29.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 36

Sidah Catering perkenal pakej kahwin lengkap bermula RM45,000 di MATRADE Hall KL

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sidah Group melalui dua anak syarikatnya, S Creative Solutions dan Sidah Catering, buat julung kalinya menganjurkan Wedding Showcase di MATRADE Hall KL.

Walaupun pernah menganjurkan dua edisi sebelum ini, penganjuran tahun ini mencatat sejarah tersendiri apabila ia dijalankan secara solo di lokasi baharu itu, sekaligus membuka ruang lebih luas kepada bakal pengantin untuk merasai pengalaman perkahwinan eksklusif di salah satu dewan acara yang semakin mendapat perhatian di ibu kota.

Ketua Pegawai Operasi Sidah Catering, Siti Hajar Mohd Anuar berkata, fokus mereka lebih kepada kawasan sekitar Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan, selain bersedia menerima tempahan berskala besar sekiranya memenuhi kapasiti yang ditetapkan.

“Pemilihan MATRADE KL bukan sahaja kerana terkenal sebagai lokasi pilihan syarikat korporat, tetapi juga destinasi yang semakin menerima sambutan bagi majlis perkahwinan setiap hujung minggu.

“Struktur dan konsep dewan yang moden sering memberi tanggapan sebagai ruang khusus acara korporat, namun kami mahu ia juga menjadi idea untuk majlis perkahwinan, acara persendirian, persidangan dan pelbagai jenis majlis sosial, ” katanya.

Siti Hajar berkata, kelebihan utama Sidah Catering berbanding penyedia lain adalah semua perkhidmatan disediakan secara menyeluruh di bawah satu bumbung “All Under One Roof”.

“Melalui S Creative Solutions, pelanggan boleh mendapatkan khidmat perancangan acara lengkap termasuk dekorasi, pencahayaan (lighting), produksi, susun atur dewan dan pelaksanaan majlis dari awal hingga akhir (A to Z).

“Pendekatan ‘one-stop centre’ ini menjadi faktor utama ramai pelanggan memilih kami kerana tidak perlu berurusan dengan banyak vendor berasingan, ” katanya.

Sempena Wedding Showcase di MATRADE Hall KL, Sidah Catering memperkenalkan pakej perkahwinan lengkap serendah RM45,000 untuk 1,000 tetamu, termasuk fotografi, juruvideo, pengacara majlis, hidangan katering serta penggunaan dewan.

Harga istimewa itu adalah tawaran promosi khusus sepanjang acara berlangsung.

Syarikat itu mensasarkan sekurang-kurangnya 25 pasangan untuk menempah pakej berkenaan, dengan nilai keseluruhan sasaran mencecah RM1 juta bagi tempoh 2026 dan tahun-tahun akan datang.

Bagi memeriahkan lagi showcase, penganjur turut menyediakan Grand Lucky Draw bagi pelanggan yang menempah pakej minimum RM50,000.

Pemenang akan menerima hadiah percutian ke Bali selama tiga hari dua malam untuk dua orang.

Selain itu, mereka yang membuat tempahan pada hari acara dengan bayaran serendah RM1,000 berpeluang menyertai Lucky Spin yang menawarkan pelbagai hadiah peralatan elektrik untuk dibawa pulang.

Siti Hajar berharap, penganjuran kali ini meningkatkan kesedaran umum bahawa MATRADE Hall KL bukan hanya untuk acara korporat, tetapi juga menjadi lokasi ideal untuk majlis perkahwinan dan pelbagai acara sosial yang lain.

Dengan kemudahan lengkap termasuk ruang parkir khas serta kadar flat rate untuk tetamu, Sidah Catering yakin MATRADE Hall KL akan terus menjadi pilihan pasangan pengantin yang mengutamakan kemudahan, kecantikan ruang dan perkhidmatan serba lengkap.

Persembahan tari Lantera Seni raih sambutan luar biasa sempena 10 tahun

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan seni tari, Lantera Seni, meraikan perjalanan 10 tahun mereka dalam dunia seni persembahan melalui pementasan istimewa berjudul “Lantera Seni: 10 Tahun Bertapak” yang berlangsung selama dua malam dengan sambutan penonton yang luar biasa sehingga tiket terjual habis.

Acara yang dianjurkan oleh Hidayah Rosli dari Seni Production bersama koreografer utama, Muhammad Syazwan atau lebih dikenali sebagai Awan Luziza, itu menjadi pentas ulang tahun yang mengimbau kembali karya-karya tarian terbaik kumpulan berkenaan sepanjang sedekad.

Lebih istimewa, persembahan ini turut memberi peluang kepada ahli keluarga setiap penari untuk menyaksikan semula karya yang pernah meraih kejayaan besar di pentas pertandingan.

Seramai 47 penari terbabit dalam persembahan ini, merangkumi kategori junior, remaja hingga dewasa yang terdiri daripada alumni Lantera Seni.

Kesemua mereka dihimpunkan semula istimewa bagi menjayakan pementasan bersejarah ini.

Persembahan selama 1 jam 40 minit itu dibahagikan kepada tiga segmen utama iaitu tradisi, kreatif dan kreasi, yang menampilkan kepelbagaian gaya serta identiti budaya Malaysia.

Segmen Tradisi mempersembahkan tarian Melayu klasik seperti Zapin, Inang, Asli dan Joget, manakala segmen Kreatif mengetengahkan karya seperti tarian kreatif Sabah.

Segmen Kreasi pula mempersembahkan tarian berunsur budaya India, sekaligus menonjolkan kepelbagaian etnik serta keunikan Malaysia.

Setiap segmen berlangsung sekitar 24 minit, disulami persembahan tambahan termasuk nyanyian istimewa.

Menurut Syazwan, ini adalah kali pertama Lantera Seni menggabungkan ketiga-tiga segmen berkenaan dalam satu pementasan penuh langkah baharu yang mencabar namun dianggap signifikan sebagai simbol kematangan kumpulan itu dalam seni tari.

Penganjuran acara selama dua hari itu menelan belanja kira-kira RM150,000, yang dibiayai melalui dana khas, sokongan penaja serta sumbangan alumni.

Persembahan turut diserikan dengan kehadiran artis jemputan, Roger Kajo, yang terkenal dengan lagu-lagu berunsur Zapin dan Ghazal.

Dengan kapasiti penuh 340 penonton setiap malam, acara ini dihadiri lebih 600 pengunjung sepanjang dua hari pementasan, sekali gus membuktikan sokongan masyarakat terhadap seni persembahan tempatan masih utuh.

Mengulas perancangan masa depan, penganjur berharap konsep persembahan sedemikian dapat diteruskan pada skala lebih besar, termasuk kemungkinan dibawa ke negeri-negeri lain seperti wilayah Timur atau Utara sekiranya mendapat sambutan dan sokongan yang mencukupi.

Lantera Seni berharap aspirasi utama mereka adalah untuk terus memartabatkan seni budaya negara agar dapat dinikmati oleh generasi muda dan tua, seterusnya memastikan seni klasik yang semakin sukar ditemui tidak terus hilang ditelan masa.

Pullman Kuching nyalakan pokok Krismas 2025, umum kerjasama bersama Kuching Autistic Association

editormaxinfo@gmail.com

KUCHING – Suasana meriah memenuhi ruang lobi baharu Pullman Kuching apabila hotel ikonik itu menganjurkan majlis tahunan Christmas Tree Light Up, sebuah tradisi yang sentiasa dinanti warga setempat.

Acara itu menghimpunkan hampir 200 tetamu khas, termasuk wakil komuniti, rakan korporat, media dan barisan pempengaruh tempatan untuk meraikan permulaan musim perayaan.

Majlis penyalaan pokok Krismas tahun ini membawa makna lebih mendalam apabila Pullman Kuching turut melancarkan kempen Diversity, Equality & Inclusivity (DEI) Krismas dengan kerjasama Kuching Autistic Association (KAA).

Usaha ini memberi peluang kepada kanak-kanak dan keluarga dari KAA untuk turut serta dalam sambutan penuh keceriaan, sekaligus mengukuhkan mesej tentang kepelbagaian, empati dan keterangkuman.

Lobi hotel yang baru direnovasi itu tampil dengan konsep lebih terbuka dan mesra komuniti, direka untuk menghubungkan tetamu melalui ruang yang selesa dan inspiratif dan majlis malam itu membuktikan sepenuhnya visi tersebut apabila ia dipenuhi gelak tawa, muzik dan suasana hangat.

Sambutan Bertunjangkan Semangat Komuniti dan Empati

Pengurus Besar Pullman Kuching, Sunardi Song, menyifatkan majlis itu sebagai simbol perpaduan yang sejati, lebih daripada sekadar acara perayaan.

“Hospitaliti pada asasnya adalah tentang manusia tentang komuniti dan rasa peduli.

“Krismas di Pullman Kuching bukan sekadar hiasan dan cahaya, tetapi tentang kebersamaan dan pengalaman yang dikongsi. Tahun ini, semangat itu dirasakan dengan lebih mendalam,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran kerjasama bersama KAA adalah saat bermakna buat hotel berkenaan, yang komited kepada nilai kepelbagaian, kesamarataan dan keterangkuman.

“Kami amat berbesar hati meraikan KAA bersama kami malam ini.

“Mereka ialah organisasi yang berdedikasi membimbing kanak-kanak autistik untuk mencapai potensi penuh dan hidup berdikari. Kerjasama ini sangat dekat di hati kami,” katanya.

Sepanjang malam, tetamu menikmati persembahan muzik Krismas sambil melihat paparan karya seni dan barangan perayaan hasil ciptaan kanak-kanak KAA.

Lobi hotel bertukar menjadi ruang kreatif penuh warna yang mempamerkan bakat dan perspektif anak-anak istimewa itu.

Inisiatif Perayaan Untuk Menyokong KAA

Sebagai sebahagian daripada komitmen DEI, Pullman Kuching memperkenalkan dua inisiatif khas untuk membantu KAA iaitu, sebaha­gian hasil daripada Christmas Eve Buffet Dinner disalurkan terus kepada program pendidikan dan pembangunan kanak-kanak autistik di bawah KAA.

Manakala, hotel memperkenalkan KAA Merchandise Corner sudut khas mempamerkan barangan dan karya seni kanak-kanak KAA, dengan 100 peratus hasil jualan disumbangkan kepada organisasi terbabit.

Sementara itu, Setiausaha KAA, Duane Reggie, menyifatkan inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran, tetapi juga membuka ruang kepada masyarakat memahami dunia melalui perspektif anak-anak autistik.

“Ramai antara mereka menzahirkan emosi melalui kreativiti warna, tekstur dan perincian kecil.

“Apabila karya mereka dipamerkan di Pullman Kuching, ia memberi ruang kepada keluarga berkongsi cerita dan pada masa yang sama, membantu orang lain memahami cara anak-anak ini berkomunikasi,” katanya.

Kerjasama Pullman Kuching dan KAA ini juga selari dengan tradisi hotel itu menyokong komuniti setempat, termasuk usaha jangka panjang mereka melalui Penan Women Project, yang menyokong wanita Penan sambil memelihara seni anyaman tradisional Sarawak.

Nikmati Hidangan Perayaan di Restoran Culina

Sebagai melengkapi sambutan, Pullman Kuching mengalu-alukan tetamu menikmati pelbagai hidangan perayaan di Culina Restaurant, yang kini tampil dengan wajah baharu serta menonjolkan kehangatan hospitaliti Sarawak.

Bufet malam Krismas menawarkan pelbagai hidangan klasik seperti ayam belanda panggang dan seleksi manisan perayaan.

Sementara itu, sambutan malam Tahun Baharu mengetengahkan gabungan rasa Pan-Asia, makanan laut segar serta hidangan unik Sarawak yang dijangka memukau selera pengunjung.

Dengan acara penuh makna ini, Pullman Kuching bukan sahaja menandakan bermulanya musim perayaan, tetapi turut menyerlahkan komitmennya terhadap komuniti setempat, kepelbagaian dan keterangkuman menjadikan Krismas 2025 satu sambutan yang lebih hangat, penuh empati dan berjiwa.

Konsert For You: Nourul – Persembahan 30 tahun karier Nourul Depp di Zepp KL April 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri muzik tanah air bakal diserikan dengan sebuah persembahan eksklusif apabila Rong Geng Entertainment mengumumkan penganjuran Konsert “For You: Nourul”, sebuah acara istimewa bagi menghargai perjalanan seni dan ketekunan penyanyi bervokal besar, Nourul Depp, yang sudah tiga dekad mewarnai dunia hiburan Malaysia.

Konsert berskala eksklusif ini dijadualkan berlangsung pada 17 April 2026, bertempat di Zepp Kuala Lumpur pada jam 8 malam dan dijangka menghimpunkan lebih 1,500 peminat setia, rakan industri, media, influencer dan komuniti kreatif tempatan.

Dengan sentuhan produksi pentas moden, susunan muzik kontemporari dan elemen visual premium, penganjur menjanjikan pengalaman konsert yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyelusuri perjalanan seni penuh warna dan evolusi muzik Nourul sepanjang 30 tahun berkarya.

Konsert “For You: Nourul” disifatkan sebagai sebuah persembahan introspektif yang membawa penonton menyelami transformasi kerjaya penyanyi itu bermula daripada era kegemilangan lagu-lagu hit 90-an, sehinggalah ke karya moden yang mempamerkan kematangan vokal serta identiti muziknya.

Selain persembahan penuh energi, konsert ini bakal memuatkan segmen akustik “intimate storytelling”, kolaborasi bersama pemuzik profesional tempatan serta tribut visual yang menyorot pencapaian dan perjalanan gemilang beliau sepanjang lebih tiga dekad.

Bagi Nourul Depp, kesempatan untuk tampil dengan konsert solo berskala besar ini adalah satu momen penuh makna dan sangat emosional.

“Ini adalah antara impian saya yang lama tertangguh. Akhirnya, saya dapat memberikan sebuah persembahan yang benar-benar mencerminkan siapa saya sebagai seorang penyanyi, wanita dan insan.

“Saya berjanji untuk memberi sepenuh hati, tenaga dan jiwa kepada penonton kerana merekalah yang menjadikan 30 tahun perjalanan saya ini begitu bermakna,” katanya.

Nourul turut menyifatkan konsert berkenaan sebagai persembahan paling jujur dan paling peribadi dalam kerjayanya, dengan harapan ia bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi inspirasi kepada para penonton.

Sementara itu, Pengarah Rong Geng Entertainment, Muhammad Fared Kuswadinata, berkata konsert ini adalah penghargaan buat peminat dan seluruh rakyat Malaysia yang terus menyokong perjalanan seni Nourul selama lebih 30 tahun.

“Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi sebuah perayaan kehidupan, ketabahan dan evolusi seni yang membentuk identiti Nourul pada hari ini.

“Kami mahu penonton merasai seluruh perjalanan itu — secara visual, emosi dan muzik,” katanya.

Tiket Konsert For You: Nourul kini boleh dibeli melalui platform rasmi ticket2u.

Harga tiket bermula daripada:

  • RM105 (Gold)
  • RM155 (Diamond)
  • RM255 (Platinum)
  • RM355 (VIP)

Durian King TTDI kembali beroperasi selepas 14 bulan, Sedia sambut pelanggan dengan pelbagai pembaharuan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas lebih 14 bulan ditutup susulan salah faham berkaitan lesen perniagaan, Durian King TTDI akhirnya kembali beroperasi, sekali gus mengubat rindu peminat durian di Lembah Klang yang menjadikan gerai ini destinasi pilihan sejak 2015.

Sepanjang tempoh penutupan, pelbagai persoalan timbul dalam kalangan pelanggan setia yang tertanya-tanya tentang status operasi Durian King TTDI.

Menurut pengurusan, isu lesen yang berbangkit ketika itu berpunca daripada salah faham antara pihak berkuasa dan pihak Durian King.

Melalui proses rayuan yang membabitkan Pejabat Ahli Parlimen Segambut, Datuk Bandar Kuala Lumpur serta sokongan padu daripada Menteri Pertanian, operasi akhirnya diluluskan semula.

Pemiliknya, Erik Ong, melahirkan rasa syukur atas kelulusan itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu, termasuk Menteri Wilayah Persekutuan serta Persatuan Penduduk TTDI yang terus memberi sokongan sehingga pembukaan semula berjaya direalisasikan.

Pembukaan semula ini turut membawa beberapa pembaharuan yang pasti menggembirakan peminat durian.

Antara daya tarikannya ialah hidangan Durian Cendol yang terkenal sebagai antara yang terbaik di Lembah Klang, dengan saiz hidangan besar dan rasa durian premium yang menjadi identiti Durian King sejak hampir sedekad lalu.

Gerai yang dianggap “lokasi legenda” sejak 2015 itu kekal sebagai tempat tumpuan keluarga, rakan-rakan dan pencinta durian yang ingin menikmati suasana santai.

Durian segar didatangkan terus setiap hari, termasuk bekalan dari ladang seluas 95 ekar di Rawang (Selangor Fruit Valley), merangkumi varieti premium seperti Musang King dan Black Thorn.

Durian King juga terus menerima kerjasama erat kerajaan Negeri Selangor yang komited menjadikan negeri itu sebagai hab pengeluaran durian utama.

Integriti dan ketelusan turut menjadi tunjang operasi Durian King, yang sejak mula menekankan latihan kakitangan berasaskan amanah dan kepuasan pelanggan.

Tahun 2025 menandakan ulang tahun ke-10 perjalanan perniagaan itu yang bermula dalam industri pengurusan acara sebelum berkembang ke bidang pertanian dan durian.

Dalam mendukung dasar DBKL yang melarang pekerja asing menjual durian sejak 2020, Durian King TTDI membuka peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan dan lepasan SPM, sekali gus membantu menyediakan kerjaya baharu bagi golongan belia.

Pembukaan semula ini juga membawa misi penting untuk menyokong petani tempatan, terutama ketika industri durian berdepan lambakan hasil serta kesan banjir.

Dengan harga durian yang kini lebih rendah, Durian King berharap permintaan akan meningkat dan membantu mengurangkan tekanan yang ditanggung para pekebun.

Durian King TTDI mengalu-alukan kembali kehadiran pelanggan lama dan baharu bagi menikmati suasana meriah serta pilihan durian terbaik pada harga berpatutan.

Pembukaan semula ini bukan sahaja menandakan permulaan baharu bagi Durian King, tetapi juga simbol sokongan komuniti terhadap industri durian tempatan.

Cik Pia tuntut jaminan kos RM75,000 susulan saman fitnah selebriti

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pempengaruh popular, Norsufia Johari, atau lebih dikenali sebagai Cik Pia, memfailkan permohonan jaminan kos sebanyak RM75,000 terhadap pasangan selebriti Azlan Komeng dan Nur Nilam Ortiz susulan saman fitnah yang difailkan terhadapnya.

Peguam yang mewakili Cik Pia, Datuk Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates, berkata permohonan terbabit difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi melindungi kepentingan anak guamnya.

Permohonan ini dibuat memandangkan Nur Nilam sebagai plaintif pertama adalah warganegara Thailand yang boleh meninggalkan negara pada bila-bila masa, manakala Azlan sebagai plaintif kedua telah diisytiharkan bankrap.

“Kes ini membabitkan dua plaintif terhadap defendan, iaitu Norhaslinda Abdullah (Nur Nilam) dan Mohd Azlan Kamiran (Azlan) berhubung beberapa isu termasuk kerjasama perniagaan, penjualan produk, kenyataan di media sosial serta isu reputasi perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, permohonan untuk jaminan kos ini difailkan pada Disember 2025, dengan sasaran agar plaintif diarahkan membayar jumlah terbabit dalam tempoh ditetapkan oleh mahkamah.

Selain itu, peguam itu turut memfailkan permohonan bagi membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan plaintif kedua, dengan afidavit sokongan yang menegaskan bahawa plaintif kedua memfailkan tindakan mahkamah ketika masih berstatus ‘undischarged bankrupt’ tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Insolvensi.

Kes saman fitnah ini dijadualkan untuk mula dibicarakan pada 13 dan 14 Jun 2026 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Tindakan saman asal difailkan pada Ogos lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas Cik Pia didakwa mengeluarkan kenyataan di media sosial yang dikatakan bersifat fitnah dan provokatif.

