26.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

Pullman Kuching nyalakan pokok Krismas 2025, umum kerjasama bersama Kuching Autistic Association

editormaxinfo@gmail.com

KUCHING – Suasana meriah memenuhi ruang lobi baharu Pullman Kuching apabila hotel ikonik itu menganjurkan majlis tahunan Christmas Tree Light Up, sebuah tradisi yang sentiasa dinanti warga setempat.

Acara itu menghimpunkan hampir 200 tetamu khas, termasuk wakil komuniti, rakan korporat, media dan barisan pempengaruh tempatan untuk meraikan permulaan musim perayaan.

Majlis penyalaan pokok Krismas tahun ini membawa makna lebih mendalam apabila Pullman Kuching turut melancarkan kempen Diversity, Equality & Inclusivity (DEI) Krismas dengan kerjasama Kuching Autistic Association (KAA).

Usaha ini memberi peluang kepada kanak-kanak dan keluarga dari KAA untuk turut serta dalam sambutan penuh keceriaan, sekaligus mengukuhkan mesej tentang kepelbagaian, empati dan keterangkuman.

Lobi hotel yang baru direnovasi itu tampil dengan konsep lebih terbuka dan mesra komuniti, direka untuk menghubungkan tetamu melalui ruang yang selesa dan inspiratif dan majlis malam itu membuktikan sepenuhnya visi tersebut apabila ia dipenuhi gelak tawa, muzik dan suasana hangat.

Sambutan Bertunjangkan Semangat Komuniti dan Empati

Pengurus Besar Pullman Kuching, Sunardi Song, menyifatkan majlis itu sebagai simbol perpaduan yang sejati, lebih daripada sekadar acara perayaan.

“Hospitaliti pada asasnya adalah tentang manusia tentang komuniti dan rasa peduli.

“Krismas di Pullman Kuching bukan sekadar hiasan dan cahaya, tetapi tentang kebersamaan dan pengalaman yang dikongsi. Tahun ini, semangat itu dirasakan dengan lebih mendalam,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran kerjasama bersama KAA adalah saat bermakna buat hotel berkenaan, yang komited kepada nilai kepelbagaian, kesamarataan dan keterangkuman.

“Kami amat berbesar hati meraikan KAA bersama kami malam ini.

“Mereka ialah organisasi yang berdedikasi membimbing kanak-kanak autistik untuk mencapai potensi penuh dan hidup berdikari. Kerjasama ini sangat dekat di hati kami,” katanya.

Sepanjang malam, tetamu menikmati persembahan muzik Krismas sambil melihat paparan karya seni dan barangan perayaan hasil ciptaan kanak-kanak KAA.

Lobi hotel bertukar menjadi ruang kreatif penuh warna yang mempamerkan bakat dan perspektif anak-anak istimewa itu.

Inisiatif Perayaan Untuk Menyokong KAA

Sebagai sebahagian daripada komitmen DEI, Pullman Kuching memperkenalkan dua inisiatif khas untuk membantu KAA iaitu, sebaha­gian hasil daripada Christmas Eve Buffet Dinner disalurkan terus kepada program pendidikan dan pembangunan kanak-kanak autistik di bawah KAA.

Manakala, hotel memperkenalkan KAA Merchandise Corner sudut khas mempamerkan barangan dan karya seni kanak-kanak KAA, dengan 100 peratus hasil jualan disumbangkan kepada organisasi terbabit.

Sementara itu, Setiausaha KAA, Duane Reggie, menyifatkan inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran, tetapi juga membuka ruang kepada masyarakat memahami dunia melalui perspektif anak-anak autistik.

“Ramai antara mereka menzahirkan emosi melalui kreativiti warna, tekstur dan perincian kecil.

“Apabila karya mereka dipamerkan di Pullman Kuching, ia memberi ruang kepada keluarga berkongsi cerita dan pada masa yang sama, membantu orang lain memahami cara anak-anak ini berkomunikasi,” katanya.

Kerjasama Pullman Kuching dan KAA ini juga selari dengan tradisi hotel itu menyokong komuniti setempat, termasuk usaha jangka panjang mereka melalui Penan Women Project, yang menyokong wanita Penan sambil memelihara seni anyaman tradisional Sarawak.

Nikmati Hidangan Perayaan di Restoran Culina

Sebagai melengkapi sambutan, Pullman Kuching mengalu-alukan tetamu menikmati pelbagai hidangan perayaan di Culina Restaurant, yang kini tampil dengan wajah baharu serta menonjolkan kehangatan hospitaliti Sarawak.

Bufet malam Krismas menawarkan pelbagai hidangan klasik seperti ayam belanda panggang dan seleksi manisan perayaan.

Sementara itu, sambutan malam Tahun Baharu mengetengahkan gabungan rasa Pan-Asia, makanan laut segar serta hidangan unik Sarawak yang dijangka memukau selera pengunjung.

Dengan acara penuh makna ini, Pullman Kuching bukan sahaja menandakan bermulanya musim perayaan, tetapi turut menyerlahkan komitmennya terhadap komuniti setempat, kepelbagaian dan keterangkuman menjadikan Krismas 2025 satu sambutan yang lebih hangat, penuh empati dan berjiwa.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular