editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakar sejarah tersendiri apabila Leftenan Madya Maritim Nurul Alifa Alias muncul sebagai pegawai wanita pertama daripada lantikan agensi itu yang berjaya menerima Sayap Penerbang selepas menamatkan latihan juruterbang helikopter selama 20 bulan.
Pencapaian membanggakan itu disifatkan sebagai satu lonjakan besar dalam usaha memperkasa keupayaan operasi udara agensi berkenaan, khususnya dalam memperluaskan penglibatan pegawai wanita dalam bidang yang sebelum ini didominasi lelaki.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, kejayaan itu turut membuktikan kemampuan Maritim Malaysia melahirkan pakar penerbang sendiri tanpa bergantung kepada pegawai yang diserap daripada agensi keselamatan lain.

“Pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan keupayaan teknikal yang tinggi dalam kalangan warga agensi, malah menjadi simbol kepada peningkatan inklusiviti dalam pelaksanaan operasi udara.
“Penyertaan lebih ramai wanita dalam bidang ini akan terus diperkasakan selaras dengan keperluan operasi yang semakin kompleks,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Sayap Penerbang Maritim Malaysia 2026 yang berlangsung di Putrajaya.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Nor Hisham Ibrahim, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah, Pengarah Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Ragu a/l Sundararajan serta wakil pengurusan tertinggi Layang Layang Flying Academy.
Terdahulu, Nurul Alifa adalah antara lapan pelatih Juruterbang Helikopter Siri 3/2024 yang berjaya menamatkan latihan intensif antara 12 hingga 20 bulan.
Latihan itu merangkumi pelbagai fasa penting termasuk latihan ikhtiar hidup, underwater escape training (UWET), latihan simulator serta penerbangan sebenar dengan rekod sehingga 155 jam penerbangan.

Selain Nurul Alifa, tujuh lagi pelatih turut dianugerahkan Sayap Penerbang iaitu Leftenan Maritim Mohd Al Azlan Shah Harun, Leftenan Madya Maritim Muhammad Firdaus Faisal, Leftenan Madya Maritim Awangku Mohd Farid Awang Engko Tajudin, Leftenan Madya Maritim Mohamad Ehram Mohd Noorlee, Leftenan Madya Maritim Muhammad Firdaus Ab Aziz, Leftenan Madya Maritim Muhammad Luqman Bahari dan Leftenan Madya Maritim Faqrul Shafiq Mohd Fadzludin.
Dalam majlis sama, enam pelatih Pegawai Sistem Udara Siri 2/2024 serta lima jurulatih penerbangan turut menerima sijil tamat latihan, manakala empat pelatih diiktiraf sebagai terbaik dalam kategori masing-masing, sekali gus mencerminkan tahap kompetensi tinggi yang berjaya dicapai sepanjang program latihan berkenaan.
Mengulas lanjut, Datuk Saiful Lizan berkata, objektif utama latihan ini adalah untuk melahirkan penerbang maritim yang bukan sahaja mahir mengendalikan pesawat, malah cekap melaksanakan operasi penguatkuasaan dan menyelamat di laut.
Menurut beliau, peranan Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia amat kritikal sebagai “mata di langit” dalam memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara.
“Keupayaan itu membolehkan Maritim Malaysia memperluas liputan pemantauan serta meningkatkan kadar kejayaan operasi, khususnya dalam misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), pembanterasan jenayah rentas sempadan serta menangani pencerobohan nelayan asing,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan kejayaan Nurul Alifa sebagai pemangkin kepada penyertaan lebih ramai pegawai wanita dalam bidang operasi udara Maritim Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap kepimpinan dan keupayaan agensi itu pada masa hadapan.

