23.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, February 10, 2026

Fendy Bakry hidupkan karya Usman Awang di pentas teater

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas sedekad mencorakkan perjalanan dalam industri hiburan tanah air, pelakon Fendy Bakry kini melangkah ke fasa baharu kerjayanya apabila buat pertama kali tampil sebagai penerbit teater melalui pementasan Purbawara: Matinya Seorang Pahlawan (MSP).

Naskhah agung karya Sasterawan Negara, Usman Awang itu dijadikan landasan Fendy untuk mengembangkan Persatuan Pembangunan Inisiatif Malaysia (NADIM), sekali gus menyumbang kepada pembangunan seni budaya tempatan.

Menurut Fendy, kecintaannya terhadap teater telah berputik sejak awal pembabitannya dalam seni, malah dunia teaterlah yang membentuk dirinya sebagai anak seni hingga ke hari ini.

Bagaimanapun, langkah baharu ini turut hadir bersama pelbagai cabaran yang tidak dijangka.

Fendy mengakui, antara perkara yang paling mencabar ialah memikirkan penerimaan dan kritikan penonton, terutamanya daripada mereka yang sudah lama berkecimpung dalam dunia teater.

“Saya akui takut berdepan kritikan, terutama daripada orang lama dalam teater. Tapi saya terima semua itu sebagai pengalaman dan panduan untuk jadi lebih baik selepas ini,” katanya.

Di sebalik pentas, cabaran yang lebih besar datang daripada aspek pengurusan dan persiapan teknikal.

Jelasnya, ramai yang hanya melihat hasil persembahan, namun tidak ramai yang menyedari beban kerja besar yang perlu ditanggung oleh pasukan produksi.

“Ini pengalaman pertama saya, jadi saya banyak belajar, bertanya dan membuat rujukan,” katanya.

Fendy, yang sebelum ini dikenali menerusi watak Mr. Grey, turut mengakui bahawa projek sulung sebagai penerbit ini menuntut pengorbanan besar dari segi masa, tenaga dan kewangan.

Namun segala penat lelah itu berbaloi kerana beliau mendapat sokongan kuat daripada keluarga.

“Saya percaya kalau kita buat sesuatu dengan ikhlas, Allah akan permudahkan,” katanya.

Bagi Fendy, MSP bukan sekadar sebuah pementasan teater, tetapi sebuah karya yang membawanya memahami erti kehilangan, kekuatan dan perjalanan hidup dari sudut yang lebih mendalam.

“Ia membentuk saya sebagai penerbit, sebagai artis dan sebagai manusia,” katanya.

Fendy juga berharap industri seni tempatan terus berkembang seiring perkembangan teknologi, namun tetap mengekalkan identiti warisan Melayu yang menjadi asas budaya negara.

“Saya ingin lihat lebih banyak pementasan yang merancakkan industri seni teater di Malaysia,” katanya.

Pementasan Purbawara: Matinya Seorang Pahlawan turut menerima kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKNWPKL) dengan sokongan MOTAC dan MaTic.

Beberapa rakan strategik seperti UPSI, WARDAH, Dinda.look, Firz Hafiz, TEGAS Broadcast Multimedia dan Kantin turut bersama menjayakan produksi ini.

Pihak produksi turut membuka peluang kolaborasi kepada mana-mana pihak yang berminat.

Dalam perkembangan lain, Fendy kini aktif membabitkan diri dalam bidang latihan industri untuk usahawan mikro dan golongan asnaf.

Beliau turut memberi bimbingan kepada kumpulan B40 dalam usaha membantu mereka menjana pendapatan sendiri.

Katanya, beberapa tawaran lain sudah diterima, namun komitmen terhadap latihan industri menyebabkan beliau menumpukan sepenuhnya kepada tanggungjawab itu sebelum memulakan projek seterusnya.

Dengan visi yang jelas dan komitmen yang tidak berbelah bahagi, langkah Fendy dalam menerbitkan MSP menjadi permulaan penting dalam perjalanan baharunya sebagai penerbit teater, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak karya seni yang bakal diangkat ke pentas pada masa hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular