editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Kumpulan seni tari, Lantera Seni, meraikan perjalanan 10 tahun mereka dalam dunia seni persembahan melalui pementasan istimewa berjudul “Lantera Seni: 10 Tahun Bertapak” yang berlangsung selama dua malam dengan sambutan penonton yang luar biasa sehingga tiket terjual habis.
Acara yang dianjurkan oleh Hidayah Rosli dari Seni Production bersama koreografer utama, Muhammad Syazwan atau lebih dikenali sebagai Awan Luziza, itu menjadi pentas ulang tahun yang mengimbau kembali karya-karya tarian terbaik kumpulan berkenaan sepanjang sedekad.
Lebih istimewa, persembahan ini turut memberi peluang kepada ahli keluarga setiap penari untuk menyaksikan semula karya yang pernah meraih kejayaan besar di pentas pertandingan.

Seramai 47 penari terbabit dalam persembahan ini, merangkumi kategori junior, remaja hingga dewasa yang terdiri daripada alumni Lantera Seni.
Kesemua mereka dihimpunkan semula istimewa bagi menjayakan pementasan bersejarah ini.
Persembahan selama 1 jam 40 minit itu dibahagikan kepada tiga segmen utama iaitu tradisi, kreatif dan kreasi, yang menampilkan kepelbagaian gaya serta identiti budaya Malaysia.

Segmen Tradisi mempersembahkan tarian Melayu klasik seperti Zapin, Inang, Asli dan Joget, manakala segmen Kreatif mengetengahkan karya seperti tarian kreatif Sabah.
Segmen Kreasi pula mempersembahkan tarian berunsur budaya India, sekaligus menonjolkan kepelbagaian etnik serta keunikan Malaysia.
Setiap segmen berlangsung sekitar 24 minit, disulami persembahan tambahan termasuk nyanyian istimewa.
Menurut Syazwan, ini adalah kali pertama Lantera Seni menggabungkan ketiga-tiga segmen berkenaan dalam satu pementasan penuh langkah baharu yang mencabar namun dianggap signifikan sebagai simbol kematangan kumpulan itu dalam seni tari.
Penganjuran acara selama dua hari itu menelan belanja kira-kira RM150,000, yang dibiayai melalui dana khas, sokongan penaja serta sumbangan alumni.
Persembahan turut diserikan dengan kehadiran artis jemputan, Roger Kajo, yang terkenal dengan lagu-lagu berunsur Zapin dan Ghazal.

Dengan kapasiti penuh 340 penonton setiap malam, acara ini dihadiri lebih 600 pengunjung sepanjang dua hari pementasan, sekali gus membuktikan sokongan masyarakat terhadap seni persembahan tempatan masih utuh.
Mengulas perancangan masa depan, penganjur berharap konsep persembahan sedemikian dapat diteruskan pada skala lebih besar, termasuk kemungkinan dibawa ke negeri-negeri lain seperti wilayah Timur atau Utara sekiranya mendapat sambutan dan sokongan yang mencukupi.
Lantera Seni berharap aspirasi utama mereka adalah untuk terus memartabatkan seni budaya negara agar dapat dinikmati oleh generasi muda dan tua, seterusnya memastikan seni klasik yang semakin sukar ditemui tidak terus hilang ditelan masa.