Menurut dokumen mahkamah, kenyataan yang dibuat Cik Pia didakwa mengandungi unsur fitnah, tuduhan melampau, provokasi, manipulasi serta buli siber, yang menyebabkan Nur Nilam mengalami tekanan emosi, terutamanya dalam keadaan hamil.

Pada 7 November lalu, mahkamah telah mengeluarkan perintah injunksi inter partes terhadap Cik Pia berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah, setelah meneliti hujahan dan dokumen yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Kes ini menjadi perhatian ramai kerana membabitkan individu terkenal dalam industri hiburan dan media sosial, selain menekankan isu tanggungjawab digital, fitnah dalam talian dan hak individu dalam media sosial.

Usanita perkasa wanita asnaf melalui program baharu ‘Affiliate Wanita Berjaya’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usanita Sdn Bhd terus memperkukuh usaha pembangunan ekonomi wanita apabila melancarkan Program Usanita: Affiliate Wanita Berjaya, sebuah inisiatif keusahawanan digital yang dikhususkan untuk wanita asnaf di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Program ini, yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik Maybank Islamic, memberi peluang kepada peserta menjana pendapatan secara dalam talian tanpa perlu mengeluarkan modal.

Inisiatif terbabit menyasarkan suri rumah, wanita tidak bekerja dan anak perempuan asnaf, dengan fokus kepada kemahiran pemasaran digital dan model perniagaan affiliate.

Melalui platform seperti TikTok Shop dan Shopee, peserta dapat memulakan perjalanan keusahawanan mereka hanya dengan menggunakan telefon pintar serta sambungan internet.

Sebagai permulaan, setiap peserta disasar mencapai pendapatan sekurang-kurangnya RM300 sebulan serta mengumpul simpanan pertama berjumlah RM1,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr Hasan, berkata program itu dirangka khusus untuk membuka lebih banyak pintu kepada golongan wanita asnaf agar mampu berdikari dan membina kestabilan kewangan.

“Kami amat berbesar hati memperkenalkan Usanita: Affiliate Wanita Berjaya, sebuah program yang direka bagi membantu wanita asnaf menjana pendapatan dari rumah melalui platform digital.

“Usaha ini adalah kesinambungan pengalaman kami membimbing usahawan B40 dan M40 dalam bidang penjenamaan serta pendigitalan,” katanya.

Beliau berkata, modul program telah ditambah baik berdasarkan maklum balas serta pengalaman penganjuran program perintis terdahulu, demi memastikan peserta menerima latihan yang lebih menyeluruh dan berkesan.

Pelancaran program dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang menyifatkan usaha itu sebagai inisiatif penting dalam memperkasa wanita melalui teknologi.

“Program ini sangat relevan dengan perubahan ekonomi semasa. Ia menyediakan peluang yang fleksibel untuk wanita asnaf membina pendapatan stabil, malah membantu mereka menyumbang kepada ekonomi keluarga tanpa perlu bekerja di luar rumah,” katanya.

Beliau turut menekankan ekonomi digital membuka ruang baharu yang lebih mudah diakses oleh wanita, terutama suri rumah yang berhasrat menjana pendapatan sampingan.

Dr Noraini berkata, pendekatan pemasaran affiliate yang diperkenalkan dalam program terbabit mampu membantu wanita mewujudkan aliran pendapatan yang lebih konsisten, di samping mempelajari kemahiran digital yang kian diperlukan dalam pasaran pekerjaan moden.

Program Affiliate Wanita Berjaya dijangka bermula awal tahun depan dan menjadi satu lagi langkah signifikan dalam misi Usanita memperkasa wanita asnaf secara kolektif.

Melalui latihan praktikal, bimbingan berstruktur dan akses kepada peluang ekonomi digital, program ini diharapkan dapat membantu meningkatkan taraf hidup peserta serta menyediakan landasan kukuh bagi mereka melangkah ke dunia keusahawanan moden.

Konvokesyen Meritus University 2025 lahirkan pemimpin industri Baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meritus University menganjurkan Majlis Konvokesyen 2025 di kampus baharunya di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, dengan meraikan kejayaan graduan yang selesai pengajian.

Istimewanya, universiti ini adalah satu-satunya institusi pendidikan di Malaysia yang mengintegrasikan pembelajaran maritim dan penerbangan dalam satu ekosistem pendidikan bersepadu.

Terletak dalam koridor transit dan perindustrian utama ibu kota, kampus baharu ini menjadi simbol komitmen Meritus University terhadap pendidikan berasaskan industri yang relevan dengan keperluan global.

Dengan menggabungkan pengajian maritim, logistik dan penerbangan dalam satu persekitaran holistik, universiti ini mencerminkan kedudukan strategik Malaysia sebagai pusat keterhubungan maritim dan udara antarabangsa.

Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pengelola, Tan Sri (Dr.) Halim Mohammad, berkata Meritus University memainkan peranan penting dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berkemampuan tinggi untuk mengemudi cabaran industri moden.

“Aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara maritim sejati bergantung kepada rakyatnya individu yang mempunyai kemahiran, disiplin dan visi untuk memimpin di darat, laut dan udara.

“Meritus University komited membentuk graduan seperti itu, yang mampu memperkukuh pelabuhan dan perkapalan, meningkatkan standard penerbangan serta membina ekosistem logistik bersepadu untuk daya saing global Malaysia.

“Kami tidak hanya melatih pelajar untuk mencari rezeki, tetapi membina kehidupan yang berkhidmat kepada negara dengan integriti dan tujuan,” katanya.

Di bawah kepimpinan Canselor, Tan Sri Rafidah Aziz, Meritus University terus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi pengajian tinggi yang menekankan pendekatan “Real World Learning, Real World Skills” model pembelajaran berasaskan pengalaman industri sebenar dan pendedahan langsung kepada operasi maritim serta penerbangan melalui rangkaian Halim Mazmin Group (HMG).

Majlis Konvokesyen 2025 turut mengiktiraf kejayaan graduan daripada Meritus University, Meritus College dan HM Aerospace, sekali gus membuktikan kekuatan platform pendidikan universiti terbabit.

Seramai 19 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perniagaan Maritim, manakala tiga graduan menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kewangan (Strategi Pelaburan).

Seorang graduan turut dianugerahkan ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).

Dalam bidang penerbangan, 37 graduan Diploma Penerbangan menamatkan latihan juruterbang mereka, diikuti 96 kadet juruterbang HM Aerospace yang menerima Lesen Juruterbang Komersial (CPL) lengkap dengan Instrument Rating dan Frozen ATPL.

Turut diraikan ialah seorang graduan Diploma Pengurusan Hotel daripada Meritus College.

Keseluruhan pencapaian ini menggambarkan keberkesanan kurikulum Meritus University yang berorientasikan industri, disokong oleh rangkaian operasi HMG dalam bidang perkapalan, logistik, penerbangan, pelabuhan dan pendidikan.

Meritus University terus menyumbang kepada pembangunan dua sektor kritikal negara iaitu maritim dan penerbangan yang menjadi tulang belakang ekonomi Malaysia.

Lebih 360,000 pekerjaan bergantung kepada sektor ini, dengan 90 peratus perdagangan negara diurus melalui laluan laut.

Malah, lebih 100,000 kapal melintasi perairan Malaysia setiap tahun, menjadikan industri maritim antara asas daya saing negara dalam arena global.

Dalam sektor penerbangan, HM Aerospace kekal sebagai antara institusi latihan juruterbang paling berprestij di Malaysia.

Setakat ini, lebih 2,500 juruterbang komersial telah dilahirkan, termasuk 92 juruterbang wanita, yang kini berkhidmat dalam syarikat penerbangan utama seperti Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly, Malindo Air, Singapore Airlines, Lion Air, China Airlines, Emirates dan Etihad.

Pencapaian ini mencerminkan tahap latihan bertaraf dunia yang ditawarkan oleh HMG melalui Meritus University.

Sebagai universiti milik HMG, Meritus University dibangunkan dengan visi untuk merapatkan jurang antara pengajian akademik dan keperluan industri sebenar.

Melalui kerjasama strategik dengan syarikat perkapalan, pelabuhan dan pemain industri global, pelajar diberikan akses kepada kapal latihan, fasiliti logistik utama, serta modul akademik yang disusun berdasarkan keperluan semasa ekonomi global.

Kampus moden di Kuala Lumpur dilengkapi makmal simulasi maritim, pusat latihan logistik dan infrastruktur berteknologi tinggi yang memenuhi piawaian antarabangsa menjadikan institusi ini salah satu universiti paling berorientasikan industri di Malaysia.

Universiti ini juga menyokong agenda Ekonomi Biru Malaysia melalui pembangunan modal insan berketerampilan tinggi dalam bidang maritim, logistik, perniagaan global dan penerbangan.

Majlis Konvokesyen 2025 bukan sekadar perayaan kejayaan akademik, tetapi turut melambangkan lahirnya generasi profesional baharu yang bersedia mengharungi cabaran industri maritim, penerbangan dan logistik antarabangsa.

Graduan Meritus University dilengkapi kemahiran teknikal, pengalaman industri, kepimpinan dan jati diri nasional yang kukuh ciri penting bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem perdagangan global yang semakin kompetitif.

Sebagai institusi pendidikan berteraskan industri, Meritus University komited melahirkan pemimpin masa depan yang mampu memacu perubahan, memodenkan sektor strategik negara dan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab maritim serta penerbangan serantau.

Sukan SEA 2025: Malaysia sasar pecah dominasi Thailand dalam sepak takraw

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR –  Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memberi cabaran besar kepada skuad sepak takraw lelaki negara untuk memecahkan dominasi Thailand dan memburu dua pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025, yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di Gimnasium Stadium Nakhon Pathom.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, Malaysia berpotensi menewaskan Thailand berdasarkan sejarah pencapaian membanggakan dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia dan Piala Asia.

Katanya, fokus utama skuad negara adalah untuk meraih emas dalam acara regu lelaki dan quadrant lelaki, sambil menekankan strategi berpasukan sebagai acara pembuka pingat bagi membakar semangat pasukan.

“Kita pernah meraih pingat emas Sukan SEA sebelum ini, walaupun tanpa menghadapi Thailand.

“Kali ini, kemungkinan final menentang Thailand adalah tinggi kerana mereka sebagai tuan rumah dan memasuki semua acara.

“Jadi, kejayaan menewaskan mereka akan menjadi manis dan sangat bermakna. Sejarah telah membuktikan bahawa kita mampu mengalahkan mereka, terutamanya dalam acara regu dan quadrant,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan dan Makan Malam Pemain Sepaktakraw Kebangsaan Ke Sukan SEA 2025 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau turut mengulas mengenai penjadualan acara regu berpasukan sebagai pembuka pingat, berbeza daripada edisi sebelum ini yang biasanya menjadi acara terakhir.

Menurutnya, langkah ini berpotensi menjadi strategi dan permainan psikologi pihak tuan rumah, namun ia juga boleh menjadi kelebihan kepada skuad negara sekiranya berjaya merangkul emas, sekaligus membakar motivasi untuk mencapai sasaran sebenar.

“Kita telah lama menunggu peluang untuk memecahkan tembok besar Thailand dalam regu berpasukan.

“Jika kita berjaya meraih emas dalam acara pembuka ini, ia bakal memberikan momentum positif untuk acara lain,” katanya.

Untuk rekod, pada edisi Sukan SEA 2023 di Kemboja, Malaysia meraih empat perak dan gangsa, memperbaiki pencapaian sebelumnya iaitu tiga perak dan dua gangsa di Hanoi, Vietnam (2021) serta dua perak dan satu gangsa di Filipina (2019).

Kali terakhir skuad sepak takraw kebangsaan menjuarai emas adalah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, dalam acara regu lelaki.

Dengan strategi yang jelas dan sejarah kejayaan yang membuktikan kemampuan Malaysia, cabaran menewaskan Thailand di tanah mereka sendiri menjadi motivasi utama skuad negara untuk mengharumkan nama Malaysia dalam Sukan SEA 2025, sekali gus mengekalkan tradisi kecemerlangan sepak takraw negara di pentas serantau.