editormaxinfo@gmail.com
BANGI – Sebanyak 11 lori kargo bantuan kemanusiaan di bawah Kempen The Rightful Gift berjaya menembusi pintu sempadan Rafah pada 19 November lalu, menandakan perkembangan penting dalam usaha bantuan pasca serangan besar-besaran terhadap Gaza sejak Oktober 2023.
Misi itu diketuai oleh Global Hayat bersama Komuniti Dakwah Tarbiah, Kelab Perwira Malaysia dan Nisa Al-Khair, yang mengesahkan semua lori bantuan kini berada di dalam Gaza dan sedang melalui proses pengagihan kepada keluarga yang paling terjejas di Utara Gaza dan Bandar Gaza.
Kejayaan ini dianggap signifikan kerana ia membuka laluan baharu bagi penghantaran bantuan melalui jalan darat, sekali gus memperkukuh momentum bantuan kemanusiaan selepas pengumuman gencatan senjata pada 10 Oktober lalu.
Walaupun keadaan dilaporkan lebih tenang selepas pengumuman gencatan senjata, situasi di lapangan masih berada pada tahap krisis.

Lebih 70,000 penduduk Gaza dilaporkan syahid dengan majoriti korban terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Kira-kira dua juta rakyat kehilangan tempat tinggal dan kini hidup di dalam khemah tanpa akses kepada air bersih, sementara hospital, sekolah, masjid serta infrastruktur penting hampir lumpuh sepenuhnya.
Akses kepada makanan, ubat-ubatan, pendidikan dan keperluan asas masih terhad susulan sekatan yang berterusan, manakala jumlah lori bantuan harian yang dibenarkan masuk tidak mencapai satu pertiga daripada keperluan sebenar penduduk.
Pengarah Kempen The Rightful Gift, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, sebarang bentuk normalisasi dengan rejim Zionis Israel wajib ditolak.

Menurutnya, berdiam diri atau bersikap neutral dalam isu kemanusiaan sebesar ini dianggap sebagai sebahagian daripada proses normalisasi.
Beliau turut mengulas perkembangan terbaru di peringkat antarabangsa susulan kelulusan Pelan Damai Trump oleh Majlis Keselamatan PBB.
Walaupun pelan itu membabitkan gencatan senjata, pengunduran tentera Israel, pertukaran tawanan serta pembentukan Pasukan Penstabilan Antarabangsa, pihak mereka menyatakan kebimbangan kerana pelan itu tidak boleh mengabaikan suara rakyat Palestin sendiri.
“Sebarang pelan damai yang tidak menjamin akses bantuan tanpa halangan, keselamatan orang awam serta hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan sendiri berisiko mengulang kitaran penindasan.
“Melalui penghantaran terbaharu ini, sebanyak 5,400 kotak makanan asas dan 100 tan gandum telah berjaya dibawa masuk ke Gaza dengan nilai keseluruhan RM2.8 juta,” katanya.

Pada bulan sebelumnya, bantuan bernilai RM1.6 juta turut diagihkan dalam bentuk makanan panas, roti, pek makanan, bekalan perubatan, susu, lampin pakai buang, kayu api, pakaian, selimut dan khemah.
Semua bantuan diuruskan oleh wakil The Rightful Gift yang berada di dalam Gaza.
Keseluruhannya, jumlah bantuan bagi Oktober dan November 2025 mencecah RM4.4 juta, memberi manfaat hampir 80,000 penduduk.
Katanya, pihak mereka juga telah membuka Gudang ‘The Rightful Gift’ di Gaza bagi memudahkan koordinasi logistik dan pengagihan secara lebih sistematik.
“Kejayaan ini bukanlah hasil usaha satu organisasi semata-mata tetapi hasil sokongan rakyat Malaysia dan Nusantara yang tidak pernah berhenti menyalurkan sumbangan sejak konflik memuncak pada 2023.
“Kempen ini kini membuka peluang kerjasama kepada mana-mana NGO, syarikat korporat serta agensi kerajaan yang ingin menyertai misi bantuan seterusnya demi memperkukuh kapasiti penghantaran bantuan,” katanya.

Seiring pembukaan laluan bantuan yang semakin positif, Muhd Farhan berkata, mereka menyasarkan sekurang-kurangnya 50 lori kargo dihantar ke Gaza dalam Fasa Pertama sehingga akhir Mac 2026.
“The Rightful Gift menyeru rakyat Malaysia untuk terus bersama dalam usaha kemanusiaan ini, terutama ketika rakyat Gaza sedang melalui musim sejuk dan hanya tinggal beberapa bulan sebelum tibanya Ramadan.
“Semoga usaha ini menjadi saksi bahawa Malaysia dan Nusantara tidak pernah meninggalkan Gaza dalam apa jua keadaan,” katanya.

