23.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, February 12, 2026

UPSI, IJNUC jalin kerjasama tawar Ijazah Sarjana Muda Psikologi bermula 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Kolej Universiti IJN (IJNUC) bagi melaksanakan Program Ijazah Sarjana Muda Psikologi (Kepujian), menandakan satu lagi usaha strategik untuk memperkukuh pendidikan psikologi dalam sektor kesihatan negara.

Kerjasama ini menyatukan kepakaran akademik UPSI dengan kekuatan pembelajaran klinikal IJNUC bagi melahirkan graduan yang holistik, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran industri.

Melalui perjanjian itui, UPSI berperanan sebagai badan penganugerahan ijazah, manakala IJNUC akan mengendalikan pelaksanaan dan pengajaran program.

Pendekatan ini dijangka memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar melalui gabungan teori akademik yang mapan dan latihan klinikal sebenar dalam ekosistem penjagaan kesihatan.

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Bangunan Yayasan Selangor dengan disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Naib Canselor IJNUC, Prof Emerita Durrishah Idrus.

Datuk Dr Md Amin berkata kerjasama ini adalah komitmen UPSI untuk memperluaskan impak pendidikan melalui jalinan strategik antara universiti dan industri, khususnya dalam bidang berkaitan kesihatan mental yang kini menjadi keutamaan nasional.

Menurut beliau, integrasi psikologi dalam bidang perubatan amat penting dalam membentuk profesional yang memahami aspek emosi dan tingkah laku pesakit serta mampu mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam amalan klinikal.

“UPSI berbangga bekerjasama dengan IJNUC dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja memahami ilmu psikologi tetapi juga mampu menerjemahkannya dalam konteks kesihatan.

“Kerjasama ini selari penekanan negara terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan emosi,” katanya.

Sementara itu, Prof Emerita Durrishah berkata, kerjasama ini adalah langkah penting dalam usaha IJNUC memperluas penawaran akademik ke luar bidang sains klinikal tanpa menjejaskan matlamat melahirkan tenaga profesional yang berkemahiran dan berdaya empati.

Beliau berkata, psikologi memiliki hubungan rapat dengan penjagaan kesihatan, terutama dalam memahami tingkah laku manusia serta kesejahteraan mental untuk menyediakan rawatan yang lebih holistik.

“Dengan menggabungkan keunggulan akademik UPSI dan kekuatan IJNUC dalam pendidikan kesihatan, kita dapat menyediakan graduan yang seimbang dari segi kompetensi dan belas ihsan, selaras dengan keperluan semasa,” katanya.

Program Ijazah Sarjana Muda Psikologi (Kepujian) itu akan menawarkan kurikulum pelbagai disiplin merangkumi teori, latihan klinikal dan pendedahan kepada persekitaran penjagaan kesihatan bagi mengukuhkan pemahaman pelajar tentang dimensi psikologi dalam rawatan dan kesejahteraan manusia.

Program itu dijangka mula ditawarkan pada September 2026 selepas memperoleh kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Kerjasama ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan UPSI dan IJNUC sebagai institusi yang komited melahirkan tenaga kerja profesional dalam bidang psikologi dan kesihatan, seterusnya menyumbang kepada usaha negara meningkatkan kesejahteraan mental masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular