27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

Ary Hussin lancar single perdana ‘Luka Terpaling Dalam’ sentuhan Edrie Hashim

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dunia hiburan tempatan menerima kemunculan wajah baharu apabila bakat vokal media sosial, Ary Hussin, akhirnya tampil dengan single perdana berjudul Luka Terpaling Dalam, hasil sentuhan komposer legenda tanah air, Edrie Hashim.

Selepas lebih 20 tahun berusaha mencari ruang dalam industri arus perdana, kemunculan single ini menjadi detik bersejarah buat penyanyi yang mula dikenali melalui video nyanyiannya ketika bekerja di sebuah gerai burger.

Ary atau nama sebenarnya Muhammad Hadzri Hussin, 40, bukan lagi sekadar mendendangkan lagu orang lain di media sosial.

Kini, dengan sokongan padu A7 Empire (A7E), beliau melangkah masuk ke dunia profesional dengan sebuah karya asli yang mempamerkan kekuatan vokalnya dalam genre pop balada.

Pelancaran single terbabit turut disertakan dengan tayangan perdana muzik video rasmi yang diarahkan oleh Syazwan Zazlan dari A7 Entertainment.

Lebih istimewa, ini kali pertama Ary dan Edrie menyaksikan MV itu bersama tetamu dan wakil media yang hadir.

Menurut Edrie, Luka Terpaling Dalam dicipta khusus bagi menonjolkan identiti vokal Ary yang kaya dengan elemen Melayu dan nuansa klasik namun tetap segar untuk cita rasa muzik masa kini.

“Lagu ini berkisarkan emosi dan patah hati, tetapi disampaikan secara sinematik melalui susunan strings dan piano, menjadikannya sebuah balada kontemporari yang kuat,” katanya.

Bagi Ary sendiri, peluang bekerjasama dengan figura muzik yang menjadi idolanya sejak muda adalah satu penghormatan besar yang tidak pernah terlintas dalam hidupnya.

“Memiliki single sendiri adalah satu mimpi yang menjadi kenyataan, apatah lagi ia dihasilkan oleh legenda seperti Edrie Hashim. Saya bersyukur kerana bakat saya dinilai berkualiti dan layak diketengahkan,” katanya.

Mengulas harapannya, Ary berharap Luka Terpaling Dalam diterima peminat sebagai sebuah karya jujur yang menyentuh hati, selain menjadi batu loncatan dalam perjalanan profesionalnya sebagai artis rakaman pertama A7 Empire.

“Ini bukan sekadar lagu, tetapi permulaan baharu dalam hidup saya. Saya berharap karya ini mendapat tempat di hati pendengar,” katanya.

Single Luka Terpaling Dalam kini boleh didengarkan di semua platform digital dan stesen radio tempatan.

Baik Ary mahupun Edrie, kedua-duanya optimis bahawa karya ini mampu memperkayakan kepelbagaian muzik tempatan dan merancakkan pertumbuhan industri.

“Harapan kami agar Luka Terpaling Dalam diterima sebagai karya baharu yang memeriahkan industri muzik. Tanpa karya baharu, industri tidak dapat berkembang,” kata mereka.

Selain bergelar penyanyi, Ary yang turut menganggotai kumpulan rock “Band Penunggu” sejak 2017 kini membuka lembaran baharu dalam kerjaya muziknya selepas menerima kontrak rakaman sulung daripada A7 Empire awal tahun ini.

Pihak label mula meminati komitmen dan bakatnya sejak Ary menyertai program Gimme The Mic terbitan Astro pada tahun 2024.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular