketara berbanding karya sebelumnya.

Lagu ini menampilkan eksperimen susunan muzik EDM ala K-pop yang sedang menjadi trend global, digabungkan dengan melodi dan lirik yang masih mengekalkan DNA muziknya.

Lebih menarik, buat pertama kali Stacy memasukkan elemen rap dengan dialek Sabah, menyerlahkan warna unik yang jarang diterokainya sebelum ini.

Mengulas tentang identiti muzik lagu itu, Stacy menggambarkan “Mega Ching!” sebagai karya yang ‘fun’, energetik dan menjadi ‘confidence booster’ kepada sesiapa yang mendengarnya.

Liriknya pula membawa tema persaingan sihat disertai sedikit sindiran manja, namun disampaikan dengan aura positif dan mesej motivasi, iaitu keyakinan diri dan keberanian untuk terus maju.

“Biarpun nak ‘mega ching’, tetaplah berpada-pada,” katanya sambil ketawa, menggambarkan sikap bersahaja yang digemari peminat.

Reaksi awal daripada pasukan produksi serta rakan-rakan terdekat juga sangat positif dan ramai menganggap Stacy telah kembali dengan identiti muzik yang dirindui.

“Alhamdulillah, mereka kata ‘Stacy is Back!’ mungkin kerana sudah lama mereka tidak mendengar genre yang biasa saya bawa dulu.

“Saya harap lagu ini mengubat rindu peminat yang setia mengikuti perjalanan seni saya,” katanya.

Dalam masa sama, Stacy mengesahkan “Mega Ching!” adalah sebahagian daripada projek lebih besar, iaitu album baharu yang kini dalam proses rakaman.

Lagu ini bakal dimuatkan dalam album berkenaan sebagai salah satu karya utama.

Mengenai video muziknya, Stacy sekadar memberikan jawapan ringkas, menyatakan ia sebagai sebuah “surprise” kepada peminat.

Single “Mega Ching!” terbitan Nova Music Malaysia boleh mula distrim di semua platform penstriman bermula 28 November 2025, manakala video lirik rasmi akan ditayangkan di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment pada hari yang sama jam 8 malam.

KLTRIC2025: 2,000 pelari antarabangsa tawan 1,608 anak tangga KL Tower

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Turkish Airlines Kuala Lumpur Tower Run International Challenge 2025 – Kejohanan Kebangsaan (KLTRIC2025) sekali lagi mencipta detik bersejarah buat negara apabila seramai 2,000 pelari dari 30 negara berjaya menamatkan cabaran mendaki 1,608 anak tangga Menara Kuala Lumpur.

Penganjuran tahun ini bukan sahaja menampilkan penyertaan terbesar sejak acara diperkenalkan, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi utama dalam kalender global sukan larian menara.

Acara berprestij ini menarik kehadiran atlet dari Jepun, China, Turki, Jerman, United Kingdom, Australia, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Amerika Syarikat.

Penglibatan pelari antarabangsa membuktikan bahawa Menara Kuala Lumpur terus menjadi tarikan ikonik serta hab sukan pelancongan yang semakin mendapat tempat di rantau Asia Tenggara.

Dengan mengetengahkan tema “Victory is Vertical”, KLTRIC2025 mempamerkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh pelancongan sukan, seiring persiapan menyambut Visit Malaysia 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Othman, menyifatkan penganjuran tahun ini sebagai satu pencapaian membanggakan buat negara.

Beliau berkata, Menara Kuala Lumpur kini bukan sahaja ikon seni bina tetapi telah berkembang menjadi gelanggang rasmi bagi sukan larian menara bertaraf dunia.

“Penyertaan pelari dari Asia, Eropah, Australia dan Amerika Syarikat membuktikan pengiktirafan tinggi atlet antarabangsa terhadap acara ini,” katanya.

Khairil berkata, KLTRIC2025 membuktikan kemampuan pelancongan sukan dalam menarik lebih ramai pelawat ke negara ini.

Beliau yakin jenama KLTRIC akan terus berkembang sebagai antara perlumbaan tangga paling berprestij di Asia.

Edisi 2025 turut dihiasi penyertaan atlet elit dunia termasuk pelari menara No. 1 Dunia Soh Wai Ching, serta pemegang Rekod Dunia Guinness Michele Tan Bee Kiang, bersama barisan atlet profesional antarabangsa yang bersaing untuk mengumpul mata ranking Towerrunning World Association (TWA).

KLTRIC2025 menawarkan hadiah keseluruhan RM80,000, menjadikannya antara kejohanan larian menara dengan tawaran hadiah terbesar di rantau ini.

Peserta berentap dalam kategori Elit, Terbuka, Veteran dan Remaja untuk merebut kedudukan terbaik.

Sebagai penghargaan terhadap ketahanan dan pencapaian luar biasa, 20 pelari terpantas setiap kategori menerima Official Finisher Jersey edisi eksklusif, simbol kejayaan membawa semangat “Victory is Vertical”.

Acara ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Belia & Sukan (KBS) dan Persatuan Towerrunning Malaysia (MTA), menjadikannya kejohanan kebangsaan rasmi bagi sukan larian menara di Malaysia.

Berbekalkan kejayaan edisi tahun ini, Menara Kuala Lumpur mengesahkan bahawa KLTRIC2026 akan dianjurkan pada 14 Jun 2026.

Pemilihan tarikh itu dirancang selaras dengan kempen Visit Malaysia 2026, dengan sasaran menarik penyertaan lebih ramai atlet antarabangsa serta mengukuhkan lagi reputasi Kuala Lumpur sebagai destinasi sukan aksi bertaraf dunia.

Penganjuran KLTRIC2025 diperkukuh melalui sokongan padu pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia & Sukan (KBS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tourism Malaysia, Rakan Muda, Jabatan BOMBA dan Persatuan Towerrunning Malaysia (MTA).

Turkish Airlines tampil sebagai penaja utama, manakala JomRun menyertai sebagai rakan strategik.

Acara ini turut mendapat sokongan puluhan penaja korporat daripada pelbagai industri seperti DEI Global, Spritzer, 100Plus, Adabi, Nestlé, The Coffee Bean & Tea Leaf, KL Hop On Hop Off, Himalaya Sports, rangkaian hotel terkemuka dan banyak lagi.

Keseluruhan sokongan ini memastikan penganjuran berjalan dengan selamat, lancar dan penuh tenaga, sekali gus memantapkan kedudukan Menara Kuala Lumpur sebagai lokasi utama sukan larian menara bertaraf dunia.

“Matlamat kami adalah untuk membangunkan KLTRIC sebagai salah satu perlumbaan larian menara terunggul di Asia dan seterusnya menjadi kejohanan bertaraf dunia.

“Sambutan luar biasa tahun ini membuktikan Malaysia sudah bersedia melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya.

Dengan penganjuran yang semakin matang dan sokongan global yang kian meningkat, KLTRIC2025 sekali lagi mengangkat nama Malaysia ke persada sukan antarabangsa menjadikan Menara Kuala Lumpur bukan sahaja mercu tanda negara, tetapi simbol kekuatan, ketahanan dan prestij dalam dunia towerrunning.