KUALA LUMPUR – Turkish Airlines Kuala Lumpur Tower Run International Challenge 2025 – Kejohanan Kebangsaan (KLTRIC2025) sekali lagi mencipta detik bersejarah buat negara apabila seramai 2,000 pelari dari 30 negara berjaya menamatkan cabaran mendaki 1,608 anak tangga Menara Kuala Lumpur.
Penganjuran tahun ini bukan sahaja menampilkan penyertaan terbesar sejak acara diperkenalkan, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi utama dalam kalender global sukan larian menara.
Acara berprestij ini menarik kehadiran atlet dari Jepun, China, Turki, Jerman, United Kingdom, Australia, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Amerika Syarikat.
Penglibatan pelari antarabangsa membuktikan bahawa Menara Kuala Lumpur terus menjadi tarikan ikonik serta hab sukan pelancongan yang semakin mendapat tempat di rantau Asia Tenggara.

Dengan mengetengahkan tema “Victory is Vertical”, KLTRIC2025 mempamerkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh pelancongan sukan, seiring persiapan menyambut Visit Malaysia 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Othman, menyifatkan penganjuran tahun ini sebagai satu pencapaian membanggakan buat negara.
Beliau berkata, Menara Kuala Lumpur kini bukan sahaja ikon seni bina tetapi telah berkembang menjadi gelanggang rasmi bagi sukan larian menara bertaraf dunia.
“Penyertaan pelari dari Asia, Eropah, Australia dan Amerika Syarikat membuktikan pengiktirafan tinggi atlet antarabangsa terhadap acara ini,” katanya.
Khairil berkata, KLTRIC2025 membuktikan kemampuan pelancongan sukan dalam menarik lebih ramai pelawat ke negara ini.
Beliau yakin jenama KLTRIC akan terus berkembang sebagai antara perlumbaan tangga paling berprestij di Asia.

Edisi 2025 turut dihiasi penyertaan atlet elit dunia termasuk pelari menara No. 1 Dunia Soh Wai Ching, serta pemegang Rekod Dunia Guinness Michele Tan Bee Kiang, bersama barisan atlet profesional antarabangsa yang bersaing untuk mengumpul mata ranking Towerrunning World Association (TWA).
KLTRIC2025 menawarkan hadiah keseluruhan RM80,000, menjadikannya antara kejohanan larian menara dengan tawaran hadiah terbesar di rantau ini.
Peserta berentap dalam kategori Elit, Terbuka, Veteran dan Remaja untuk merebut kedudukan terbaik.
Sebagai penghargaan terhadap ketahanan dan pencapaian luar biasa, 20 pelari terpantas setiap kategori menerima Official Finisher Jersey edisi eksklusif, simbol kejayaan membawa semangat “Victory is Vertical”.
Acara ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Belia & Sukan (KBS) dan Persatuan Towerrunning Malaysia (MTA), menjadikannya kejohanan kebangsaan rasmi bagi sukan larian menara di Malaysia.
Berbekalkan kejayaan edisi tahun ini, Menara Kuala Lumpur mengesahkan bahawa KLTRIC2026 akan dianjurkan pada 14 Jun 2026.
Pemilihan tarikh itu dirancang selaras dengan kempen Visit Malaysia 2026, dengan sasaran menarik penyertaan lebih ramai atlet antarabangsa serta mengukuhkan lagi reputasi Kuala Lumpur sebagai destinasi sukan aksi bertaraf dunia.

Penganjuran KLTRIC2025 diperkukuh melalui sokongan padu pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia & Sukan (KBS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tourism Malaysia, Rakan Muda, Jabatan BOMBA dan Persatuan Towerrunning Malaysia (MTA).
Turkish Airlines tampil sebagai penaja utama, manakala JomRun menyertai sebagai rakan strategik.
Acara ini turut mendapat sokongan puluhan penaja korporat daripada pelbagai industri seperti DEI Global, Spritzer, 100Plus, Adabi, Nestlé, The Coffee Bean & Tea Leaf, KL Hop On Hop Off, Himalaya Sports, rangkaian hotel terkemuka dan banyak lagi.
Keseluruhan sokongan ini memastikan penganjuran berjalan dengan selamat, lancar dan penuh tenaga, sekali gus memantapkan kedudukan Menara Kuala Lumpur sebagai lokasi utama sukan larian menara bertaraf dunia.
“Matlamat kami adalah untuk membangunkan KLTRIC sebagai salah satu perlumbaan larian menara terunggul di Asia dan seterusnya menjadi kejohanan bertaraf dunia.
“Sambutan luar biasa tahun ini membuktikan Malaysia sudah bersedia melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya.
Dengan penganjuran yang semakin matang dan sokongan global yang kian meningkat, KLTRIC2025 sekali lagi mengangkat nama Malaysia ke persada sukan antarabangsa menjadikan Menara Kuala Lumpur bukan sahaja mercu tanda negara, tetapi simbol kekuatan, ketahanan dan prestij dalam dunia towerrunning.

