23.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, February 12, 2026

Konvokesyen Meritus University 2025 lahirkan pemimpin industri Baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meritus University menganjurkan Majlis Konvokesyen 2025 di kampus baharunya di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, dengan meraikan kejayaan graduan yang selesai pengajian.

Istimewanya, universiti ini adalah satu-satunya institusi pendidikan di Malaysia yang mengintegrasikan pembelajaran maritim dan penerbangan dalam satu ekosistem pendidikan bersepadu.

Terletak dalam koridor transit dan perindustrian utama ibu kota, kampus baharu ini menjadi simbol komitmen Meritus University terhadap pendidikan berasaskan industri yang relevan dengan keperluan global.

Dengan menggabungkan pengajian maritim, logistik dan penerbangan dalam satu persekitaran holistik, universiti ini mencerminkan kedudukan strategik Malaysia sebagai pusat keterhubungan maritim dan udara antarabangsa.

Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pengelola, Tan Sri (Dr.) Halim Mohammad, berkata Meritus University memainkan peranan penting dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berkemampuan tinggi untuk mengemudi cabaran industri moden.

“Aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara maritim sejati bergantung kepada rakyatnya individu yang mempunyai kemahiran, disiplin dan visi untuk memimpin di darat, laut dan udara.

“Meritus University komited membentuk graduan seperti itu, yang mampu memperkukuh pelabuhan dan perkapalan, meningkatkan standard penerbangan serta membina ekosistem logistik bersepadu untuk daya saing global Malaysia.

“Kami tidak hanya melatih pelajar untuk mencari rezeki, tetapi membina kehidupan yang berkhidmat kepada negara dengan integriti dan tujuan,” katanya.

Di bawah kepimpinan Canselor, Tan Sri Rafidah Aziz, Meritus University terus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi pengajian tinggi yang menekankan pendekatan “Real World Learning, Real World Skills” model pembelajaran berasaskan pengalaman industri sebenar dan pendedahan langsung kepada operasi maritim serta penerbangan melalui rangkaian Halim Mazmin Group (HMG).

Majlis Konvokesyen 2025 turut mengiktiraf kejayaan graduan daripada Meritus University, Meritus College dan HM Aerospace, sekali gus membuktikan kekuatan platform pendidikan universiti terbabit.

Seramai 19 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perniagaan Maritim, manakala tiga graduan menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kewangan (Strategi Pelaburan).

Seorang graduan turut dianugerahkan ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).

Dalam bidang penerbangan, 37 graduan Diploma Penerbangan menamatkan latihan juruterbang mereka, diikuti 96 kadet juruterbang HM Aerospace yang menerima Lesen Juruterbang Komersial (CPL) lengkap dengan Instrument Rating dan Frozen ATPL.

Turut diraikan ialah seorang graduan Diploma Pengurusan Hotel daripada Meritus College.

Keseluruhan pencapaian ini menggambarkan keberkesanan kurikulum Meritus University yang berorientasikan industri, disokong oleh rangkaian operasi HMG dalam bidang perkapalan, logistik, penerbangan, pelabuhan dan pendidikan.

Meritus University terus menyumbang kepada pembangunan dua sektor kritikal negara iaitu maritim dan penerbangan yang menjadi tulang belakang ekonomi Malaysia.

Lebih 360,000 pekerjaan bergantung kepada sektor ini, dengan 90 peratus perdagangan negara diurus melalui laluan laut.

Malah, lebih 100,000 kapal melintasi perairan Malaysia setiap tahun, menjadikan industri maritim antara asas daya saing negara dalam arena global.

Dalam sektor penerbangan, HM Aerospace kekal sebagai antara institusi latihan juruterbang paling berprestij di Malaysia.

Setakat ini, lebih 2,500 juruterbang komersial telah dilahirkan, termasuk 92 juruterbang wanita, yang kini berkhidmat dalam syarikat penerbangan utama seperti Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly, Malindo Air, Singapore Airlines, Lion Air, China Airlines, Emirates dan Etihad.

Pencapaian ini mencerminkan tahap latihan bertaraf dunia yang ditawarkan oleh HMG melalui Meritus University.

Sebagai universiti milik HMG, Meritus University dibangunkan dengan visi untuk merapatkan jurang antara pengajian akademik dan keperluan industri sebenar.

Melalui kerjasama strategik dengan syarikat perkapalan, pelabuhan dan pemain industri global, pelajar diberikan akses kepada kapal latihan, fasiliti logistik utama, serta modul akademik yang disusun berdasarkan keperluan semasa ekonomi global.

Kampus moden di Kuala Lumpur dilengkapi makmal simulasi maritim, pusat latihan logistik dan infrastruktur berteknologi tinggi yang memenuhi piawaian antarabangsa menjadikan institusi ini salah satu universiti paling berorientasikan industri di Malaysia.

Universiti ini juga menyokong agenda Ekonomi Biru Malaysia melalui pembangunan modal insan berketerampilan tinggi dalam bidang maritim, logistik, perniagaan global dan penerbangan.

Majlis Konvokesyen 2025 bukan sekadar perayaan kejayaan akademik, tetapi turut melambangkan lahirnya generasi profesional baharu yang bersedia mengharungi cabaran industri maritim, penerbangan dan logistik antarabangsa.

Graduan Meritus University dilengkapi kemahiran teknikal, pengalaman industri, kepimpinan dan jati diri nasional yang kukuh ciri penting bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem perdagangan global yang semakin kompetitif.

Sebagai institusi pendidikan berteraskan industri, Meritus University komited melahirkan pemimpin masa depan yang mampu memacu perubahan, memodenkan sektor strategik negara dan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab maritim serta penerbangan serantau.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular