editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memberi cabaran besar kepada skuad sepak takraw lelaki negara untuk memecahkan dominasi Thailand dan memburu dua pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025, yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di Gimnasium Stadium Nakhon Pathom.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, Malaysia berpotensi menewaskan Thailand berdasarkan sejarah pencapaian membanggakan dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia dan Piala Asia.
Katanya, fokus utama skuad negara adalah untuk meraih emas dalam acara regu lelaki dan quadrant lelaki, sambil menekankan strategi berpasukan sebagai acara pembuka pingat bagi membakar semangat pasukan.
“Kita pernah meraih pingat emas Sukan SEA sebelum ini, walaupun tanpa menghadapi Thailand.
“Kali ini, kemungkinan final menentang Thailand adalah tinggi kerana mereka sebagai tuan rumah dan memasuki semua acara.
“Jadi, kejayaan menewaskan mereka akan menjadi manis dan sangat bermakna. Sejarah telah membuktikan bahawa kita mampu mengalahkan mereka, terutamanya dalam acara regu dan quadrant,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan dan Makan Malam Pemain Sepaktakraw Kebangsaan Ke Sukan SEA 2025 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau turut mengulas mengenai penjadualan acara regu berpasukan sebagai pembuka pingat, berbeza daripada edisi sebelum ini yang biasanya menjadi acara terakhir.
Menurutnya, langkah ini berpotensi menjadi strategi dan permainan psikologi pihak tuan rumah, namun ia juga boleh menjadi kelebihan kepada skuad negara sekiranya berjaya merangkul emas, sekaligus membakar motivasi untuk mencapai sasaran sebenar.
“Kita telah lama menunggu peluang untuk memecahkan tembok besar Thailand dalam regu berpasukan.
“Jika kita berjaya meraih emas dalam acara pembuka ini, ia bakal memberikan momentum positif untuk acara lain,” katanya.

Untuk rekod, pada edisi Sukan SEA 2023 di Kemboja, Malaysia meraih empat perak dan gangsa, memperbaiki pencapaian sebelumnya iaitu tiga perak dan dua gangsa di Hanoi, Vietnam (2021) serta dua perak dan satu gangsa di Filipina (2019).
Kali terakhir skuad sepak takraw kebangsaan menjuarai emas adalah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, dalam acara regu lelaki.
Dengan strategi yang jelas dan sejarah kejayaan yang membuktikan kemampuan Malaysia, cabaran menewaskan Thailand di tanah mereka sendiri menjadi motivasi utama skuad negara untuk mengharumkan nama Malaysia dalam Sukan SEA 2025, sekali gus mengekalkan tradisi kecemerlangan sepak takraw negara di pentas serantau.

