editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Selepas lebih 14 bulan ditutup susulan salah faham berkaitan lesen perniagaan, Durian King TTDI akhirnya kembali beroperasi, sekali gus mengubat rindu peminat durian di Lembah Klang yang menjadikan gerai ini destinasi pilihan sejak 2015.
Sepanjang tempoh penutupan, pelbagai persoalan timbul dalam kalangan pelanggan setia yang tertanya-tanya tentang status operasi Durian King TTDI.
Menurut pengurusan, isu lesen yang berbangkit ketika itu berpunca daripada salah faham antara pihak berkuasa dan pihak Durian King.
Melalui proses rayuan yang membabitkan Pejabat Ahli Parlimen Segambut, Datuk Bandar Kuala Lumpur serta sokongan padu daripada Menteri Pertanian, operasi akhirnya diluluskan semula.

Pemiliknya, Erik Ong, melahirkan rasa syukur atas kelulusan itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu, termasuk Menteri Wilayah Persekutuan serta Persatuan Penduduk TTDI yang terus memberi sokongan sehingga pembukaan semula berjaya direalisasikan.
Pembukaan semula ini turut membawa beberapa pembaharuan yang pasti menggembirakan peminat durian.
Antara daya tarikannya ialah hidangan Durian Cendol yang terkenal sebagai antara yang terbaik di Lembah Klang, dengan saiz hidangan besar dan rasa durian premium yang menjadi identiti Durian King sejak hampir sedekad lalu.

Gerai yang dianggap “lokasi legenda” sejak 2015 itu kekal sebagai tempat tumpuan keluarga, rakan-rakan dan pencinta durian yang ingin menikmati suasana santai.
Durian segar didatangkan terus setiap hari, termasuk bekalan dari ladang seluas 95 ekar di Rawang (Selangor Fruit Valley), merangkumi varieti premium seperti Musang King dan Black Thorn.
Durian King juga terus menerima kerjasama erat kerajaan Negeri Selangor yang komited menjadikan negeri itu sebagai hab pengeluaran durian utama.
Integriti dan ketelusan turut menjadi tunjang operasi Durian King, yang sejak mula menekankan latihan kakitangan berasaskan amanah dan kepuasan pelanggan.
Tahun 2025 menandakan ulang tahun ke-10 perjalanan perniagaan itu yang bermula dalam industri pengurusan acara sebelum berkembang ke bidang pertanian dan durian.

Dalam mendukung dasar DBKL yang melarang pekerja asing menjual durian sejak 2020, Durian King TTDI membuka peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan dan lepasan SPM, sekali gus membantu menyediakan kerjaya baharu bagi golongan belia.
Pembukaan semula ini juga membawa misi penting untuk menyokong petani tempatan, terutama ketika industri durian berdepan lambakan hasil serta kesan banjir.
Dengan harga durian yang kini lebih rendah, Durian King berharap permintaan akan meningkat dan membantu mengurangkan tekanan yang ditanggung para pekebun.
Durian King TTDI mengalu-alukan kembali kehadiran pelanggan lama dan baharu bagi menikmati suasana meriah serta pilihan durian terbaik pada harga berpatutan.
Pembukaan semula ini bukan sahaja menandakan permulaan baharu bagi Durian King, tetapi juga simbol sokongan komuniti terhadap industri durian tempatan.

