editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Industri pemasaran digital negara melangkah ke fasa baharu apabila KNKV Group Sdn. Bhd. mengumumkan kerjasama strategik sebagai TikTok Affiliate Partner, bersama barisan rakan industri utama bagi memperkukuh ekosistem pengiklanan, data dan kecerdasan buatan (AI) dalam negara.
Langkah ini disifatkan sebagai pemangkin penting dalam mempercepatkan pertumbuhan digital Malaysia dan meningkatkan daya saing perniagaan tempatan di platform media sosial paling pesat berkembang itu.
Group CEO KNKV Group Sdn. Bhd., Prof. (Adj.) Hj Adam Richman, berkata pemasaran masa kini tidak lagi bergantung pada kaedah tradisional, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi strategi pengiklanan yang boleh dibuktikan keberkesanannya melalui jualan yang konsisten, terukur dan berskala besar.

Beliau berkata, analisis pihaknya terhadap jenama yang berjaya mencatat jualan ratusan ribu ringgit sebulan di TikTok Shop menunjukkan satu kesimpulan utama kejayaan hanya dicapai apabila sesuatu jenama menguasai keseluruhan ekosistem TikTok.
“Elemen seperti User-Generated Content (UGC), micro influencers, pengaktifan TikTok Live secara harian serta penghasilan kandungan berasaskan AI dalam jumlah tinggi adalah faktor dominan yang mencipta kekuatan ekosistem pengiklanan saling bergantung atau TikTok Interdependent Advertising Strategy.
“Formula ini memberi impak berganda kerana setiap elemen saling menyokong antara satu sama lain dan mendorong lonjakan trafik serta jualan,” katanya pada majlis pelancaran Digital & AI Business War 2026 yang dirasmikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Dalam forum industri yang dianjurkan, KNKV Group turut berkongsi dapatan eksklusif termasuk bagaimana sehingga 50 peratus jualan jenama sebenarnya datang daripada ejen Affiliate, bagaimana jenama terbaik menghasilkan ratusan hingga ratusan konten sebulan bagi mengekalkan kelebihan algoritma, serta peranan sekurang-kurangnya 20 peratus ejen Affiliate yang melakukan TikTok Live setiap hari bagi menjana jualan masa nyata.
Tiga elemen ini dikatakan sebagai faktor pembeza utama antara jenama yang berkembang pesat dan jenama yang masih bergelut di platform tersebut.
Prof. Adam berkata strategi KNKV Group direka bukan hanya untuk menghasilkan iklan tetapi untuk membantu jenama menguasai keseluruhan ekosistem TikTok dari penciptaan UGC, penglibatan micro influencers, pengendalian TikTok Live, hinggalah penggunaan teknologi AI bagi meningkatkan kadar penukaran video kepada jualan

“Melalui pendekatan agresif berfokuskan data ini, syarikat menyasarkan penciptaan RM100 juta jualan tambahan untuk pelanggan mereka, sasaran yang disifatkan sebagai realistik berdasarkan potensi sebenar apabila pencipta kandungan, data dan iklan digabungkan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakan strategik yang menjayakan program Business War 2026, termasuk Muslim Insiders Chamber of Commerce, CTOS Data Systems, Dynads Academy, Droplets of Mercy Malaysia serta Universiti Malaysia Kelantan, yang masing-masing menyumbang kepakaran dalam strategi, data, pendidikan dan impak sosial.
Katanya, kerjasama ini, membuktikan bahawa ekosistem digital hanya dapat berkembang melalui sinergi industri, akademia dan komuniti.

Sementara itu, Patron Muslim Insiders Chamber of Commerce, Datuk Seri Dr. Zurainah, turut menyifatkan kerjasama ini sebagai permulaan era digital baharu untuk Malaysia.
Menurut beliau, perniagaan kini tidak lagi boleh bergantung kepada pemasaran tradisional, sebaliknya perlu menguasai ekosistem digital secara menyeluruh bermula daripada penghasilan kandungan, mencipta trafik sehinggalah menukar perhatian pengguna kepada jualan yang sebenar.
“Kajian TikTok Shop menunjukkan tiga formula kejayaan yang konsisten: memiliki pasukan Affiliate Agents yang menyumbang sehingga 50 peratus jualan, menghasilkan volume konten yang tinggi setiap bulan, serta menjalankan TikTok Live secara konsisten dengan penglibatan harian ejen Affiliate.
“Kombinasi elemen-elemen ini, bersama strategi AI, menjadikan KNKV Group antara syarikat yang mampu memimpin perniagaan untuk mendominasi arena pemasaran digital,” katanya.

Dr. Zurainah berkata, dengan sokongan data dan AI daripada rakan strategik seperti CTOS, pemilik perniagaan kini dapat membuat keputusan eksekutif berdasarkan analisis sebenar dan bukannya andaian.
“Kesemua ini melengkapkan visi KNKV Group dalam membina ekosistem pengiklanan yang agresif, berasaskan data pintar serta dipacu kecerdasan buatan.
“Business War 2026 bukan sekadar forum, tetapi simulasi strategi dunia sebenar untuk membantu pengasas menangi trafik, naratif, pengguna dan akhirnya jualan,” katanya.
Pelancaran dan kerjasama ini menandakan satu langkah besar dalam memacu pertumbuhan digital Malaysia, sekali gus membuka ruang kepada perniagaan tempatan untuk bukan sekadar bertahan, tetapi mendominasi era ekonomi digital yang semakin pesat.

